Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/03/90
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN RAKSAKSA PALESTIN
Assalamu alaikum warahmatulahi wabarakatuh dan selamat
petang kepada para hadirin sekalian.
Saudara Pengerusi Majlis Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Encik Anwar Ibrahim;
Yang dimuliakan dan dihormati Abu Amar Saudara Yassir Arafat
Presiden Palestin serta menteri-menteri dan rakan-rakannya
yang telah hadir pada petang ini;
Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri
Besar serta Menteri-menteri;
Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin sekalian.
Kita berkumpul pada petang ini untuk memberi
penghormatan kepada seorang pejuang yang telah berjuang
sekian lama untuk mencapai kemerdekaan bagi bangsa dan
negara. Kita anggap lawatan Presiden Palestin Yassir Arafat
sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada kita. Kita
rakyat Malaysia daripada berbagai kaum telah menurut
perjuangan rakyat Palestin dan kita faham akan perjuangan
mereka.
2. Sepertimana kita tahu dahulu kita dijajah tetapi
sekarang ini kita bebas, bahkan kita tentu faham betapa
mereka juga ingin melepaskan diri mereka daripada belenggu
penjajah. Tetapi sementara kita berjaya mencapai
kemerdekaan 33 tahun dahulu mereka masih lagi dijajah.
Perjuangan mereka untuk mencapai kemerdekaan adalah satu
perjuangan yang hebat yang menyebabkan kematian beribu-ribu
daripada rakyat mereka, berpuluh bahkan beratus ribu
daripada rakyat mereka telah cedera, yang setengahnya
sehingga sekarang ini cedera parah, kehilangan anggota dan
lain-lain. Namun mereka masih meneruskan perjuangan mereka
untuk mencapai kemerdekaan.
3. Perjuangan mereka adalah perjuangan yang adil. Mereka
hanya hendak supaya negara mereka diperintah oleh mereka,
bukan untuk menyingkirkan orang lain. Hanya mendapat negara
mereka bebas dan diperintah oleh rakyat Palestin, sama ada
mereka terdiri daripada orang Arab, ataupun orang-orang
Yahudi. Mereka hendak supaya negara mereka menjadi sebuah
demokrasi yang mana kerajaan ditentukan oleh rakyat yang
terdiri daripada kedua-dua kaum ini. Mereka tidak sama
sekali berhajat untuk menindas kaum Yahudi yang ada di
negara mereka. Ini sahaja yang dipohon oleh mereka, sama
juga dengan perjuangan kita untuk kemerdekaan. Apabila kita
menuntut kemerdekaan tidak menjadi tujuan kita untuk
menindas kaum-kaum yang ada di negara kita. Sebaliknya kita
hendak supaya semua kaum berganding bahu menolong mendirikan
kerajaan berbagai kaum untuk memerintah negara kita. Apakah
kesalahan mereka menuntut kemerdekaan bagi diri mereka
sehingga mereka tidak diberi penghormatan sama sekali bahkan
mereka tidak dilayan oleh kuasa-kuasa tertentu dalam dunia
yang menyokong penjajah Israel.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Mereka adalah manusia biasa seperti orang lain juga dan
mereka juga mempunyai hak kepada apa yang dikatakan human
rights, hak asasi manusia. Malangnya sementara ramai yang
memperkatakan tentang human rights ataupun hak asasi
manusia, orang yang sama itu tidak mahu memberi human rights
ataupun hak asasi mereka kepada orang-orang Palestin.
Kenapakah ada penilaian yang berbeza-beza ini. Kenapakah
hak mereka tidak diiktiraf sedangkan hak orang lain diberi
penghormatan dan disokong. Ramai yang datang ke negara kita
dan bercakap berkenaan human rights tetapi mereka yang sama
tidak mahu menyebut tentang hak asasi orang-orang Palestin.
