Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/11/89
Tajuk/Title : UCAPAN Y.A.B. PERDANA MENTERI DATO
SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD DI
PELANCARAN GERAKAN BUDAYA
KERJA CEMERLANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera.
Yang Berhormat
Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak,
Menteri Belia dan Sukan;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat
Dato' Seri Najib kerana menjemput saya untuk melancarkan
Gerakan Budaya Kerja Cemerlang ini.
2. Budaya sesuatu masyarakat adalah fakta utama yang akan
menentukan maju mundurnya masyarakat itu. Budaya bukan
sahaja dicerminkan oleh kesenian dan lain-lain aspek
fizikal, tetapi lebih penting lagi ialah nilai-nilai yang
diamalkan. Umumnya semua masyarakat mendakwa penerimaan
nilai-nilai yang mulia, tetapi amalan sesuatu masyarakat itu
tidak selalunya membuktikan penerimaan nilai-nilai
berkenaan.
3. Perkara yang tidak dapat kita nafikan ialah ada
masyarakat yang berjaya dan ada yang tidak. Antara yang
dianggap telah berjaya pun, ada yang lebih berjaya dan ada
yang kurang berjaya. Jika kita terima bahawa yang
menentukan pencapaian sesuatu masyarakat ialah budaya
masyarakat itu, maka soalannya ialah apakah budaya sesuatu
masyarakat dapat dibentuk supaya yang kurang berjaya boleh
berjaya dan yang berjaya menjadi lebih berjaya?
4. Dewasa ini kita sering mendengar tentang kualiti dan
kecemerlangan. Terdapat gesaan supaya bukan sahaja kita
harus mencari kejayaan, tetapi juga kejayaan yang cemerlang.
Segala-galanya dikehendaki cemerlang dan berkualiti. Apakah
yang dimaksudkan dengan kecemerlangan dan kualiti ini?
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Kualiti adalah sesuatu keadaan yang cemerlang atau amat
baik tetapi kebaikan itu tidak terhad atau tetap pada
sesuatu tahap. Ianya tidak statik. Ia bergerak sepanjang
masa. Justeru itu, apabila sahaja kita mencapai kualiti
yang kita kejar, kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih
tinggi yang mesti kita kejar. Setelah kita mengejar dan
mencapai kualiti yang baru yang menjadi matlamat kita,
sekali lagi kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih baik
daripada itu yang perlu kita kejar. Dengan itu, usaha kita
tidak berhabis-habisan dan tidak ada hadnya dan kita perlu
mengejar kualiti sepanjang masa.
6. Kita boleh memahami konsep kualiti daripada
perkembangan dalam teknologi televisyen, sebagai contoh.
Kualiti gambar televisyen hitam putih pada mulanya amat
tidak baik walaupun ia adalah hasil kajian dan rekaan serta
pembuatan yang dianggap pada ketika itu sebagai 'state of
the art', iaitu kerja yang berkualiti dengan hasil yang juga
berkualiti. Selepas mencapai kualiti yang dijadikan
matlamat, maka matlamat itu diperbaiki lagi untuk
mendapatkan kualiti yang lebih baik. Usaha dibuat semula
untuk mencapai matlamat kualiti yang baru ini. Apabila
kualiti gambar televisyen bertambah baik, maka satu kualiti
gambar yang lebih baik lagi dijadikan matlamat baru dan
usaha ditumpukan ke arah itu.
7. Daripada gambar hitam putih, matlamat ditingkatkan
kepada gambar berwarna. Apabila tercapai gambar berwarna
maka sekali lagi kualiti gambar yang semakin baik dijadikan
matlamat. Apa juga pencapaian, matlamat baru mengenai
kualiti gambar dijadikan objektif untuk dicapai. Sekarang
kualiti gambar televisyen berwarna amat baik tetapi sasaran
baru ialah high definition TV di mana gambarnya begitu halus
dan tepat sehingga sama dengan gambar filem warna snap-shot
dengan kamera yang juga sudah berkualiti sekarang.
