Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SHAH ALAM, SELANGOR
Tarikh/Date : 23/11/89
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN MATSUSHITA
TELEVISION CO.(M) SDN. BHD.
Yang Berbahagia
Tan Sri Nasruddin Bin Mohamed,
Pengerusi
Matsushita Television Co. Sdn. Bhd.;
Encik Akio Tanii,
Presiden Matsushita Electric Industrial
Co. Ltd.;
Encik Kensuke Yokoo,
Pengarah Urusan
Matsushita Television Sdn. Bhd.;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah
dan pihak pengurusan Matsushita Television Sdn. Bhd. kerana
menjemput saya merasmikan syarikat ini. Pembukaan rasmi
syarikat ini akan memberi sumbangan ke arah pembangunan
sektor perkilangan di Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Sektor perkilangan dijangka menyumbang satu perempat
daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK pada tahun
ini. Ini merupakan kali pertama sektor perkilangan
mengatasi garis 25% KDNK. Dua tahun lalu sektor perkilangan
telah mengatasi sumbangan kepada KDNK oleh sektor pertanian,
perhutanan dan perikanan. Daripada segi eksport pula,
eksport barang-barang perkilangan dijangka berjumlah hampir
55% daripada jumlah eksport negara tahun ini. Inilah kali
pertama jumlahnya melebihi daripada setengah jumlah eksport
negara. Perkembangan ini sangatlah menggalakkan dan ianya
selaras dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan sektor
perkilangan sebagai sektor utama dalam pembangunan ekonomi
negara.
3. Walaupun begitu, kerajaan akan terus memberikan galakan
yang sewajarnya kepada sektor ini supaya sumbangannya kepada
KDNK terus meningkat. Kerajaan berharap ia akan meningkat
kira-kira 40% pada akhir abad ke 20 ini. Keyakinan ini
bertambah tebal dengan beberapa perkembangan yang sangat
menggalakkan. Pertamanya, asas sektor perkilangan
negara kita yang terlalu berat kepada barang-barang elektrik
dan elektronik serta tekstil beberapa tahun yang lepas,
telah menunjukkan perluasan kepada barang-barang lain,
seperti barang-barang getah, barang-barang kimia dan barang-
barang berasaskan kertas atau paper products. Di samping
itu pelaburan dalam sektor perkilangan ini telah meningkat
lebih pesat dari tahun lalu. Pelaburan yang diluluskan
oleh kerajaan untuk 7 bulan yang pertama tahun ini adalah
kira-kira enam billion ringgit -- satu peningkatan kira-kira
34% lebih tinggi dari tempoh yang sama tahun lalu.
4. Pelaburan yang tinggi ini kebanyakannya dari luar
negeri. Mengikut perangkaan ekuiti yang diluluskan tahun
lalu, 58% ekuiti adalah dari luar negeri. Tidak dapat
dinafikan bahawa peningkatan pelaburan asing ini adalah
berikutan dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur,
insentif-insentif yang ditawarkan dan promosi yang agresif
oleh pihak kerajaan.
5. Baru-baru ini timbul pula satu pandangan bahawa
Kerajaan telah memberi kemudahan dan insentif yang terlalu
banyak kepada para pelabur asing. Pendapat tersebut juga
menyatakan jika kemudahan-kemudahan dan insentif-insentif
ini dikurangkan sedikit daripada apa yang disediakan
sekarang ini ianya akan juga menarik pelaburan asing yang
tinggi.
6. Sekiranya kita melihat trend ini dalam perspektif
antarabangsa, kita akan dapat memerhatikan bahawa negara
kita bersaing sengit dengan negara-negara lain terutama
beberapa buah negara ASEAN untuk mendapatkan pelaburan
asing. Beberapa buah negara jiran kita telah berjaya
mencapai perkembangan ekonomi yang membanggakan, terutama
pembangunan perindustrian. Oleh yang demikian, sebarang
pengkajian sama ada Malaysia telah menyediakan kemudahan-
kemudahan pelaburan yang mencukupi, yang berlebihan atau
berkurangan, hendaklah mengambil kira perkembangan-
perkembangan di negara-negara asing, terutama di rantau Asia
Tenggara.
7. Mengikut penilaian kerajaan dewasa ini, insentif-
insentif dan kemudahan-kemudahan cukai dan bukan cukai yang
diberikan kepada para pelabur asing akan diteruskan kerana
ianya telah membuktikan hasil yang baik. Apatah lagi
kerajaan yakin salah satu langkah efektif mengurangkan
pengangguran di negara ini ialah melalui sektor perkilangan
yang berkembang pesat. Sektor ini berjaya mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan yang tertinggi berbanding dengan
semua sektor lain semenjak beberapa tahun yang lalu. Sektor
perkilangan akan terus memainkan peranan yang penting dan
utama dalam usaha Kerajaan mengurangkan pengangguran.
