Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 08/06/90
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN HARI GURU 1990
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim,
Menteri Pendidikan;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala kerana dengan izinNya kita dapat bersama-sama
berkumpul dalam majlis perayaan Hari Guru tahun ini.
2. Saya berasa sukacita kerana sekali lagi dapat bertemu
dengan para guru sekalian. Hari Guru adalah satu acara yang
tersusun untuk menghargai para guru dalam masyarakat.
Sebenarnya di zaman dahulu kita tidak perlu diperingati akan
peranan dan martabat guru. Tetapi dahulu bilangan cerdik-
pandai tidak ramai dan guru mungkin hanya seorang sahaja
yang terpelajar dalam sesuatu kelompok masyarakat setempat.
Sekarang ini terdapat ramai yang terpelajar dan oleh itu
para guru menghadapi saingan sebagai punca pengetahuan.
Akan tetapi mereka yang terpelajar perlu diperingati bahawa
mereka meningkat ke taraf tersebut kerana guru. Sebab
itulah kita mengadakan secara formal usaha memperingati
masyarakat akan peranan guru dan pentingnya kita menghargai
guru dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada kebudayaan
bangsa Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Peranan dan fungsi guru dalam dekad 90an ini sudah
tentunya berbeza berbanding dengan dekad-dekad sebelumnya.
Di masa dahulu guru hanya dikehendaki menyampaikan ilmu-ilmu
dan tradisi masyarakat kepada kanak-kanak yang akan mewarisi
masyarakat itu. Tujuannya ialah supaya masyarakat
kekal dengan pengetahuan dan kebudayaan yang telah sedia
ada. Perubahan tidak menjadi matlamat masyarakat. Dengan
penerimaan semua yang lama maka segala institusi lama akan
terpelihara daripada ancaman dan cabaran. Mereka yang
berkedudukan tertentu akan dapat mengekalkan tempat mereka.
4. Masyarakat yang konservatif yang wujud melalui sistem
ini mungkin lebih tenang, tetapi ia tidak mampu
mempertahankan diri jika diserang oleh masyarakat yang lebih
progresif. Kejatuhan negara-negara timur di tangan negara-
negara Barat adalah disebabkan negara-negara Timur
ketinggalan kerana sistem pelajaran dan kerana kebudayaannya
tidak berubah dan sebab itu masyarakat tidak maju. Tetapi
bukan semua yang diterokai boleh membawa kebaikan.
Justeru itu pemilihan yang bijak harus dibuat.
5. Hari ini kita hidup dalam masyarakat yang bersaing atau
competitive society. Kita perlu bersaing bukan sahaja di
antara individu dengan individu, tetapi juga di antara
kumpulan dengan kumpulan, kaum dengan kaum dan negara dengan
negara. Kita tidak dapat mengelakkan diri daripada saingan
ini. Sudah tentu sistem pelajaran yang tidak mengambilkira
iklim saingan ini akan menyebabkan masyarakat berkenaan
ketinggalan.
6. Memang dalam saingan ini kita mungkin mendapat
perlindungan dan bantuan. Benteng kita yang terkuat sekali
hari ini ialah kuasa politik. Tetapi kuasa politik tidak
boleh diharapkan kekal di tangan pihak yang
bertanggungjawab. Politikus yang ingin sesuatu untuk diri
sendiri boleh membelakangkan kepentingan masyarakat. Kitol
dan Raja Mendeliar ada di mana-mana sahaja sepanjang zaman.
7. Justeru itu ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan
keadaan semasa amatlah penting bagi melindungi dan
menjayakan sesuatu masyarakat. Ini menjadikan peranan guru
dewasa ini tidak kurang penting daripada masa dahulu.
Tetapi para guru hendaklah sanggup memikul beban ini bukan
semata-mata kerana menampung sara hidup, tetapi sebagai
tanggungjawab kepada bangsa dan negara. Sudah tentu jika
negara maju nikmatnya akan dinikmati juga oleh para guru.
Negara yang miskin kerana pendidikan yang tidak bermutu
tidak mungkin memberi saraan yang baik kepada guru.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Salah satu daripada tugas guru yang utama di zaman
dahulu ialah memupuk budi pekerti yang baik di kalangan
pelajar-pelajar. Memang benar ibu bapa bertanggungjawab
terhadap pembentukan peribadi yang baik ini. Tetapi apabila
ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada guru di zaman
dahulu, mereka berharap dan guru juga sedar bahawa peribadi
anak mereka akan dibentuk oleh guru. Ini adalah oleh kerana
guru dianggap lebih terpelajar daripada kebanyakan ibu bapa
dan ibu bapa tidak begitu yakin mereka mengetahui perbezaan
antara yang baik dan yang buruk dalam sistem nilai
masyarakat.
9. Di zaman sekarang juga peranan guru dalam pembentukan
peribadi murid, iaitu bakal warganegara dewasa, masih ada
dan diperlukan. Perbahasan sama ada guru atau ibu bapa yang
bertanggungjawab dalam hal ini tidak harus berlaku. Ibu
bapa mempunyai tanggungjawab mereka dan guru juga mempunyai
tanggungjawab.
10. Sementara ibu bapa tidak mungkin diberi latihan khusus
berkenaan dengan cara pembentukan peribadi mulia, guru boleh
diberi latihan ini kerana tidak semestinya setiap orang yang
menjadi guru tahu secara tersendiri semua sistem nilai
masyarakat, terutama yang mana yang baik yang harus dipupuk,
dan yang mana tidak harus diberi tekanan atau dihapuskan
sama sekali. Sebenarnya didikan yang bertujuan membentuk
peribadi yang mulia lebih penting daripada ilmu. Dalam
masyarakat dewasa ini, penyalahgunaan ilmu oleh mereka yang
berpengetahuan semakin meluas. Sebab itulah senjata-senjata
yang kejam dicipta dan jenayah-jenayah yang besar dilakukan
oleh orang-orang yang terpelajar. Sebab itulah juga
penipuan yang besar berlaku dalam perniagaan dan perusahaan.
