Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 09/06/90
Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN
PARTI GERAKAN
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
Parti Gerakan kerana sekali lagi menjemput saya untuk
merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan.
2. Parti Gerakan seperti lain-lain parti komponen dalam
Barisan Nasional telah turut memberi sumbangan kepada
kestabilan dan kekuatan Barisan Nasional. Kerjasama di
antara parti-parti komponen Barisan Nasional telah memberi
manfaat bukan sahaja kepada kelicinan pentadbiran Kerajaan,
tetapi juga kepada rakyat Malaysia keseluruhannya. Dalam
hubungan ini, saya yakin Parti Gerakan akan terus memberi
sumbangannya demi keutuhan Barisan Nasional dan Kerajaan.
3. Barisan Nasional adalah gabungan parti-parti politik
yang mewakili masyarakat berbilang kaum Malaysia. Di
sinilah terletaknya keistimewaan Barisan Nasional. Dalam
hubungan ini dasar-dasar yang digubal oleh Kerajaan Barisan
Nasional adalah berteraskan kepada aspirasi serta
kepentingan rakyat berbilang kaum di negara kita.
Keputusan-keputusan adalah berdasarkan kepada prinsip
konsensus. Formula secara ini jelas terbukti mendapat
sokongan majoriti rakyat Malaysia.
4. Falsafah perjuangan Barisan Nasional adalah untuk
berbakti kepada rakyat. Politik bagi kita dalam Barisan
Nasional merupakan satu saluran untuk kita berkhidmat kepada
masyarakat. Kita merancang dasar-dasar dan melaksanakan
projek-projek demi faedah rakyat keseluruhannya. Dengan itu
berbagai-bagai kemajuan telah dicapai di bawah kerajaan
Barisan Nasional. Kerajaan telah berjaya meningkatkan taraf
hidup rakyat dan menyediakan kemudahan-kemudahan asas. Ini
jelas terbukti di merata tempat di negara kita.
5. Malahan pertumbuhan ekonomi negara kita diakui oleh
masyarakat antarabangsa sebagai salah satu yang terbaik di
kalangan negara-negara yang membangun. Kalau dibandingkan
dengan kebanyakan negara-negara membangun, taraf hidup
rakyat Malaysia adalah jauh lebih tinggi. Kemakmuran serta
kestabilan yang kita nikmati selama ini bukanlah terjadi
dengan begitu sahaja. Ianya adalah hasil daripada
perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar sosio-ekonomi yang
baik dan teratur oleh kerajaan Barisan Nasional. Pihak-
pihak yang lain hanya berjanji akan membuat itu dan ini,
tetapi kita sudahpun membuatnya dan hasilnya adalah nyata.
6. Kita di dalam Barisan nasional tidak menggunakan
politik sebagai alat untuk cita-cita atau kepentingan
peribadi kita. Politik bagi kita adalah satu cara untuk
berbakti kepada rakyat dan negara. Kerana inilah rakyat
telah memberi mandat kepada Barisan Nasional di pilihanraya-
pilihanraya yang lalu. Kita yakin rakyat akan terus
memberikan sokongan mereka kepada kita kerana rakyat
mengetahui bahawa masa depan mereka terjamin di bawah
pimpinan Barisan Nasional.
7. Dalam hubungan ini, marilah kita bersama-sama
mengukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman yang terdapat di
dalam Barisan Nasional. Kita hendaklah terus memelihara
keharmonian dan hubungan baik yang terjalin dalam Barisan
Nasional supaya kita dapat menghadapi cabaran-cabaran di
masa depan.
8. Memang benar, dari semasa ke semasa, mungkin terdapat
perbezaan pendapat di antara parti-parti komponen Barisan
Nasional. Sebagai sebuah gabungan memanglah menjadi perkara
biasa jika terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara-
perkara tertentu. Akan tetapi seperti yang telah terbukti,
perbezaan pendapat ataupun masalah telah dapat diselesaikan
dalam suasana yang harmoni dan dengan cara "non-
confrontational". Di sinilah letaknya kekuatan Barisan
Nasional. Tidak banyak parti-parti politik yang boleh
berbuat demikian.
