Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 26/04/90
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1410
HIJRAH/1990 MASIHI
Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar.
Allahu Akbar.
Allahu Akbar.
Walillahilhamd.
Alhamdulillah, sekali lagi kita umat Islam dapat
merayakan kemenangan kita; kemenangan melawan nafsu dalam
semua aspek sepanjang bulan Ramadan yang mulia. Ibadat
puasa, sebagai satu daripada Rukun Islam, adalah salah satu
cara untuk menanam perasaan keinsafan serta kesyukuran kita
kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang telah mencucurkan
kepada kita bermacam-macam nikmat.
2. Hari yang mulia ini selalunya disambut dengan segala
adunan dan juadah, berpakaian baru dan cantik dengan
perhiasan yang berwarna-warni. Memanglah kita harus
bergembira dan menikmati berbagai-bagai hidangan, tetapi
janganlah kita menyambut hari yang mulia ini dengan
keseronokan semata-mata. Kita hendaklah juga menyambut hari
kebesaran ini mengikut lunas-lunas yang tertentu. Hari Raya
tetap hari untuk bergembira. Tetapi agama Islam juga
menggalakkan kita merayakan hari yang mulia ini dengan
membanyakkan amalan-amalan yang membuktikan kesyukuran kita
serta kesedaran bahawa ibadat puasa yang telah kita tunaikan
perlu memberi kesan kepada nilai-nilai hidup kita secara
berpanjangan daripada segi lebih insaf akan apa juga nikmat
yang ada pada kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
3. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala ke atas
kesihatan yang dikurniakan kepada kita untuk menunaikan
ibadat puasa selama sebulan. Kita bersyukur kerana kita
diberi rezeki bagi menampung diri dan keluarga, kerana
negara aman, stabil dan damai, dan atas segala-gala yang
kita nikmati setiap hari. Kita tidak mungkin dapat
menghitung segala nikmat Allah tetapi janganlah kita lupa
akan nikmat-nikmat itu, dan sebaliknya merenung akan
keburukan nasib kita. Tiap seorang daripada kita tetap ada
apa yang kita anggap sebagai nasib yang malang. Jika kita
menumpukan akan nasib yang kita anggap malang ini, kita
tidak akan dapat menghargai nikmat yang telah kita terima
daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu semasa kita
menyambut kemenangan kita, hitungkanlah nikmat kita supaya
kita menjadi umat Islam yang insaf dan tahu bersyukur.
Insya-Allah, kita akan memperolehi kebahagiaan.
4. Perasaan syukur akan menjadikan kita muslimin dan
muslimat umat yang insaf, bertakwa dan kuat berpegang kepada
lunas-lunas yang diredai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan nikmatNya yang
bertambah kepada orang-orang yang bersyukur. Pada hari yang
mulia ini, marilah kita bersama-sama bersyukur, bukan sahaja
dengan takbir dan tahmid, tetapi juga merenung dengan penuh
insaf dan syukur serta menghitungkan akan pemberian Allah
yang kita nikmati sepanjang hari, sepanjang bulan, sepanjang
tahun bahkan sepanjang masa.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
5. Ekonomi negara kita sudah empat tahun berturut-turut
menempa perkembangan yang baik. Pertumbuhan ekonomi negara
kita pada tahun 1989 yang lalu ialah 8.5% -- tahun kedua
berturut-turut di mana pertumbuhan ekonomi negara melebihi
8%. Pertumbuhan ekonomi ini mempunyai erti secara langsung
kepada kita semua kerana ia memberi peluang untuk kita
bekerja, melariskan perniagaan kita sama ada kecil atau
besar, membolehkan kita menikmati kemudahan-kemudahan yang
lebih baik yang disediakan oleh kerajaan dan swasta serta
memperbaiki kualiti hidup kita. Kita tahu akan kesan buruk
kemelesetan yang kita alami baru-baru ini, dan dengan itu
pemulihan ekonomi sekarang lebih bermakna kepada kita.
Pertumbuhan ekonomi negara yang baik bukanlah bahan
kebanggaan Kerajaan, tetapi adalah untuk dinikmati bersama
oleh rakyat keseluruhannya.
6. Kerajaan berpuashati kerana banyak projek pembangunan
telah dapat dilaksanakan dengan adanya kestabilan dan
pemulihan ekonomi. Amatlah buruk akibatnya jika negara kita
diserang dengan gejala-gejala seperti tunjuk perasaan,
mogok, penggunaan kekerasan untuk menggulingkan kerajaan,
rusuhan kaum dan lain-lain tindakan di luar undang-undang
yang sering berlaku di negara-negara lain. Tetapi ini semua
tidak berlaku di negara kita kerana majoriti rakyat
menghargai kestabilan dan perpaduan. Rakyat Malaysia juga
menghormati kuasa yang diberikan kepada agensi-agensi
kerajaan seperti polis dan tentera untuk menjaga keamanan
dan keselamatan. Percubaan menghalang pihak polis daripada
menjalankan tugas-tugas mereka atau percubaan mengambilalih
tugas-tugas polis atau take the law into your own hands,
amatlah merbahaya. Jika satu pihak mencubanya, maka pihak
yang lain pula akan cuba mengambil tindakan yang sama.
Sekiranya ini berlaku maka akan runtuhlah aturan sosial atau
there will be a breakdown in social order, dan akan
tercetuslah anarki. Jika anarki berlaku kehidupan kita
tidak lagi akan selamat. Huru-hara akan menimpa kita.
Seperti mana yang kita lihat di beberapa negara lain, sekali
anarki tercetus amatlah sukar untuk memulihkan keadaan.
Oleh itu awasi dan peliharalah kestabilan negara kita.
Tidak ada sesiapa yang akan untung, sama ada orang Islam
atau bukan Islam, jika kestabilan dan keamanan negara
musnah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Semasa kita menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia
ini, sebahagian daripada anggota tentera, polis dan pasukan
keselamatan kita, serta lain-lain perkhidmatan, seperti
perkhidmatan perubatan, sedang menjalankan tugas-tugas
mereka. Di samping kita merayakan hari yang mulia ini
bersama-sama keluarga masing-masing, marilah kita berdoa
semoga mereka yang sedang bertugas sentiasa sihat dan
selamat menjalankan tugas-tugas mereka.
8. Kepada para muslimin dan muslimat, saya mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat
hidayat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kepada saudara-
saudari yang bukan Islam, rayakanlah hari kebesaran ini
bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda. Bagi mereka
yang akan menggunakan jalanraya semasa musim cuti dan
seterusnya, berhati-hatilah. Adalah lebih baik lambat
asalkan selamat. Pandulah dengan cermat supaya hari raya
tidak diselubungi dengan kesedihan.
9. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf,
zahir dan batin, di atas apa jua kesilapan yang mungkin
telah kami lakukan kepada sesiapa selama ini. Selamat Hari
Raya Aidilfitri.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar.
Allahu Akbar.
Allahu Akbar.
Walillahilhamd.
|