Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 17/03/90
Tajuk/Title : SEMINAR MASA DEPAN PERUSAHAAN AWAM
DI INSTITUT TADBIRAN AWAM
NEGARA (INTAN)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Napsiah Omar,
Menteri Perusahaan Awam;
Yang Berbahagia Encik Jaafar Abu Bakar,
Pengerusi Gemaputera;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Gabungan Agensi-
agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan Awam, atau
Gemaputera, kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap
dan seterusnya merasmikan Seminar Masa Depan Perusahaan Awam
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Seminar ini bertujuan untuk mengenal masa depan
perusahaan awam. Untuk ini kita harus tahu lebih dahulu
latar belakang atau sejarah perusahaan awam di negara kita
dan juga di negara-negara lain.
3. Sebenarnya tugas utama kerajaan ialah menjaga
keselamatan dan keamanan dalam masyarakat dan negara.
Pendapatan kerajaan daripada hasil dan cukai, pada analisa
yang terakhirnya, adalah sumbangan atau yuran daripada
masyarakat untuk mengadakan jentera dan alatan untuk
melindungi mereka daripada berbagai-bagai punca keganasan,
baik dari dalam atau dari luar negari. Untuk ini anggota
masyarakat bukan sahaja sanggup menyumbang wang, tetapi juga
mereka sanggup memberi kuasa tertentu kepada kerajaan.
4. Dengan wujudnya keselamatan dan keamanan maka rakyat
akan hidup sempurna dan boleh menjalankan tugas dan
perniagaan dengan selamat. Mereka akan dapat menikmati
hasil titik peluh, kecekapan dan kepintaran mereka.
5. Walaupun kerajaan melindungi semua pihak dengan
perlindungan yang sama, yang pintar dan cekap boleh mendapat
lebih banyak hasil daripada yang lain dalam masyarakat.
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas atau free market economy
yang diamalkan, jika tidak diawasi perbezaan yang amat
ketara antara yang miskin dengan yang kaya boleh berlaku.
Dengan industrialisasi, perbezaan ini semakin bertambah
kerana punca-punca kekayaan, sama ada dalam bidang
pengeluaran sumber alam atau pembuatan, dimiliki oleh
beberapa orang yang pintar sahaja. Dan mereka kerap
menindas pekerja-pekerja mereka.
6. Memandang akan ketidak-adilan ini, maka datanglah
beberapa ahli fikir yang mengesyorkan sistem komunis dan
sosialis -- sistem-sistem yang diasaskan kepada pendapat
bahawa jika kerajaan memiliki semua punca kekayaan, maka
semua keuntungan akan diperolehi oleh kerajaan dan diagihkan
secara sama rata dan lebih adil kepada semua rakyat.
7. Dengan itu, beberapa negara memilih kerajaan yang
memilik-negarakan atau nationalise industri-industri yang
difikirkan boleh memberi keuntungan. Malangnya setelah
dimilik-negarakan, hampir semua industri ini bukan sahaja
rugi tetapi juga memerlukan bantuan atau subsidi daripada
kerajaan. Jika dahulu sekurang-kurangnya kerajaan dapat
mengutip cukai daripada industri-industri ini, setelah
industri-industri dimilik-negarakan, bukan sahaja tidak
terdapat keuntungan dan pungutan cukai tetapi juga kerajaan
terpaksa menggunakan wang kerajaan untuk membantu industri-
industri ini. Bahawa pekerja-pekerja, mengikut teori
memiliki segala punca kekayaan tidak menjadikan mereka lebih
setia dan produktif. Sebaliknya mereka lebih kerap menuntut
pendapatan lebih, mogok dan mengurangkan produktiviti.
8. Terdapat beberapa sebab mengapa punca kekayaan yang
dimiliknegarakan rugi dan akhirnya menjadi beban kepada
kerajaan dan negara. Mungkin Seminar ini akan mengkaji
perkara ini. Tetapi perkembangan yang dapat kita lihat
sejak dua dekad kebelakangan ini ialah proses memilik-negara
diganti dengan proses penswastaan. Di Malaysia kita telah
memulakan proses ini 10 tahun dahulu, semasa penswastaan
masih belum diterima penuh oleh negara-negara lain yang
maju.
9. Di Malaysia, latarbelakang perusahaan awam kita berbeza
sedikit daripada latarbelakang di negara-negara lain. Di
Malaysia kita tidak dipengaruhi oleh ideologi komunis atau
sosialis. Kita mempunyai masalah ketidak-seimbangan taraf
pembangunan antara kaum yang boleh menjadi punca ketidak-
stabilan dalam negara. Kerana inilah kita telah menggubal
Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Kerajaan berpendapat proses integrasi bumiputera ke
dalam ekonomi yang dikuasai oleh bukan bumiputera ialah
melalui penubuhan perusahaan-perusahaan awam. Bumiputera
didapati tidak mempunyai modal atau kemahiran dalam bidang
perniagaan atau perusahaan besar dan jika mereka hendak
mengejar kaum lain tanpa bantuan, mereka tidak mungkin
berjaya. Bahkan jurang antara bumiputera dengan kaum-kaum
lain akan menjadi lebih luas kerana pertumbuhan adalah ge-
ometrical. Maka akan menjadi kenyataanlah saranan bahawa
"yang miskin bertambah miskin, dan yang kaya bertambah
kaya".