9. Kejayaan Barisan Nasional telah membuat pihak-pihak
tertentu di negara ini cuba meniru kita. Melihat kejayaan
sistem Barisan Nasional ini, pihak-pihak ini juga nampaknya
sedang berhempas-pulas berusaha untuk menubuhkan gabungan
yang mereka harap akan dapat berfungsi seperti Barisan
Nasional. Tetapi usaha ini tidak akan berjaya kerana tujuan
mereka hanyalah untuk mengabui mata rakyat dan mendapat undi
daripada rakyat. Dengan menyatakan bahawa kerjasama selepas
pilihanraya akan dirunding sesudah memenangi pilihanraya,
terbuktilah niat mereka ini hanyalah untuk memperdayakan
para pengundi yang mempunyai pendirian tertentu.
10. Barang tiruan adalah kurang baik daripada barang yang
asal. Rakyat hendaklah berjaga-jaga tentang gabungan mereka
ini. Gabungan mereka ini bolehlah kita panggil gabungan BT.
BT adalah singkatan nama bagi Barisan Tiruan. Barisan
Tiruan ini dipelopori oleh semangat yang juga bukan asli
tetapi sebenarnya adalah semangat tiruan. Semangat yang
sebenarnya ialah kepentingan diri sendiri.
11. Kerjasama antara beberapa pihak memerlukan kejujuran
dan keikhlasan. Apakah ada kejujuran atau keikhlasan antara
mereka daripada parti-parti pembangkang ini? Apakah ada
matlamat yang sama antara mereka? Rakyat tahu bahawa yang
satu kononnya hendak mendirikan Negara Islam dan yang satu
lagi pula menentang sebarang unsur keIslaman dalam kerajaan
atau negara. Pelekat antara dua pihak yang bertentangan
haluan ini ialah satu kumpulan orang-orang yang hanya
dikuasai oleh kekecewaan. Di sekeliling parti-parti ini
pula terdapat banyak parti-parti oportunis termasuk mereka
yang menggugurkan ideologi mereka kerana kiblat mereka
telahpun menggugurkan ideologi itu. Inilah kumpulan yang
cuba menggambarkan diri mereka sebagai BT atau Barisan
Tiruan. If I may use English, this is a hodge-podge col-
lection of political opportunists sharing a common bed with-
out even the formality of a political marriage. They smell
of adultery.
12. Turut menyertai kumpulan Barisan Tiruan ini ialah
pemimpin-pemimpin tertentu dalam MTUC. Badan ini mendakwa
bahawa mereka akan menyokong siapa sahaja yang pro-pekerja.
Jika benarlah ini pendirian MTUC, maka mereka harus
menggugurkan beberapa pemimpin mereka yang menyokong
penarikan GSP Amerika Syarikat dari Malaysia.
13. Pada mulanya AFL-CIO dan ILRERF mendakwa bahawa mereka
memperjuangkan nasib pekerja-pekerja di Malaysia. Sekarang
dengan kenyataan dan petition yang dibuat oleh beberapa
kesatuan sekerja di Amerika Syarikat termasuk International
Brotherhood of Electrical Workers, maka adalah jelas niat
mereka ialah untuk memelihara kepentingan pekerja-pekerja
mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa 30,000 orang pekerja
Amerika Syarikat menganggur kerana barang-barang buatan
mereka tidak dapat menyaingi barang-barang elektronik dari
Malaysia. Maksud mereka ialah barang-barang kita jangan
dibenarkan bersaing dengan barang-barang mereka. Jika kita
tidak boleh menjual barang-barang kita, maka industri
berkenaan terpaksa ditutup dan pekerja-pekerja kita akan
menganggur.
14. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dan parti-parti
politik pembangkang yang menyokong penarikan balik GSP
adalah orang yang mengancam hak pekerja-pekerja di Malaysia
walaupun mereka adalah pembela pekerja-pekerja Amerika
Syarikat. Ini tidaklah hairan kerana pemimpin-pemimpin
tertentu MTUC tidak pernah menolong mewujudkan peluang-
peluang pekerjaan bagi pekerja yang menganggur di Malaysia.
Tidak ada seorang pun daripada pekerja Malaysia yang
mendapat kerja kerana usaha MTUC. Yang berusaha ialah
Kerajaan Barisan Nasional dengan menggalakkan pelaburan
untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Pemimpin-
pemimpin MTUC hanya menunggu penganggur-penganggur mendapat
kerja dan kemudian mereka pun sibuk menjadi jaguh kononnya
kepada pekerja-pekerja. Tetapi yang mereka utamakan ialah
menggunakan kedudukan mereka sebagai pemimpin kesatuan untuk
kepentingan politik mereka.
