Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGI, SELANGOR
Tarikh/Date : 13/03/90
Tajuk/Title : MERASMIKAN SEMINAR ETIKA PENGURUSAN
DI INSTITUT LATIHAN
PENGURUSAN PETRONAS
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
Seminar ini atas jemputan mereka kepada saya untuk memberi
ucapan serta merasmikan seminar etika pengurusan ini. Saya
juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada Universiti Utara Malaysia dan Petronas atas inisiatif
yang diambil untuk menganjurkan seminar yang penting ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Biasanya etika sesuatu masyarakat berasas semata-mata
kepada warisan tradisi tanpa sesuatu usaha aktif dibuat
untuk membentuknya. Tetapi manusia moden tidak boleh hanya
menerima apa sahaja warisannya tanpa meneliti akan buruk
baiknya warisan itu. Memandang bahawa etika atau jumlah
nilai-nilai hidup yang diterima dan diamal oleh sesuatu
masyarakat boleh menentukan secara menyeluruh kejayaan dan
kemajuan atau kegagalan dan kemunduran masyarakat berkenaan,
maka amatlah penting etika masyarakat dikaji dan dibentuk
secara sedar dan teliti untuk menjamin kejayaan dan kemajuan
masyarakat berkenaan.
3. Jika kita mengkaji masyarakat-masyarakat di dunia ini,
tidak dapat tidak kita akan mengakui hakikat bahawa terdapat
perbezaan yang ketara daripada segi pencapaian antara satu
masyarakat dengan masyarakat yang lain. Ada masyarakat yang
amat maju dan ada yang bukan sahaja amat mundur tetapi jelas
tidak mungkin maju. Di antara dua ekstrim ini terdapat
berbagai-bagai jenis masyarakat yang pencapaian mereka
berbeza-beza, ada yang tidak terlalu mundur dan ada yang
tidak begitu maju.
4. Mungkin kejayaan dan kemajuan sesuatu masyarakat itu
disebabkan oleh keadaan iklim atau sumber alam ataupun
nasib. Tetapi jika kita meneliti ada negara yang amat mis-
kin daripada segi sumber alam atau iklim, tetapi
masyarakatnya maju dan kaya-raya. Sebaliknya ada negara
yang kaya dengan sumber alam, kesuburan tanah dan lain-lain
nikmat, tetapi negara dan masyarakatnya mundur dan miskin.
5. Bahkan dalam satu negara pun, kaum-kaum yang berlainan
tidak sama pencapaian mereka. Ada yang berjaya dan ada yang
ketinggalan, sedangkan faktor alam sekeliling adalah sama.
Kita tidak lagi boleh menafikan bahawa faktor utama yang
menentukan jaya atau tidaknya sesuatu negara, atau bangsa
atau kaum, bahkan seseorang, ialah jumlah nilai-nilai yang
baik yang diterima dan yang diamalkan -- iaitu etika yang
mempengaruhi secara menyeluruh individu atau masyarakat
berkenaan.
6. Justeru itu kita sebagai manusia yang berakal tidak
boleh hanya mewarisi etika kita tetapi kita hendaklah
mengkaji, mengenalpasti dan memilih di antara nilai-nilai
yang sedia ada dan menambahkannya dengan nilai-nilai yang
kajian menunjukkan boleh membawa kepada kejayaan dan
kemajuan. Seminar ini saya percaya bertujuan untuk
mengenal, mengkaji, menilai dan menyarankan akan etika-etika
yang boleh menolong menjayakan bangsa dan negara kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Etika biasanya dikaitkan dengan nilai-nilai yang baik.
Malangnya antara pengakuan tentang kebaikan sesuatu nilai
dan pengamalannya, terdapat perbezaan yang ketara.
Perbezaan daripada segi amalanlah yang lebih penting dalam
menentukan jaya atau tidaknya sesuatu masyarakat itu.
