Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	06/06/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA 
			ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA 
			YANG DI PERTUAN AGONG 




 Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah,
Ampun Tuanku,
    Dengan  hormat  dan  penuh  takzimnya, patek bagi pihak
Kerajaan dan seluruh rakyat, serta diri patek sendiri, mohon
menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke bawah  Duli  Yang  Maha
Mulia Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku
hari  ini.   Patek sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala semoga Duli Tuanku  serta  Duli  Yang  Maha  Mulia
Tuanku  Bainun dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan
hidayahNya, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua
sentiasa  berada  dalam   kandungan   sihat   dengan   penuh
kesejahteraan dan kedaulatan.
Ampun Tuanku,
2.   Syukur  Alhamdulillah,  dengan  izin  dan limpah kurnia
Allah Subhanahu wa Ta'ala, negara kita Malaysia terus berada
dalam keadaan aman dan damai.  Keadaan ini dapat  diwujudkan
kerana sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
terus   terjamin.    Ini  membolehkan  kerajaan  dan  rakyat
berbilang kaum di negara ini berada dalam keadaan tenang dan
berdayamaju.    Kerajaan  di  bawah  naungan  Tuanku  berasa
bertuah  kerana  para  pemimpin  dan  rakyat  umumnya  telah
bersama-sama menanamkan perasaan  saling  hormat-menghormati
di antara satu sama lain.
3.   Kedudukan   ekonomi   negara   dewasa  ini  pula  terus
bertambah teguh.   Pertumbuhan yang menggalakkan  ini  jelas
digambarkan  melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri
Kasar atau  KDNK  pada  tahun  1989  yang  lalu  yang  terus
mengatasi  paras  8%.    Pertumbuhan  ekonomi yang kukuh ini
digambarkan juga melalui imbangan bayaran negara yang sangat
memuaskan.   Dalam ucapan tahniah patek  tahun  lalu,  patek
telah   menyatakan  bahawa  kerajaan  yakin  yang  pelaburan
swasta,  baik  dari  dalam  atau  luar  negeri,  akan  terus
meningkat.    Harapan  kerajaan ini telah menjadi kenyataan.
Pertambahan pelaburan bagi  lima  bulan  pertama  tahun  ini
dianggar  lebih  dari  12 bulan pada tahun 1989.  Kebanyakan
syarikat-syarikat  perusahaan   dan   perdagangan   mencatat
keuntungan  yang tinggi, bahkan pendapatan setengah-setengah
pekerja juga telah meningkat.
4.   Program-program yang disusun bagi  menjadikan  struktur
ekonomi  negara lebih berupaya menghadapi cabaran-cabaran di
pasaran antarabangsa  pada  masa  hadapan  dapat  dijalankan
dengan baiknya.  Salah satu perubahan struktur ekonomi ialah
menjadikan  ekonomi  negara kurang bergantung kepada eksport
barangan  utama  atau  komoditi,   sebaliknya   menggalakkan
pembangunan  industri perkilangan. Usaha ini semakin berjaya
dengan keluaran perkilangan terus menjadi  penyumbang  utama
dengan   sumbangan   kira-kira  54%  atau  melebihi  separuh
daripada jumlah eksport tahun lalu.   Industri  perkhidmatan
juga  sedang mengalami proses pertumbuhan yang baik terutama
dalam bidang perhotelan dan pelancongan.
5.   Dengan  adanya  perubahan  struktur  yang   baik   itu,
pertumbuhan  ekonomi tahun 1990 ini dijangkakan sebaik tahun
lalu, iaitu sekali lagi KDNK mengatasi kadar 8%.   Kedudukan
keseluruhan imbangan bayaran dijangka akan terus memuaskan.
Ampun Tuanku,