11. Keadaan yang ideal ialah apabila kita wujudkan melalui
pendidikan satu masyarakat yang sopan dan mulia dan yang
mempunyai cukup ilmu pengetahuan untuk membangun
dan memajukan diri sendiri dan masyarakat. Walaupun unsur-
unsur keturunan atau 'heredity' mempunyai peranan dalam
menghadkan kebolehan seseorang, pendidikan moral dan ilmiah
yang sesuai dan mencukupi akan dapat membangunkan potensinya
ke tahap yang maksima sehingga dalam kerjayanya ia akan
dapat menggunakan segala kebolehannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Sebagai seorang anak kepada seorang guru yang tidak
pernah lupa bahawa ianya adalah guru walaupun dirumahnya,
dan sebagai murid dalam sistem pendidikan lama, di mana guru
merupakan orang yang amat terpelajar dan terhormat dalam
masyarakat, saya sedar tentang peranan yang amat
berkesan yang dimainkan oleh guru. Saya hari ini adalah
hasil daripada hubungan dan didikan guru-guru dalam
kehidupan saya, terutama semasa di bangku sekolah selain
daripada didikan di rumah oleh ibu bapa, abang-abang dan
kakak-kakak. Saya berpendapat kesan didikan oleh guru-guru
tidak kurang tetapi mungkin lebih daripada kesan didikan
oleh keluarga. Dan masyarakat di mana-mana sahaja menerima
hakikat peranan guru dalam pembentukan peribadi selain
daripada penyampaian ilmu tertentu.
13. Saya yakin semua guru sedar akan hakikat ini. Tetapi
masyarakat di Malaysia tidak menganggap didikan yang boleh
membentuk peribadi yang mulia sebagai sama penting atau
lebih penting daripada ijazah keilmuan. Masanya sudah
tiba untuk kita menentukan keutamaan kita dan kita tekankan
latihan kerohanian yang sesuai dengan zaman bersama-sama
dengan didikan dalam bidang-bidang ilmu yang juga sesuai
dengan pembangunan bangsa dan negara. Jika masyarakat sudah
dapat menyusunkan keutamaannya dan percaya bahawa peribadi
yang mulia adalah penting dalam menentukan kejayaan dan
kebahagiaan, maka guru-guru patutlah diberi peranan utama
dalam menyebar nilai-nilai ini kepada generasi muda. Insya-
Allah akan terbentuklah satu masyarakat yang lebih baik dan
lebih berjaya daripada yang ada sekarang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Tema Hari Guru tahun ini ialah 'Pendidikan Bermutu
Masyarakat Sejahtera'. Pendidikan Bermutu bukan bermakna
jenis ilmu tetapi penyampaian ilmu secara yang berkesan.
Sungguhpun Pusat-Pusat Latihan Perguruan memberi latihan
tentang cara-cara mengajar, tetapi ada guru yang terkenal
dan disayangi oleh murid kerana cara ia mengajar memudahkan
penyerapan ilmu oleh murid-murid. Ada juga guru yang tidak
begitu diminati oleh murid. Setiap guru harus tahu akan
kualiti-kualiti dan cara-cara yang menjadikan sesetengah
guru berkesan. Mereka seharusnya mengamalkan cara itu. Ini
akan menjamin mutu pendidikan di negara ini berkesan dan
tinggi.
15. Tetapi yang terpenting sekali untuk mengadakan didikan
yang bermutu ialah dedikasi dan semangat guru itu sendiri;
dedikasi dan semangat yang mengenepikan soal-soal lain,
termasuk soal-soal peribadi, semasa mengajar. Walau apa
sekalipun masalah peribadi atau kumpulan yang dihadapi,
semuanya harus diketepikan semasa menyampaikan pelajaran
kepada murid.
16. Murid adalah sensitif terhadap segala-gala yang
mempengaruhi fikiran dan sikap guru. Tumpuan murid-murid
kepada pelajaran akan terpesong jikalau faktor-faktor lain
mengganggu guru. Justeru itu untuk mewujudkan pendidikan
yang bermutu, guru harus mengasingkan faktor-faktor lain
daripada fikiran mereka semasa mengajar.
17. Ini tidak mudah dilakukan tetapi mutu atau kualiti
memang pun tidak mudah dicapai. Hanya mereka yang teguh
peribadi dan berdisiplin yang boleh mencapai mutu yang
tinggi. Yang harus kita ingat ialah mereka yang berjaya
mencapai mutu yang tinggi dalam mendidik murid akan berjaya
dalam kehidupan mereka sendiri, insya-Allah.
18. Ini bermakna bukan sahaja Pendidikan Bermutu membawa
kepada Masyarakat Sejahtera, tetapi juga guru yang memberi
pendidikan bermutu akan mendapat ganjaran bagi dirinya.
Tidak siapa yang akan rugi kerana dedikasi dan semangat yang
berjaya menghasilkan Didikan Bermutu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19. Akhirnya saya mengucapkan terima kasih kepada Yang
Berhormat Encik Anwar dan Jawatankuasa perayaan Hari Guru
kerana menjemput saya ke majlis ini. Saya berdoa semoga
perayaan Hari Guru ini akan mengeratkan lagi silaturahim dan
hubungan baik di antara para guru dengan masyarakat
keseluruhannya.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|