Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/12/89
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN
PERKHIDMATAN TADBIR DAN
DIPLOMATIK (PPTD)
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Yang Berbahagia Datuk Hassan Ibrahim,
Presiden PPTD;
Yang Berhormat Menteri-menteri;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana
dengan izinNya kita dapat bersama-sama di majlis tahunan ini
sekali lagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa PPTD kerana menjemput saya dan isteri saya ke
jamuan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Pada tahun 1985 kita menghadapi kemelesetan ekonomi
yang teruk dan nada ucapan saya di jamuan makan malam PPTD
pada tahun itu menggambarkan usaha-usaha Kerajaan untuk
mengatasi kedudukan ekonomi yang buruk itu. Pada tahun 1987
dan 1988 di perjumpaan yang serupa, ucapan saya
menggambarkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan untuk
memulih dan memperkukuhkan ekonomi kita semakin berjaya,
serta perasaan yakin pihak Kerajaan ke atas pemulihan
ekonomi negara kita.
3. Sekarang ini, empat tahun kemudian, ekonomi kita bukan
sahaja telah pulih tetapi juga telah menunjukkan
perkembangan yang menggalakkan yang dijangkakan berlarutan
bagi beberapa tahun yang akan datang. Ini merupakan usaha
kita semua -- Kerajaan dan rakyat, sektor awam dan swasta,
sama ada yang tinggal di bandar atau di luar bandar.
Tidaklah keterlaluan jika saya katakan bahawa pegawai-
pegawai tadbir memainkan peranan yang utama dan penting
dalam proses pemulihan dan pembangunan pesat ini.
4. Di samping kita bersyukur dengan kejayaan kita
ini, kita juga harus berhati-hati dan menyusun langkah
dengan cermat supaya negara kita tidak terlalu mudah
terpengaruh dengan kemelesetan ekonomi dunia sekali lagi.
Kita harus belajar daripada sejarah dan pengalaman orang
lain serta daripada pengalaman yang kita alami sendiri.
Mereka yang melupakan sejarah dan pengalaman ini akan cepat
kecewa dengan cabaran-cabaran baru pada masa hadapan.
Justeru itu, usaha-usaha pemulihan ekonomi beberapa tahun
yang lalu yang masih berkesan hendaklah diteruskan. Tetapi
pada sepanjang masa kita harus menyoal diri kita sama ada
memadai dengan pendekatan yang ada sekarang atau apakah ada
dasar dan tindakan yang lain yang harus kita bentuk dan
laksanakan?
5. Kita semua maklum bahawa struktur ekonomi kita sedang
berubah mengikut dasar dan perancangan kita -- iaitu
memperluaskan perindustrian, terutama sektor perkilangan
supaya kita tidak terlalu sangat bergantung kepada turun-
naiknya harga barang-barang komoditi yang lebih dikuasai
oleh pengguna-pengguna besar di negara-negara maju. Di
samping itu sektor swasta akan memainkan peranan yang lebih
besar dalam pembangunan ekonomi negara. Peranan Kerajaan
secara langsung dalam perkhidmatan dan pembangunan ekonomi
melalui badan korporat dan agensi akan dikurangkan.
Sebaliknya Kerajaan akan menumpukan kepada tugas-tugas
keselamatan dan ketenteraman, penyediaan infrastruktur
serta perkhidmatan dan aktiviti-aktiviti kawalselia
atau supervisory yang mustahak.
6. Untuk menghadkan aktiviti Kerajaan kepada tugas-tugas
pemerintahan dan pentadbiran, penswastaan akan menjadi
pendekatan yang penting. Kita sudah melihat bagaimana
beberapa agensi atau syarikat Kerajaan telah mencapai
kejayaan yang baik setelah diswastakan dengan tidak
merugikan kakitangan agensi dan syarikat-syarikat itu.
Sebenarnya kakitangan-kakitangan syarikat-syarikat itu lebih
bernasib baik daripada semasa mereka di bawah Kerajaan.
Tetapi mereka dan pengurusan mestilah sedar bahawa
perniagaan tetap mempunyai risiko. Keuntungan tidak boleh
dibelanjakan sampai habis tetapi sebahagiannya hendaklah
disimpan untuk pelaburan yang diperlukan dan untuk 'hari
hujan'. Badan dan agensi yang telah diswastakan tidak lagi
boleh mengharapkan modal dan bantuan daripada Kerajaan
seperti sebelumnya.
7. Sementara itu, kita harus memeriksa dan mengkaji semula
pendekatan-pendekatan yang lain yang telah kita amalkan
dalam urusan pentadbiran negara selama ini. Kita tidak
dapat menafikan bahawa ada pencapaian-pencapaian yang tidak
memuaskan. Di samping itu kita pula berhasrat untuk
menjadikan kualiti sebagai sasaran kita sepanjang masa. Ini
bermakna kita mestilah mengejar matlamat yang lebih tinggi
dan baik sepanjang masa, walau apa juga pencapaian kita yang
terdahulu.
8. Untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan
pentadbiran, kita harus berani menyoal dan menganalisa
sistem-sistem yang sekian lama telah kita gunakan. Dalam
perkara ini kita harus jujur menilai prestasi kita dan
mengenalpastikan kelemahan-kelemahan dan pendekatan yang
harus dibaiki atau ditukar sama sekali. Kita tidak harus
mengamalkan sesuatu cara itu hanya kerana itulah cara yang
telah kita warisi dan yang kita tahu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Tamadun manusia tidak statik dan beku. Ia berubah
sepanjang masa. Kadang-kadang perubahan adalah ke arah
kemunduran tetapi kerapkali ia adalah ke arah kemajuan.
Sama ada tamadun menjadi lebih mundur atau maju, yang pasti
ialah perubahan berlaku. Dalam keadaan yang berubah-ubah
ini kita juga perlu mengubahsuai pendekatan kita. Sebab
itulah kita telah mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai
dasar dan pendekatan baru seperti Dasar Pandang Ke Timur,
Persyarikatan Malaysia, Penswastaan, perakaman waktu dan
lain-lain lagi.
10. Mungkin dasar-dasar dan pendekatan-pendekatan ini
mempunyai kelemahan-kelemahan, tetapi kita harus mencubanya
dahulu sebelum kita membuat keputusan yang ianya tidak baik.
Kita harus mencuba dengan bersungguh-sungguh dahulu. Tetapi
jika akhirnya sesuatu perubahan itu jelas menunjukkan
ianya tidak baik, kita tidak harus malu menyatakannya dan
kita balik kepada amalan yang asal atau kita mencuba
pendekatan yang lain pula.
11. Sejarah manusia memang memperlihatkan perubahan
sepanjang masa. Tetapi di zaman ini kita melihat perubahan
berlaku dengan lebih banyak dan dengan lebih cepat.
Teknologi hari ini menjadi usang keesokan hari. Dan
teknologi esok akan menjadi usang sehari selepasnya. Negara
yang kalah dalam peperangan dan hancur musnah boleh menjadi
kuasa dunia dalam masa hanya 30 tahun sahaja. Sebaliknya
negara yang maju boleh menjadi mundur. Kita sedang melihat
keruntuhan sistem ekonomi komunis, sesuatu yang tidak
terfikir hanya lima atau enam bulan dahulu.
12. Berhadapan dengan aliran ini, kita harus tahu mengatur
langkah dan menyesuaikan pendekatan negara kita dengan
perubahan-perubahan yang sedang berlaku dan mungkin berlaku.
Mentadbirkan sesebuah negara tidak semudah dahulu. Kita
begitu terikat dengan kejadian-kejadian di seluruh dunia
sehingga ekonomi kita boleh merosot dalam sekejap masa
sahaja.
13. Jika negara kita tidak mempelbagaikan atau diversify
daripada hanya dua komoditi kepada lebih enam komoditi, dan
daripada pengeluaran komoditi semata-mata kepada industri
perkilangan dan industri perkhidmatan, negara kita akan
merana di waktu getah tiruan menggantikan getah asli, dan
plastik, kertas, kaca dan aluminium menggantikan sadur
timah atau tin-plate. Kita bernasib baik kerana kita telah
mengambil langkah agak awal. Sekarang harus kita fikirkan
pula akan langkah-langkah yang perlu kita ambil segera
akibat tanda-tanda perubahan yang dapat kita lihat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Satu aliran yang memerlukan perhatian dan tindakan awal
oleh pentadbiran dan Kerajaan ialah pertumbuhan bilangan
penduduk di negara kita. Ada yang berpendapat bahawa cara
menyelesaikan masalah pertumbuhan penduduk ialah dengan
mengurangkannya melalui perancangan keluarga. Sementara
perancangan keluarga ini adalah satu cara tetapi ia tidak
dapat mengatasi masalah secara langsung. Ia juga mungkin
membawa masalah seperti 'aging population' dan akibatnya.
Justeru itu, kita harus memahami dengan lebih mendalam
masalah yang berkaitan dengan mentadbirkan rakyat yang lebih
ramai.
15. Negara kecil dengan penduduk yang tidak ramai memang
lebih mudah ditadbir daripada negara yang besar dan ramai
penduduknya. Pertumbuhan bilangan penduduk dengan
sendirinya boleh menjadi masalah dan menurunkan taraf hidup
rakyat. Perbelanjaan kerajaan pula perlu meningkat. Jika
ekonomi tidak turut tumbuh bersama-sama dengan peningkatan
bilangan penduduk, kerajaan tidak mungkin dapat
membelanjakan peruntukan yang biasa bagi setiap
rakyat, jauh sekali membekalkan perkhidmatan dan kemudahan
yang lebih baik.
16. Cara sosialis menghadapi masalah pertumbuhan penduduk
ialah dengan mengadakan peluang-peluang pekerjaan, tanpa
mengira sama ada kerja itu perlu atau tidak. Kerajaan
sosialis akan mengambil pekerja-pekerja yang berlebihan ke
dalam pentadbiran dan perusahaan-perusahaan milik negara.
