Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA
PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/11/89
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ASSALAMU ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
Pengerusi Majlis;
Timbalan Presiden;
Naib-naib Presiden;
Ahli-ahli Majlis Tertinggi;
Ketua-ketua dan Wakil-wakil Parti Komponen Barisan Nasional;
Dif-Dif Kehormat;
Para Perwakilan;
Para Pemerhati;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
PENDAHULUAN
___________
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sekali
lagi bersama-sama menghadiri Perhimpunan Agung UMNO ini.
Saya bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi mengucapkan
selamat datang kepada para tetamu dan wakil-wakil parti
komponen Barisan Nasional, para perwakilan dan pemerhati
sekalian ke Perhimpunan Agung ini. Marilah kita sama-sama
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya kita
diberi hidayat dan petunjukNya bagi menjayakan Perhimpunan
Agung ini mengikut lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan
tradisi parti demi keutuhan perjuangan UMNO.
Saudara-saudari sekalian,
KEWIBAWAAN UMNO
_______________
2. Tahun 1989 merupakan tahun yang bertuah bagi UMNO.
Pada tahun ini kita telah berjaya memulihkan sepenuhnya
pertubuhan yang kita semua sayangi ini, pertubuhan yang
begitu berjasa kepada orang Melayu, kepada rakyat Malaysia
dan kepada negara Malaysia.
3. Pada tahun yang lepas kita mengadakan Perhimpunan Agung
hanya untuk meluluskan undang-undang pertubuhan kita.
Wakil-wakil yang hadir tidak dipilih melalui proses biasa
tetapi melalui peruntukan perlembagaan khusus untuk masa
penubuhan.
4. Pada tahun lalu cawangan-cawangan belum ditubuhkan dan
sudah tentu cawangan-cawangan tidak bermesyuarat bagi
melantik wakil ke mesyuarat bahagian untuk memilih wakil ke
mesyuarat agung. Peraturan yang kita amalkan tahun lepas
adalah peraturan-peraturan sementara; sesuatu yang perlu
dilakukan dalam proses penubuhan parti-parti atau
menghidupkan semula parti.
5. Untuk menentukan parti kita dipulihkan semula, kita
telah menyekat kemasukan mereka yang tidak berminat untuk
memulihkan UMNO. Sudah tentu dalam keadaan di mana susunan
rapi bagi parti belum selesai, kehadiran mereka ini akan
menyukarkan proses pemulihan. Justeru itu, mereka
ditinggalkan buat sementara waktu di luar parti.
6. Setelah kita memulihkan parti kita UMNO, daripada segi
semangat keahlian, pentadbiran dan perlembagaan serta di
sisi undang-undang, setelah kita mendapat sokongan daripada
sebahagian besar daripada ahli UMNO yang setia, setelah kita
mendapat pengiktirafan daripada orang Melayu umumnya dan
pengundi Melayu khasnya, seperti yang dibuktikan daripada
kejayaan kita dalam beberapa pilihanraya kecil, maka kita
telah membukakan pintu parti kita kepada semua bekas ahli
parti yang belum menyertai UMNO dan juga semua orang Melayu
lain. Kita tidak khuatir lagi dengan mereka ini sekarang
walaupun semangat UMNO dan semangat perpaduan mungkin belum
tertanam secukupnya dalam hati sanubari mereka.
7. Ahli yang setia, ahli yang bersemangat UMNO, ahli yang
percaya kepada perpaduan Melayu akan menjamin kekuatan dan
kejayaan UMNO. Kita percaya ahli yang setia dan bersemangat
ini jauh lebih ramai dan lebih berwibawa daripada yang
kurang bersemangat. Kita juga percaya mereka tidak akan
berani mengulangi sesuatu yang akan menyebabkan UMNO dihukum
tidak sah sekali lagi.
8. Undang-undang tubuh dan disiplin parti akan
dikuatkuasakan ke atas semua yang menjadi ahli UMNO. Kita
semua berada dalam UMNO kerana UMNO sahajalah yang mampu
memberi perlindungan dan kejayaan kepada orang Melayu dalam
negara yang berbilang kaum ini. UMNO sahajalah yang boleh
menstabil dan mententeramkan keadaan dalam negara kita
Malaysia. UMNO sahajalah yang mampu menjamin keutuhan
agama, bangsa dan negara, insya-Allah. Sejarah perjuangan
orang Melayu membuktikan kebolehan UMNO ini.
9. Perlembagaan UMNO semenjak dahulu lagi memang mempunyai
semua peruntukan untuk menyelesaikan sebarang masalah dan
pertikaian dalam parti. Kita sedar bahawa perlembagaan
parti tidak boleh mengatasi undang-undang negara. Memang
benar ahli boleh mendakwa parti dan orang tertentu termasuk
pemimpin-pemimpin di mahkamah. Tetapi, kita menjadi ahli
parti dengan rela hati. Kita menjadi ahli parti kerana kita
percaya kepada perjuangan parti. Kita menjadi ahli parti
kerana kita yakin bahawa cita-cita kita ahli UMNO, bahkan
cita-cita orang Melayu umumnya, boleh diperjuang dan
dijayakan melalui gabungan tenaga dalam parti UMNO.
10. Kemasukan kita dalam parti bermakna kita menerima
perlembagaan, tradisi dan cara-cara pentadbiran parti.
Walaupun perlembagaan parti tidak boleh mengatasi undang-
undang negara, tetapi apabila kita menyertai UMNO sebagai
ahli, kita tentulah sanggup meletakkan diri kita di bawah
perlembagaan parti. Ini bermakna bahawa kita mengutamakan
kepentingan parti dan perjuangannya yang ditentukan melalui
suara ramai.
11. Jika kita tidak bersetuju dengan suara ramai, maka
tindakan yang harus diambil ialah menarik diri kita keluar
daripada parti. Kita boleh menyertai parti lain
atau menubuhkan parti kita sendiri. Tetapi di mana juga
kita berada kita akan menghadapi masalah jika kita tidak
sanggup menerima suara ramai dan cara-cara pengurusan parti.
Pendek kata setiap orang yang menjadi ahli parti mestilah
meletakkan dirinya di bawah kepentingan parti.
12. Perbuatan menghancurkan parti kerana kita tidak
bersetuju dengan suara ramai, perbuatan membelakangkan
jentera parti dan mencari penyelesaian di luar daripada
parti, perbuatan menghalang perjalanan parti kerana kita
tidak mendapat sesuatu untuk diri sendiri -- semua ini
menunjukkan kita tidak faham selok-belok berparti dan konsep
suara ramai dalam parti yang demokratik.