8. Memandang akan hakikat ini, seminar ini harus
menumpukan bukan sahaja kepada etika semata-mata tetapi juga
kepada pengamalan sebenar etika yang dipilih. Menentukan
amalan adalah lebih sulit daripada menentukan nilai-nilai
mana yang baik yang boleh menjayakan pengurusan. Seminar
yang akademik dan intelektual boleh meningkatkan daya
pemikiran dan darjat keilmuan peserta seminar tetapi
daripada segi hasil yang praktikal yang menyumbang kepada
sesuatu matlamat, seminar yang sedemikan kurang faedahnya.
9. Sebenarnya kita semua tahu etika yang baik. Amanah
dalam pengurusan umpamanya adalah sebahagian daripada etika
yang baik. Pengurusan tidak boleh berjalan jika tidak ada
amanah kerana tanpa amanah segala arahan dan kerja tidak
akan membawa hasil yang diharapkan. Dalam bidang perniagaan
di mana persaingan hebat selalu berlaku, kegagalan
melaksanakan sesuatu arahan atau kerja dengan tertib akan
menyebabkan kegagalan. Hanya dengan tidak mempedulikan masa
yang ditentukan untuk sesuatu kerja sahaja boleh
mengakibatkan kerugian berjuta dialami. Sebaliknya jika
amanah dijunjung dengan penuh tanggungjawab maka semua kerja
boleh berjaya. Pihak yang mengarah akan tahu arahannya akan
dijalankan seperti yang diharap olehnya.
10. Demikian juga dengan kejujuran, keikhlasan, ketekunan,
disiplin, ketertiban, dedikasi dan nilai-nilai lain yang
menjadi sebahagian daripada etika yang baik. Jika nilai-
nilai ini diamalkan setiap masa bukan sahaja sesuatu kerja
akan membawa hasil yang maksima, tetapi juga hasil itu akan
dicapai dengan mudah dalam jangkamasa yang sependeknya.
Dalam keadaan etika tidak baik, penyeliaan rapi mesti dibuat
untuk menentukan sesuatu yang diarah akan dilakukan seperti
yang diarah. Perlunya penyeliaan sedikit sebanyak bererti
kita bekerja dalam suasana tidak percaya atau distrust.
Kita tidak boleh berharap bahawa sesuatu yang diarah atau
ditugaskan itu akan dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Justeru itu kita terpaksa mengadakan satu pihak lain untuk
mengawasi dan menyelia. Kadang-kadang kita khuatir "pagar
akan makan padi" dan kita adakan pula penyelia yang
mengawasi penyelia. Semua ini bukan sahaja menambah kos
tetapi merumitkan kerja. Bermacam-macam susuncara kerja dan
dokumentasi perlu diadakan, guna untuk menentukan sesuatu
yang dikehendaki dibuat akan dilaksanakan. Dengan perlunya
birokratik procedures ini, segala kerja bertambah rumit dan
memakan masa. Lebih buruk lagi birokratik procedures
membuka peluang untuk rasuah bagi yang lemah etika.
11. Alangkah baiknya jika amanah menjadi sebahagian
daripada etika kita supaya syak-wasangka tidak wujud dan
penyeliaan tidak diperlukan terlalu sangat. Dokumentasi
diadakan hanya untuk tujuan rekod sahaja. Dengan itu kos
akan menjadi minima dan kejayaan dalam pentadbiran atau
persaingan perniagaan boleh dijamin.
12. Kebaikan daripada etika yang baik ini bukan sahaja akan
dinikmati oleh pihak-pihak tertentu tetapi juga oleh
masyarakat kerana barangan akan menjadi lebih murah, ekonomi
akan berkembang dan pembangunan akan menjadi lebih pesat.
Sebenarnya etika yang baik akan membawa keuntungan dan
nikmat yang tidak terhingga nilainya kepada semua individu
dan anggota masyarakat secara langsung dan tidak langsung.
