Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUANTAN, PAHANG
Tarikh/Date : 02/03/90
Tajuk/Title : MAJLIS PENUTUP TILAWAH AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob,
Menteri Besar Pahang;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan kudrat dan inayahNya, kita dapat berkumpul
sekali lagi di Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat
Kebangsaan tahun 1990, bersamaan dengan 1410 Hijrah ini.
Insya-Allah, kita akan mengadakan Tilawah Al-Quran Peringkat
Antarabangsa pada 20hb Mac ini. Ini adalah di antara usaha
kita ke arah meningkatkan mutu bacaan dan pertalian umat
Islam dengan Al-Quran.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Tema Tilawah Al-Quran tahun ini -- "Bersatu Teguh" --
harus diberi keutamaan dan perhatian oleh setiap lapisan
masyarakat, supaya konsep dan falsafah bersatu difahami dan
seterusnya menjadi amalan kehidupan harian kita.
3. Islam amat menitikberatkan soal bersatupadu dan unsur
ini ditegaskan dalam berbagai aspek syariat Islam.
Umpamanya, penekanan terhadap sembahyang berjemaah dan
sembahyang sunat Hari Raya adalah contoh-contoh jelas yang
menunjukkan betapa Islam menekankan pertalian dan
perhubungan antara umat Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala
berfirman dalam surah A-li 'Imraan, ayat 103 yang bermaksud:
"Berpeganglah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu
berpecah-belah".
4. Sejarah Islam bermula dengan perpaduan. Kejayaan umat
Islam di zaman Rasulullah s.a.w. adalah kerana umat Islam
pada masa itu bersatupadu. Mereka bersatu di atas panji
tauhid dan bersatu menentang kekufuran masyarakat Arab
Quraish pada ketika itu. Di sebaliknya pula, sejarah telah
mengajar kita bagaimana tentera Islam telah tewas di tangan
tentera Quraish di dalam peperangan Uhud, akibat daripada
sikap tentera Islam yang berpecah di antara satu sama lain,
kerana ada segelintir tentera Islam yang tamak dan
mengutamakan kepentingan peribadi hingga sanggup
mengenepikan arahan Rasulullah s.a.w. Selepas episod itu,
umat Islam bersatu semula di bawah pimpinan Rasulullah dan
kejayaan dicipta. Perpaduan juga terdapat semasa
pemerintahan keempat-empat Khalifah Al-Rashidin dan Islam
telah berkembang di tanah Arab dan di luar rantau Arab -- di
Utara Afrika, Eropah barat terutamanya Sepanyol, China dan
di rantau Asia Tenggara.
5. Islam berkembang di Sepanyol apabila orang-orang Islam
yang datang dari luar dan tempatan bersatupadu. Zaman
pemerintahan Abdul Rahman Ketiga bukan sahaja menyaksikan
kota-kota seperti Cardova atau Qurthubah menjadi terkenal,
tetapi juga memperlihatkan perpaduan yang kuat. Walau
bagaimanapun pemerintahan Islam di Sepanyol akhirnya hancur
apabila orang-orang Islam berpecah-belah, mula mengutamakan
sentimen keturunan yang berasal dari luar Sepanyol dan
tempatan dan sebagainya. Perpecahan telah membawa
kehancuran. Satu demi satu daripada daerah-daerah Islam di
Sepanyol ditewas dan ditakluk semula oleh orang Sepanyol.
6. Ramai tokoh-tokoh Islam pula telah dapat mendalami
bidang ilmu masing-masing di zaman kecemerlangan Islam, baik
di Baghdad, Mesir, Sepanyol dan di negara-negara Arab yang
lain. Marilah kita mengkaji riwayat hidup Abdullah Ibn
Sina, Muhammad Musa Al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Ibn Batuta
dan lain-lain. Mereka dihormati bukan sahaja oleh orang-
orang Islam tetapi juga oleh yang bukan Islam, dan oleh
kerana mereka menganuti Islam, Islam juga dihormati oleh
orang-orang bukan Islam. Ini merupakan satu bentuk dakwah
yang paling berkesan. Tidak ada sesiapa yang akan tertarik
dengan agama suku-suku kaum yang kolot yang tidak pernah
berjaya. Perkembangan Islam yang meluas berlaku di zaman
kejayaan orang-orang Islam dalam berbagai-bagai bidang.
Apabila orang-orang Islam tidak lagi maju, maka perkembangan
Islam pun terhenti. Di beberapa negara tertentu agama Islam
telah merosot sehingga ada orang-orang Islam yang
meninggalkan agama Islam dan menerima ideologi-ideologi yang
bertentangan dengan Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Kerajaan telah menyusun berbagai-bagai program untuk
memantapkan lagi perpaduan antara umat Islam. Antaranya
ialah melalui program-program takmir masjid dan penyusunan
semua pentadbiran masjid di seluruh negara dan sebagainya.