13. Sebenarnya mengikut perlembagaan parti, tidak terdapat
wakil yang tidak sah di Perhimpunan Agung 1987.
Perlembagaan parti memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi
menentukan kesahihan wakil-wakil. Majlis Tertinggi telah
memberi peluang sebelum Perhimpunan Agung 1987 untuk semua
ahli UMNO membuat pengaduan tentang apa-apa masalah sebelum
perhimpunan agung diadakan, supaya semua aduan dapat
diputuskan mengikut peruntukan dalam perlembagaan parti.
14. Beberapa perkara telah dibangkitkan mengenai mesyuarat
di peringkat cawangan dan bahagian sebelum Perhimpunan Agung
1987. Ini telah dibincang dan diputuskan oleh Majlis
Tertinggi mengikut cara dan kuasa yang diberi kepadanya
oleh perlembagaan parti. Dalam sebuah parti yang
mempunyai lebih satu juta ahli dan 8,000 cawangan, adalah
amat sukar, bahkan tidak mungkin bagi Majlis Tertinggi
sendiri mengawasi setiap mesyuarat cawangan setiap kali
diadakan. Akan ada beberapa orang yang keahliannya tidak
sah yang menghadiri satu atau dua mesyuarat cawangan
daripada 8,000 cawangan. Dengan itu mesyuarat cawangan itu
menjadi tidak sah. Jika mesyuarat cawangan itu memilih
wakil ke mesyuarat bahagian, maka mesyuarat bahagian pula
menjadi tidak sah. Jika mesyuarat perwakilan bahagian itu
memilih wakil ke perhimpunan agung UMNO, maka perhimpunan
agung UMNO juga menjadi tidak sah.
15. Semuanya boleh jadi tidak sah termasuk parti juga
kerana hanya satu-dua orang antara lebih sejuta ahli atau
satu-dua orang yang mungkin pun bukan ahli UMNO, tetapi
menghadiri mesyuarat cawangan dengan sengaja, atau mungkin
dengan tujuan-tujuan tertentu. Mengikut undang-undang yang
ada, amat mudah bagi seseorang individu menidakkan hak
sebilangan besar rakyat yang lain. Apakah ini demokrasi?
Apakah erti suara ramai jika seorang dua boleh menidakkan
hak satu juta orang lain?
16. Jika tindakan seperti ini digunakan, maka tidak akan
wujud hak mereka yang ramai lagi. Siapa sahaja boleh
mengharamkan mana-mana organisasi, sepertimana juga siapa
sahaja boleh mendapat injunction atau perintah mahkamah
untuk mengganggu perjalanan mana-mana pertubuhan.
17. Kita tidak menyalahkan mahkamah kerana membuat
keputusan mengikut undang-undang. Memang rakyat, negara dan
kerajaan juga mahu hakim dan mahkamah berpegang kepada
undang-undang apabila memutuskan hukuman. Di zaman feudal,
raja-raja dan hakim-hakim menggunakan budi-bicara mereka
sendiri untuk memutuskan sesuatu kes dan mengenakan jenis
dan bentuk hukuman yang difikirkan sebagai amat sesuai
dengan jenayah yang dilakukan. Tetapi di zaman ini dan di
negara kita, bukan sahaja kerajaan dan rakyat harus patuh
kepada undang-undang, tetapi hakim juga harus patuh kepada
undang-undang. Oleh yang demikian jika sesuatu itu
menyalahi undang-undang maka hakim akan menghukum salah dan
mengenakan hukuman mengikut undang-undang.
18. Jika tafsiran yang dibuat oleh hakim tidak seperti yang
dikehendaki oleh rakyat, maka rakyat melalui wakil-wakil
mereka boleh meminda undang-undang melalui parlimen. Rakyat
tidak boleh membatalkan sesuatu hukuman yang sudah pun
dibuat oleh mahkamah mengikut undang-undang. Hanya mahkamah
sahaja yang boleh membatalkan hukuman mahkamah yang lebih
rendah daripadanya. Inilah proses undang-undang. Inilah
Rule of Law. Jika wakil-wakil rakyat boleh membatalkan
keputusan mahkamah, maka sesiapa pun tidak akan percaya lagi
kepada mahkamah.
19. Hari ini pintu UMNO terbuka luas untuk siapa saja
menjadi ahlinya. Mereka yang telah menyebabkan parti kita
diheret ke mahkamah pun sanggup kita terima. Mungkin
mereka sekali lagi akan membuat angkara yang sama, tetapi
kita tidak mahu sesiapa pun menuduh bahawa parti UMNO
tertutup kepada orang Melayu tertentu. UMNO terbuka kepada
semua orang Melayu, tetapi mana-mana parti politik juga
memerlukan setiap ahli mereka menerima prinsip dan matlamat
parti serta juga perlembagaan dan pentadbirannya. Memang
ada peraturan-peraturan untuk meminda perlembagaan dan
mengubah corak pentadbiran, bahkan kadang-kadang untuk
menukar matlamat parti. Tetapi peraturan-peraturan ini
mestilah dipatuhi sekiranya hendak membuat sebarang pindaan.
20. Apabila kita menjadi ahli sesuatu pertubuhan bermakna
kita membuat satu perjanjian, satu kontrak untuk
mengutamakan syarat-syarat keahlian kita dalam pertubuhan
itu. Jika kita bertindak di luar daripada syarat-syarat
perjanjian itu, maka kita mungkir janji dan orang yang
mungkir janji akan hilang kepercayaan orang lain. Justeru
itu setiap ahli UMNO mestilah patuh kepada syarat-syarat
kontrak sebagai ahli.
TRADISI TIDAK BERTANDING
________________________
Saudara-saudari sekalian,
21. Sebagai sebahagian daripada proses pemulihan parti,
kita telah mengadakan mesyuarat-mesyuarat cawangan dan
bahagian bertujuan antara lain memilih pemimpin-pemimpin
cawangan dan bahagian. Majlis Tertinggi telah
menasihatkan supaya pertandingan tidak diadakan untuk
jawatan-jawatan tertentu.
22. Memanglah benar perlembagaan parti memberi hak untuk
memilih pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan dan
bahagian. Namun demikian, Majlis Tertinggi yang
bertanggungjawab terhadap keutuhan dan kewibawaan parti
perlu memberi nasihat supaya parti berada dalam keadaan
sihat dan teguh.