13. Tetapi ada yang berpendapat, terutamanya dalam bidang
perniagaan, bahawa etika tidak perlu. Penipuan, kononnya
berlaku sebab keuntungan hanya boleh didapati dengan cara
penipuan. Justeru itu jika boleh tipu, kita harus menipu.
Dengan itu hutang tidak dibayar. Bayaran kepada pembekal
atau subkontrak diseleweng. Bahan-bahan yang tidak bermutu
diguna untuk mendapat untung yang lebih dan lain-lain
penyelewengan dilakukan.
14. Akibat kepercayaan salah ini, kredibiliti pelanggan
hilang. Bank tidak lagi mahu memberi hutang. Kontrak hanya
dapat sekali sahaja. Lebih daripada itu kerana sesuatu kaum
menjadi terkenal dengan adanya beberapa orang yang tidak
beramanah, maka semua peniaga daripada kaum itu dicap dengan
cap yang sama. Hutang tidak boleh didapati oleh sesiapa
daripada kaum itu. Kontrak tidak boleh dapati dan barangan
yang diniaga oleh kaum itu menjadi suspect dan ditolak oleh
semua pelanggan. Dengan itu kaum itu akan gagal.
Demikianlah luas dan menyeluruhnya kesan tidak adanya etika.
15. Tetapi seminar ini bukan sahaja menumpukan kepada soal
etika. Ia lebih khusus, iaitu etika dalam pengurusan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Sesuatu kumpulan masyarakat atau sesuatu kumpulan dalam
masyarakat perlu mempunyai susunan dan cara untuk menentukan
masyarakat atau kumpulan itu terus wujud dan kekal sebagai
satu masyarakat. Tanpa susunan dan cara, masyarakat akan
menjadi anarchic -- iaitu huru-hara akan berlaku kerana
segala keganasan dan penindasan boleh berlaku tanpa sekatan.
Akhirnya masyarakat itu akan hancur atau sekurang-kurangnya
tidak dapat maju.
17. Untuk mengelak daripada berlakunya anarki, masyarakat
mestilah mempunyai susunan dan pembahagian tugas dan
peraturan-peraturan dalam melakukan sesuatu. Supaya susunan
dan peraturan-peraturan mendatangkan hasil yang dikehendaki,
iaitu supaya tidak berlaku anarki, maka pengurusan atau
pentadbiran mestilah diadakan. Lebih baik pengurusan, maka
lebih baiklah pencapaian sesuatu organisasi atau masyarakat.
18. Kecekapan pengurusan adalah fakta yang penting dalam
membawa kejayaan kepada masyarakat atau kumpulan dalam
masyarakat. Sama ada dalam bidang politik, pentadbiran atau
ekonomi, pengurusan memainkan peranan yang amat penting.
19. Kita boleh membincang tentang apa yang perlu diketahui
dan dibuat oleh pengurusan untuk menentukan kejayaan.
Terdapat banyak teori, buku dan tulisan berkenaan dengan
pengurusan. Tetapi di sini kita hanya membincang berkenaan
dengan etika dalam pengurusan.
20. Oleh kerana pengurus adalah mereka yang memimpin, sudah
tentu jika pengurusan tidak mempunyai etika yang baik maka
kejayaan amat sukar dicapai. Jika tercapai pun kejayaan
tidaklah pada tahap maksima.