8. Daripada contoh perkembangan teknologi televisyen
adalah jelas bahawa kualiti yang dikejar sentiasa lebih
tinggi daripada apa yang dicapai walaupun apa yang dicapai
adalah kualiti yang sebelumnya dijadikan target untuk
dicapai. Kualiti yang dikejar ialah kualiti yang lebih baik
daripada kualiti baik yang telah dicapai. Tidak ada
matlamat terakhir dalam mengejar kualiti dan kecemerlangan.
Ia adalah satu usaha yang tidak berhabis-habisan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Kualiti hidup manusia juga harus melalui proses yang
sama. Pada mulanya manusia cuma mencari makanan dan
perlindungan untuk hendak hidup sahaja. Bagi tujuan ini,
apa sahaja yang terjumpa boleh dimakan, dan daun kayu, kulit
binatang, kulit kayu dan gua sudah mencukupi. Tetapi
manusia yang berakal cuba menjadikan kualiti hidupnya
lebih baik sepanjang masa. Melalui proses peningkatan
kualiti sepanjang masa, kita sudah sampai ke tahap tamadun
yang amat tinggi. Kita makan makanan yang bukan sahaja
memberi tenaga kepada kita, tetapi juga lazat. Kita memakai
pakaian yang elok dan kita tinggal di rumah yang selesa
bahkan ada yang tinggal di rumah mewah. Bagi perjalanan,
kita tidak berjalan kaki tetapi kita menggunakan kenderaan
yang semakin laju dan selesa.
10. Kita masih mengejar yang lebih tinggi kualitinya
daripada apa yang ada pada kita walau apapun taraf hidup dan
pendapatan kita. Mengejar yang lebih baik, mengejar kualiti
hidup dan kualiti dalam segala-galanya adalah naluri
manusia. Jika hari ini terdapat masyarakat yang hidupnya
lebih berkualiti atau yang hidupnya berkualiti rendah, jika
dalam sesuatu masyarakat terdapat individu atau kumpulan
yang kualiti hidup mereka lebih tinggi dan yang lain pula
hidupnya kurang berkualiti, sebab utamanya ialah kerana
tidak ada persamaan dalam budaya kualiti atau budaya
kecemerlangan di antara satu masyarakat dengan masyarakat
yang lain, di antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain
dan di antara seorang individu dengan seorang individu yang
lain.
11. Tetapi budaya cemerlang bukanlah hak milik mana-mana
masyarakat, kumpulan atau individu. Sesiapa juga berhak
memiliki budaya yang cemerlang. Jika budaya cemerlang ini
tidak ada kepada kita, tidak ada sesiapa yang boleh
menghalang kita daripada mengejarnya dan menjadikan
budaya berkualiti ini sebagai budaya kita. Mereka yang
sudah memiliki budaya yang baik ini tidak harus khuatir akan
kehilangannya walaupun budaya baik ini dikejar oleh
masyarakat lain bagi dijadikan sebagai budaya mereka.
Masyarakat keseluruhannya akan menjadi lebih berkualiti jika
semua anggota masyarakat mengamalkan budaya cemerlang ini.
12. Dalam kempen ini, tumpuan kita nampaknya terhad. Ianya
terhad kepada budaya kerja yang cemerlang -- iaitu budaya
kerja yang bermutu yang kita lakukan. Sebabnya tumpuan
diberikan kepada budaya kerja terlebih dahulu ialah oleh
kerana budaya kerja akan menghasilkan perkhidmatan dan
barang-barang yang bermutu tinggi, yang berkualiti dan yang
cemerlang. Kerja yang cemerlang menghasilkan keluaran yang
juga cemerlang. Jika hasil kerja kita cemerlang, maka
kehidupan kita dan kualiti hidup kita tidak dapat tidak akan
menjadi cemerlang. Tidak ada sesiapa yang ingin kualiti
hidup yang buruk atau pun yang lebih-kurang sahaja. Kita
semua mahu kualiti hidup yang baik. Dan kualiti hidup yang
baik bermula daripada budaya kerja yang cemerlang. Justeru
itu, walaupun tumpuan kita adalah terhad hanya kepada budaya
kerja yang cemerlang, tetapi ia mempunyai potensi dan kesan
yang lebih luas dan menyeluruh.