11. Dengan penggubalan Dasar Ekonomi Baru, maka perusahaan-
perushaan awam bertambah dengan pesatnya. Daripada hanya
100 buah sebelum DEB, kita sekarang mempunyai lebih daripada
1000 buah perusahaan awam dan anak-anak syarikatnya dengan
sumbangan modal daripada kerajaan sebanyak kira-kira $16,740
juta ringgit.
12. Oleh kerana bertambahnya bilangan perusahaan awam ini
dengan begitu cepat, kerajaan tidak dapat mengawasi apa yang
berlaku dalam badan-badan ini, sama ada mereka menolong
pencapaian matlamat DEB atau sebaliknya. Sementara ramai
yang menolong, ramai juga yang menjadi penghalang kerana
mereka bersaing dengan syarikat-syarikat bumiputera dengan
menggunakan keistimewaan-keistimewaan mereka sebagai badan
milik kerajaan.
13. Apabila Unit Pusat Pengumpulan Maklumat atau CICU
ditubuhkan, kita mendapati banyak juga daripada badan-badan
perusahaan awam ini yang mengalami kerugian. Daripada
perusahaan-perusahaan awam dan anak-anak syarikat mereka
yang masih aktif atau operational, 373 atau hampir 39%
daripada bilangan itu menanggung kerugian. Walaupun mereka
mempunyai tanggungjawab sosial yang berat, kerugian mereka
tidak dapat diketepikan.
14. Sementara itu, DEB telah berjaya mewujudkan sebilangan
peniaga dan usahawan bumiputera yang berkemampuan daripada
segi kecekapan pengurusan dan juga kewangan. Di dalam
badan-badan perusahaan awam juga terdapat pengurus-pengurus
yang berkebolehan. Di samping itu Permodalan Nasional
Berhad atau PNB yang dimiliki oleh rakyat daripada semua
golongan telah ditubuhkan dan PNB mampu mengambilalih
perusahaan-perusahaan awam.
15. Dengan perubahan-perubahan yang terdapat dalam dekad
kedua DEB, maka pendekatan yang baru perlu dibentuk untuk
mengurangkan kerugian kerajaan dan untuk melibatkan secara
langsung bumiputera dalam alam sebenar ekonomi. Perusahaan
awam bukanlah matlamat DEB. Ia hanya alat untuk mencapai
matlamat DEB. Pemilikan perusahaan oleh perusahaan-
perusahaan awam mungkin menambah peratusan ekuiti oleh
bumiputera, tetapi ekuiti dalam perusahaan yang sentiasa
rugi tidak bermakna. Tujuan membeli saham ialah untuk
mendapat keuntungan atau menikmati kenaikan harga saham.
Saham yang tidak mendatangkan keuntungan tidak bermakna.
Penyertaan bumiputera dalam perusahaan yang sentiasa rugi
tidak ada faedah.
16. Memandangkan kepada lebih ramainya bumiputera
perseorangan yang bersedia dan berupaya memasuki bidang
perusahaan sekarang ini, dan terdapatnya pula kerugian yang
besar yang dialami oleh sebilangan yang besar daripada
perusahaan-perusahaan awam, maka kerajaan telah mengambil
keputusan untuk menswastakan perusahaan-perusahaan awam yang
mungkin lebih berkesan dan menguntungkan jika diswastakan.
Kerajaan berpendapat seberapa yang boleh kerajaan hendaklah
menghadkan peranannya kepada tugas asalnya -- iaitu
mengawasi keselamatan dan keamanan melalui undang-undang dan
berbagai-bagai bentuk perkhidmatan penyeliaan. Ketidak-
adilan dan penindasan yang boleh berlaku dalam sistem
pasaran bebas boleh dibendung oleh sistem kerajaan yang
demokratik. Hubungan antara bumiputera dan bukan bumiputera
juga boleh diawasi melalui penyeliaan dan penguatkuasaan
dasar-dasar dan undang-undang. Kerajaan yakin lambat laun
matlamat DEB dapat dicapai walaupun perusahaan-perusahaan
awam diberi peranan yang kurang.
17. Oleh kerana banyak juga perusahaan awam telah diuruskan
dengan baik oleh pengurus-pengurusnya, pengalaman mereka
boleh menolong mereka keluar untuk menyertai bidang
pengurusan di luar kerajaan. Dalam pada itu mereka boleh
membuat "management buy-out" jika mereka yakin akan dapat
menguruskan perusahaan milik kerajaan dengan baik.
18. Kepentingan pekerja juga diberi pertimbangan. Pekerja
perusahaan awam setelah diswastakan hendaklah menikmati
layanan yang tidak kurang baiknya daripada semasa mereka
bekerja dengan kerajaan. Namun, tidaklah menjadi hasrat
supaya mereka mengeksploitasi penswastaan untuk mendapat
ganjaran luar biasa.