23. Kita mendapati bahawa pemilihan pemimpin di masa-masa
yang lampau ini sering membawa kepada perpecahan. Sesiapa
juga yang dipilih dalam pertandingan, beliau tidak mungkin
mendapat sokongan daripada semua pihak. Yang tidak
menyokongnya akan kecewa dan mungkin mengasingkan diri.
Ini akan menyebabkan kepimpinan orang yang terpilih itu
menjadi lemah kerana terdapat ahli yang tidak sanggup
merapatkan barisan di belakangnya selepas pemilihan.
24. Dengan itu, pemimpin yang terpilih akan kurang berkesan
dan tidak akan berjaya memimpin parti di peringkat bahagian
untuk menentukan kemenangan calon Barisan Nasional dalam
pilihanraya. Apa gunanya menang menjadi pemimpin bahagian
tetapi kemudiannya kerusi dewan undangan negeri atau
parlimen bagi kawasan berkenaan jatuh ke tangan pihak lawan?
Lebih buruk lagi jika di kebanyakan tempat berlaku perebutan
kepimpinan, parti akan kalah dalam pilihanraya umum dan
tidak dapat membentuk kerajaan. Kita hendaklah ingat bahawa
kemenangan dalam parti tidak bermakna, jika parti kita
tidak mendapat kemenangan dalam pilihanraya umum.
25. Ada yang berpendapat bahawa calon-calon dalam
pilihanraya akan datang ialah ketua-ketua bahagian. Juga
ada yang berpendapat bahawa jika ketua bahagian tidak
dipilih sebagai calon, maka ianya tidak akan menyokong calon
lain yang dicalonkan. Fikiran seumpama ini adalah cetek
kerana ketua bahagian yang dipilih pun mungkin tidak akan
mendapat sokongan daripada semua ahli UMNO kerana ada yang
kecewa dengan pemilihannya. Mungkin mereka ini tidak ramai
tetapi mencukupi untuk mengurangkan undi sehingga kalah.
26. Sebab itulah Majlis Tertinggi telah menasihatkan supaya
tidak ada pertandingan pada kali ini. Selepas pilihanraya,
dan apabila pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian
diadakan sekali lagi, pertandingan bolehlah diadakan semula.
Pada ketika itu pilihanraya tidak akan tergugat, dan Insya
Allah kita akan dapat memulihkan perpaduan dalam parti
sebelum pilihanraya yang berikutnya.
27. Saya mengucapkan terima kasih kepada bahagian-bahagian
yang telah menerima nasihat Majlis Tertinggi, terutama
calon-calon yang telah menarik diri daripada pertandingan
kerana mahu menentukan bahagian dan parti tidak berpecah dan
menjadi lemah. Kematangan UMNO dalam bidang politik
terbukti sekali lagi.
28. Sekarang amatlah penting bagi kita semua menghentikan
ugutan untuk tidak menyokong calon parti jika kita tidak
dipilih sebagai calon. Kemenangan bergantung kepada semua
pihak, bukan kepada satu kumpulan sahaja. Parti mestilah
bebas memilih calon walaupun amalan payung terjun tidak
popular. Sebagai seorang daripada anggota payung terjun
dalam UMNO, saya sedar bahawa saya tidak akan berada di
tempat ini kalau saya tidak dibenarkan terjun ke kawasan
Kubang Pasu selepas kawasan terjun lama saya penuh dengan
'pengganas'. Namun amalan calon payung terjun tidak harus
diamalkan terlalu kerap. Orang tempatan mesti diberi
peluang.
29. Kita harus ingat bahawa tujuan pilihanraya diadakan
ialah untuk membentuk kerajaan. Kerajaan dibentuk untuk
kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan kerajaan atau
orang tertentu. Tetapi jika rakyat tersalah pilih, maka
mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya
asyik untuk berkuasa sahaja.
30. Kata pepatah barat, "A people deserves the Government
it gets" atau lebih-kurang maksudnya "Sesuatu bangsa
mendapat Kerajaan yang padan bagi bangsa itu". Jika kita
hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang
baik, tetapi jika kita sengaja memilih kerajaan yang buruk,
kita akan mendapat Kerajaan yang buruk. Dalam sistem
demokrasi terutamanya, rakyat tidak boleh menyalahkan
sesiapa jika pemerintahan negara buruk kerana ia adalah
pilihan rakyat sendiri.
31. Parti UMNO berjaya menubuhkan kerajaan yang memerintah
secara adil dan terbukti boleh membawa kebahagiaan kepada
rakyat. UMNO ditubuhkan bukan kerana kita ingin menentukan
sipolan-sipolan menjadi Perdana Menteri atau ingin memberi
orang tertentu pangkat dan pendapatan, atau menjadi calon.
Oleh itu janganlah sesiapa cuba mencari kesempatan daripada
UMNO. Kita tidak harus berhempas-pulas untuk mendapatkan
tempat dalam UMNO. UMNO akan memberi tempat kepada mereka
yang UMNO kehendaki mendapat tempat. UMNO berbuat demikian
supaya mereka dapat menjayakan cita-cita UMNO, orang
Melayu dan Malaysia.
32. Syukur alhamdulillah, keadaan dalam negara kita,
kemajuan yang dicapai, ketenteraman yang kita nikmati --
semuanya menunjukkan rakyat berhati-hati dalam pemilihan
kerajaan. Rakyat terus memberi kepercayaan mereka kepada
UMNO dari masa Malayan Union hinggalah sekarang. Justeru
itu UMNO, ahli-ahlinya dan pemimpin-pemimpinnya mestilah
bertanggungjawab dan membuktikan bahawa kepercayaan rakyat
kena pada tempatnya.
PERTUMBUHAN PENDUDUK DAN EKONOMI
________________________________
Saudara-saudari sekalian,
33. Malaysia bukanlah sebuah negara yang mudah ditadbir.
Selain daripada mempunyai penduduk berbilang kaum, selain
daripada dipisahkan dengan lautan yang luas, selain daripada
mengamalkan sistem demokrasi yang sofistikated, kita
sekarang terpaksa menumpukan perhatian kepada kesan-kesan
pertumbuhan penduduk yang pesat.
34. Mungkin ada yang akan ketawa besar kerana matlamat
kerajaan untuk meningkatkan penduduk sehingga menjadi 70
juta nampaknya berjaya terlalu awal. Tetapi saya ingin
menjelaskan sekali lagi bahawa matlamat kita ialah 70 juta
pada tahun 2100 iaitu 115 tahun daripada tarikh matlamat itu
diumumkan. Sebenarnya berdasarkan perangkaan tahun 1985,
kita perlu kurangkan kelahiran anak untuk mencapai 70 juta
penduduk pada tahun 2100. Mengikut perkiraan yang kita buat
angka 70 juta akan tercapai pada tahun 2030, iaitu 70 tahun
lebih awal daripada tarikh yang kita anggarkan.
