Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOSPITAL BESAR KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 23/02/90
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TAPAK INSTITUT
JANTUNG NEGARA
Yang Berhormat Encik Ng Cheng Kiat,
Menteri Kesihatan;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Kesihatan kerana menjemput saya merasmikan tapak Institut
Jantung Negara ini. Perasmian ini menandakan satu
perkembangan yang menggalakkan dalam penyediaan kemudahan
kesihatan, terutama untuk penyakit jantung di negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Semenjak kemerdekaan, perkembangan yang pesat dalam
bidang perubatan dan kesihatan telah dapat dilaksanakan oleh
Kerajaan Malaysia. Segala perkhidmatan telah diaturkan
dengan teliti dan rapi. Rakyat yang miskin ataupun kaya,
yang tinggal di desa atau di bandar, semuanya merasai nikmat
kemudahan-kemudahan perubatan dan kesihatan yang tidak
memerlukan caruman atau "non-contributory medical service"
ini. Bayaran perkhidmatan perubatan di Malaysia adalah nom-
inal sahaja dan boleh dikecualikan untuk yang tidak mampu.
Bagi yang mampu pun bayaran untuk pembedahan jantung terhad
kepada 3,000 ringgit, sedangkan bayaran biasa di klinik
bukan Kerajaan ialah 25,000 ringgit. Demikianlah komitmen
Kerajaan terhadap kesihatan.
3. Kerajaan sentiasa berusaha supaya rakyat mempunyai
tahap kesihatan yang tinggi kerana kesihatan adalah antara
asas-asas penting bagi kemajuan dan pembangunan sosial.
Indikator kesihatan seperti kadar kematian ibu dan kadar
kematian bayi yang kian menurun, mencerminkan pencapaian
kita setakat ini.
4. Perkembangan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah
selaras dengan perubahan sosial dan demografi, serta
perkembangan teknologi perubatan. Antara perubahan yang ada
kaitan dengan perkhidmatan perubatan dan kesihatan ialah
corak atau pattern penyakit. Corak penyakit yang kita
alami pada masa ini menyerupai corak yang terdapat di negara
maju. Dengan ini kita harus mengubah tumpuan kita untuk
menghadapi masalah baru ini. Antara perubahan yang nyata
ialah peningkatan bilangan penyakit jantung atau
cardiovascular diseases. Sekarang ini penyakit
kardiovaskular telah menjadi penyebab utama kematian di
negara ini, tidak lagi malaria, taun atau tibi.
5. Program rawatan penyakit cardiovascular ini memerlukan
keupayaan teknologi moden. Kita sedar tentang keperluan ini
dan berbagai kemudahan moden telah disediakan bukan sahaja
di Kuala Lumpur bahkan di beberapa hospital besar lain.
Sepertimana yang kita sedia maklum, segala aktiviti ini
sehingga sekarang dilaksanakan oleh warganegara kita sendiri
tanpa bantuan dari pakar negara asing. Pencapaian yang
diperolehi adalah satu petanda bahawa jika diberi peluang,
rakyat Malaysia boleh menandingi kemahiran yang terdapat di
negara maju. Kita tidaklah angkuh jika kita menyatakan
hakikat ini dan kita berbangga dengannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Masanya telah tiba bagi negara kita mempertingkatkan
lagi keupayaan serta teknologi kita untuk merawat pesakit-
pesakit yang menghidapi penyakit kardiovaskular. Dengan
itu, pembinaan Institut Jantung Negara ini akan menjadi
pusat rujukan utama bagi merawat penyakit-penyakit jantung
dan kardiothorasik bagi seluruh negara. Segala kelengkapan
dan kemudahan yang disediakan akan mengambilkira
perkembangan teknologi perubatan yang termoden. Selain
daripada khidmat rawatan, Institut ini juga akan digunakan
sebagai pusat latihan dan penyelidikan dalam bidang
kardiologi dan pembedahan kardiotorasik. Pelbagai aktiviti
latihan dan pendidikan terusan untuk pakar-pakar, doktor-
doktor, jururawat-jururawat dan lain kakitangan teknikal
akan dilaksanakan. Institut ini juga akan memainkan peranan
penting dalam pendidikan kesihatan, supaya masyarakat
mempunyai pengetahuan dan pendidikan dalam pencegahan dan
pemulihan penyakit jantung.
