Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 13/12/89
Tajuk/Title : SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-
UNDANG AKTA PERTUBUHAN (PINDAAN)
1989 (BACAAN KALI KEDUA)
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Pertubuhan 1966
dibacakan kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
2. Parti politik adalah pertubuhan yang berbeza daripada
pertubuhan-pertubuhan lain. Ia tidak ditubuh dan diwujudkan
kerana hanya kepentingan ahli-ahlinya.
3. Tujuan sesebuah parti politik ialah untuk berusaha
supaya fahaman atau ideologi parti itu dapat akhirnya
mempengaruhi cara dan matlamat pemerintahan sesebuah negara.
Dengan itu sama ada bilangan ahli parti politik tertentu itu
kecil atau besar, kesan perjuangannya akan melibatkan semua
rakyat dan seluruh negara. Semua bidang kemasyarakatan,
iaitu politik, sosial dan ekonomi negara akan menerima kesan
kegiatan sesuatu parti politik.
4. Dalam negara demokratik, seperti Malaysia, tidak ada
sekatan terhadap penubuhan parti politik melainkan jika
ianya bertujuan menghapuskan sistem demokrasi atau bertujuan
mencetuskan huru-hara dalam negara. Sebab itulah parti
komunis tidak dibenarkan di negara kita. Jika terdapat
terlalu banyak parti politik, ini juga akan menjejaskan
demokrasi kerana ia boleh menjadikan keadaan dalam negara
tidak stabil dengan memecah-belahkan rakyat sehingga tidak
ada parti yang boleh memerintah.
5. Dalam sistem pemerintahan di negara ini tidak ada
paksaan terhadap rakyat untuk menyertai mana-mana parti
politik. Setiap orang bebas memilih untuk menjadi ahli
mana-mana parti politik mengikut selera dan kehendaknya.
Jika ideologi, dasar dan matlamat sesebuah parti diterima
dan dipercayai oleh seseorang, ia boleh menjadi ahli atau
penyokong parti itu. Jika ia berpendapat ideologi, dasar,
perjuangan, matlamat atau urusan parti tidak seperti yang
dikehendakinya ia tidak perlu menyertai atau menyokong parti
itu. Jika ia sudah menjadi ahli dan kemudian tidak lagi
dapat menerima perjuangan, cara atau pentadbiran parti itu,
ia bebas keluar daripada parti tersebut.
6. Parti-parti politik mempunyai perlembagaan dan undang-
undang kecilnya yang menentukan perjuangan serta pentadbiran
parti. Jika seseorang menjadi ahli parti ia mestilah
menerima perlembagaan dan undang-undang kecil parti.
Seseorang itu tidak boleh memaksa sesebuah parti meminda
undang-undang parti supaya ia boleh menyertainya.
7. Perlembagaan parti serta undang-undang kecilnya
bukanlah sesuatu yang tidak boleh dipinda sama sekali. Ia
boleh dipinda dan cara-cara memindanya boleh dibuat melalui
peruntukan perlembagaan parti yang tentulah menitik-beratkan
pandangan ahli-ahli. Jika ahli-ahli menerima secara
majoriti atau secara konsensus, pindaan boleh dibuat. Jika
ahli-ahli tidak menerima maka yang kecewa bolehlah
meninggalkan parti dan membuat apa sahaja di luar parti.
Tetapi tentulah tidak demokratik dan tidak adil bagi mana-
mana ahli atau kumpulan minoriti untuk memaksa parti melalui
proses lain supaya menerima juga pendapat mereka.
8. Seperti pertubuhan-pertubuhan lain kegiatan parti
politik tertakluk kepada perlembagaannya yang juga
terkandung dalamnya segala dasar dan matlamat perjuangan
parti. Untuk menentukan parti dapat berjalan dengan
berkesan satu badan pengurusan yang dianggotai oleh pegawai-
pegawai tertentu terpaksa diadakan. Pemilihan pegawai-
pegawai ini juga dibuat melalui peruntukan dalam
perlembagaan parti. Demikian juga pemberhentian pegawai-
pegawai ini boleh dibuat melalui peruntukan dalam
perlembagaan parti.
9. Selagi pegawai-pegawai ini tidak diberhentikan mengikut
proses perlembagaan parti, mereka berhak meneruskan tugas-
tugas mereka sebagai pegawai. Jika mereka disekat melalui
proses di luar perlembagaan parti, perbuatan ini tentulah
bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan parti tetapi
juga menghinakan ahli-ahli parti yang mendokong perlembagaan
parti. Tindakan ini juga mencabul demokrasi dalam parti.