Ini menunjuk bahawa orang yang memperkatakan human rights
ini sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu. Kalau kita
percaya kepada human rights, maka hendaklah kita beri hak
asasi ini kepada semua pihak tanpa mengira sama ada mereka
terdiri daripada Yahudi ataupun Arab ataupun Melayu ataupun
yang beragama Kristian ataupun yang beragama Islam ataupun
yang beragama Yahudi. Tetapi nampaknya ada pilih-pilih.
Human rights ini diberi kepada pihak-pihak tertentu sahaja
yang lain tidak mempunyai hak.
5. Apakah yang sedang berlaku sekarang di dalam Wilayah
Palestin yang telah dijajah oleh pihak Yahudi. Yahudi
mengadakan satu pemerintahan yang amat kejam. Setiap hari
mereka menyerang rakyat Palestin yang tidak mempunyai
senjata. Rakyat Palestin bukan terdiri daripada orang
dewasa semata-mata tetapi kanak-kanak juga diserang oleh
kerajaan Yahudi, kerajaan Israel. Hari ini lebih daripada
seribu orang Palestin telah dibunuh selama 27 bulan
Intifadah diadakan di Palestin. Pembangunan negara
Palestin, Intifadah telah diadakan selama 27 bulan. Dalam
masa 27 bulan ini tentera dan polis Israel telah menyerang
orang yang tidak berdosa, orang yang tidak bersenjata,
kanak-kanak sehingga yang dalam buaian semuanya telah
diserang oleh orang yang bersenjata ini dan dibunuh,
dicedera, ditembak dengan peluru, ditembak kononnya dengan
peluru getah yang juga boleh membunuh. Digunakan gas
pemedih mata, bahkan digunakan chemical weapon terhadap
orang yang tidak bersenjata yang cuba menunjuk perasaan
mereka untuk mendapat kemerdekaan, itu sahaja yang dibuat
oleh mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Kalau kita renongkan, kalaulah apa yang dibuat oleh
regim Tel Aviv ini terhadap orang-orang Palestin, dibuat
oleh kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya di dalam negara
kita ini, sudah tentu beribu-ribu orang akan datang mengecam
kerajaan kita kononnya amat zalim sekali. Tetapi ini kita
lihat dengan terang, kita lihat di kaca TV bagaimana tentera
Israel membunuh orang yang tidak berdosa ini. Tetapi apakah
kecaman-kecaman terhadap kerajaan Israel. Tidak ada! Kita
tahu bahawa di negara kita walaupun kita memerintah dengan
cara tertib mengikut undang-undang masih ada tuduhan bahawa
kita ini zalim tidak mengikut peraturan. Kini orang Israel
membunuh dengan terang-terang siang dan malam rakyatnya,
tetapi tidak ada kecaman, tidak ada kecaman terhadap mereka.
Bukan sahaja daripada kumpulan-kumpulan Barat, kumpulan-
kumpulan Barat yang sudah tentu tidak begitu suka dengan
orang Palestin. Tetapi ada juga di antara kita yang mudah
kecam di sini, tetapi tidak mudah kecam orang Israel.
7. Kenapa double standard, kalau kita kecam kezaliman di
mana ianya berlaku, dan tidak ada syak bahawa kerajaan
Israel adalah satu kerajaan yang sungguh bengis yang sanggup
menyerang negara-negara jiran dengan begitu sahaja. Negara-
negara jirannya Lubnan, Syria, Iraq, mereka serang dengan
secara bebas tidak ada siapa yang berkata. Bahkan ada orang
yang membekalkan senjata kepada kerajaan Israel untuk
menyerang jiran-jiran mereka. Ini kalau dibuat oleh
kerajaan Israel adalah baik. Tetapi perjuangan rakyat
Palestin hanya untuk keadilan bukan lebih daripada itu,
keadilan untuk meminta kemerdekaan untuk negara mereka
sendiri, ini tidak dapat layanan. Ini menunjuk hipokrisi,
hipokrisi di kalangan sesetengah pihak yang tidak perlu saya
sebutkan, kita tahu siapa mereka. Mereka bercakap berkenaan
keadilan, tetapi sebenarnya tidak ada keadilan yang mereka
lakukan. Keadilan hanya ada pada mereka, kalau kepentingan
mereka tidak terjejas.
