Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT LATIHAN POLIS, JALAN SEMARAK,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 13/01/90
Tajuk/Title : MAJLIS PERBARISAN HARI RELA TAHUN 1990
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Bersyukur kita ke
hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita
bersama-sama di Majlis Perbarisan Hari RELA tahun 1990 ini.
2. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak RELA di atas daya usahanya
menganjurkan hari memperingati penubuhan RELA yang merupakan perayaan Hari
RELA yang julung kali diadakan semenjak RELA ditubuhkan pada bulan Januari
tahun 1972.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Penubuhan RELA adalah untuk memberi kesempatan kepada rakyat jelata
yang taat setia untuk tampil ke hadapan menganggotai sebuah agensi
keselamatan Kerajaan yang diwujudkan bagi membantu memelihara dan
mempertahankan keselamatan dan keamanan negara. Penubuhannya adalah
selaras dengan falsafah dan keyakinan bahawa tanggungjawab mempertahankan
kedaulatan dan kemerdekaan negara adalah di tangan rakyat Malaysia sendiri
dengan setiap rakyat memainkan peranan masing-masing.
4. Negara telah berjaya mengemblingkan tenaga rakyat daripada semua
golongan untuk bersatu menghadapi cabaran- cabaran yang dicetuskan oleh
keadaan-keadaan darurat. Pasukan Home Guard dan Polis Khas telah membantu
pasukan keselamatan mematahkan keganasan Parti Komunis Malaya. Peranan dan
pengorbanan rakyat yang menganggotai Pasukan Home Guard dan Polis Khas
telah banyak membantu pasukan-pasukan keselamatan kita mematahkan ancaman
Parti Komunis Malaya. Kita berbangga di atas sumbangan khidmat bakti serta
pengorbanan rakyat melalui Pasukan Home Guard dan Polis Khas ini.
5. Kemerdekaan dan kedaulatan negara telah tercabar pada tahun 1963
apabila rejim Sukarno melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia. Sekali
lagi negara menghadapi keadaan darurat. Di atas kesedaran bahawa sebarang
perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara perlulah
didokong dan disertai oleh warganegara sendiri, maka Kerajaan telah
menubuhkan sebuah lagi pasukan keselamatan sukarela yang bernama Pasukan
Kawalan. Sambutan rakyat daripada semua golongan sungguh menggalakkan
apabila lebih daripada 780,000 warganegara telah tampil ke hadapan
menganggotai Pasukan Kawalan.
6. Sekarang ini Pasukan Home Guard, Polis Khas dan Pasukan Kawalan tidak
lagi wujud. Pasukan-pasukan ini telah dibubarkan setelah keamanan negara
berjaya dipulihkan. Ini berbeza sekali dengan RELA di mana ianya telah
terus dikekalkan semenjak ditubuhkan 18 tahun yang lalu. Pengekalan RELA
sebagai salah sebuah jentera keselamatan yang besar pada hari ini adalah
bukti bahawa Kerajaan masih percaya akan peranan yang boleh dimainkan oleh
RELA dalam menjayakan usaha-usaha ke arah keselamatan dan pertahanan
negara. Ianya juga adalah bukti komitmen Kerajaan untuk terus
mengemblingkan tenaga rakyat melalui badan-badan sukarela, sama ada semasa
aman mahupun semasa darurat.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
7. Semenjak ianya ditubuhkan, Pasukan RELA telah berjaya memainkan peranan
yang tidak kurang pentingnya dalam membantu Kerajaan memelihara dan
mengekalkan keselamatan dan keamanan negara. Pada tahun-tahun 1970an,
Pasukan RELA telah berjaya menyalurkan maklumat-maklumat penting mengenai
tindak-tanduk serta gerak-geri pihak komunis kepada pasukan keselamatan
kita sehinggalah membawa kejayaan dalam operasi- operasi memusnah dan
memerangi keganasan pihak komunis di Semenanjung Malaysia dan
Sarawak. Bahkan ada beberapa orang anggota RELA yang telah menunjukkan
semangat keperwiraan yang tinggi dan telah gugur dalam menentang
komunis. Kerajaan menyedari bahawa ramai bilangan anggota RELA yang sering
mengorbankan masa dan tenaga masing-masing membuat kawalan serta rondaan
bagi menjamin keselamatan dan keamanan kampung atau mukim
masing-masing. Kerajaan serta rakyat berterima kasih dan berbangga dengan
sikap dan keberanian ini.