10. Jika sesuatu tindakan itu disokong oleh majoriti ahli-
ahli parti, mustahil golongan minoriti atau seseorang
individu boleh menyekat kehendak pihak majoriti. Walaupun
seseorang itu memegang jawatan yang tertinggi atau kumpulan
minoriti itu terdiri daripada badan yang menguruskan parti,
mereka tidak mungkin membelakangkan kehendak majoriti
selama-lamanya. Jika mereka cuba juga, majoriti ahli akan
menyingkirkan mereka.
11. Dengan perkataan lain sesebuah parti politik mempunyai
semua peruntukan untuk menentukan cara parti diperjuangkan.
Jika ada penyelewengan ia tidak mungkin berlarutan. Pada
akhirnya jika tidak ada jalan lain, ahli-ahli boleh
bertindak dengan menarik diri daripada parti sehingga parti
itu tidak lagi boleh menjadi parti yang berkesan.
Tuan Yang di-Pertua,
12. Dalam sesebuah negara yang demokratik dan mengamalkan
pemerintahan mengikut undang-undang, rakyat diberi hak untuk
membawa segala rintihan dan masalah ke mahkamah untuk
mendapatkan penyelesaian. Ini memang adil dan berasas.
Tetapi penyelesaian melalui mahkamah adalah cara yang
terakhir, selepas cara-cara yang lain gagal. Jika semua
masalah dan rintihan rakyat dibawa ke mahkamah untuk
penyelesaian, pemerintahan tidak mungkin mengadakan bilangan
mahkamah yang mencukupi.
13. Salah satu daripada undang-undang yang boleh diguna
oleh orang-orang yang menghadapi masalah ialah dengan
mendapat perintah mahkamah atau injunction untuk menyekat
pihak-pihak lain daripada membuat sesuatu yang boleh
merugikan atau ternampak seolah-olah merugikan pengadu.
Sesuatu yang istimewa dalam amalan injunction ini ialah
pihak yang didakwa tidak perlu dipanggil untuk
mempertahankan dirinya. Melalui exparte injunction hukuman
boleh dibuat yang tidak memberi hak kepada pihak lain untuk
mempertahankan diri atau right to be heard -- sesuatu
prinsip yang utama dalam sistem demokrasi dan pemerintahan
mengikut undang-undang.
14. Dengan ini injunction boleh didapati tanpa pengetahuan
pihak yang menjadi sasaran dan ia dihalang daripada membuat
sesuatu yang belum tentu salah. Dengan ini pihak yang
mendakwa akan mencapai objektifnya untuk beberapa masa
tertentu walaupun akhirnya setelah mendengar penjelasan
daripada pihak yang didakwa maka didapati yang didakwa tidak
bersalah.
15. Seseorang boleh mendapat injunction pada hari Sabtu
untuk menghalang sesuatu yang akan dilakukan pada keesokan
hari iaitu hari Ahad. Pihak yang terhalang tidak berpeluang
untuk membatalkan injunction kerana hari Ahad adalah hari
cuti. Proses membatalkan injunction pula tidak secepat
proses mendapat injunction. Ia memakan masa yang panjang
dan mungkin tidak bermakna lagi bila ianya didapati.
16. Akhir-akhir ini ramai ahli politik yang membuat dakwaan
di mahkamah atau meminta supaya injunction dikeluarkan untuk
menyekat pihak lain. Akibatnya ialah perlembagaan parti
disia-siakan dan jentera penyelesaian masalah dalam parti
menjadi tidak berguna. Kesannya juga ialah seseorang ahli
boleh menidakkan hak majoriti ahli yang kadang-kadang
berjumlah berjuta.
17. Kesalahan teknikal, seperti kehadiran seseorang ahli
yang tidak sah atau seseorang yang bukan ahli dalam sesuatu
mesyuarat cawangan, boleh menjadikan sesebuah parti yang
mempunyai sejuta ahli tidak sah. Dengan itu juga segala
harta parti akan diambil-alih oleh pihak berkuasa, dan
proses yang amat rumit perlu dilalui untuk mengesahkan
semula parti. Berbagai halangan politik boleh dibuat oleh
pihak yang berkepentingan semasa parti dihukum tidak sah.