15. Jika MTUC berpendirian menyokong sesiapa yang pro-
pekerja, mereka harus menyokong Kerajaan dan Barisan
Nasional dan bukan pemimpin-pemimpin mereka yang menjadi
ahli parti-parti pembangkang. Akan menganggurlah pekerja-
pekerja Malaysia jika pemimpin-pemimpin MTUC dengan parti-
parti pembangkang mendapat sokongan mereka. Sokongan kepada
pekerja yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin MTUC ialah
pekerja-pekerja Amerika Syarikat yang tidak senang hati
melihat kejayaan industrialisasi di Malaysia.
16. Inilah parti-parti dan orang-orang yang dipelekatkan
oleh Semangat 46 untuk membentuk Barisan Tiruan yang
bercita-cita menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional.
17. Saya percaya rakyat Malaysia sedar akan risiko dan
implikasi menyokong orang-orang seperti ini yang cuba tidur
satu bantal dan bermimpi mimpi yang bertentangan. Apabila
mereka terjaga, mereka akan berkelahi dan merebut apa juga
harta yang mungkin mereka perolehi. Dengan itu segala
kebahagiaan, kesejahteraan, kekayaan, kestabilan dan
keharmonian yang ada sekarang akan hancur dan rakyat akan
menderita.
18. Barisan Nasional sebagai parti yang bertanggungjawab
tidak boleh membenarkan gejala seperti ini menimpa rakyat
dan negara. Adalah menjadi tanggungjawab Barisan Nasional
untuk mendedahkan pemalsuan yang dibuat oleh Barisan Tiruan
ini. Dalam usaha kita untuk mengekalkan Kerajaan Barisan
Nasional, matlamatnya bukanlah semata-mata kerana kita ingin
terus menjayakan dasar-dasar kita tetapi adalah untuk
memelihara dan melindungi rakyat dan negara daripada nasib
yang malang yang akan menimpa kita jika cita-cita besar
seorang yang ingin mendapat tempat bagi dirinya dilayan.
Pada analisa yang terakhir, semua ini berpunca daripada
kegagalan seorang sahaja untuk mendapat tempat yang ia
idami.
19. Barisan Nasional yang mewarisi Perikatan mempunyai
rekod yang tahan diuji dan yang sukar ditandingi. Malaysia
sekarang stabil dan makmur, terkenal kepada para pelabur dan
para peniaga antarabangsa serta kepada pemimpin-pemimpin dan
bangsa-bangsa di seluruh dunia. Hasrat Kerajaan Barisan
Nasional ialah untuk mengekalkan kestabilan dan meningkatkan
lagi kebahagiaan hidup rakyat. Barisan Nasional percaya
bahawa hanya negara yang makmur sahaja yang akan dapat
mengagihkan kekayaan negara kepada semua rakyat. Negara
yang miskin tidak mempunyai apa-apa untuk diagihkan.
20. Hak asasi manusia dan kebebasan bersuara dijamin oleh
Barisan Nasional. Kita boleh meneka apakah jenis kebebasan
yang akan dialami oleh rakyat jika parti lawan memerintah.
Sementara Kerajaan Barisan Nasional membenarkan begitu
banyak akhbar dan majalah mengecam Kerajaan dan melemparkan
tuduhan yang tidak berasas terhadap pemimpin-pemimpin
Kerajaan, parti-parti lawan sebaliknya sudah menunjukkan
dengan jelas bahawa mereka tidak suka kepada akhbar yang
tidak menyokong mereka. Mereka telah membakar akhbar dan
mengugut untuk membinasakan wartawan. Jikalau mereka
memerintah sudah tentu New Straits Times, Berita Harian dan
Utusan Melayu akan ditutup dan wartawan dibuang kerja,
melainkan jika wartawan-wartawan ini menyokong parti mereka.
Akhbar-akhbar yang tertentu yang sanggup menjadi alat mereka
sahaja yang akan mendapat kebenaran untuk mencetak jika
mereka ini memerintah.