8. Sekarang ini Pasukan RELA juga telah mula memberi sumbangan dalam
bidang pembangunan sosial seperti kegiatan menderma darah, pemulihan rumah
orang-orang miskin, membina kemudahan-kemudahan asas terutamanya di
kawasan-kawasan luar bandar. Usaha-usaha ini amatlah disanjung
tinggi. Tenaga RELA sewajarnya disalur dan digemblingkan untuk memesatkan
lagi proses pembangunan negara, terutamanya dalam masa aman seperti
sekarang ini. Potensi RELA untuk memainkan peranan ini haruslah disedari
dan dimanfaatkan oleh semua pihak.
9. Justeru itu, sukalah saya mengesyorkan kepada Kerajaan- kerajaan Negeri
serta agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan supaya menggunakan khidmat
serta tenaga anggota-anggota RELA dalam negeri masing-masing untuk
menjayakan kegiatan- kegiatan pembangunan, terutamanya program pembasmian
kemiskinan luar bandar. Pasukan RELA bukan sahaja mempunyai kemampuan
untuk membantu Kerajaan menjayakan program tersebut, bahkan juga
penglibatan mereka akan dapat membantu menjimatkan perbelanjaan negara,
yang mana ini akan menolong membiayai lain-lain projek kemasyarakatan yang
tidak kurang pentingnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah- langkah menggubal
serta melaksanakan beberapa dasar dan strategi baru bertujuan meningkatkan
lagi kemantapan dan keberkesanan Pasukan RELA sebagai salah sebuah jentera
keselamatan negara. Langkah-langkah ini memerlukan sokongan semua pihak
terutamanya para pegawai serta setiap anggota RELA.
11. Ada dua perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap
anggota RELA. Pertama, setiap anggota RELA hendaklah sentiasa berwaspada
serta peka kepada setiap ancaman yang boleh mengganggu-gugat keamanan
serta kesejahteraan persekitaran masing-masing. Kedua, setiap anggota RELA
hendaklah berusaha meninggikan lagi semangat masing-masing agar sentiasa
bersedia untuk menjalankan apa sahaja tugas yang difikirkan perlu bagi
membantu membendung segala bentuk ancaman yang mungkin timbul di kawasan
masing- masing. Tanpa inisiatif oleh anggota-anggota RELA untuk
meninggikan semangat perjuangan masing-masing, usaha-usaha Kerajaan untuk
menjadikan RELA sebagai jentera keselamatan yang berkesan mungkin tidak
akan tercapai sepenuhnya.
12. Adalah menjadi kelaziman bagi manusia mengurangkan kewaspadaan serta
semangat berjuang masing-masing semasa negara berada dalam aman dan
makmur. Setiap anggota RELA janganlah hendaknya mengurangkan kewaspadaan
terhadap ancaman-ancaman keselamatan yang berlaku di negara ini sepanjang
masa, umpamanya usaha menimbulkan kebencian terhadap kerajaan melalui
berbagai jenis fitnah. Perletakan senjata baru-baru ini oleh
anggota-anggota Parti Komunis Malaya mungkin akan mendorong sesetengah
pihak, termasuk anggota-anggota RELA sendiri, untuk berfikir bahawa
ancaman- ancaman terhadap keselamatan negara sudah berakhir.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menerangkan tentang
perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya, yang mana perletakan senjata
ini mempunyai banyak kaitan dengan peranan yang berubah bagi RELA.
14. Semenjak kita merdeka dan sehingga perletakan senjata oleh Parti
Komunis Malaya, kita telah bersungguh-sungguh memerangi
pengganas-pengganas komunis di mana juga mereka berada. Berkat kegigihan
dan keberanian pasukan keselamatan kita, termasuk RELA,
pengganas-pengganas komunis terpaksa berundur dari Semenanjung Malaysia
kecuali di beberapa kawasan di Pahang dan Perak.
15. Walaupun mereka telah berundur, kita terpaksa meronda hutan-hutan dan
sempadan kita sepanjang masa. Kegiatan ini bukan sahaja melibatkan
perbelanjaan yang besar tetapi juga kerapkali anggota-anggota pasukan
keselamatan kita tercedera dan terbunuh akibat serang-hendap atau terpijak
jerangkap samar. Selagi kita perlu memburu pengganas-pengganas komunis,
selama itulah anggota-anggota pasukan keselamatan kita terdedah kepada
bahaya, tanpa kemungkinan kita membunuh semua pengganas-pengganas
komunis. Keadaan ini boleh berterusan kerana jerangkap samar boleh
dipasang pada bila- bila masa sahaja dan pengganas-pengganas komunis bebas
untuk merancang serangan mengikut kehendak mereka.
