Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 15/03/90
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
AKTA PILIHANRAYA (PINDAAN) 1990
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Pilihanraya 1958
dibaca kali kedua sekarang.
2. Rang Undang-undang Akta Pilihanraya (Pindaan) 1990
adalah bertujuan untuk meminda Akta Pilihanraya 1958 bagi
maksud-maksud berikut:
a) meminda takrif "tempat mengundi" bagi
memperluaskan penggunaannya sebagai tempat mengira
undi;
b) memberi kuasa kepada Ketua Tempat Mengundi menolak
kertas-kertas undi yang tidak sah atau tidak boleh
diterima, dan
c) meminda istilah yang terdapat dalam teks Bahasa
Malaysia daripada "Pegawai Pengetua" kepada "Ketua
Tempat Mengundi".
Tuan Yang Di-Pertua,
3. Sukacita saya mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini
latar belakang dan asas pindaan yang dicadangkan di dalam
Rang Undang-undang ini. Suruhanjaya Pilihanraya telahpun
menjalankan sistem pengiraan undi yang dipusatkan
(centralise counting) semenjak pilihanraya dijalankan di
negara ini. Selaras dengan kemajuan negara kita daripada
segi perhubungan, pengurusan serta kemudahan-kemudahan lain,
maka Suruhanjaya Pilihanraya berpendapat sistem yang telah
berjalan semenjak beberapa lama ini perlu dipinda dan
digantikan dengan sistem yang baru iaitu pengiraan undi di
tempat mengundi.
4. Mengikut sistem pengiraan undi yang dicadangkan
pengiraan undi dijalankan di tempat mengundi oleh Ketua
Tempat Mengundi sendiri dan tidak oleh Pegawai Pengurus di
satu pusat pengiraan undi bagi sesuatu bahagian pilihanraya
seperti yang dilakukan sekarang. Walau bagaimanapun bagi
kawasan-kawasan tertentu di mana didapati pengiraan undi di
tempat mengundi tidak dapat diadakan, sistem yang wujud
sekarang masih boleh dipakai dengan sedikit pindaan.
Tuan Yang Di-Pertua,
5. Dengan menggunakan sistem yang dicadangkan ini perkara-
perkara berikut akan diwujudkan:
a) Tiap-tiap tempat mengundi menjadi tempat mengira
undi dan kakitangan pengundian yang sama akan
menjadi kakitangan yang bertanggungjawab bagi
pengiraan undi. Agen-agen calon boleh mengawasi
sepanjang pengiraan undi berjalan.
b) Setelah pengiraan undi selesai, keputusan
sementara bolehlah disampaikan menerusi telefon
atau alat semboyan kepada Pegawai Pengurus.
c) Pegawai Pengurus akan menjumlahkan kesemua
keputusan untuk menentukan calon yang menang.
d) Keputusan muktamad hanya akan diumumkan setelah
Pegawai Pengurus menerima penyata pengundian dari
Ketua Tempat Mengundi.
6. Sistem mengira undi di tempat mengundi ini akan memberi
beberapa kebaikan seperti berikut:-
a) Keputusan pilihanraya akan dapat diperolehi dengan
lebih cepat iaitu di antara jam 8 malam hingga 9
malam. Ketua Tempat Mengundi akan hanya mengira
paling banyak 700 kertas undi atau 1,400 kertas
undi sekiranya pilihanraya Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri dijalankan serentak. Mengikut
sistem yang berjalan sekarang semua peti-peti undi
mestilah sampai ke tempat pengiraan undi sebelum
pengiraan undi dapat dimulakan. Dengan cara ini
pengiraan undi biasanya hanya dapat dimulakan pada
kira-kira jam 8.30 malam dalam mana purata
sebanyak kira-kira 100,000 kertas undi bagi
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang akan
dikira. Kebanyakan keputusan pengundian biasanya
diketahui hanya selepas jam satu pagi keesokan
harinya.