19. Sebilangan daripada perusahaan awam akan kekal sebagai
perusahaan awam. Walaupun demikian, perusahaan-perusahaan
ini hendaklah meningkatkan kecekapan pengurusan mereka. Ini
bukan sahaja untuk kepentingan kerajaan atau kepentingan
awam, tetapi melatih diri supaya menjadi pengurus yang
efisien amatlah baik bagi pengurus-pengurus perusahaan awam
sendiri. Pada satu hari mereka akan bersara atau meletak
jawatan. Jika mereka mempunyai tabiat yang tidak
menguntungkan semasa berkhidmat dalam perusahaan awam,
tabiat ini akan merugikan mereka apabila mereka bekerja
dengan swasta atau mengurus perusahaan atau perniagaan
sendiri. Mereka yang mengurus dengan baik dan cekap semasa
mengurus perusahaan awam akan memperolehi keuntungan bila-
bila sahaja dan di mana-mana sahaja mereka bekerja.
20. Proses penswastaan tidak bertujuan bagi perusahaan awam
yang diadakan untuk menjayakan DEB terlepas daripada
matlamat DEB, iaitu tidak memainkan peranan sebagai badan
amanah bumiputera. Selain daripada individu bumiputera atau
syarikat bumiputera yang boleh mengambilalih perusahaan
awam, badan-badan amanah seperti PNB juga berpeluang untuk
mengambil alih. Yang menjadi masalah bukan pemindahan
saham, tetapi kejayaan badan-badan ini setelah
dipindahmilik. Jika badan-badan ini selalu rugi, maka
kemungkinannya ialah badan-badan ini akan dijual kepada
pihak lain. Amatlah mengecewakan jika setelah dijual,
badan-badan ini dipulih dan membawa keuntungan kepada tuan
punya yang baru. Sebab itu pengurusan selepas diswastakan
hendaklah cekap supaya badan-badan ini tidak terlepas ke
tangan lain dan DEB gagal.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21. Kita tidak dapat memisahkan diri sepenuhnya daripada
aliran pemikiran semasa. Di zaman ini, yang jelas ialah
pemilik-negaraan dan perluasan peranan pemerintahan sudah
tidak popular. Arus pemikiran ini muncul dan diterima oleh
kerana di mana-mana sahaja perusahaan awam telah gagal
membawa kejayaan ekonomi atau politik atau keadilan.
22. Ideologi-ideologi yang berasas kepada teori bahawa
pasaran bebas membawa ketidakadilan dan perlu diganti dengan
ekonomi yang dirancang di peringkat pusat, iaitu centrally-
planned economy, didapati tidak dapat mencapai matlamat yang
dijangkakan. Justeru itu negara-negara komunis telahpun
menggugurkan teori ekonomi mereka dan sudah pun menerima
sistem pasaran bebas atau free market system.
23. Yang perlu kita ingat ialah teori dan sistem, walau
bagaimana baik sekalipun, tidak boleh menjamin kejayaan.
Yang menentukan kejayaan ialah manusia yang mengamalkan
sistem itu. Negara komunis yang menggugurkan sistem komunis
mereka tidak boleh menjamin kejayaan dalam bidang ekonomi,
mahupun dalam bidang politik atau keadilan hanya dengan
mengamalkan sistem free market. Selama 70 tahun Russia
mengamalkan sistem komunis, mereka telah menghapuskan
usahawan atau entrepreneur dan pengurus-pengurus mereka.
Hari ini mereka tidak mempunyai para pengurus yang cekap dan
pencapaian mereka dalam ekonomi pasaran terbuka akan terhad
sehingga satu generasi pengurus baru dapat diadakan.
Demikianlah faktor manusia dalam apa juga kegiatan.
24. Oleh kerana kita terpaksa dan perlu mengikut aliran
zaman dan mengurangkan peranan perusahaan awam, kita tidak
boleh terlalu taksub dengan sistem. Perusahaan-perusahaan
awam yang akan terus dikekalkan mestilah ingat faktor
manusia ini. Perusahaan awam masih ada tempatnya, jika
mereka memperbaiki prestasi mereka melalui pengurusan yang
cekap dan berhasil. Walaupun mereka mungkin diswastakan,
pencapaian objektif semasa sesuatu perusahaan awam itu
ditubuhkan masih penting. Jika pemikiran menunjukkan bahawa
adalah lebih baik mereka kekal sebagai perusahaan awam,
mereka akan dikekalkan. Kita di Malaysia tidak tertakluk
kepada apa-apa ideologi. Kita tidak dogmatik. Kita akan
memilih yang baik dan membuang yang buruk walaupun terpaksa
menentang arus pemikiran semasa. Tetapi untuk membuat ini,
bukti-bukti dan alasan-alasan mestilah jelas.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak
Gemaputera kerana menjemput saya merasmikan Seminar ini.
Saya berharap Seminar ini akan berjaya merumuskan resolusi-
resolusi yang bermanfaat kepada perusahaan awam di Malaysia.
26. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar
Masa Depan Perusahaan Awam ini.
|