35. Sekarang ini jelas bahawa jika kita tidak berjaga-jaga,
penduduk negara ini akan bertambah menjadi 70 juta lebih
awal lagi. Peningkatan bilangan penduduk sekarang adalah
lebih daripada 340,000 setahun atau 1 juta setiap tiga
tahun. Ini bermakna kerajaan perlu meningkatkan
perbelanjaan sekurang-kurangnya sebanyak 2% hingga 3%
setahun untuk pembangunan infrastruktur dan keperluan-
keperluan lain, selain daripada tambahan perbelanjaan biasa
untuk pentadbiran, gaji dan pencen. Masalahnya ialah
kerajaan tidak akan dapat membekalkan wang yang cukup
melainkan ekonomi negara berkembang dengan pesat. Untuk
menentukan ekonomi negara terus berkembang kita perlu kepada
beberapa syarat dan fakta.
36. Syarat pertama yang penting ialah kestabilan politik.
Tetapi ada sahaja pihak-pihak tertentu yang ingin menggugat
kestabilan politik supaya ekonomi negara terjejas dan rakyat
kurang yakin kepada kerajaan. Memandangkan akan kesan buruk
ketidakstabilan politik, kerajaan tidak akan teragak-agak
mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba membangkitkan
isu-isu kaum dan isu-isu lain yang sensitif.
37. Rakyat pula perlu faham bahawa demi kepentingan rakyat
sendiri, mereka janganlah memberi galakan kepada pihak-pihak
yang suka menggunakan isu sensitif untuk kepentingan politik
mereka. Negara telah merdeka selama 32 tahun dan tidak
siapa pun dapat menafikan bahawa rakyat sudah menjadi lebih
makmur. Tidak banyak negara yang dahulunya dijajah setelah
merdeka berjaya membangun dengan lebih pesat lagi daripada
zaman penjajahan. Banyak negara menjadi lebih mundur,
terutamanya kerana tidak ada kestabilan politik dan kerana
tidak ada demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat bagi
membolehkan mereka menggantikan kerajaan yang tidak berusaha
untuk kesejahteraan mereka.
38. Bagi sesebuah negara yang membangun, demokrasi yang
diamalkan tidak perlu terlalu liberal sehingga kerajaan
menjadi kaku dan hanya ingin menjadi popular. Salah satu
daripada kelemahan demokrasi ialah tuntutan terhadap
kerajaan adalah berlebih-lebihan. Jika kerajaan lemah dan
cuba melayan semua tuntutan kerana ingin kekal sebagai
kerajaan, negara akan menjadi bankrap. Unsur ini terdapat
pada satu ketika dahulu apabila kerajaan berhutang terlalu
banyak untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan kerana
pihak tertentu ingin menjadi popular. Jika amalan ini
diteruskan, Malaysia mungkin termasuk dalam senarai
negara-negara yang hampir bankrap. Sebab itu semenjak
tahun 1984, kita telah mengurangkan perbelanjaan kita
walaupun kerajaan menjadi tidak begitu popular.
39. Syarat yang keduanya ialah peningkatan bilangan
penduduk memerlukan tambahan peluang-peluang pekerjaan
setiap tahun. Dengan bilangan 17 juta rakyat dan
pertumbuhan penduduk pada kadar lebih 2% kita memerlukan
340,000 peluang pekerjaan setiap tahun. Ini bukanlah suatu
perkara yang mudah diadakan. Tetapi jika rakyat kita
terkenal kerana rajin, tidak suka menimbulkan masalah,
insya-Allah, kita bukan sahaja akan dapat menarik pelaburan
dan mengadakan peluang-peluang pekerjaan yang banyak, tetapi
pendapatan pekerja juga akan meningkat. Majikan tidak
khuatir akan kenaikan gaji asalkan produktiviti meningkat
dan dengan itu keuntungan juga meningkat bersama. Mereka
yang suka menimbulkan suasana perusahaan yang menakutkan
para pelabur bukanlah kawan para pekerja, jauh sekali kepada
mereka yang menganggur. Mereka yang mudah mengugut akan
merosakkan perkhidmatan dan menyusahkan rakyat jika tuntutan
mereka tidak dilayan, mereka ini sebenarnya melambatkan
proses peningkatan pendapatan rakyat akhirnya. Amatlah
tidak adil kita memburukkan nasib orang lain untuk
memperbaiki pendapatan kita. Ketika kita menganggur dahulu
kita berdoa untuk mendapatkan pekerjaan. Patutkah setelah
kita mendapat pekerjaan kita membuat perkara yang menghalang
orang lain daripada mendapat kerja?
40. Sebenarnya kerajaanlah yang menjadi kawan kepada para
pekerja kerana kerajaanlah yang berusaha bersungguh-sungguh
untuk mengadakan peluang-peluang pekerjaan di dalam dan di
luar kerajaan. Insentif yang diberikan kepada para pelabur
adalah bertujuan menambah peluang pekerjaan dan membantu
gaji pekerja. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa
jika tidak ada pelaburan maka tidak akan ada peluang
pekerjaan. Bagaimanapun kerajaan tidak boleh mengadakan
peluang pekerjaan hanya untuk menampung pengangguran.
41. Dengan iklim perusahaan dipelihara dengan baik dan
dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, kerajaan akan
mendapat cukai untuk menyediakan berbagai-bagai kemudahan
untuk rakyat. Pertumbuhan penduduk biasanya menyebabkan
taraf hidup menurun. Tetapi, jika rakyat bekerjasama rapat
dengan kerajaan, insya-Allah taraf hidup rakyat tidak akan
menurun, bahkan akan meningkat.
UMNO -- TERAS POLITIK NEGARA
____________________________
Saudara-saudari sekalian,
42. Sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab,
UMNO mesti memimpin rakyat ke arah kebahagiaan. UMNO mesti
kekal sebagai teras kepada Barisan Nasional, kepada kerajaan
dan kepada negara. Renunglah ke hadapan dan jadikan parti
kita sebagai contoh kepada rakyat. Janganlah kita kelirukan
rakyat dengan bercakaran sesama sendiri, berebut-rebut
untuk mendapat tempat dan menggunakan wang untuk kepentingan
diri. Sebenarnya jika kita berebut-rebut, yang dikendung
berciciran dan yang dikejar tidak dapat. Sia-sia sahajalah
segala usaha kita.