8. Sebab itu tuan-tuan dan puan-puan, kita di Malaysia
tidak merasa segan-segan memberi sokongan penuh kepada
perjuangan rakyat Palestin. Mereka berjuang untuk keadilan,
dan sesiapa yang menyokong orang yang berjuang untuk
keadilan adalah orang yang adil. Saudara Yassir Arafat
bekerja tanpa berhenti, bukan sahaja untuk menyelesaikan
masalah Palestin, beliau juga mengambil berat tentang
masalah-masalah pertelingkahan yang lain. Walaupun sudah
berat tanggungannya untuk Palestin, beliau cuba
menyelesaikan masalah di Lubnan, di mana rakyat Lubnan
daripada berbagai-bagai anutan agama berperang sesama
sendiri. Baru-baru ini Saudara Yassir Arafat telah berjaya
menyelsaikan masalah antara dua kaum yang terdapat di
Lubnan. Baru-baru ini saya berada di Lusaka, Zambia untuk
menyambut Nelson Mandela, pejuang Afrika Selatan. Di undang
bersama ialah Saudara Yassir Arafat. Dalam kesibukan
berjuang untuk kemerdekaan ianya masih mempunyai masa untuk
pergi melayan dan menghormati seorang lagi pejuang yang
menjadi hero kepada dunia yang bebas ini. Pertalian yang
rapat terdapat di antara pejuang-pejuang Palestin dan Yassir
Arafat dengan pejuang-pejuang ANC di Afrika Selatan yang
juga berlawan dengan penindasan. Bersama-sama di Lusaka
juga terdapat beberapa tokoh pejuang daripada Afrika,
seperti Cycano, Santos, Mugabe, Kaunda dan lain-lain.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Saya dapati diri saya bersama satu kumpulan manusia
yang dicap sebagai terrorist oleh Barat. Orang ini dahulu
dicap sebagai terrorist, tetapi tuan-tuan dan puan-puan hari
ini terrorist-terrorist ini dihormati oleh semua dunia.
Mereka dijemput untuk membuat lawatan-lawatan ke negara-
negara Barat sebagai pejuang-pejuang kemerdekaan, melainkan
Saudara Yassir Arafat. Kenapakah membezakan antara terror-
ist yang lain dengan yang ini, yang di belakang ini. Kalau
mereka boleh menghormati terrorist macam Mugabe, Cycano,
Santos dan lain-lain kenapa tidak menghormati Saudara Yassir
Arafat yang juga berjuang untuk kemerdekaan. Tetapi mereka
berkata, mereka tidak boleh duduk satu meja dengan Saudara
Yassir Arafat untuk berunding menyelesaikan masalah Palestin
kerana dia adalah terrorist. Kalau tidak boleh satu terror-
ist, dengan lain terrorist pun tidak boleh. Tetapi yang
lain boleh, tetapi dengan yang ini tidak boleh berunding
sama sekali, kerana kononnya terrorist. Siapakah yang
sebenarnya terrorist. Yang sebenarnya terrorist ialah
kerajaan Israel.
10. Memang benar dalam usaha orang-orang Palestin untuk
berjuang untuk kemerdekaan maka terhadap orang-orang civil-
ian Israel yang terbunuh, tetapi itu bukan dirancang oleh
high command pertubuhan Pembebasan Palestin, bukan
dirancang. Hari ini kerajaan Israel merancang untuk
membunuh rakyat Palestin secara terbuka. Siapakah yang ter-
rorist, Israel ataupun Palestin? Malangnya tafsiran terror-
ist ini juga dipilih-pilih. Di panggilnya terrorist kerana
sebab-sebab tertentu, itu yang berlaku. Dan kita amat duka
cita dengan hipokrasi yang semacam ini. Apa salahnya untuk
menyelesaikan masalah Palestin kalau diadakan rundingan
secara terus, secara langsung antara orang yang menuntut
kemerdekaan iaitu pemimpin-pemimpin Palestin dengan mana-
mana pihak termasuk Israel. Tetapi tidak dibenar berunding.