21. Pentingnya pengurusan mempunyai etika yang terbaik
adalah suatu kenyataan yang tidak perlu dibincang atau
dibahas. Hanya yang diperlukan ialah mengenalpasti apa
dianya etika yang perlu diamalkan oleh pengurusan. Jika
pengurus sudah mengenali etika dan sanggup mengamalkannya
dalam urusan kerjanya, maka hasil kecekapannya sebagai
pengurus akan tercapai. Namun, kita juga harus akui bahawa
pengurus yang tidak cekap tidak akan berjaya walaupun ia
mengamalkan etika yang baik. Sebaliknya, pengurus yang
cekap tetapi tidak mengamalkan etika yang baik tidak akan
mendatangkan hasil yang baik. Jika kita terpaksa memilih
antara yang tidak cekap tetapi mempunyai etika yang baik
dengan yang cekap tetapi tidak mempunyai etika yang baik,
adalah lebih baik dipilih yang mempunyai etika yang baik
walaupun tidak cekap. Dengan perkataan lain etika lebih
penting daripada kecekapan pengurusan. Yang ideal ialah
pengurusan yang cekap dan yang mengamal etika yang baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
22. Institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab
penting dalam menyediakan bakal-bakal pengurus, pemimpin
politik, dan pemimpin korporat yang beretika dan bermoral
tinggi. Ini harus dilaksanakan bersama-sama dengan
peranannya mengeluarkan pakar-pakar dalam berbagai-bagai
bidang pengkhususan seperti pengurusan, komputer dan
teknologi maklumat, undang-undang, perubatan, kejuruteraan
dan sebagainya.
23. Sehingga kini institusi-institusi pengajian tinggi
menumpukan hanya kepada academic achievement tanpa memberi
perhatian kepada moral quality. Masanya sudah tiba untuk
tekanan diberi kepada soal etika dan cara-cara ujian untuk
menentukan moral quality siswazah yang dihasilkan.
24. Tugas-tugas ini juga penting kerana pakar-pakar yang
kita keluarkan itu, jika tidak dibekalkan dengan nilai-nilai
etika yang baik akan menyalahgunakan kepakaran mereka akibat
didorong oleh sifat-sifat seperti tamak, mementingkan diri,
angkuh dan gila kuasa. Sebenarnya, orang-orang yang pakar
mempunyai peluang yang lebih banyak untuk melakukan
penyelewengan kerana pengetahuan pakar yang mereka perolehi.
Mereka juga mengetahui selok-belok dan kelemahan yang ada
dalam sesuatu bidang. Justeru itu mereka perlu mempunyai
tahap pengetahuan dan kesedaran etika yang tinggi dan tebal
sebagai benteng bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh
oleh sifat-sifat negatif ini.
25. Dalam usaha menyemai nilai-nilai etika yang baik,
pelajar-pelajar kita perlu disedarkan bahawa badan-badan
korporat di mana mereka akan bekerja nanti adalah juga "so-
cially accountable", iaitu accountable terhadap cara kuasa
digunakan. Kuasa itu, yang mempunyai implikasi kepada
pemegang saham, pelanggan dan "public at large", perlu
digunakan dengan sebaik-baiknya dan bukan sewenang-
wenangnya. Pendek kata, masyarakat mengharapkan badan-badan
korporat besar berkelakuan atau bertindak dengan penuh
tanggungjawab dan beretika.
26. Di sini izinkan saya membuat quotation dalam bahasa
Inggeris daripada sebuah buku, "As I see it" oleh Konosuke
Matsushita. Quotation itu adalah seperti berikut: "State
control or socialism is not the answer ......... external
constraints (when) strictly enforced can be counter produc-
tive -- What we need is self-discipline, an internal code
of behaviour to which the whole industry pledges itself".
27. Bakal-bakal pemimpin dan pengurus kita juga perlu faham
tentang internal code of behaviour ini supaya badan-badan
korporat mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
28. Saya percaya bahawa perkara-perkara yang saya sebutkan
di sini, malahan lebih daripada itu, akan dibincangkan di
seminar ini. Saya juga yakin bahawa seminar ini akan
berjaya menghasilkan beberapa idea bagaimana kita dapat
melahirkan para pengurus yang beretika dan bermoral, agar
kemakmuran negara ini akan sama-sama dinikmati oleh semua
lapisan masyarakat.
29. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Seminar Etika Pengurusan ini.
|
|