Sebenarnya insentif yang diberi pada akhirnya adalah sama
dengan subsidi bagi gaji pekerja. Jika kita tidak
menyediakan insentif, memandangkan kos tenaga manusia yang
lebih murah di negara-negara jiran, mungkin pelaburan asing
tidak akan datang ke negara kita dan ramai yang akan
menganggur. Anggapan bahawa insentif diberi hanya untuk
para pelabur adalah tidak tepat. Perhitungan perlu dibuat
berkenaan dengan bilangan pekerja yang akan menganggur jika
kilang-kilang ditutup. Di Amerika Syarikat, United Kingdom
dan negara-negara Eropah lain, bantuan modal yang besar
diberi oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat asing,
kebanyakannya Jepun, yang sanggup mendirikan kilang-kilang
terutamanya di kawasan-kawasan yang kurang maju dan kurang
peluang pekerjaan. Demikian insentif oleh negara-negara
yang sudah maju. Di Malaysia kita tidak memberi subsidi
bentuk modal kepada pelabur-pelabur asing. Kita hanya tidak
mengutip cukai.
8. Menyentuh tentang kemajuan yang dicapai oleh agensi-
agensi awam dalam menyediakan infrastruktur dan jentera
pentadbiran bagi meluluskan sebarang cadangan pelaburan,
kerajaan berbangga dengan perkembangan yang sangat
menggalakkan di beberapa buah negeri. Mengikut kajian yang
dijalankan, kelulusan bagi tapak-tapak industri atau kilang
adalah bertambah cepat dan mudah di beberapa buah negeri
seperti Johor, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang. Terdapat
juga penyelarasan yang semakin baik di beberapa buah negeri
lain. Pendek kata, usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dan
negeri memperbaiki pentadbiran pelaburan oleh agensi-agensi
awam persekutan dan negeri telah membawa hasil yang
menggalakkan. Kerajaan berharap kemajuan pentadbiran yang
menggalakkan ini akan diteruskan supaya daya tarikan
pelaburan akan meningkat, apatah lagi memikirkan bahawa
negara kita menghadapi saingan yang hebat daripada negara-
negara serantau.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Saya ingin menyentuh tentang pengetahuan Bahasa Jepun
di kalangan rakyat negara ini. Pada dasarnya, kerajaan
memang menggalakkan perkembangan pengetahuan bahasa-bahasa
asing. Bahasa Inggeris diajar di sekolah-sekolah dan
beberapa bahasa asing yang lain termasuk bahasa Arab juga di
ajar di beberapa peringkat pembelajaran di Malaysia.
Oleh kerana kita ingin mengetahui dan ingin belajar dengan
berkesan akan etika kerja, cara-cara pengurusan dan
organisasi syarikat dan industri Jepun, yang mana semua ini
jelas membawa kejayaan kepada Jepun dalam bidang ekonomi,
maka kerajaan telah memutuskan untuk memberi penekanan
terhadap penguasaan bahasa Jepun oleh kumpulan-kumpulan
tertentu di kalangan rakyat Malaysia. Kumpulan-kumpulan
yang dimaksudkan ialah pekerja-pekerja dan eksekutif-
eksekutif yang terlibat secara langsung dalam perindustrian
negara. Tahap penguasaan tidaklah perlu terlalu tinggi.
Walau bagaimanapun, bagi pihak pengurusan mereka dikehendaki
mempunyai penguasaan yang baik bagi keperluan tugas mereka.
10. Untuk tujuan ini Kerajaan akan mengadakan beberapa
kemudahan untuk mempelajari Bahasa Jepun. Pegawai-pegawai
Kerajaan juga akan digalak mempelajari bahasa Jepun. Adalah
diharapkan syarikat-syarikat Jepun akan membantu dalam usaha
ini dengan mengadakan kemudahan sendiri bagi pekerja mereka
mempelajari bahasa Jepun.
11. Pekerja dan eksekutif Malaysia hendaklah mengadakan
pandangan yang positif terhadap usaha ini. Langkah ini
bukanlah bertujuan menjadikan kita orang Jepun. Jika kita
ingin maju dan berjaya, kita hendaklah belajar daripada
orang yang maju dan berjaya. Tidak ada cara yang lebih
berkesan dalam mempelajari bagaimana orang lain berjaya
selain daripada memahami bahasa mereka. Kita tidak akan
rugi jikalau kita faham Bahasa Jepun. Kita akan tetap
beruntung.
Ladies and gentlemen,
12. The relationship between Malaysia and Japan has been
strongly cemented through trade and investment. For the
past one decade we have seen a tremendous spurt in bilateral
trade between Malaysia and Japan and the continued inflow of
Japanese direct investments as well as technology transfers
into Malaysia. This growth both in trade and investment has
been achieved in an environment of close and harmonious
economic relations between the two countries.