16. Semasa pengganas-pengganas komunis menentang kita, mereka telah
mengadakan gerakan-gerakan dan memasang jerangkap-jerangkap samar di
merata-rata tempat dalam hutan. Oleh kerana itu beribu-ribu ekar kawasan
hutan terutamanya di sempadan negara kita terpaksa diisytiharkan sebagai
kawasan hitam. Tidak sesiapa pun dibenarkan masuk ke kawasan-kawasan ini
dan tidak ada hasil bumi yang boleh dikeluarkan. Secara tidak langsung,
kawasan-kawasan ini menjadi kawasan musuh, walaupun sebenarnya ianya
adalah wilayah kita. Pada hakikatnya kita kehilangan wilayah kita.
17. Sebab itulah Kerajaan berpendapat ada faedahnya menerima perletakan
senjata oleh Parti Komunis Malaya. Pengganas-pengganas komunis bukan
sahaja sanggup menamatkan keganasan-keganasan mereka, tetapi juga sanggup
memusnahkan jerangkap-jerangkap samar yang telah mereka pasang dan tidak
akan memasang lagi jerangkap-jerangkap samar yang baru.
18. Dengan perletakan senjata ini, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan
nyawa dan mengelakkan kecederaan yang mungkin menimpa rakyat Malaysia
tetapi kita juga dapat menguasai dan membangunkan beribu-ribu ekar
kawasan-kawasan yang terbiar ini demi faedah rakyat.
19. Di masa yang sama, Parti Komunis Malaya masih tetap
diharamkan. Anggota-anggota Parti Komunis Malaya boleh balik ke Malaysia
tetapi kemasukan mereka adalah tertakluk kepada Perlembagaan dan
undang-undang negara ini. Ini bukanlah perkara luar biasa. Memang pun ada
anggota-anggota Parti Komunis Malaya seperti Musa Ahmad yang balik ke
Malaysia. Kerajaan tidak akan memberi layanan istimewa kepada
mereka. Kerajaan tidak akan memberi tanah kepada mereka walaupun Kerajaan
Thai sanggup berbuat demikian.
20. Kita juga harus memikirkan tentang beban yang dipikul oleh jiran kita,
Thailand. Parti Komunis Malaya menentang Malaysia sahaja, tetapi
kegiatan-kegiatan mereka juga membawa masalah kepada negara Thai. Justeru
itu, kita telah berusaha menamatkan keganasan pengganas-pengganas komunis
ini supaya Selatan Thai juga menjadi kawasan yang selamat. Semasa kita
mengadakan operasi terhadap pengganas- pengganas komunis, Kerajaan Thai
banyak membantu. Tentulah kita tidak berbudi jika kita tidak menghargai
kerjasama mereka.
21. Dengan perletakan senjata pengganas-pengganas komunis, tugas-tugas
pasukan keselamatan kita tidak dapat tidak akan berubah. RELA sebagai
sebahagian daripada pasukan keselamatan negara Malaysia perlu menerima
perubahan ini. Sementara tugas-tugas ini mungkin berubah, tetapi kita
semua hendaklah sentiasa berwaspada. Pengalaman yang kita alami selama 41
tahun menentang pengganas-pengganas komunis amat berguna sekali dalam
usaha-usaha kita mempertahankan kedaulatan negara kita.
22. Kita tidak akan dapat menjamin kemerdekaan kita melainkan rakyat
Malaysia sanggup mempertahankan negara kita ini. Dalam hal ini RELA
mestilah sentiasa bersiap sedia. Untuk memelihara keselamatan dan keamanan
negara, setiap rakyat Malaysia mestilah bersedia untuk menghadapi sebarang
kemungkinan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Pasukan RELA di atas
Perayaan Ulangtahun ke-18 penubuhan RELA. Bagi pihak kerajaan, saya
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap anggota RELA, serta
juga bekas- bekas anggota RELA, di atas segala pengorbanan dan sumbangan
mereka dalam membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan dan
kesejahteraan negara kita ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|