43. Rakyat juga harus bertanggungjawab. Jika rakyat mudah
dibeli dengan wang, jika rakyat menganggap demokrasi sebagai
alat untuk membuat tuntutan yang berlebihan, maka akhirnya
rakyat akan mendapat kerajaan yang tidak bertanggungjawab
dan yang akan berbelanja secara berlebih-lebihan untuk
menjadi popular. Kerajaan yang hanya ingin popular akan
bankrapkan negara.
DASAR EKONOMI BARU
__________________
Saudara-saudari sekalian,
44. Kerajaan telah menubuhkan sebuah majlis perundingan
untuk membincangkan dasar ekonomi selepas 1990. Kita belum
mengetahui apakah yang akan disyorkan oleh Majlis
Perundingan Ekonomi Negara atau MPEN. Wakil kita dalam MPEN
bertanggungjawab untuk menentukan perseimbangan tercapai
dalam pembangunan ekonomi negara selepas 1990.
45. Selama 19 tahun kita melaksanakan Dasar Ekonomi Baru,
kita dapat mengenalpasti beberapa kelemahan yang menyebabkan
orang Melayu dan bumiputera yang lain tidak mencapai
kejayaan yang diharapkan. Penguasaan 20% daripada
punca ekonomi moden untuk bumiputera sekarang ini adalah
hasil usaha kerajaan. Jika pada tahun 1991 kita menyerahkan
kesemua aset ini kepada individu atau syarikat bumiputera,
kita khuatir secara langsung dan tidak langsung, aset ini
akan berpindah ke tangan bukan bumiputera. Dengan itu kita
tidak akan mencapai apa-apa kejayaan yang boleh ditunjukkan
sebagai hasil 20 tahun Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan.
46. Sementara kita boleh menyalahkan pihak lain kerana
pencapaian kita yang rendah dalam bidang ekonomi, kita juga
harus memeriksa diri kita. Apakah kita tidak bersalah
langsung?
47. Orang Melayu tidak suka kelemahan mereka didedahkan,
tetapi hakikatnya ialah semua orang sering menyindir tentang
kelemahan kita ini, bahkan mereka memperalatkan kelemahan
ini sehingga menjejaskan Dasar Ekonomi Baru. Oleh itu
eloklah jika kita mengenalpasti kelemahan kita dan mengambil
tindakan yang positif untuk mengatasinya.
48. Saya tidak berhajat menghuraikan semua kelemahan-
kelemahan ini. Memadailah jika saya sebutkan bahawa
antaranya ialah sikap-sikap dan nilai-nilai yang kita pegang
dalam pengurusan kegiatan ekonomi kita. Selagi sikap-sikap
dan nilai-nilai kita tidak sesuai dengan pengurusan yang
baik, selama itulah kita akan gagal.
49. Justeru itu, walau apa pun bentuk dasar ekonomi selepas
1990, tumpuan mestilah diberikan kepada pembentukan sikap
dan pengamalan nilai-nilai yang sesuai dengan pengurusan
yang baik. Kita tidak lagi akan melantik pengurus
bumiputera hanya kerana ia seorang bumiputera. Sebaliknya
kita akan menentukan kebolehan dan keupayaannya terlebih
dahulu. Kita akan memberi latihan amali walaupun terpaksa
meletakkannya di bawah pengurusan bukan bumiputera. Kita
akan membuat penilaian yang teliti tentang kebolehannya,
bukan sahaja dari segi pengetahuan tetapi lebih penting lagi
daripada segi sikap dan nilai-nilai yang diamalnya. Mungkin
proses ini akan memakan masa yang lama. Kita harus
bersabar. Orang asing yang menjadi pengurus dalam
perniagaan dan perusahaan mereka, biasanya sudah berumur
sebelum diberi tanggungjawab yang berat. Terlalu ramai
pengurus Melayu dan bumiputera yang muda dan yang tidak
mencukupi pengalaman memegang jawatan-jawatan yang amat
berat.
50. Yang penting bukan pencapaian matlamat Dasar Ekonomi
Baru sebanyak 30% tetapi sama ada apa yang kita perolehi
akan kekal dalam tangan bumiputera dan berpotensi untuk
meningkat. Mereka yang melihat Dasar Ekonomi Baru sebagai
peluang untuk kaya hari ini, walaupun akan bankrap esok
hari, bukanlah orang yang boleh menjayakan hasrat dan
matlamat Dasar Ekonomi Baru.
51. Jalan yang akan kita lalui mempunyai banyak ranjau.
Insya-Allah kita akan melaluinya dengan mata yang
terbuka dan perancangan yang kemas. Kita akan menambah
usaha kita dan berserah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Kita adalah hamba Allah. Menyalahkan takdir adalah sama
dengan menyalahkan Tuhan, jika kita tidak berusaha
memperbaiki diri kita dan tidak berusaha sedaya upaya.
Tambatkan unta itu dan berserahlah kepada Allah.
MARUAH BANGSA DAN NEGARA
________________________
Saudara-saudari sekalian,
52. Cita-cita kita untuk meningkatkan maruah bangsa tidak
akan tercapai dengan memaksa orang lain menghormati kita.
Maruah bangsa adalah hasil daripada pencapaian bangsa itu.
Bangsa yang bersusila, bersopan-santun, berhemah tinggi,
berbudi bahasa, rajin dan terkenal kerana mengamalkan nilai-
nilai yang mulia dengan sendirinya akan bermaruah tinggi.
Kejayaan sesuatu bangsa amat mustajab dalam menentukan
bangsa itu dihormati.
53. Mungkin kita berpendapat amat sukar bagi sesuatu bangsa
mempunyai semua nilai yang ideal tadi. Tetapi tanpa
memiliki semua pun akan membawa sedikit sebanyak kejayaan
yang diidami. Amatlah negatif kalau awal-awal lagi kita
menolak kemungkinan kita memiliki nilai-nilai yang disebut
itu tanpa mencuba.
54. Dalam sejarah manusia, berjaya atau tidaknya sesuatu
bangsa itu bergantung kepada nilai-nilai yang dipegang dan
yang diamalkan oleh bangsa itu.
55. Orang Melayu boleh memilih sama ada untuk mencapai
kejayaan atau kehinaan. Dalam bidang politik apabila orang
Melayu bersatupadu, mereka berjaya menewaskan British.
Tetapi apabila mereka berpecah-belah mereka jatuh satu demi
satu. Demikian sejarah penjajahan negeri-negeri Melayu.
56. Perpaduan orang Melayu wujud kerana tekanan daripada
luar. Pada tahun 1946 orang Melayu tertekan dengan
rancangan British mengambil-alih negeri-negeri Melayu.
