Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 31/12/89
Tajuk/Title : UCAPAN PELANCARAN TAHUN MELAWAT
MALAYSIA, PERUTUSAN TAHUN BARU 1990
DAN UCAPAN PERASMIAN DATARAN MERDEKA
Yang Berhormat Datuk Sabbaruddin Chik,
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan;
Yang Berhormat Menteri-menteri;
Dif-dif kehormat;
Para hadirin sekalian.
Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk
Sabbaruddin dan semua yang terlibat dengan majlis pelancaran
Tahun Melawat Malaysia 1990 ini. Saya berharap Tahun
Melawat Malaysia akan berjaya meningkatkan bilangan para
pelancong luar negeri ke Malaysia dan menambahkan
pelancongan di kalangan rakyat Malaysia sendiri.
2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur sempena perasmian Dataran Merdeka ini. Dataran
ini sudah pun popular di kalangan rakyat tempatan dan para
pelancong asing semenjak ianya siap pada bulan Oktober
semasa Mesyuarat CHOGM diadakan. Bendera kita yang besar
dan cantik yang berkibar di tiang yang tinggi
sekali di dunia menjadi kemegahan semua rakyat.
Para hadirin sekalian,
3. Semenjak kita merdeka berbagai-bagai usaha dibuat untuk
membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat. Malaysia
selepas mencapai kemerdekaan, berbeza sama sekali dengan
tanah jajahan British dahulu.
4. Sekarang ini kita berusaha memajukan industri
pelancongan yang mempunyai banyak potensi untuk
mempercepatkan pembangunan negara. Tujuan kita menggalakkan
pelancongan bukanlah untuk memperkayakan para pelabur.
Tujuannya ialah supaya kita dapat mengurangkan pengangguran
dan menolong para peniaga, para pekedai dan para penjaja
menambah pendapatan mereka. Tetapi industri pelancongan
tidak boleh maju tanpa para pelabur. Bahkan para pelabur
juga tidak boleh maju tanpa bantuan kerajaan daripada segi
infrastruktur dan promosi.
5. Jika industri pelancongan maju, Kerajaan juga akan
dapat mengutip cukai yang bertambah yang akan digunakan
untuk menyediakan kemudahan-kemudahan bagi semua rakyat.
Jelaslah bahawa semua rakyat Malaysia akan mendapat nikmat
daripada industri pelancongan.
6. Tetapi industri pelancongan ini bergantung kepada
perkhidmatan dan layanan. Walau bagaimana baik
sekalipun bangunan hotel, jalanraya, kemudahan komunikasi
dan walau bagaimana cantik dan nyaman tempat-tempat
peranginan, selagi perkhidmatan dan layanan tidak baik,
industri pelancongan ini tidak akan berjaya.
7. Layanan yang baik bukanlah terhad kepada pekerja-
pekerja dalam hotel-hotel sahaja tetapi mestilah diamalkan
oleh kita semua. Semua rakyat Malaysia adalah tuan rumah
dan mereka yang melancong, sama ada dari luar atau dalam
negeri, adalah tetamu kita. Kita mestilah memberi layanan
seperti kebiasaan orang-orang Malaysia melayan tetamu-tetamu
mereka. Marilah kita bersama-sama menjayakan Tahun Melawat
Malaysia.
Para hadirin sekalian,
8. Sebentar lagi akan berakhirlah tahun 1989, satu tahun
yang bersejarah dan gemilang bagi Malaysia. Dalam tahun
1989 kita telah mengalami peristiwa-peristiwa yang membawa
banyak manfaat kepada kita.
9. Pada tahun 1989 iklim politik antarabangsa menjadi
bertambah baik. Beberapa negara komunis menolak ideologi
yang anti-agama dan sempit. Kuasa-kuasa dunia yang terbesar
telah memulakan proses mengurangkan ancaman perang nuklear.
Perubahan-perubahan yang tidak dijangka sama sekali sedang
berlaku. Namun demikian kita perlu berhati-hati kerana
dalam dunia ini kekuatan masih menentukan keadilan atau
"might is still right".