Jelas sekali banyak keuntungan boleh diperolehi oleh orang-
orang yang ingin menghalang perjalanan sesebuah parti
politik.
18. Jika demokrasi ditakrif sebagai suara ramai, maka
amatlah tidak demokratik dan tidak adil jika seseorang boleh
menidakkan hak sejuta orang. Mengikut undang-undang yang
ada sekarang ini, kemungkinan ini berlaku bukan sahaja
memang ada tetapi juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Seseorang yang berniat buruk boleh dengan sengaja menghadiri
mesyuarat satu cawangan yang terpencil secara tidak sah dan
kemudian menggunakan kehadirannya sebagai bukti mesyuarat
itu tidak sah. Jika mesyuarat cawangan itu memilih wakil ke
mesyuarat bahagian, maka mesyuarat bahagian pula menjadi
tidak sah dengan tidak diketahui oleh bahagian itu.
19. Jika dari mesyuarat bahagian itu wakil-wakil dipilih ke
mesyuarat agung parti, seperti yang berlaku kepada UMNO,
maka mesyuarat agung itu menjadi tidak sah dan segala
perlantikan oleh mesyuarat agung menjadi tidak sah.
Akhirnya parti itu boleh dihukum tidak sah sepertimana yang
telah berlaku kepada UMNO. Demikianlah undang-undang yang
ada sekarang dan kesannya terhadap perjalanan parti politik.
Tuan Yang di-Pertua,
20. Seseorang yang menjadi ahli parti politik menjadi ahli
atas pilihannya sendiri. Permohonannya untuk menjadi ahli
dan perasmian kemasukannya sebagai ahli parti bermakna ia
membuat suatu perjanjian atau kontrak dengan parti -- iaitu
akan mematuhi syarat-syarat keahlian yang sudah tentu
termasuk penerimaan perlembagaan dan undang-undang kecil
parti. Jika ia membelakangkan perlembagaan parti dan
undang-undang kecil parti, ia sebenarnya mengkhianati
kontraknya. Apakah undang-undang negara harus melindungi
orang yang mengkhianati kontrak dan janji? Apakah akan jadi
kepada masyarakat jika orang yang mungkir janji
dipertahankan, sementara orang yang mematuhi janji dirampas
hak mereka? Apakah ini yang dikatakan keadilan?
21. Undang-undang digubal untuk kebaikan dan kita mematuhi
undang-undang kerana kita menerima pemerintahan berundang-
undang atau rule of law. Malangnya setiap kali kita
menggubal undang-undang, ada sahaja orang yang sengaja
mencari peluang atau loophole dan mengambil kesempatan untuk
membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan maksud dan
tujuan undang-undang itu. Demikianlah ketaranya usaha ini
sehingga maksud undang-undang tidak tercapai dan sebaliknya
ia membawa ketidakadilan kepada pihak yang ia sepatutnya
melindungi.
22. Oleh kerana kita tidak boleh membelakangkan undang-
undang maka undang-undang yang menyebabkan ketidakadilan
mestilah dihapus atau dipinda. Undang-undang pertubuhan
yang ada sekarang ini sudah menjadi undang-undang yang tidak
adil kepada parti politik dan ahli-ahlinya.
23. Pindaan yang dikemukakan ini bertujuan untuk memberi
kuasa kepada parti politik menyelesaikan masalah dalam parti
tanpa dirujuk ke mahkamah. Parti politik mestilah mempunyai
jentera untuk tujuan mentadbir parti secara adil.
Perlembagaan parti mestilah diterima dan diluluskan oleh
majoriti anggota parti sama ada secara langsung atau melalui
perwakilan. Sesiapa yang menjadi ahli parti mestilah
menganggotai parti dengan penuh kesedaran dan penerimaan
akan perlembagaan parti. Kemasukannya secara rasmi mestilah
dianggap sebagai satu kontrak di antaranya dengan parti.
Penarikan diri daripada parti hendaklah tertakluk kepada
perlembagaan parti.
