Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, PETALING JAYA,
Tarikh/Date : 22/02/90
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH
KEWARTAWANAN MALAYSIA ANJURAN
INSTITUT AKHBAR MALAYSIA
Yang Berhormat Dato Mohamed Rahmat,
Menteri Penerangan;
Yang Berbahagia Tuan Haji Mazlan Nordin,
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar
Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis Anugerah Hadiah
Kewartawanan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang. Kepada mereka
yang tidak berjaya kali ini, saya berharap tuan-tuan dan
puan-puan akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Media massa bukan sahaja berperanan memberi maklumat
tetapi juga bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan
pembangunan masyarakat, terutama dalam sebuah negara yang
membangun seperti Malaysia. Dalam hubungan ini, di negara
kita pihak akhbar dan kerajaan mempunyai objektif yang boleh
dikatakan sama. Malangnya ada pendapat bahawa kredibiliti
sesebuah akhbar bergantung kepada sikap adversary terhadap
kerajaan. Sementara pendapat semasa mentafsirkan kebebasan
akhbar adalah kebebasan daripada cengkaman kerajaan,
kebebasan juga harus bermakna kebebasan daripada kongkongan
pihak yang lain, yang juga mampu memperalatkan akhbar untuk
kepentingan mereka. Justeru itu sikap adversary terhadap
Kerajaan tidak sepatutnya menjadi ukuran kredibiliti
sesebuah akhbar.
3. Ini tidaklah bererti yang pihak akhbar tidak boleh
mengkritik dan menegur Kerajaan. Di dalam negara yang
mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, kritikan dan
teguran terhadap kerajaan amatlah penting untuk menentukan
penyalahgunaan kuasa tidak mudah berlaku dan segala dasar
dan tindakan kerajaan membawa kebaikan kepada rakyat dan
negara. Tetapi menidakkan yang baik hanya kerana kononnya
ingin mempertahankan kebebasan dan kredibiliti dan mungkin
kerana kepentingan komersial, sebenarnya mencabul hak dan
kebebasan yang diberikan kepada akhbar.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Kini kita berada di dekad 90an, satu dekad yang penuh
cabaran. Kini juga terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam
hampir semua bidang. Di antaranya ialah pembaharuan dalam
bidang teknologi maklumat. Kita sekarang ini dibanjiri
dengan laporan-laporan dan maklumat-maklumat daripada dalam
dan luar negeri. Dengan itu tanggungjawab akhbar bukan lagi
hanya menyampaikan laporan dan maklumat tetapi juga perlu
memilih di antara bahan-bahan berita yang banyak itu.
Apabila akhbar memilih, secara tidak langsung akhbar menjadi
censor atau penapis. Sepertimana juga pihak akhbar tidak
suka kepada tapisan rasmi, begitu juga akan ada orang lain
yang tidak suka akan tapisan yang dibuat oleh akhbar.
5. Sebagai contoh perkembangan yang berlaku di arena
antarabangsa, seperti pergolakan politik di negara-negara
Eropah Timur, sudah tentu menambahkan lagi perasaan ingin
tahu di kalangan masyarakat. Boleh dikatakan hampir setiap
hari akhbar-akhbar kita menyiarkan berita-berita mengenai
pergolakan politik, ekonomi, sosial antarabangsa. Juga
disiarkan ialah rencana-rencana atau features mengenai
berbagai-bagai tema. Akan tetapi kebanyakan bahan-bahan ini
diperolehi daripada agensi-agensi berita antarabangsa atau
akhbar-akhbar Barat. Hanya kadangkala sahaja rencana-
rencana ditulis oleh wartawan-wartawan daripada negara-
negara membangun. Bagi akhbar-akhbar di Malaysia, mereka
tidak mempunyai ramai wartawan yang bertugas di luar negeri.
6. Dengan ini berita-berita dan rencana-rencana yang kita
baca adalah melalui kacamata dan pandangan orang-orang asing
yang mempunyai nilai-nilai dan pendekatan-pendekatan yang
tidak semestinya sama dengan kita. Dengan disogok oleh
berita-berita daripada punca-punca asing, maka ada
kemungkinan lama-kelamaan nilai, sikap dan pendirian kita
akan terjejas. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak kita
mengikut pemikiran cara barat yang sudah tentu mengutamakan
kepentingan mereka. Sementara kita berjaya menghapuskan
penjajahan fizikal dengan kemerdekaan yang kita capai,
tetapi kerana penguasaan media oleh barat, pemikiran kita
masih dijajah. Memang benar, adalah sukar bagi media massa
kita untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini sendiri.