10. Malaysia telah memainkan peranan yang lebih ketara
dalam arena politik antarabangsa. Kita dipilih menduduki
Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, menjadi Pengerusi
Kumpulan 77 dan mempengerusikan Mesyuarat CHOGM. Malaysia
diberi penghormatan menghantarkan pasukan keselamatannya
berkhidmat dengan Bangsa-Bangsa Bersatu di Asia Barat dan
Namibia. Banyak negara maju mencari pedoman daripada
Malaysia berkenaan cara-cara kita memerangi dadah.
11. Dalam negeri pula, Malaysia adalah di antara
sebilangan kecil negara-negara membangun yang berjaya,
baik daripada segi kestabilan politik mahupun dalam
pertumbuhan ekonomi. Rakyat Malaysia bernasib baik kerana
pemulihan ekonomi yang bermula pada akhir tahun 1987 telah
meningkat dengan lebih pesat pada tahun 1988 dan seterusnya
pada tahun 1989.
12. Pelaburan dalam negara kita telah bertambah dan telah
memberi banyak nikmat kepada rakyat. Pengangguran sudah
berkurangan bagi mereka yang sanggup bekerja dan tidak
terlalu memilih. Peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja juga
menikmati perniagaan yang lebih laris. Kita berjaya
menjimatkan perbelanjaan dengan pengurusan kewangan yang
lebih efisien dan ketat dan melalui proses penswastaan.
13. Keadaan politik dalam negeri juga menjadi lebih stabil.
Ancaman terhadap kestabilan negara kerana perpecahan sudah
diatasi. Tiada lagi terdapat ketegangan seperti pada bulan
Oktober-November tahun 1987.
14. Kita dapat menamatkan ancaman gerakan bersenjata
komunis dengan perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya
setelah cuba menjatuhkan Kerajaan secara kekerasan selama 41
tahun. Pencapaian ini sahaja pun menjadikan tahun 1989
tahun yang bersejarah.
15. Kita berterima kasih kepada pasukan keselamatan kita
kerana sanggup berkorban nyawa untuk menjamin keamanan
bagi kita semua. Kita tidak akan lupa pengorbanan mereka
yang akhirnya menghasilkan kemenangan.
Para hadirin sekalian,
16. Tahun 1989 juga memperlihatkan beberapa peristiwa yang
membanggakan. Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA
dan pencapaian Malaysia daripada segi pengurusan acara sukan
ini amat cemerlang. Dalam pertandingan pula, kita dengan
penduduk hanya 17 juta berjaya mendapat tempat kedua dan
menjadi juara bolasepak.
17. Sebelum, semasa dan selepas Sukan SEA, rakyat berbilang
kaum menunjukkan perpaduan dan semangat kebangsaan yang luar
biasa. Ini adalah petanda yang baik bagi negara kita.
18. Dengan kejayaan CHOGM, Malaysia yang kurang dikenali
telah menjadi fokas seluruh dunia. Kejayaan cemerlang ini
adalah hasil usaha gigih rakyat keseluruhannya.
19. Kesedaran akan identiti bangsa dan negara Malaysia
menjadikan rakyat negara bertuah ini lebih bertanggungjawab.
Bandar-bandar besar dan kecil sentiasa dibersih dan
dihiaskan. Kuala Lumpur sekarang terkenal sebagai bandar
yang cantik, bersih dan bercahaya. Mulai sekarang Kuala
Lumpur akan dipanggil dengan nama Kuala Lumpur -- Bandaraya
Taman Bercahaya atau Kuala Lumpur -- Garden City of Lights.
Para hadirin sekalian,
20. Pada tahun 1989 juga, kita telah melancarkan Gerakan
Budaya Kerja Cemerlang. Ia bertujuan bukan sahaja untuk
menjadikan kualiti kerja kita lebih baik dan lebih compet-
itive tetapi juga bertujuan menjadikan kualiti hidup kita
lebih selesa dan bermakna.
21. Kita boleh menyenaraikan banyak lagi kejayaan kita,
tetapi memadailah dengan apa yang telah saya sebutkan.
