Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	19/03/90 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PERASMIAN SEMINAR 
			AL-QURAN ANTARABANGSA 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Nor, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dapat
bersama-sama menghadiri majlis Perasmian Seminar Al-Quran Antarabangsa
ini.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Seminar yang
menjemput saya ke majlis perasmian ini. Semi- nar seumpama ini adalah yang
julung-julung kali diadakan di negara kita dan objektifnya sangat tepat,
mulia dan tinggi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Marilah kita mengingati kembali akan peranan Al-Quran dalam kehidupan
kita umat Islam. Beriman kepada Al-Quran adalah salah satu daripada Rukun
Iman, dan ia merupakan satu cabaran sejauh mana kemampuan kita untuk
merealisasikan hakikat keimanan kita itu.

4. Kandungan kitab suci Al-Quran penuh dengan mukjizat serta mengandungi
contoh-teladan, kisah-kisah yang berlaku semasa dan sebelum Al-Quran
diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kitab suci ini juga mengandungi
bahan-bahan pendidikan serta penjelasan-penjelasan serta panduan mengenai
perkara-perkara yang wujud di alam dunia ini dan di alam yang berikut dan
juga peristiwa-peristiwa yang akan dihadapi di alam akhirat nanti. Semua
ini mengingatkan kita bahawa Al-Quran itu bukanlah semata-mata sebuah
kitab yang kita dikehendaki membaca sahaja, tetapi juga sebuah kitab yang
mesti difahami isi kandungannya, semoga dengan itu dapatlah diamal dan
dihayati pengajarannya dan dinikmati serta digunakan apa yang terkandung
di dalamnya.

5. Di Malaysia, Kerajaan telah memberi pengiktirafan yang tinggi kepada
Islam sehingga menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara. Semenjak
akhir-akhir ini, kerajaan memberi perhatian yang sangat serius mengenai
pendidikan Al-Quran dan juga penghayatan ajarannya.

6. Menyentuh mengenai pendidikan Al-Quran, kerajaan sentiasa berusaha
meneruskan tradisi penghafalan Al-Quran. Usaha ini telah dilakukan oleh
kerajaan semenjak beberapa tahun yang lampau melalui Insititut Pengajian
Al-Quran yang bertempat di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana
Menteri. Institut ini telah melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja
hafal Al-Quran, tetapi juga memahami beberapa ilmu yang berkaitan
dengannya. Mulai tahun ini, Institut tersebut telah memperluaskan skopnya
dengan mengambil pelajar-pelajar wanita untuk sama-sama mengikuti kelas
pengajiannya. Institut ini telahpun diberi pengiktirafan oleh kerajaan
iaitu pengiktirafan peringkat diploma, dan lulusannya sama seperti
pelajar-pelajar yang berkelulusan diploma.

7. Di zaman di mana terdapat terdapat hanya beberapa buah sahaja Al-Quran
yang ditulis dengan tangan, dan dengan itu kemungkinan sesuatu masyarakat
Islam kehilangan sama sekali Al-Quran kerana kebakaran atau lain-lain
sebab, peranan al- hafiz amatlah penting. Justeru itu setiap masyarakat
Islam perlu ada sebilangan atau sekurang-kurangnya seorang yang boleh
menghafal Al-Quran. Di zaman sekarang, walaupun kita boleh mencetak
berjuta-juta naskhah Al-Quran dan bahaya kehilangan amat berkurangan
tetapi kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab masyarakat Islam untuk
mengadakan seberapa ramai hafiz yang mungkin. Inilah sebabnya yang
kerajaan memberi tekanan kepada penghafalan Al-Quran. Dalam pada itu kita
juga harus ingat bahawa ingatan manusia adalah lemah. Al-Quran yang
dicetak amat penting bagi mengatasi kelemahan fikiran dan ingatan manusia.

8. Al-Quran bukan sahaja diturunkan untuk dibaca dan dihafaz, tetapi
kandungan isinya mestilah difahami dan dihayati. Dalam hubungan ini
kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai
isi kandungan Al- Quran melalui berbagai-bagai institusi. Universiti-
universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini sedang mengambil
langkah dan menggunakan beberapa pendekatan bagi memudahkan ajaran
Al-Quran dihayati oleh masyarakat seluruhnya. Kajian dalam bidang sains
dan penemuan-penemuan daripadanya bukan sahaja telah membuktikan bahawa
ajaran Al- Quran adalah benar, tetapi juga telah menghasilkan manfaat yang
besar untuk digunakan oleh umat Islam khususnya dan masyarakat dunia amnya
bagi keperluan duniawi dan ukhrawi mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

9. Sekarang ini terdapat kekeliruan di kalangan sesetengah orang Islam
dalam memahami kehendak-kehendak Al-Quran. Apabila mereka bercakap
mengenai Al-Quran, mereka hanya mementingkan soal-soal yang berhubung
dengan ibadat khusus atau fardhu 'ain iaitu mengenai sembahyang, puasa,
zakat dan haji, tanpa memberi penekanan kepada bidang ibadat umum atau
fardhu kifayah yang mempunyai kesan terhadap seluruh masyarakat. Kerana
kekeliruan yang disebabkan oleh tafsiran yang sempit ini mereka sering
melihat apa yang dibuat oleh kerajaan sebagai tidak Islamik dan tidak
berunsur Islam dan tidak selaras dengan kehendak-kehendak
Al-Quran. Penerimaan tafsiran yang sempit inilah yang menyebabkan
kemunduran orang Islam sekarang sehingga mereka miskin dalam segala-
galanya dan tidak pun dapat mempertahankan diri tanpa senjata dan bantuan
daripada punca yang bukan Islam.