6.   Pada  hujung  tahun  ini, genaplah tempoh Dasar Ekonomi
Baru atau DEB.  Walaupun objektif DEB  tidak  dapat  dicapai
sepenuhnya,  negara  dan rakyat boleh berbangga kerana dasar
itu  telah  berjaya  mengurangkan  jurang  perbezaan   taraf
ekonomi  antara  kaum dan mengurangkan kadar kemiskinan.  Di
samping itu kerajaan sedang mengambil  langkah-langkah  awal
untuk  merangka  satu dasar ekonomi negara yang baru selepas
tahun  1990.    Kerajaan  akan  mengkaji   semua   cadangan,
terutamanya  oleh Majlis Perundingan Ekonomi Negara, sebelum
mengemukakan  satu  rancangan  ekonomi   untuk   tahun-tahun
menjelangnya  tahun  2000.    Walau  bagaimanapun,  kerajaan
berpendapat bahawa masalah ketidak-seimbangan ekonomi antara
kaum haruslah terus diberi keutamaan demi perpaduan kaum dan
kestabilan negara.
7.   Patek bagi pihak kerajaan  berasa  bangga  kerana  Duli
Yang  Maha  Mulia  Tuanku  berdua  telah  bersama-sama patek
sekalian  dalam  menjayakan  Persidangan  Kemuncak   Pertama
Kumpulan  Perundingan  dan  Kerjasama  Selatan-Selatan  yang
berakhir tiga hari yang lalu.  Kerajaan yakin Malaysia  kian
dikenali di kaca mata dunia dan secara langsung, Persidangan
ini  tentu  memberi  sumbangan  kepada program Tahun Melawat
Malaysia.   Usaha meningkatkan pelancongan  baik  dari  luar
atau   dalam   negeri   telah   menunjukkan   kejayaan  yang
menggalakkan.
Ampun Tuanku,
8.   Malaysia telah diberi penghormatan  menghantar  pasukan
pemerhati   dan  pengaman  ke  tiga  buah  negara  di  bawah
penyeliaan Bangsa-bangsa Bersatu.  Pasukan keselamatan  kita
telah  melaksanakan tugas mereka sebagai pasukan pengaman di
Namibia dan  pasukan  pemerhati  di  Iraq  dan  Iran  dengan
jayanya. Ini telah mengharumkan nama negara di samping ianya
merupakan sumbangan ke arah mewujudkan dunia yang lebih aman
tenteram.
9.   Mengenai  keadaan keselamatan pula, pada keseluruhannya
kedudukan keselamatan  negara  adalah  terpelihara.    Walau
bagaimanapun  Kerajaan  dan  rakyat tidak akan lalai, bahkan
akan terus berwaspada terhadap kemungkinan Malaysia  diancam
oleh musuh-musuh.
10.  Di samping itu keadaan keamanan dan ketenteraman negara
telah menempa satu sejarah baru.  Parti Komunis Malaya telah
meletakkan   senjata  mereka  pada  penghujung  tahun  lalu.
Peristiwa  ini  menggambarkan  hasil  yang  wajar   terhadap
pengorbanan  dan  keperwiraan  pasukan keselamatan dan orang
ramai  dalam  menentang  usaha   percubaan   komunis   untuk
menumbangkan   Kerajaan.      Kerajaan  berharap  pengganas-
pengganas komunis  akan  bukan  sahaja  meletakkan  senjata,
bahkan juga akan melupakan ideologi perjuangan mereka.
Ampun Tuanku,
11.  Patek, bersama-sama dengan seluruh kakitangan kerajaan,
akan  terus menumpukan usaha dan tenaga untuk menyempurnakan
tugas dan tanggungjawab patek sekalian dengan penuh semangat
dan  tekad  bagi  menjamin   kemakmuran,   keselamatan   dan
kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia, insya-Allah.
12.  Pada  hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi
pihak diri patek, kerajaan dan seluruh rakyat, patek  dengan
penuh  hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia
yang tidak berbelah bahagi  Kebawah  Duli  Yang  Maha  Mulia
Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah.
Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.

 
 



 
Google