Dalam ketakutan, mereka bersatupadu dan menentang British.
Tanpa senjata, tanpa wang, tanpa cerdik-pandai yang ramai
mereka berjaya. Senjata mereka hanyalah perpaduan.
Semangat yang ada pada tahun 1946 ialah semangat perpaduan,
yang menyatupadukan bangsa tanpa mengira raja atau rakyat,
daerah atau keturunan.
57. Sekarang ini kita menganggap kemerdekaan dan kuasa
orang Melayu sebagai perkara biasa. Generasi muda
terutamanya tidak dapat menggambarkan keadaan ketika
dijajah. Demikian juga ketika kita dijajah, kita tidak
dapat memikirkan bahawa kemerdekaan boleh dicapai oleh orang
Melayu yang telah dijajah selama hampir 450 tahun. Oleh itu
tuntutan kemerdekaan yang diusahakan oleh Yang Teramat Mulia
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan satu inisiatif
yang luar biasa. Ramai yang berkata ini adalah angan-
angan besar Tunku Abdul Rahman yang akan tinggal sebagai
angan-angan sahaja. Tetapi hari ini kita tahu apa yang
dikatakan angan-angan itu sudah menjadi kenyataan.
58. Demikian juga kejayaan orang Melayu dalam bidang
ekonomi. Pencapaian mereka tanpa bergantung kepada kerajaan
bukanlah sesuatu yang mustahil. Kita boleh berjaya dan
berjaya dengan gilang-gemilang. Tetapi kita hendaklah
terlebih dahulu mengakui bahawa kita memerlukan pengorbanan,
kita perlu menukar sikap dan pegangan kita kepada nilai-
nilai tertentu, kita perlu menyokong tindakan yang baik
walaupun pedih, dan kita perlu menolak sogokan daripada
mana-mana pihak untuk keuntungan jangka pendek.
59. Tidak ada jalan yang mudah untuk mencapai matlamat yang
mulia. Kita perlu masa, yakni kita perlu bersabar, sambil
bertekun menghadapi segala rintangan dan masalah.
60. Kerajaan tahu dan kita semua juga tahu bagaimana orang
Melayu boleh berjaya, tetapi selalunya mereka yang
berkepentingan suka menggunakan politik untuk menggagalkan
usaha kerajaan. Usaha mereka tidak akan berjaya jika rakyat
tidak melayan orang seperti ini. Jika orang Melayu tidak
mahu mengamalkan cara yang mereka tahu boleh membawa
kejayaan, akhirnya kita akan menderita.
MALAYSIA -- NEGARA MEMBANGUN
____________________________
Saudara-saudari sekalian,
61. Negara kita belum lagi menjadi negara yang maju dan
kaya. Tetapi ramai yang berlagak seolah-olah negara ini
sudah pun menjadi negara maju seperti negara-negara di
Eropah dan Amerika Utara. Ramai yang mendesak supaya
kerajaan membekalkan kemudahan-kemudahan yang bermutu
tinggi. Kita hendakkan jalanraya, elektrik, air, sekolah,
universiti, hospital, pelabuhan, lapangan terbang dan semua
kemudahan lain yang terdapat di negara maju. Kita mahu
meniru cara negara-negara maju. Kita hendak supaya bandar-
bandar kita mempunyai taman yang besar dan
indah, supaya bangunan-bangunan lama dipelihara,
bangunan-bangunan baru tidak terlalu padat dan kawasan
lapang dan luas. Kita mahu hutan kita dipelihara, ampangan
hidro-elektrik tidak dibina, industri kita lebih bersih
daripada bersih.
62. Kita mahu rumah murah yang besar, mempunyai tiga bilik
tidur lengkap dengan bilik mandi, satu standard yang lebih
tinggi daripada rumah-rumah yang setaraf di negara-negara
maju. Kita tidak suka rumah bertingkat-tingkat. Sebaliknya
di negara-negara maju kebanyakan pekerja tinggal dalam
sebuah bilik yang menjadi tempat tidur di waktu malam.
Mereka tidak memiliki tempat tinggal sendiri, hanya sekadar
menyewa. Apabila pendapatan sudah meningkat dan mereka
berkahwin, barulah mereka berpindah ke tempat tinggal dua
bilik. Peratusan rakyat negara maju yang memiliki rumah
sendiri amatlah rendah berbanding dengan pendapatan tinggi
yang mereka perolehi.
63. Tetapi di Malaysia kita mengeluh jika rumah murah tidak
ada tiga bilik tidur, tidak ada halaman, tidak ada pintu
belakang, tidak ada lif yang cukup besar untuk mayat dan
lain-lain lagi. Sebenarnya dengan harga $25,000 kita tidak
mungkin mampu membeli sebuah bilik pun di kebanyakan negara-
negara maju dan juga negara-negara tidak maju.
64. Semuanya adalah soal sikap dan nilai. Jika kita
sanggup bersusah sedikit, jika kita tidak selalu menuntut
berlebih-lebihan, kita tidak akan berasa tertekan dan
terdesak. Kita akan mudah bersyukur seperti yang dituntut
oleh agama kita. Kita tidak akan mudah dihasut dan
bertindak tanpa memikir dengan lebih jauh dan mendalam.
Kita tenang dan akan sanggup menghadapi cabaran hidup dengan
jiwa yang teguh. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berjanji,
jika kita bersyukur kita akan mendapat lebih banyak nikmat
lagi.
65. Sistem demokrasi kita sekarang memberi hak kepada kita
mendesak kerajaan yang kita pilih. Tetapi apabila desakan
menjadi ugutan, cara ini tidak demokratik lagi. Apabila
kita menyalah-gunakan hak demokrasi kita, maka kita tidak
akan mendapat nikmat daripada demokrasi. Demokrasi boleh
membawa kebahagiaan jika kita tahu menggunakan
demokrasi dengan baik. Oleh itu berhati-hatilah menggunakan
hak demokrasi. Janganlah kita menggunakan demokrasi untuk
menekan pihak berkuasa supaya memberi apa yang tidak mampu
diberikan.
GEJALA JANJI-JANJI KOSONG
_________________________
Saudara-saudari sekalian,
66. Sebelum bulan April 1991, kita akan menghadapi
pilihanraya. Menjelang pilihanraya kita akan digoda dan
dinoda oleh orang tertentu. Mereka akan menjolok perasaan
kita sehingga kita akan berasa marah dan tidak lagi dapat
menimbang sesuatu dengan fikiran yang waras. Ingatlah apa
yang telah terjadi kepada kita apabila kita disogok
dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas. Pepatah
Inggeris berkata, "Beware of Greeks bearing gifts" atau
"Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah".
