Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT, PADA HARI RABU
Tarikh/Date : 14/03/90
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1990
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang
bernama suatu Akta untuk meminda Perlembagaan Persekutuan
dibaca bagi kali yang kedua sekarang.
2. Tujuan Rang Undang-undang ini ialah untuk meminda
Perkara 48, Perkara 139, Perkara 141A, Perkara 151 dan
Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Tuan Yang Di-Pertua,
3. Pada masa ini tidak ada peruntukan yang menghalang
seseorang Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri
meletakkan jawatan dan kemudian bertanding semula dalam
pilihanraya yang diadakan bagi kerusi yang dikosongkannya
itu. Ketiadaan halangan ini memungkinkan seseorang Ahli
Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri meletakkan
jawatan dan bertanding semula bagi kerusi yang sama semata-
mata untuk menguji atau membuktikan popularitinya. Apabila
ini dilakukan, maka banyaklah masa, tenaga dan wang yang
terbuang sedangkan rakyat dan negara tidak mendapat apa-apa
faedah daripadanya.
4. Pindaan yang dicadangkan kepada Perkara 48 dan Jadual
Kelapan Perlembagaan Persekutuan bertujuan menghalang
perletakan jawatan yang sedemikian. Menurut Fasal (6) yang
dicadangkan dimasukkan ke dalam Perkara 48 itu, seseorang
yang meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat akan
hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan itu. Menurut
seksyen 6 yang dicadangkan dimasukkan ke dalam Jadual
Kelapan pula, seseorang yang meletakkan jawatan sebagai Ahli
Dewan Undangan Negeri akan hilang kelayakan untuk menjadi
Ahli Dewan Undangan Negeri. Tempoh kehilangan kelayakan itu
ialah lima tahun yang dikira dari tarikh perletakan jawatan.
Tuan Yang Di-Pertua,
5. Menurut Fasal (4) Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah terdiri daripada
pengerusi, timbalan pengerusi, dan tidak kurang daripada
empat tetapi tidak lebih daripada tiga puluh orang anggota
lain.
6. Menurut Fasal (2) Perkara 141A pula, Suruhanjaya
Perkhidmatan Pendidikan hendaklah terdiri daripada
Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan tidak kurang daripada
empat orang tetapi tidak lebih daripada lapan orang anggota
lain.
7. Oleh yang demikian, sekiranya bilangan anggota
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan
Pendidikan itu perlu ditambah, tidak ada jalan lain untuk
menambahnya kecuali dengan meminda Fasal (4) Perkara 139 dan
Fasal (2) Perkara 141A itu. Adalah lebih wajar suatu cara
lain diwujudkan bagi menambah bilangan anggota Suruhanjaya-
Suruhanjaya itu mengikut keperluan semasa memandangkan
bahawa bilangan kakitangan Kerajaan meningkat sepanjang
masa.
8. Pindaan yang dicadangkan kepada Fasal (4) Perkara 139
dan Fasal (2) Perkara 141A mewujudkan cara lain itu. Dengan
pindaan itu anggota kedua-dua Suruhanjaya itu akan dapat
ditambah melalui perintah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan
Agong. Peruntukan ini adalah serupa dengan peruntukan dalam
Fasal (1) Perkara 122A Perlembagaan yang membolehkan
bilangan Hakim Mahkamah Tinggi ditambah melalui perintah
yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tuan Yang Di-Pertua,
9. Pindaan terakhir yang dicadangkan dalam Rang Undang-
Undang ini ialah pindaan kepada Fasal (2) Perkara 151
Perlembagaan, iaitu mengenai lembaga penasihat yang
ditubuhkan bagi menimbangkan representasi-representasi
daripada orang-orang yang ditahan di bawah undang-undang
yang berkaitan dengan penahanan pencegahan. Lembaga
penasihat itu terdiri daripada seorang pengerusi dan dua
orang anggota lain.
10. Pengerusi lembaga penasihat dilantik oleh Yang Di-
Pertuan Agong daripada kalangan orang-orang yang menjadi,
layak menjadi atau pernah menjadi Hakim Mahkamah Agung atau
Mahkamah Tinggi atau orang-orang yang pernah, sebelum Hari
Malaysia, menjadi Hakim Mahkamah Besar. Tidak ada
peruntukan yang mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong berunding
dengan Ketua Hakim Negara bagi perlantikan pengerusi ini.
11. Anggota-anggota lain lembaga penasihat itu pula
tidaklah semestinya dilantik daripada kalangan orang-orang
yang menjadi, layak menjadi atau pernah menjadi hakim
sedemikian. Namun demikian terdapat peruntukan yang
mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong berunding dengan Ketua
Hakim Negara bagi perlantikan anggota-anggota lain itu.
12. Pindaan yang dicadangkan dibuat kepada Fasal (2)
Perkara 151 ini akan memastikan bahawa tiada perbezaan di
antara prosedur perlantikan pengerusi lembaga penasihat
dengan prosedur perlantikan anggota-anggota lain lembaga
itu.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
|