13. Apakah yang secara nyata harus dibuat untuk menjadikan
kerja kita mempunyai unsur-unsur budaya kerja yang
cemerlang? Yang perlu dibuat ialah setiap kerja yang
diusahakan oleh kita tidak cacat sama sekali dalam pandangan
dan penilaian kita sebagai seorang insan. Sebenarnya hanya
Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja yang tidak cacat dan tidak
menghasilkan sesuatu yang cacat jika ini adalah kehendak
Allah. Apa juga hasil kerja manusia ada kecacatannya.
Sebab itu, walaupun kita mengejar perfection sehingga akhir
zaman, kita tidak akan mencapai perfection -- keadaan yang
tidak cacat sama sekali. Tetapi hanya kerana kita tidak
mungkin mencapai perfection yang absolute, kita tidak harus
kecewa dan tidak mengejarnya. Sekurang-kurangnya, daripada
pandangan dan penilaian manusia, kita berjaya mencapai per-
fection yang menjadi sasaran semasa. Selepas itu kita akan
mendapati ia sebenarnya tidak perfect. Dan kita berusaha
lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Pada tahun 1912 kapal Titanic tenggelam. Kapal ini
didakwa oleh pembuatnya sebagai kapal yang keselamatannya
terjamin. Kapal tersebut didakwa tidak mungkin tenggelam.
Tetapi ia tenggelam semasa pelayaran pertamanya. Adalah
jelas semua arkitek, jurutera dan pekerja kapal yang telah
mengamalkan budaya kerja ke arah kecemerlangan tidak berjaya
menghasilkan kapal yang perfect yang menjadi matlamat
mereka. Tetapi hanya kerana dakwaan mereka agak keterlaluan
tidak bermakna mereka tidak harus mencuba lagi untuk
menghasilkan sesuatu yang lebih menepati matlamat mereka --
iaitu sebuah kapal laut yang lebih selamat.
15. Hingga kini tidak ada kapal yang 100% selamat. Tetapi
kemungkinan tenggelamnya kapal-kapal sudah dikurangkan.
Usaha ke arah kualiti yang lebih baik diteruskan sehingga
sekarang dan juga untuk masa hadapan. Yang penting ialah
kita jangan mudah kecewa walaupun kualiti yang diidami hasil
daripada budaya kerja yang cemerlang tidak tercapai. Bahkan
kalau tercapai sekalipun, kita harus terus berusaha untuk
mendapatkan kualiti yang lebih baik lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Kuala Lumpur sekarang ini adalah sebuah bandar yang
terkenal kerana kebersihan dan keindahannya. Hanya beberapa
tahun dahulu sahaja Kuala Lumpur adalah sebuah bandar yang
tidak istimewa kerana tidak mempunyai apa-apa kelebihan.
Tetapi apabila penetapan dibuat untuk membersih dan
mengindahkan Kuala Lumpur, maka usaha-usaha dimulakan ke
arah matlamat ini. Pada mulanya perubahan tidak ternampak.
Taman-taman tidak cantik dan tidak menarik. Landscaping
tidak menepati tahap aesthetic yang diharapkan.
17. Namun demikian, berkat tekun dan usaha mereka yang
mempunyai budaya kerja yang baik, Kuala Lumpur menjadi
bersih dan indah dan kebersihan dan keindahan ini terus
meningkat sepanjang masa. Apa yang dicapai pada satu tahun
dibaiki lagi dalam tahun berikutnya. Apa yang terdapat pada
hari ini akan dibaiki lagi pada masa hadapan dan seterusnya.
Selagi ada budaya kerja yang menekankan matlamat
kecemerlangan, insya-Allah Kuala Lumpur di masa akan datang
akan jauh lebih indah dan bersih daripada sekarang.