Wilayah Troy telah jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka
menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.
Demikian juga dengan orang yang akan datang ketika
pilihanraya untuk membuat janji-janji yang memikat nafsu
kita. Mereka sanggup membuat apa juga janji kerana mereka
tahu mereka tidak akan dapat menubuhkan kerajaan yang akan
bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu. Mereka
berharap akan menang di beberapa kawasan untuk kepentingan
diri mereka sahaja.
67. Apabila parti kita UMNO dihukum tidak sah oleh
mahkamah, kita terpaksa menghadapi bermacam-macam kesulitan
dan masalah. Kita bukan sahaja perlu mendaftarkan semula
parti kita, tetapi kita juga terpaksa menyusun semula parti
supaya ia dapat bergerak seperti dahulu. Ahli-ahli Majlis
Tertinggi yang asal telah berusaha menubuhkan semula badan
perhubungan negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.
Ahli-ahli lama terpaksa dicari untuk menghidupkan semula
cawangan-cawangan yang menjadi tunjang politik parti di
kampung-kampung.
68. Untuk mengelak daripada tindakan-tindakan yang boleh
mengharamkan parti sekali lagi, pendaftaran ahli terpaksa
dibuat di peringkat pusat dengan menggunakan komputer.
Tanggungjawab yang lebih berat terpaksa dipikul oleh ibu
pejabat parti. Parti bukan sahaja memerlukan ahli,
tetapi lebih penting lagi ialah simpati dan sokongan yang
diberikan kepada parti oleh orang ramai. Kita bernasib baik
kerana telah ada beberapa pilihanraya kecil untuk menguji
sokongan rakyat berbilang kaum kepada parti kita.
Alhamdulillah, daripada lapan pilihanraya kecil, enam
membuktikan pengiktirafan dan sokongan rakyat kepada parti
kita. Yang dua lagi pula tidak menunjukkan bahawa terdapat
sokongan yang bermakna daripada orang Melayu kepada pihak
lain yang mendakwa mereka mewarisi UMNO.
69. Malangnya masalah kita tidak selesai hanya dengan
kejayaan kita mendapat pengiktirafan majoriti ahli UMNO dan
orang Melayu serta kaum-kaum lain, bahawa parti kita adalah
penyambung dan pewaris kepada UMNO yang telah dihukum
tidak sah oleh mahkamah. Masalah yang belum dapat kita
atasi ialah pengambilan balik harta dan pentadbiran harta
UMNO daripada Pemegang Harta. Semua harta dan saham serta
wang tunai UMNO berada dengan Jabatan Pemegang Harta. Kita
tidak boleh sentuh walau satu sen pun. Kita tidak boleh
menggunakan bangunan kita sendiri tanpa membayar sewa.
Walaupun hutang kita juga diambil alih, tetapi harta yang
kita sudah bayar sepenuhnya pun bukan kita punya. Pusat
Dagangan Dunia Putra dengan Dewan Merdeka di mana kita
berada ini pun bukan milik kita lagi.
70. Masalah mendapat balik harta kita ini amat sukar
diusahakan kerana bilangan keahlian UMNO dahulu yang sering
kita sebut sebagai 1.4 juta sukar dibuktikan. Walaupun
kita tahu daripada 1.3 juta ahli UMNO sekarang, lebih
900,000 adalah ahli lama, tetapi bukti keahlian 900,000 ini
sukar didapati untuk diterima oleh mahkamah.
UMNO PARTI KITA
_______________
Saudara-saudari sekalian,
71. Beban yang kita terpaksa pikul kerana orang yang
mengheret kita ke mahkamah amatlah berat. Sepatutnya kita
tidak memaafkan mereka. Tetapi kita sanggup membendung
perasaan kita. Walaupun berkali-kali kita dikecam dan
berbagai-bagai tuduhan dibuat, kita bersabar. Yang utama
bagi kita ialah perpaduan semula orang Melayu dalam
UMNO. Justeru itu kita telah membuka dengan seluas-luasnya
pintu UMNO. Kita terima semua mereka yang ingin menyertai
pertubuhan kita dengan tidak mengambilkira latarbelakang dan
peranan mereka dalam menyeret UMNO ke mahkamah. Ramai
daripada mereka yang dahulu tidak bersetuju dengan UMNO di
bawah kepimpinannya sekarang, telah kita terima dengan hati
terbuka dan kita akan terus menerima dan berusaha supaya
mereka merujuk semula kepada UMNO.
72. Baru-baru ini kita terperanjat dengan kenyataan yang
dikatakan dibuat oleh Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia,
Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman. Walaupun pada
mulanya ramai pemimpin dan ahli UMNO berasa amat marah
tetapi kita berjaya membendung rasa kecil hati kita.
Sebaliknya kita bertenang dan mengambil jalan yang lebih
matang iaitu dengan cara berbincang dari hati ke hati dengan
Yang Teramat Mulia Tunku sendiri.
73. Pemuda yang biasanya lekas marah telah mengambil
langkah pertama di bawah pimpinan Ketua Pemuda, Yang
Berhormat Dato Najib Tun Razak. Mereka berjaya bertemu
dengan Yang Teramat Mulia Tunku dan berbincang dengan beliau
dalam suasana muhibah. Walaupun perjumpaan itu tidak dapat
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh UMNO dan orang
Melayu, ia berjaya meneroka satu pendekatan yang lebih
waras. Pemuda juga berjaya menjelaskan pendirian Pemuda dan
UMNO dan Tunku pula dapat menyampaikan niat dan cita-
cita beliau kepada Pemuda, berhubung dengan perpaduan orang
Melayu dan peranan yang harus dimainkan oleh UMNO.
74. Pihak Majlis Tertinggi telah mendengar laporan Ketua
Pemuda dan bersetuju supaya Wanita UMNO juga turut berjumpa
dengan Yang Teramat Mulia Tunku. Seperti mana kita semua
maklum, perjumpaan Wanita dengan Tunku juga diadakan dalam
suasana muhibah. Dalam perjumpaan itu Yang Teramat Mulia
Tunku telah menyatakan kesanggupan beliau menghadiri
Perayaan Wanita UMNO pada 15hb November dan juga untuk
menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini.