Tetapi masanya sudah tiba bagi kita menempatkan wartawan-
wartawan kita sendiri di beberapa buah negara. Untuk
mencapai tujuan ini, mungkin akhbar-akhbar di Malaysia dapat
mengadakan satu bentuk kerjasama.
7. Saya sedar dan faham bahawa oleh kerana constraint
kewangan dan kakitangan, dan daripada aspek practicality,
akhbar-akhbar tempatan, seperti juga kebanyakan akhbar-
akhbar di seluruh dunia, akan terus bergantung kepada
agensi-agensi berita antarabangsa untuk berita-berita
mereka. Saya juga ingin menegaskan bukanlah maksud saya
bahawa bahan-bahan berita asing tidak boleh digunakan sama
sekali. Hanya yang saya harap ialah lebih ramai lagi
wartawan Malaysia dapat menulis mengenai isu-isu
antarabangsa dengan cara yang non-orthodox dan berlainan
daripada kacamata barat tetapi masih mempunyai logik dan
pemikiran yang bernas dan tersendiri.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
8. Saya percaya tugas seseorang pengarang dan wartawan di
dalam sebuah masyarakat majmuk bukanlah mudah, terutama
sekali sekiranya ia berhadapan dengan isu-isu kaum dan
agama. Perkara-perkara seumpama ini, boleh menyinggung
perasaan dan sensitiviti. Ini lebih-lebih lagi sekiranya
sesuatu isu itu sengaja dibesar-besarkan. Ini tidaklah
bermakna yang pihak akhbar tidak boleh langsung melaporkan
hal-hal yang melibatkan ras dan agama. Akan tetapi setiap
wartawan perlulah bersikap jujur dan adil sekiranya membuat
laporan mengenai perkara-perkara ini. Para wartawan perlu
menimbangkan sama ada penerbitan sesuatu bahan berita itu
akan memberi manfaat kepada masyarakat ataupun sebaliknya.
9. Kejadian yang kecil di satu tempat dalam satu konteks
tidak menjadi kontroversial dan sensitif jika dihadkan
kepada tempat itu sahaja. Tetapi akhbar adalah penyebar
berita sehingga ke seluruh negara. Apabila sesuatu yang
kecil disebar luas, ia menjadi besar. Untuk menjadikan
peristiwa kecil itu lebih sensational, ia diwarnakan pula
dengan kata-kata dan susunan ayat dan kadang-kadang diputar
dan dibelitkan. Dengan itu sesuatu yang pada mulanya
masalah kecil menjadi isu besar.
10. Hak mengetahui atau the right to know dicipta dan
dipuja oleh orang-orang yang berkepentingan, orang-orang
yang mahu menjadikan tugas mereka begitu essential. Tetapi
hakikatnya ialah banyak yang berlaku dalam dunia ini yang
kita tidak mungkin mengetahuinya. Sayugia diingatkan bahawa
yang kita tidak akan mati kalau kita tidak mengetahui
sesuatu hal itu. Justeru itu janganlah terlalu fanatik
tentang soal the right to know ini. Ada kalanya adalah
lebih baik jika sesuatu berita itu tidak disebarkan. Oleh
kerana kita tidak mungkin menyebarkan semua berita, kita
terpaksa memilih. Apa salahnya jika kita memilih berita
yang membina daripada yang hanya boleh membawa keburukan
walaupun kononnya berita yang buruk lebih menarik daripada
berita yang baik. Kita sering mengecam peniaga yang hanya
mengutamakan keuntungan dan tidak menghiraukan kepentingan
masyarakat. Apakah dengan kita mengutamakan larisnya
penjualan akhbar kita, kita tidak sama tamak dengan peniaga
yang hanya mengutamakan keuntungan?
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Saya tidak bercadang untuk bercakap dengan lebih
panjang lagi kerana saya rasa memadailah dengan apa yang
telah saya sebutkan. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan
dapat memikirkan pandangan yang dilahirkan ini.
12. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis
ini. Saya percaya penganugerahan seumpama ini akan terus
mendorong wartawan-wartawan kita untuk meningkatkan lagi
taraf profesionalisma mereka.
Terima kasih.
|