10. Al-Quran adalah panduan yang tertinggi dan punca yang utama tentang
agama Islam. Panduan Al-Quran adalah secara umum sahaja. Umpamanya kita
tidak akan mengerti cara-cara atau rukun-rukun melakukan sembahyang hanya
dengan membaca Al-Quran. Banyak cara-cara melakukan ibadat dalam Islam
tidak terdapat dalam Al-Quran. Ini tidak bermakna Al-Quran tidak
lengkap. Sebenarnya hadith dan sunnah Nabi boleh membantu umat Islam
mengamalkan ibadat dalam Islam.

11. Demikian juga segala ilmu terdapat dalam Al-Quran tetapi hanya dengan
membaca dan memahami isi kandungan Al- Quran kita tidak akan dapat
mendalami semua ilmu. Al-Quran memandu kita untuk mempelajari ilmu dengan
melihat alam sekeliling dan makhluk yang ada dalamnya, menyuruh kita
membuat persediaan mempertahankan diri kita daripada musuh, dan
menjalankan usaha dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh orang-orang
Islam. Maka terpulanglah kepada kita untuk menunaikan suruhan Allah yang
dibuat melalui Al-Quran.

12. Jika kita disuruh oleh Al-Quran melihat alam sekeliling dan berfikir
maka tentulah ini adalah untuk kebaikan dan kejayaan orang-orang
Islam. Sebab itu dengan melihat gerakan bintang di langit, ulama-ulama
Islam dapat memahami bukan sahaja kedudukan bulan, bintang, matahari dan
bumi, tetapi juga ilmu pelayaran, ilmu hisab dan ilmu alam. Sebenarnya
asas penerbangan ke angkasa lepas, ke bulan dan bintang ialah ilmu yang
diterokai oleh ulama Islam seperti Ibnu Rushd, Al-Khawarizmi, Ulugh Beg,
Ibnu Khaldun dan lain- lain, yang memahami dan menghayati arahan Al-Quran
supaya mempelajari alam sekeliling. Sudah tentulah bukan maksud Al-Quran
untuk kita melihat sahaja.

13. Demikian juga Al-Quran menyuruh kita melengkapkan diri untuk
mempertahankan diri. Di zaman Nabi Muhammad S.A.W. bermakna mengetahui di
antara lain menunggang kuda dan membuat pedang, tetapi di zaman moden ini
pedang dengan kuda tidak boleh menyelamatkan kita. Yang boleh
menyelamatkan kita ialah senjata moden, kapalterbang perang, kapal perang,
kapal selam dan lain-lain. Apakah dengan hanya membaca Al- Quran kita
dapat buat semua peralatan ini? Sudah tentu tidak. Arahan untuk
mempertahankan diri bermakna arahan supaya membaca dan mempelajari membuat
peralatan perang moden. Jika kita menerima dan mematuhi ajaran Al-Quran,
maka umat Islam akan menjadi orang yang berilmu dan cekap dalam semua
bidang, dan mampu mempertahankan diri dengan kekayaan dan kecekapan.

14. Semua alat moden adalah hasil daripada mempelajari dan mengkaji bidang
sains. Inilah kaitan sains dengan Al-Quran. Ikhraq tidak bermakna membaca
Al-Quran semata-mata tetapi membaca atau mempelajari yang lain juga, yang
semuanya adalah kurniaan Tuhan. Dan dengan kita melihat, mengkaji semua
kurniaan ini dan apa yang boleh diperbuat daripadanya, kita akan lebih
faham dan sedar akan kebesaran Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

15. Semua sains moden adalah hasil penerokaan alim-ulama sains Islam dan
agama Islam. Kita harus ingat bahawa huruf alphabet Barat berasal daripada
alif-ba-ta Arab yang penggunaannya diperluaskan selepas Islam berkembang
di wilayah Arab dan Eropah. Pusat-pusat pengajian tinggi Islam di
Khurtubah dan Baghdad menjadi tumpuan orang-orang Eropah yang ingin
mempelajari ilmu sains dan hisab. Akhirnya mereka membentuk alphabet
mereka sendiri.