75. Pada 11hb. November pula, saya telah diterima bertemu
Yang Teramat Mulia Tunku, yang saya hormati sebagai bekas
Presiden UMNO, sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia yang
pertama, sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia. Sudah
tentu saya menghormati Tunku sebagai orang yang lebih tua
daripada saya, kerana ini adalah adat bangsa Melayu, lebih-
lebih lagi Tunku adalah daripada keluarga Di-Raja negeri
saya.
76. Saya berpeluang mendengar pandangan Tunku berkenaan
dengan perpaduan orang Melayu dan berkenaan kedudukan dan
hak kaum-kaum di Malaysia. Saya juga berpeluang menjelaskan
sedikit-sebanyak berkenaan dengan kedudukan UMNO sekarang
dan bagaimana Parlimen tidak berkuasa membatalkan hukuman
yang telah dibuat oleh mahkamah.
77. Pertemuan yang diadakan itu membuka peluang untuk
perbincangan-perbincangan di masa hadapan dalam usaha
mententeramkan lagi keadaan politik di Malaysia, khususnya
di kalangan orang Melayu. Saya yakin bahawa Yang Teramat
Mulia Tunku dapat memainkan peranan sebagai orang tengah
yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, tetapi hanya
kepada keseluruhan orang Melayu dan negara Malaysia. Insya-
Allah perjuangan UMNO untuk menyatupadukan orang Melayu akan
berhasil dengan pertolongan Bapa Kemerdekaan dan Bapa
Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
MASA HADAPAN YANG CERAH
_______________________
Saudara-saudari sekalian,
78. Malaysia mempunyai masa hadapan yang cerah. Kita telah
membuktikan kemampuan kita mentadbir dan membangunkan negara
kita ini. Kita mempunyai rancangan yang teratur yang
memberi tekanan kepada semua aspek pembangunan; rohani dan
jasmani, dunia dan akhirat. Kita yakin kita mampu
melaksanakan rancangan kita dengan sempurna dan berkesan.
Kita bukan komunis, atau sosialis atau kapitalis. Kita
tidak ekstrim; yang jernih kita terima, yang keruh kita
buang. Kita tidak terkongkong dengan apa-apa ideologi.
Kita mengakui kelemahan yang ada pada kita dan kita cuba
mengatasi kelemahan ini. Yang kita hendak ialah supaya
semua rakyat Malaysia hidup bahagia, terpelihara daripada
segala mala-petaka ciptaan manusia dan dihormati oleh dunia.
79. Rancangan-rancangan kerajaan dan pengurusannya telah
membuktikan kemampuan kita mengatasi tekanan kemelesetan
ekonomi dunia dan membawa negara ke era kemajuan sekali
lagi. Kita yakin kita dapat, insya-Allah, meneruskan
rancangan kita untuk menjadikan negara kita sebuah negara
yang maju dengan penduduk yang berhemah tinggi dan menikmati
kehidupan yang sempurna.
80. Kita yakin keadaan tidak seimbang antara kaum di
Malaysia akan dapat kita atasi sedikit demi sedikit
tanpa menjejaskan pembangunan negara. Tetapi semuanya
terpulang kepada rakyat. Dalam negara yang tidak demokratik
sekalipun kemajuan negara banyak bergantung kepada sikap
rakyat. Inikan pula negara kita yang demokratik. Rakyat
boleh menentukan stabil atau tidak stabil, maju atau tidak
majunya negara ini.
81. Kerajaan dan pemimpin parti boleh memberi panduan dan
merancang. Kerajaan hanya boleh berusaha. Tetapi akhirnya
rakyat yang akan menentukan nasib mereka dan nasib negara.
82. Dunia sekarang mengiktiraf dan menerima kemampuan
Malaysia mengadakan pemerintahan yang berkesan dan mampu
mengatasi masalah kemelesetan ekonomi dan pergolakan
politik. Dunia tidak lagi memandang rendah terhadap
Malaysia. Pendek kata, usaha kita untuk mempertingkatkan
maruah agama, bangsa dan negara sudah mula berhasil.
NILAI-NILAI ISLAM
_________________
Saudara-saudari sekalian,
83. Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Agama Islam
diterima sebagai agama rasmi negara, tetapi agama-agama lain
bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya.
84. Agama Islam memberi kelonggaran dalam berbagai-bagai
perkara dan mengambilkira keadaan semasa. Dalam
pentadbiran, yang penting ialah keselamatan dan
kesempurnaan masyarakat. Inilah yang dilakukan oleh
kerajaan.
85. Di Malaysia pentadbiran Kerajaan tidak bertentangan
dengan lunas-lunas Islam dan Kerajaan mengambilkira
keadaan semasa, termasuklah keadaan di mana ramai daripada
rakyat negara ini bukan beragama Islam. Perhubungan antara
orang Islam dengan bukan Islam di negara ini adalah baik dan
keadaan ini mestilah dikekalkan. Alhamdulillah, Malaysia
terkenal sebagai sebuah negara Islam di mana rakyat
majmuknya hidup dalam keadaan aman dan damai, dan
pembangunan negara berjalan dengan baik. Kita tidak boleh
berbangga dengan keIslaman negara jika bukan sahaja
pembangunan tidak ada tetapi rusuhan dan peperangan juga
berlaku.
86. Dalam usaha kita mengembangkan syiar Islam, kita akan
sentiasa bersikap liberal dan toleran dan seperti mana yang
dikehendaki oleh agama Islam tidak akan menggunakan sebarang
paksaan. Antara usaha-usaha yang kita laksanakan ialah
penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan kehidupan
harian kita. Insya-Allah, dengan kejujuran dan keikhlasan,
usaha-usaha kita ini akan memperolehi kejayaan.
PENUTUP
_______
Saudara-saudari sekalian,
87. Hari ini kita boleh berbangga dengan negara kita
Malaysia. Apabila kita melihat bendera Malaysia yang
tersergam indah berkibar di atas tiang yang tinggi
mencakar langit, satu perasaan datang kepada kita, perasaan
bersyukur bercampur bangga. Kita tidak lagi rasa terhina
kerana kemunduran kita. Ini bendera kita. Ini ibukota
kita. Ini negara kita dan kita berdiri megah dalam
masyarakat dunia. Insya-Allah, dengan perpaduan dan
kematangan kita, akan kita majukan lagi negara yang tercinta
ini.
88. Marilah kita jayakan Perhimpunan Agung kita ini.
Marilah kita kukuhkan lagi semangat dan tekad kita dalam
menghadapi segala cabaran dan rintangan demi agama, bangsa
dan negara. Marilah kita sama-sama berdoa agar perjuangan
murni UMNO direstui Allah Subhanahu wa Ta'ala.
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM
WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
|