b) Sistem baru ini akan mewujudkan suasana yang lebih
aman dan tenteram dengan mengalihkan tumpuan dan
perhatian penyokong-penyokong parti dan orangramai
ke beberapa tempat mengira undi berbanding dengan
ke satu pusat pengiraan undi sahaja seperti yang
berlaku sekarang. Suasana tegang serta gangguan-
gangguan seperti yang dihadapi sekarang dapat
dielakkan.
c) Pergerakan peti undi sebelum kertas undi dikira
dapat dielakkan. Pada masa ini telah timbul
tohmahan-tohmahan yang tidak berasas di kalangan
beberapa pihak yang mendakwa kononnya peti undi
ditukarganti ketika dalam perjalanan ke tempat
mengira undi. Dengan pelaksanaan sistem baru ini
maka tohmahan-tohmahan sedemikian dapat diatasi
dan akan memberi lebih keyakinan kepada semua
pihak.
d) Sistem ini akan menjelaskan kedudukan jumlah undi
sebenar bagi pilihanraya Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri. Mengikut sitem yang ada
sekarang, disebabkan pengiraan undi dijalankan di
satu pusat sahaja, ada kalanya telah timbul
keraguan di kalangan beberapa pihak berhubung
dengan perbezaan jumlah undi Parlimen dan Negeri
dalam bahagian Parlimen yang berkenaan.
e) Sistem ini juga akan dapat mengelak dan
mengurangkan kesilapan pengiraan undi kerana
jumlah kertas undi yang dikira bagi satu-satu
tempat mengira undi adalah kecil jumlahnya.
Sistem ini juga menggunakan kertas pengumpulan
maklumat (tally sheet) dalam mana agen-agen
mengira undi berpeluang sama mencatat undi-undi
yang diperolehi oleh calon-calon. Ini dapat
mengelakkan tohmahan-tohmahan yang tidak benar di
kalangan setengah-setengah pihak bahawa kononnya
kerani-kerani mengira undi dengan sengaja
menyalahkira kertas-kertas undi untuk faedah calon
tertentu.
7. Sistem pengiraan undi di tempat mengundi bukanlah
merupakan satu sistem asing. Sistem ini telah dilaksanakan
dengan jayanya di kebanyakan negara maju dan juga negara-
negara membangun. Kerajaan memberi jaminan bahawa segala
sokongan dan kemudahan akan diberikan bagi memudahkan
Suruhanjaya Pilihanraya menjalankan sistem ini dengan
jayanya.
Tuan Yang Di-Pertua,
8. Pindaan-pindaan ke atas Akta ini tidaklah menunjukkan
peraturan-peraturan pengiraan undi secara terperinci.
Peraturan-peraturan secara terperinci akan disediakan oleh
Suruhanjaya Pilihanraya mengikut kuasa yang ada padanya di
bawah Seksyen 16 (i) (j) Akta Pilihanraya 1958.
Tuan Yang Di-Pertua,
9. Satu lagi pindaan yang dicadangkan ialah meminda
istilah "Pegawai Pengetua" sebagaimana yang terdapat dalam
teks Bahasa Malaysia kepada "Ketua Tempat Mengundi".
Istilah "Ketua Tempat Mengundi" ini lebih sesuai digunakan
dan istilah ini digunakan di dalam Peraturan-peraturan
Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.
Tuan Yang Di-Pertua,
10. Memandangkan sistem pengiraan undi yang hendak
dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya adalah satu sistem
yang boleh mengurangkan berbagai masalah yang telah
diterangkan sebentar tadi, maka saya percaya semua Ahli-ahli
Yang Berhormat tidak akan ragu-ragu memberi sokongan kepada
pindaan ini. Saya percaya dengan wujudnya sistem baru ini
berbagai tuduhan berkaitan dengan pengiraan undi ini dengan
sendirinya akan terhapus. Dan ini seterusnya akan
meringankan beban Suruhanjaya Pilihanraya di dalam
menjalankan urusannya.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya memohon mencadangkan.
|