16. Sudah tentu angka-angka cypher atau sifir hingga sembilan yang
digunakan oleh Barat berasal daripada sistem perkiraan sifir hingga
sembilan yang dicipta oleh orang- orang Islam. Dari inilah datangnya
sistem kiraan Barat, termasuk sistem metrik yang memudahkan ilmu hisab dan
semua ilmu sains yang tidak dapat maju tanpa sistem perkiraan dec- imal
kosong hingga sembilan. Sebelum ini Barat mengguna angka Roman dengan
mengguna huruf-huruf seperti I, V, C, M, X dan lain-lain yang sukar diguna
untuk perkiraan. Calcula- tor dan komputer tidak mungkin dicipta jika
sistem Roman dipakai. Sungguhpun kita memanggil sistem barat sebagai
tulisan Rumi, sebenarnya ia adalah jawi atau Arabic script yang dimodify
oleh Barat. Sistem angka untuk perkiraan semuanya daripada sistem
Islam. Sistem logarithm yang diasaskan kepada perkiraan angka Islam juga
berasal daripada orang-orang Islam, iaitu Al-Khawarizmi dari Khorazm-
Uzbekhistan yang disebut oleh Barat sebagai "algorithm". Sistem algorithm
inilah yang memudah dan mempercepatkan perkiraan dalam ilmu hisab sehingga
bidang sains berkembang maju.

17. Soalnya ialah kenapakah sistem huruf dan angka serta hisab dan sains
berasal daripada orang-orang Islam tetapi hari ini orang-orang Islam
ketinggalan dan orang-orang lain yang maju? Sebabnya ialah tafsiran dibuat
pada zaman-zaman tertentu bahawa ibadat terhad hanya kepada menunaikan
beberapa fardu ain dan membaca dihadkan kepada soal-soal dan kitab-kitab
tafsiran dan huraian agama sahaja. Kerja-kerja dan pelajaran-pelajaran
lain dianggap bukan ibadat dan tidak diberi tekanan. Alim ulama tidak
termasuk orang yang alim dalam bidang-bidang lain seperti sains, ilmu alam
dan hisab. Kerana pendekatan yang sempit ini bukan sahaja ilmu-ilmu yang
dicipta, diterokai dan dibangunkan oleh orang-orang Islam tidak
mendatangkan faedah kepada orang-orang Islam tetapi juga ilmu-ilmu ini
hilang daripada masyarakat Islam. Di masa yang sama ilmu-ilmu orang-orang
Islam ini dipelajari dan berkembang di kalangan orang-orang bukan
Islam. Demikianlah merosotnya pengetahuan orang-orang Islam sehingga untuk
mempertahankan masyarakat Islam dan agama Islam pun mereka secara langsung
dan tidak langsung bergantung kepada orang-orang bukan Islam.

18. Kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu dan pelajaran, selain
daripada yang khusus berkenaan dengan agama, masih belum terdapat di
kalangan sesetengah orang-orang Islam di zaman ini. Sains dianggap milik
orang bukan Islam dan orang-orang Islam yang memasuki bidang ini tidak
disanjung tinggi sebagai orang yang membuat ibadat dan orang yang
alim. Sesiapa yang berani berkata ahli sains adalah ulama dikecam oleh
sesetengah ulama yang mahu perkataan ulama itu dihadkan
kegunaannya. Dengan ini ada mereka yang memasuki bidang yang berasaskan
kepada sains telah meninggalkan ilmu ini walaupun berbakat dan
berkelayakan. Sebaliknya mereka mengalih kepada apa yang dikatakan
'kegiatan agama'. Mereka yang lain yang meneruskan pengajian dalam bidang
sains berasa bersalah bahkan berasa berdosa dan seterusnya tidak mendalami
bidang tersebut. Dengan itu pencapaian orang- orang Islam adalah di
peringkat yang rendah dan kurang mendatangkan manfaat.

19. Masalahnya ialah sains mempunyai kaitan yang rapat dengan survival dan
kemajuan orang-orang Islam. Agama Islam wujud kerana terdapat orang-orang
yang menghayatinya. Jika kerana kelemahan, orang-orang Islam ditewaskan
dalam semua bidang, mereka bukan sahaja bersalah kerana tidak menunaikan
suruhan Al-Quran, tetapi mereka mungkin dipisahkan daripada agama mereka.

20. Akan terdapat mereka yang akan berkata Tuhan akan melindungi
orang-orang Islam. Tetapi apakah kita disuruh oleh Al-Quran menyerah
semata-mata kepada Tuhan dan tidak payah berusaha? Sementara kebenaran
agama Islam boleh menarik ramai penganut-penganut, tetapi tanpa kejayaan
duniawi oleh pejuang-pejuang Islam di zaman dahulu tidak akan ramai yang
berpeluang memahami kebenaran Islam. Justeru itu kejayaan di dunia tidak
kurang pentingnya dan sains boleh menolong mencapai kejayaan
ini. Dipandang daripada apa sudut sekalipun, sains mempunyai kaitan yang
rapat dengan ajaran dan seruan yang terkandung dalam Al- Quran.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

21. Seminar ini adalah kena pada masanya. Kedudukan sains dan kaitannya
dengan Al-Quran perlu difahami dan segala kekeliruan mestilah dihapuskan.

22. Saya berharap Seminar ini akan mendatangkan faedah kepada semua orang
Islam dan akan menyampaikan kebenaran ajaran Al-Quran ul-Karim.

23. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang
menjayakan Seminar ini. Dengan lafaz Bismillahi Rahmanirahim, saya
merasmikan Seminar Al-Quran Antarabangsa ini dan pameran yang diadakan
sempena dengannya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google