Kalau mereka tidak dibenar berunding, salahkah mereka kalau
mereka menggunakan senjata untuk menyelesaikan masalah.
11. Kita percaya bahawa keadilan memerlukan rundingan yang
baik. Kita sendiri menuntut supaya soal Kambodia
diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui peperangan.
Demikian juga kita minta supaya perbalahan peperangan antara
Iran dan Iraq diselesaikan di meja perundingan. Hari ini
juga kita menuntut meminta dunia membenarkan rakyat Palestin
melalui pemimpin-pemimpinya seperti Saudara Yassir Arafat
berunding untuk menyelesaikan masalah. Tetapi apa yang
berlaku adalah sebaliknya. Usaha dibuat untuk meningkatkan
bilangan orang-orang Yahudi di Israel. Baru-baru ini dalam
perbincangan saya dengan Yasser Arafat beliau memberitahu
memberitahu tentang rancangan ini untuk membawa ramai
Yahudi-Yahudi daripada Russia untuk masuk duduk di Israel di
kawasan orang-orang Arab. Di masa yang sama kononnya
sekarang ini negara-negara tertentu sanggup menerima orang-
orang Palestin Arab menjadi warganegara mereka. Memberikan
visa untuk berhijrah ke tempat lain. Dengan perkataan lain
satu usaha yang harus dibuat untuk menambahkan orang Yahudi
di Palestin dan mengurangkan orang-orang Palestin. Inilah
yang sedang berlaku, bukan rundingan untuk menyelesaikan
masalah, tetapi percubaan untuk menguatkan orang-orang
Israel supaya mereka akan terus rakyat Arab yang terdapat di
Palestin.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Kita memandang segala perkara-perkara ini dan kita
berasa sedih dan kita berasa marah, marah kerana tidak ada
justice bagi orang Palestin. Sebab itu kita berhimpun di
sini untuk menyatakan secara terus terang sokongan kita
kepada perjuangan ke arah keadilan. Bukan banyak yang kita
minta, hanya rakyat Palestin ini mestilah diberi hak untuk
menentukan nasib mereka. Pemimpin-pemimpin rakyat Palestin
diiktiraf. Tidak guna memungut orang itu dan orang ini
semata-mata untuk menjadi alat. Pemimpin-pemimpin sebenar
rakyat palestin mesti diberikan pengiktirapan untuk
berunding menyelesaikan masalah Palestin. Kita akan
mengambil pendirian yang tegas terhadap ini. Seperti mana
kita telah mengambil pendirian yang tegas semenjak
perjuangan untuk membebaskan Palestin diadakan. Dan kita
meminta supaya negara-negara Barat memberi perhatian kepada
masalah ini. Kalau mereka mendakwa bahawa mereka adalah
orang yang adil belaka yang faham akan rule of law, yang
suka akan demokrasi, apa salah menghulurkan demokrasi kepada
rakyat Palestin.
13. Itu sahaja yang kita minta. Itu sahaja yang Malaysia
ingin lihat, keadilan, demokrasi bukan untuk diri sendiri,
tetapi untuk semua pihak. Kita hendak supaya rakyat
Palestin merasai demokrasi yang boleh menentukan nasib
mereka. Jadi tuan-tuan dan puan-puan, pendirian kita adalah
jelas dan saya ingin mengucap terima kasih kepada tuan-tuan
dan puan-puan yang telah hadir pada hari ini untuk
menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin. Dan kepada TYT
Presiden State of Palestin, Yassir Arafat yang menjadi
tetamu kita pada hari ini. Sekianlah sahaja, wabilllahi
taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
|