18. Semua pencapaian ini adalah hasil budaya kerja baik
yang telah diserapkan. Budaya kerja baik ini memberikan
hasil yang baik. Tetapi kita ingin kepada yang lebih baik
dan yang lebih cemerlang. Justeru itu, kita perlu
meningkatkan lagi budaya kerja kita supaya menjadi lebih
cemerlang agar hasil yang diperolehi akan lebih cemerlang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19. Budaya kerja cemerlang ini harus ada kepada semua
rakyat Malaysia, sama ada Perdana Menteri, Menteri-menteri,
pegawai-pegawai atau para pekerja. Apa juga kerja yang
dibuat, ia hendaklah dibuat dengan budaya kerja yang
cemerlang, budaya kerja yang mengejar kualiti sepanjang
masa. Tidak ada perbezaan antara mencuci longkang dengan
mentadbirkan negara daripada segi kecemerlangan yang diamal
dan dimatlamatkan. Apa juga khidmat yang diberi atau barang
yang dibuat, semuanya mestilah mendapat hasil daripada
budaya kerja cemerlang dan dengan itu berkualiti tinggi.
Hasil daripada kualiti yang tinggi ini ialah kualiti hidup
kita, dalam semua aspek, akan meningkat menjadi lebih
tinggi. Alangkah baiknya jika semua perkhidmatan yang kita
dapati dan barang-barang yang kita gunakan, semuanya
berkualiti. Tidakkah ini menjadikan kualiti hidup kita
lebih baik dan lebih tinggi?
20. Kualiti tidak boleh dihadkan kepada sesuatu perkara
sahaja. Pada mulanya dalam sektor perkilangan, kualiti yang
tinggi dihasilkan dengan membuang barang-barang yang tidak
mencapai mutu yang ditentukan. Kemudian usaha dibuat supaya
hasil kerja yang tidak menepati mutu atau kualiti
dikurangkan. Ini ditentukan dengan memastikan setiap kerja
yang dibuat untuk mengeluarkan barang-barang itu adalah
kerja yang berkualiti. Selepas itu, tumpuan diberikan
kepada pencapaian 'zero defect' iaitu tidak ada satu pun
hasil kerja yang cacat. Ini pun tidak memadai. Para
pengusaha kemudian mencipta apa yang dipanggil 'company-wide
quality'. Ini bermakna seluruh syarikat daripada pengerusi
lembaga pengarah sehingga ke para pekerja hendaklah
mengamalkan kualiti kerja yang akan menghasilkan pengurusan
dan pengeluaran yang berkualiti dengan harga yang serendah-
rendahnya. Sasaran kualiti telah berkembang daripada hanya
membuang yang cacat kepada mengelak daripada berlakunya
kecacatan di semua peringkat dalam seluruh organisasi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21. Tujuan kita melancarkan Gerakan Budaya Kerja Cemerlang
ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup kita melalui
kualiti budaya kerja kita. Dengan memiliki budaya kerja
cemerlang, kita percaya setiap kerja yang kita buat akan
memberikan hasil yang cemerlang. Hasil yang cemerlang ini
secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup kita.
Barang-barang dan perkhidmatan yang cemerlang hasil daripada
kerja yang cemerlang akan menjadikan kita lebih berdaya-
saing atau competitive dan ini akan menolong meningkatkan
pendapatan kita. Dengan ini kualiti hidup kita akan
meningkat lagi.
22. Kita harus ingat bahawa walaupun kita bekerja dengan
kerajaan atau syarikat, budaya kerja cemerlang kita akan
menguntungkan diri kita sendiri akhirnya. Jika masyarakat
Malaysia menerima dan mengamalkan budaya kerja cemerlang,
kita juga akan berjaya seperti bangsa-bangsa lain yang
telah berjaya. Sama ada sesuatu bangsa itu berjaya atau
tidak berjaya, ianya bergantung rapat dengan budaya kerja.
Sasaran Kerajaan mengadakan kempen ini adalah untuk
menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang berjaya, bangsa yang
mempunyai kualiti hidup yang tinggi, bangsa yang menerima
budaya kerja cemerlang kerana kita tahu kebaikan yang boleh
didapati daripadanya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Gerakan
Budaya Kerja Cemerlang ini.
Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|