Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SHAH ALAM, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	16/03/90 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN MEMECAH TANAH 
			UNTUK PROJEK PEMESINAN KOMPONEN 
			ENJIN DAN PEMASANGAN TRANSMISI 
			KERETA PROTON 




 Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  PROTON kerana
menjemput saya hari ini  untuk  merasmikan  upacara  Memecah
Tanah  Tapak  Projek Pemesinan Komponen Enjin dan Pemasangan
Transmisi kereta Proton.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Upacara  ini  merupakan  satu  lagi  perkembangan   dan
kemajuan  PROTON.    Ia merupakan satu bukti bagaimana usaha
yang gigih dan dedikasi daripada para pekerja dan pengurusan
boleh memajukan sesebuah syarikat.  Saya mengucapkan tahniah
kepada PROTON, Lembaga Pengarah, pihak pengurusan  dan  para
pekerja  PROTON  kerana  telah  mencapai  tahap ini dan saya
berharap PROTON akan berkembang dan maju lebih  lancar  lagi
untuk menjadi sebuah syarikat automotif yang utama.
3.   Projek pemesinan komponen enjin ini merupakan satu lagi
langkah ke hadapan yang positif yang akan membawa bersamanya
teknologi tinggi dan sofistikated kepada Malaysia.  Kerajaan
mengucapkan  terima  kasih  kepada  Mitsubishi Motors Corpo-
ration atau MMC  dan  Mitsubishi  Corporation  kerana  telah
memberi  pertolongan  dan  bekerjasama  dengan  PROTON untuk
memastikan  agar  usaha  menambahkan  bahan   dan   komponen
tempatan   untuk   kereta-kereta  PROTON  tercapai.    Pihak
Kerajaan  juga  menyokong  penuh  rancangan   PROTON   untuk
menambahkan  penggunaan  bahan  tempatan  sehingga  80%  dan
seterusnya menarik pelabur-pelabur asing,  termasuklah  dari
Jepun, ke negara ini.  Saya berharap pihak MMC akan sentiasa
memberi  sokongan mereka untuk menyegerakan penambahan bahan
tempatan untuk PROTON.
4.   Mengenai industri automotif pula, industri  ini  adalah
satu  industri  yang berkait rapat dengan industri sampingan
yang lain seperti 'forging' dan 'casting'.    Saya  berharap
pengusaha   bumiputera   di   bidang   ini   berusaha  untuk
meningkatkan teknologi mereka supaya dapat  bersaing  dengan
negara-negara   perindustrian   yang   maju  dalam  industri
automotif ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Pencapaian PROTON setakat ini sangat memuaskan.   Walau
bagaimanapun,   untuk  bertindak  segera  terhadap  kemajuan
industri kereta antarabangsa, PROTON  mestilah  melengkapkan
diri  dengan  pengetahuan penyelidikan dan pembangunan serta
dengan kejuruteraan pengeluaran.  Saya berhadap selain  dari
bantuan  yang diberikan oleh pihak MMC, pihak PROTON sendiri
seharusnya berusaha untuk mencapai matlamat ini.
6.   PROTON dan juga industri-industri  lain  telah  berjaya
meningkatkan   prestasi   masing-masing   berikutan   dengan
pemulihan ekonomi negara  selepas  dilanda  oleh  kelembapan
ekonomi  dunia.  Di PROTON sendiri permintaan yang bertambah
telah  membawa   kepada   peningkatan   dalam   pengeluaran.
Sekarang  ini  PROTON  boleh meningkatkan pengeluaran secara
besar-besaran di samping  membaiki  prestasinya.    Meskipun
pelancaran  dibuat  semasa  kemelesetan ekonomi, kini PROTON
telah berjaya memperbaiki kedudukannya.  Saya merasa  bangga
terhadap  kejayaan eksport PROTON ke United Kingdom dan juga
usaha-usaha  baik-pulih  yang  dibuat  oleh   PROTON   untuk
menampung pertambahan permintaan, bukan sahaja dalam negeri,
tetapi  juga  untuk  pasaran ke United Kingdom.  Operasi dua
shif telah berjalan dengan lancar dan  saya  percaya  segala
sokongan  yang  diberi  oleh  kerajaan  kepada  PROTON telah
mencapai matlamatnya.
7.   Selain   daripada   PROTON,   pengusaha-pengusaha   dan
pembekal-pembekal  tempatan yang lain haruslah menjangkau ke
dunia luar dan bukan hanya terhad  kepada  pasaran  tempatan
agar   mereka  dapat  menerokai  pasaran  yang  lebih  luas.
Kerajaan  akan  terus  menyokong  dan  membantu   pengusaha-
pengusaha   di   dalam   usaha   mereka  untuk  meningkatkan
pengeluaran.      Pengusaha-pengusaha   tempatan    mestilah
mempunyai  semangat  perniagaan  dan  seharusnya tidak cepat
putus asa di dalam menuju kejayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PROTON
kerana menjemput saya ke upacara ini.  Saya berharap  dengan
kejayaan   PROTON   hasrat   dan  cita-cita  kerajaan  untuk
meningkatkan teknologi  dalam  perindustrian  otomotif  akan
tercapai.
     Terima kasih.

 
 



 
Google