7. Sayugia juga dinyatakan bahawa kerajaan tidak akan
menumpukan kepada aspek rawatan serta pembedahan jantung
sahaja. Pencegahan lebih baik dari rawatan dan dengan itu
aktiviti-aktiviti pencegahan penyakit jantung akan
diperhebatkan lagi. Antara lain, kempen-kempen untuk
mengubah cara hidup kepada satu cara hidup yang sihat akan
terus dilaksanakan. Mengikut pengalaman negara-negara maju,
dengan hanya mengamal cara hidup yang sihat, bilangan yang
mengidapi penyakit jantung dan kardiovaskular akan menurun.
8. Selaras dengan ini, Kementerian Kesihatan telah mengatur
satu program pencegahan yang komprehensif untuk menyekat
penyakit kardiovaskular dari menjadi satu wabak. Adalah
menjadi harapan kita semoga dengan mempunyai program
pencegahan serta program rawatan yang bermutu tinggi lagi
berkesan, kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang
lebih sihat dan mengalami mutu hidup yang berkualiti.
9. Selain dari projek-projek seperti ini, kerajaan
sentiasa peka tentang masaalah-masaalah kesihatan di seluruh
negara, sama ada di desa ataupun di bandar. Pelbagai aspek
perkhidmatan perubatan dan kesihatan akan dipertingkatkan
dalam Rancangan Malaysia yang akan datang. Selain dari
menambah bilangan kemudahan-kemudahan, taraf kemudahan-
kemudahan yang sedia ada akan ditingkatkan untuk memberi
perkhidmatan yang lebih cekap dan menyeluruh. Penduduk-
penduduk di luar bandar akan terus memperolehi kemudahan
perubatan asas yang lebih lengkap dan komprehensif.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Sebentar tadi saya telah menyebut betapa kita berhak
berbangga kerana rawatan dan pembedahan bagi pesakit di
Malaysia dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri. Keadaan
ini sekarang terancam kerana satu fenomena baru yang melanda
dunia.
11. Dunia sekarang kekurangan jururawat. Kekurangan ini
disebabkan oleh beberapa perkara. Pertama negara-negara
yang kaya-raya tetapi kekurangan penduduk sedang mempelawa
warganegara asing untuk bekerja dalam institusi perubatan
mereka dengan gaji yang lumayan. Kedua, di negara-negara
yang maju, rakyat mereka pula enggan bekerja sebagai
jururawat kerana takut dijangkiti dengan penyakit tertentu
yang boleh membawa maut yang sedang melanda negara mereka.
12. Oleh kerana sebab-sebab ini, tawaran kerja untuk
jururawat dari negara-negara membangun sudah meningkat
dengan pesat. Kita tidak mampu menyaingi tawaran gaji yang
tinggi. Dengan itu kita mungkin kehilangan jururawat
tempatan untuk mengisi jawatan-jawatan penting yang kita
sedang wujudkan seperti untuk Institut Jantung Negara ini.
Kita juga mungkin terpaksa mengambil jururawat dari negara-
negara yang kurang maju daripada kita. Dengan itu kita
tidak lagi boleh berbangga kerana kita tidak dirawati dan
dibedah oleh warganegara kita sendiri. Masalah ini sedang
dalam perhatian Kerajaan. Namun demikian, rakyat harus tahu
masalah atau constraint yang dihadapi oleh negara dalam
usaha mengadakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Sekarang saya dengan sukacitanya merasmikan tapak
Institut Jantung Negara Hospital Besar, Kuala Lumpur.
|