Mereka juga mewujudkan industri yang tidak penting tanpa
mengambilkira untung-rugi. Sepertimana yang kita lihat
sekarang, negara-negara sosialis dan komunis akhirnya
menjadi negara-negara yang miskin dan rakyat mereka
mengalami kehidupan yang tidak selesa sehingga mereka bangun
menentang sistem itu.
17. Kita tidak ingin menjadikan penduduk yang kian
bertambah di negara ini miskin dan kurang selesa kehidupan
mereka. Justeru itu, kita tidak mahu mengadakan jentera
kerajaan yang besar hanya untuk memberi peluang-peluang
pekerjaan. Penambahan bilangan kakitangan kerajaan mestilah
kerana tambahan diperlukan. Yang harus kita tumpukan ialah
kepada kecekapan atau efficiency -- iaitu perkhidmatan yang
berkualiti dengan bilangan pekerja yang sekecil mungkin.
18. Apakah pendekatan ini akan menyebabkan pengangguran
bertambah? Ini tidak semestinya berlaku jika perkhidmatan
yang diberikan oleh pihak pentadbiran dapat memudah dan
menjayakan perniagaan dan perusahaan swasta. Jika
pelaburan swasta dapat ditingkatkan dengan pesat, maka
peluang-peluang pekerjaan akan bertambah dengan lebih banyak
lagi, berbanding dengan kerajaan semata-mata mengadakan
pekerjaan untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
Potensi pihak swasta meningkatkan bilangan pekerjaan adalah
lebih besar daripada kerajaan. Pihak swasta juga lebih
mampu memperbaiki taraf hidup pekerja.
19. Memandangkan kepada hakikat ini, maka amatlah penting
jentera kerajaan diperbaiki sepanjang masa supaya menjadi
lebih efisien. Tambahan bilangan kakitangan dan pegawai
hendaklah dibuat apabila perlu sahaja. Konsep dan
semangat dasar Persyarikatan Malaysia hendaklah diterima
baik dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh.
20. Di masa yang sama, kerajaan yang bertanggungjawab untuk
menyediakan rakyat yang terlatih hendaklah menentukan bahawa
latihan dan pelajaran yang diberikan adalah bersesuaian
dengan dasar yang memberi pihak swasta peranan yang lebih
besar dan penting. Bumiputera, terutamanya, mestilah
didorong melalui biasiswa dan lain-lain kemudahan pelajaran
supaya bidang-bidang pelajaran yang dipilih oleh mereka
tidak lagi terhad untuk berkhidmat dengan kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21. Orientasi pegawai dan kakitangan kerajaan sekarang
mestilah ditujukan kepada pembangunan perniagaan dan
industri milik swasta. Kejayaan swasta ada kaitan yang
rapat dengan kehidupan kakitangan dan pegawai kerajaan.
Kita tidak boleh lupa sama sekali bahawa pembiayaan semua
perbelanjaan kerajaan adalah daripada kutipan cukai dalam
berbagai bentuk daripada rakyat. Rakyat yang berpendapatan
rendah tidak mungkin membayar cukai yang banyak. Sebaliknya
jika ramai rakyat yang berada dan taraf hidup rakyat
keseluruhannya meningkat tinggi, kewangan kerajaan akan
menjadi lebih baik. Kerajaan pula mungkin lebih mampu
menaikkan gaji dan lain-lain kemudahan bagi
kakitangannya, selain daripada menunaikan tanggungjawab
kerajaan kepada rakyat amnya.
22. Dasar dan matlamat Kerajaan Barisan Nasional adalah
jelas. Para pentadbir yang bertanggungjawab untuk
melaksanakan dasar-dasar ini akan memperolehi ganjaran
daripada dasar-dasar ini. Justeru itu, peningkatan bilangan
penduduk dan lain-lain fakta yang menyebabkan kerajaan
membentuk dasar-dasar baru mengenai perkhidmatan Kerajaan
hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya
ianya berjaya membangunkan negara kita ini dengan pesat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23. Pada keseluruhannya, Kerajaan menyedari bahawa terdapat
peningkatan kualiti dan kesungguhan di kalangan kakitangan
awam dalam menjalankan tugas-tugas mereka. Terdapat juga
perubahan sikap yang menggalakkan, termasuklah perkhidmatan-
perkhidmatan untuk orang ramai di kaunter-kaunter dan untuk
melaksanakan projek-projek pembangunan. Kerajaan menghargai
setiap sumbangan, dedikasi dan usaha berkualiti setiap orang
kakitangan awam. Tetapi sepertimana yang telah saya
jelaskan semasa pelancaran Gerakan Budaya Kerja Cemerlang,
kualiti tidaklah statik. Ia meningkat sepanjang masa.
Dengan itu, kita semua hendaklah berusaha
meningkatkan kualiti perkhidmatan kita sepanjang masa.
24. Akhirkata, sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan
terima kasih di atas jemputan ini, dan berdoa semoga kita
sentiasa mencapai kejayaan dalam menunaikan tanggungjawab
kita.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|