24. Jika parti berpendapat ia tidak lagi layak menjadi
ahli, parti, melalui badan-badan tertentu yang diberi kuasa
oleh parti, bolehlah menyingkirkannya. Jika ia berpendapat
tindakan terhadapnya tidak adil, ia mesti menggunakan
saluran parti untuk mendapat keadilan. Penyingkirannya oleh
pihak yang berkuasa dalam parti mestilah diterima sebagai
tindakan yang sah. Jika badan yang berkuasa dalam parti
membuat tindakan yang tidak dipersetujui oleh majoriti
daripada ahli, maka pihak majoriti berpeluang melalui cara-
cara tertentu dalam parti menggantikan badan yang berkuasa
dalam parti itu dengan orang-orang lain yang boleh
membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh badan tersebut
dan melucutkan kuasanya.
25. Dengan cara ini, seseorang yang menjadi ahli boleh
mendapat keadilan tanpa merosakkan parti dan mengenepikan
hak ahli-ahli lain. Cara ini adalah lebih demokratik dan
lebih adil kepada semua pihak. Jika seseorang berpendapat
ia tidak mungkin mendapat keadilan daripada sesebuah parti
politik, maka ia tidak harus menyertai parti itu. Parti
yang tidak ada perlembagaan yang adil tidak akan menarik
ramai ahli. Dengan itu ia tidak akan berkesan dan
penyertaan di dalamnya tidak berguna kepada sesiapa.
26. Sebaliknya perlembagaan parti boleh dipinda oleh mana-
mana ahli melalui saluran yang ada dan cara-cara yang
ditentukan. Jika ia tidak berjaya meminda perlembagaan
parti, ia harus menerima kegagalannya itu. Jika ia tidak
dapat menerima kegagalan itu, maka ia boleh menarik diri
daripada parti. Jika ia mempunyai pengikut, ia boleh
menubuhkan sebuah parti baru dengan bentuk perlembagaan yang
ia suka.
27. Pindaan undang-undang Pertubuhan ini akan menolong
proses keadilan bagi pihak-pihak lain juga. Sekarang ini
terdapat lebih daripada setengah juta kes yang perlu
didengar oleh mahkamah. Oleh kerana kes-kes politik dan
injunction biasanya mendapat priority, kes-kes lain
terganggu dan lewat dibicarakan oleh mahkamah. Perpatah
Inggeris berkata 'Justice delayed is justice denied' atau
'keadilan yang dilewatkan bererti ketidakadilan berlaku'.
Kes-kes parti politik yang banyak bermakna kes-kes lain
dilambat-lambatkan dan ketidakadilan berlaku.
28. Dengan pindaan ini mahkamah-mahkamah bolehlah
menumpukan tenaga dan masa kepada perbicaraan kes-kes lain
dan dapat mengurangkan kes-kes yang tertangguh. Dengan itu
pihak-pihak lain yang menunggu begitu lama untuk
penyelesaian kes-kes mereka akan mendapat keadilan.
Tuan Yang di-Pertua,
29. Pindaan ini tidak menyelamatkan parti politik daripada
undang-undang lain. Jika parti politik melakukan jenayah
atau melanggar undang-undang negara, tindakan undang-undang
boleh dikenakan. Jika pemimpin-pemimpin parti politik
menyalahgunakan kuasa atau terlibat dengan rasuah atau
melakukan apa-apa jenayah, tindakan boleh dan akan diambil.
Pindaan ini hanya menghalang ahli-ahli parti daripada
memperalatkan proses kehakiman untuk mencapai tujuan politik
dirinya atau kumpulannya dalam urusan dan masalah parti
semata-mata. Ahli-ahli parti masih boleh melaporkan kepada
pihak berkuasa sebarang jenayah sekiranya ia mempunyai bukti
perkara itu berlaku dalam parti oleh mana-mana anggota
parti. Pihak berkuasa tidak kehilangan hak untuk menyelidik
dan memeriksa parti atau anggota-anggotanya jika ada tuduhan
yang berasas dan munasabah bahawa undang-undang negara telah
dicabul.
30. Pindaan kepada undang-undang Pertubuhan ini terhad
hanya kepada pentadbiran dan perjalanan parti politik
sebagai parti politik. Ia akan menghalang penggunaan proses
kehakiman untuk kepentingan politik ahli-ahli atau pemimpin-
pemimpin parti politik. Ia akan membebaskan mahkamah
daripada membuat keputusan-keputusan politik. Mahkamah dan
sistem kehakiman tidak lagi dapat diperalatkan oleh orang-
orang politik untuk mencapai kepentingan diri mereka
sendiri.
Tuan Yang di-Pertua,
31. Saya mohon mencadangkan.
|