13. The opening of this eighth Matsushita's company
incorporated in Malaysia serves to augment further the
large Japanese investment in this country. With this,
Matsushita's investment in Malaysia exceeds 1 billion
ringgit. In congratulating Matsushita I would like to thank
the company for its confidence in Malaysia, being as it is
among the very first Japanese companies to invest in
Malaysia and to keep on investing large sums of money here.
That confidence and bullishness about Malaysia shown by
Matsushita has now spread to many Japanese investors, big,
medium and small. Japan has now become the largest investor
in Malaysia for the past several years. However, there are
still tremendous opportunities in Malaysia for even greater
investment as the Malaysian Government is committed to a
programme of rapid industrialisation especially in
manufacturing. This commitment is inevitable seeing that
only industry, particularly manufacturing, can create the
jobs for our people, besides contributing to growth.
14. Besides the Japanese, there is a flow of investment
from the rapidly growing Asian economies like Taiwan,
Singapore and Hong Kong into Malaysia. That this flow is
motivated by enlightened self interest does not put us off
one bit, for our welcome too is due to enlightened self-
interest. The people who think that there are altruistic
reasons for doing things are really out of touch with
reality. The government will continue to make the country
as attractive as possible to investors, foreign as well as
local. As a further step towards this end the Cabinet has
decided to set up a small unit in the Prime Minister's
Department dedicated to receiving any complaints, or
suggestions, from investors. They will soon be sending
questionnaires to all companies in strict confidence. The
unit will be directly responsible to the Prime Minister.
Whatever action that needs to be taken as a result of
complaints or suggestions will be taken. So please avail
yourself of the new facility. Do not wait to be asked by
the unit. It is there to serve you.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Saya difahamkan bahawa para pekerja di syarikat ini
berikrar bekerja dengan bersungguh-sungguh, serta menjaga
kualiti barang-barang yang dikeluarkan. Ini adalah satu
sikap yang baik dan terpuji.
16. Para pekerja tempatan adalah satu komponen yang dapat
menarik pelaburan ke negara kita. Para pelabur sudah tentu
memerlukan para pekerja yang dapat menyumbangkan tenaga yang
membawa kebaikan kepada para pelabur dan para pekerja.
Dengan itu mereka mahukan kumpulan pekerja yang berdedikasi
dan berdisiplin. Insya-Allah, secara langsung atau tidak
langsung pekerja akan mendapat tambahan ganjaran bagi
diri sendiri hasil dedikasi dan produktiviti mereka.
17. Apabila kita mengadakan promosi menarik pelaburan,
salah satu yang diterangkan kepada para pelabur ialah
Malaysia mempunyai tenaga kerja yang cekap dan mahir, serta
mempunyai tingkat pelajaran yang baik untuk membolehkan
mereka menjalani sebarang latihan dan kemahiran. Sekarang
ramai pelabur sudah pun membawa modal ke negara kita.
Ingatlah jika tidak kerana kesanggupan mereka melabur,
peluang-peluang pekerjaan tidak akan bertambah. Sekarang
masih ramai daripada rakyat Malaysia sedang menganggur.
Mereka menanti-nanti peluang pekerjaan yang akan diwujudkan
daripada pelaburan. Janganlah kita hampakan harapan
mereka. Satu hari nanti bilangan penganggur akan
berkurangan sehingga akan ada majikan yang akan berebut-
rebut untuk mendapat pekerja. Pada ketika itu saya yakin
majikan sendiri akan meningkatkan layanan terhadap pekerja
mereka.
18. Bagi syarikat ini, saya difahamkan salah satu objektif
jangka panjangnya ialah memastikan kemajuan dan pembangunan
kerjaya bagi kakitangan pengurusan dan pekerja tempatan.
Program tempatan atau localisation programme syarikat ini
harus diterima dengan baik. Kakitangan dan pekerja tempatan
haruslah belajar bersungguh-sungguh; jangan tunggu diajar
sahaja, sebaliknya mencari kemahiran dan pelajaran di tempat
kerja. Bersama-samalah kita bergerak menuju ke arah
pembangunan yang lebih pesat lagi melalui kesungguhan,
disiplin dan nilai-nilai murni di tempat kerja. Saya
berharap para pekerja kita akan sentiasa menjaga nama baik
negara melalui keupayaan masing-masing menjalankan tugas
dengan baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Lembaga Pengarah Matsushita Television Co Sdn. Bhd. kerana
menjemput saya merasmikan kilang ini. Saya berharap
keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat ini akan meyakinkan
syarikat-syarikat lain untuk meningkatkan pelaburan mereka
di Malaysia.
20. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka
Syarikat Matsushita Television Sdn. Bhd. dengan rasminya.
|