21. Di sebuah negeri di mana mereka berpengaruh melalui
pihak tertentu, pegawai-pegawai, penghulu-penghulu dan imam-
imam diugut jika tidak mahu menyokong mereka. Pihak
tertentu digunakan untuk mempengaruhi pegawai-pegawai
Persekutuan dan pensyarah-pensyarah universiti. Demikianlah
tekanan terhadap pegawai-pegawai ini sehingga mereka berasa
serba salah dan tidak berani menjalankan tugas biasa mereka.
Mereka tidak berani dilihat bersama dengan Menteri-Menteri
Kerajaan Persekutuan atau anggota-anggota kerajaan Negeri.
Jika mereka ternampak mendekati kerajaan atau parti Kerajaan
maka tindakan diambil terhadap mereka melalui saluran
tertentu.
22. Kita percaya sekiranya parti ini berjaya mengambilalih
pemerintahan negeri berkenaan, ramai pegawai akan menderita
termasuk juga yang menyokong mereka kerana akan ada fitnah
yang akan dilemparkan oleh penyokong-penyokong yang
berkepentingan dalam parti itu supaya disingkir pegawai-
pegawai tertentu. Pemerintahan secara ini adalah
pemerintahan berat sebelah dan akan rosaklah sistem
pemerintahan kerana kebebasan pegawai-pegawai tidak akan ada
lagi. Urusan kenaikan pangkat dan kenaikan gaji akan
ditentukan oleh sistem pilih kasih, dan kuncu-kuncu orang-
orang tertentu akan memiliki kuasa bagi menentukan nasib
pegawai-pegawai.
23. Rakyat harus fikir dengan mendalam mengenai usaha untuk
menggantikan kerajaan yang ada sekarang dengan kerajaan
Barisan Tiruan ini. Sebelum pun mereka memerintah mereka
sudah tunjuk kuku mereka. Jika mereka berjaya merebut kuasa
bukan sahaja pemerintahan kuku besi akan wujud, tetapi juga
negara tidak akan tenang. Kucar kacir akan berlaku dan
hutang negara akan meningkat di samping kemerosotan ekonomi
seperti yang berlaku pada tahun 1983 hingga 1986. Kita
tidak harus lupa bahawa kerapkali nasib yang malang yang
menimpa sesebuah negara adalah akibat dikuasai oleh orang-
orang tertentu seperti Stalin di Russia, Mao Tse Tung di
China, dan Ceausescu di Romania.
24. Barisan Nasional dan parti-parti komponennya mempunyai
tanggungjawab yang berat. Kita tidak boleh mengutamakan
kepentingan orang tertentu atau parti komponen sehingga
menjejaskan kredibiliti kita di mata rakyat. Yang utama
bagi kita di Barisan Nasional ialah pembangunan negara yang
kita semua cintai ini. Untuk pembangunan ini kemenangan
bagi Barisan Nasional amatlah penting. Pencapaian negara
kita dalam semua bidang hari ini adalah hasil pemerintahan
Barisan Nasional. Masih banyak lagi yang perlu dibuat untuk
memajukan negara Malaysia. Kita mempunyai banyak idea dan
rancangan dan kita tahu cara-cara melaksanakan idea-idea ini
untuk kesejahteraan rakyat dan kebaikan negara. Justeru itu
tidak ada tempat bagi perbezaan pendapat yang remeh-temeh di
antara kita yang mungkin melemahkan kita dan mengecewakan
rakyat.
25. Sehubungan dengan ini saya amat gembira dengan
kemenangan tanpa bertanding empat orang pemimpin tertinggi
Parti Gerakan. Ini membuktikan kedewasaan dan solidariti
yang terdapat dalam Parti Gerakan. Rebutan tempat tidak
harus dibuat hanya kerana pertandingan dibenarkan, sama
seperti kita tidak semestinya berbelanja hanya kerana kita
ada duit dan bebas untuk berbelanja. Solidariti dalam Parti
Gerakan mempunyai alamat yang amat baik bagi Barisan
Nasional dalam pilihanraya yang akan datang. Bersama-sama
dengan lain-lain parti komponen, kita akan rapatkan barisan
untuk meneruskan usaha-usaha kita menjadikan Malaysia negara
yang aman, makmur dan mulia.
26. Saya ucapkan selamat bersidang kepada Persidangan
Perwakilan Parti Gerakan tahun 1990 ini dan saya percaya ia
akan mencapai matlamatnya.
27. Dengan ini saya dengan segala sukacitanya merasmikan
Persidangan Perwakilan Parti Gerakan tahun 1990 ini.
|