Namun, kita tidak boleh leka dengan pencapaian-pencapaian
ini. Masih banyak kerja dan tindakan yang perlu dibuat
untuk memajukan lagi Malaysia.
22. Usahawan-usahawan Malaysia mestilah berani menerokai
pasaran-pasaran baru. Mereka masih terlalu bergantung
kepada perlindungan Kerajaan. Mereka juga terlalu
bergantung kepada para peniaga negara jiran. Para pekerja
Malaysia pula mestilah sanggup melibatkan diri dalam
beberapa bidang yang penting dalam proses perindustrian
Malaysia.
23. Di seluruh dunia, Malaysia dan rakyatnya terkenal
kerana budi-bahasa, persefahaman dan keharmonian mereka.
Dalam dunia Islam juga, Malaysia dan rakyat Islamnya
terkenal kerana tertib, bersopan santun dan tidak
bersengketa. Orang-orang Islam di Malaysia mestilah
membuktikan secara jelas bahawa Islam adalah agama yang
adil, toleran dan yang membawa kejayaan kepada penganutnya
supaya kita mendapat penghormatan daripada pihak lain.
Kerajaan tidak akan menggunakan paksaan walau apapun ugutan
daripada mereka yang suka menyoal ke-Islaman Kerajaan ini.
24. Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam juga
bertanggungjawab kepada diri sendiri dan kepada penganut-
penganut agama lain termasuklah penganut-penganut agama
Islam. Kebebasan beragama di Malaysia adalah lebih baik
daripada kebebasan yang terdapat di negara-negara maju di
mana tidak terdapat rumah-rumah ibadat berbagai agama
seperti di Malaysia. Oleh itu semua rakyat Malaysia
haruslah insaf akan kebebasan beragama di negara kita.
Rakyat Malaysia janganlah terlalu mudah terpengaruh dengan
propaganda-propaganda Barat.
Para hadirin sekalian,
25. Kita mempunyai potensi yang lebih baik daripada negara-
negara lain untuk mencapai tahap pembangunan yang tinggi.
Kemajuan sesuatu bangsa banyak bergantung kepada nilai-nilai
yang diamalkan oleh bangsa itu, terutamanya budaya kerjanya.
26. Kita semua tahu nilai yang baik bagi kita, tetapi
antara kefahaman ini dengan amalannya terdapat jarak yang
agak jauh. Sekiranya kita dapat mengurangkan jarak ini,
kita akan mendapat kebahagiaan.
27. Marilah kita semua membuat resolusi untuk mengamalkan
nilai-nilai yang baik. Pekerja dan majikan hendaklah
mengelak daripada berkonfrontasi, tetapi sebaliknya
bersepakat demi kepentingan bersama. Janganlah kita
dijadikan alat oleh orang-orang yang dahulu menjajah dan
sekarang ini bersaing dengan kita. Penjajahan akal fikiran
yang diusahakan melalui ideologi asing hendaklah dihapuskan.
Para hadirin sekalian,
28. Di samping kita bergembira dengan kejayaan-kejayaan
kita, kita juga bersedih kerana beberapa tragedi dalam tahun
1989 yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Antaranya ialah
kemalangan kapalterbang Polis Di-Raja Malaysia, kebakaran
asrama sekolah agama di Kedah, dan kemalangan dua buah
helikopter TUDM. Kita berdoa semoga roh mereka dicucuri
rahmat.
Para hadirin sekalian,
29. Setelah kita meningkatkan budaya kerja kita, berusaha
bersungguh-sungguh, mengenepikan kegiatan-kegiatan yang
tidak bermanfaat; Insya-Allah, God willing, kita akan
mencapai kejayaan yang lebih baik lagi pada tahun 1990 dan
dekad sembilan-puluhan.
Para hadirin sekalian,
30. Sekarang dengan sukacitanya saya merasmikan Dataran
Merdeka yang indah ini serta melancarkan Tahun Melawat
Malaysia dengan penuh harapan bahawa tahun 1990 akan
membawa kebahagiaan kepada Malaysia dan rakyatnya.
31. Selamat Tahun Baru saya ucapkan kepada semua rakyat
Malaysia.
|