Masjid akan diperkemaskan lagi pentadbirannya dan akan
digerakkan supaya dapat memainkan peranannya ke arah ini.
Masjid akan dijadikan tempat untuk menjalinkan kasih sayang,
hormat-menghormati, tolong-menolong di kalangan orang-orang
Islam dan bukan tempat pertelingkahan dan bertikam-lidah di
antara satu dengan lain.
8. Begitu juga kerajaan akan terus berusaha untuk
menyatupadukan kaum di negara ini supaya wujud satu
masyarakat yang bersatupadu dan harmoni. Hasrat kerajaan ke
arah menyatupadukan kaum ini jelas seperti yang digariskan
dalam matlamat Dasar Perpaduan Negara. Satu kemenangan yang
kita capai semenjak akhir-akhir ini yang boleh kita
banggakan ialah perletakan senjata oleh Parti Komunis
Malaya. Persetujuan mereka meletakkan senjata adalah
disebabkan oleh patahnya keyakinan mereka untuk menguasai
rakyat Malaysia melalui ideologi mereka, terutama di
kalangan umat Islam. Inilah natijah daripada perpaduan.
Kita rakyat Malaysia telah bersepakat menolak secara total
ideologi dan tatacara hidup mereka. Perpaduan yang
beginilah yang membawa kepada keteguhan agama, bangsa dan
negara kita.
9. Sekarang ini perkembangan dakwah kita amat membanggakan
dan kita bersyukur kerana umat Islam berminat untuk
menghayati Islam. Badan-badan dakwah telah berusaha
mengembangkan syiar Islam di seluruh pelosok negara. Tetapi
di celah-celah perkembangan dakwah ini, ada pula sekumpulan
pendakwah yang suka menimbulkan perkara-perkara furu' atau
perkara cabang yang telah selesai diputuskan oleh ulama
silam, sama ada daripada aspek hukum atau i'tiqad iaitu
kepercayaan. Penonjolan isu-isu ini sebenarnya tidak
langsung mendatangkan apa-apa manfaat bahkan boleh membawa
kepada kekeliruan dan perbalahan dan seterusnya perpecahan.
Oleh itu, umat Islam jangan lagi leka dan membuang masa
membincangkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan
manfaat tetapi penuhilah masa kita dengan aktiviti-aktiviti
yang boleh memajukan diri, masyarakat dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Marilah kita, rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya,
berusaha meningkatkan lagi perpaduan dan muhibah. Sejarah
telah membuktikan bagaimana kejayaan yang telah dicipta oleh
Rasulullah s.a.w. menyatupadukan golongan Ansar dan
Muhajirin. Ukhwah dan kasih sayang yang ditanam oleh
baginda Rasulullah s.a.w. menjadikan golongan Ansar rela
menerima Muhajirin yang datang mencurah-curah sebagai
pelarian dengan hanya membawa bekalan makanan dan pakaian
yang amat terhad. Fakta sejarah ini amat mencuit hati kita.
Ukhwah yang dibina di atas asas kesatuan akidah ini telah
menjayakan rancangan pembinaan sebuah negara Islam yang
gemilang yang merupakan satu cacatan sejarah yang amat pent-
ing. Menyedari betapa pentingnya peranan ukhwah ini, maka
semua lapisan masyarakat bertanggungjawab dan harus
berperanan menjayakannya.
11. Kerajaan sekarang giat berusaha untuk membangunkan
negara. Pembangunan yang dirancang dan dicita-citakan
adalah pembangunan yang seimbang di antara pembangunan
rohani dengan material. Kita tidak mahu sekiranya negara
kita maju tetapi penduduknya tidak mempunyai nilai hidup
yang tinggi dan hidup lepas bebas tanpa peradaban.
Sebaliknya kita juga tidak mahu hanya nilai hidup dan
peradaban yang tinggi tetapi negara dan rakyat mundur dan
miskin sehingga menghinakan agama kita. Kita hendaklah
mengimbangkan di antara kedua-dua aspek yang penting ini.
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
rakyat Malaysia tidak keterlaluan sehingga mencetuskan
masalah yang tidak dikehendaki oleh agama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Induk dan semua pihak yang terlibat dengan
Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini. Mudah-mudahan
usaha ini akan memberi makna kepada masyarakat Islam untuk
sama-sama berusaha ke arah penghayatan Islam. Dengan lafaz
Bismillahi rahmanir rahim, alhamdulillahi rabbil alamin,
dengan rasminya saya menutup Majlis Tilawah Al-Quran
Peringkat Kebangsaan ke-32 ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|