Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 11/06/90
Tajuk/Title : MENGENAI USUL UCAPAN TAKZIAH ATAS
KEMBALINYA KE RAHMATULLAH YANG AMAT
BERBAHAGIA TUN HUSSEIN ONN
Tuan Yang Dipertua,
Saya memohon mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini merakamkan perasaan sedih yang amat
sangat di atas kembalinya ke Rahmatullah Yang Amat
Berbahagia Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri
Malaysia pada 29 Mei 1990 dan menyampaikan ucapan
takziah kepada Yang Amat Berbahagia Toh Puan Suhailah
binti Tan Sri Mohd. Noah dan keluarga Allahyarham".
Tuan Yang Dipertua,
2. Seluruh rakyat Malaysia amat terkejut menerima berita
kembalinya ke Rahmatullah Yang Amat Berbahagia Tun Hussein
Onn, pada hari Selasa, 29 Mei tahun ini. Sesungguhnya
dengan kembalinya Allahyarham ke Rahmatullah, negara telah
kehilangan seorang pemimpin dan negarawan yang terhormat
kerana pengorbanan dan perjuangan Allahyarham dalam bidang
politik dan pentadbiran merupakan sumber inspirasi dan
teladan kepada rakyat.
3. Kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri ketiga
amatlah disegani dan dihormati oleh rakan-rakan
seperjuangannya, dari parti UMNO khasnya dan parti-parti
komponen Barisan Nasional amnya. Allahyarham adalah seorang
pemimpin yang cintakan keamanan, sentiasa tegas, teliti dan
berhati-hati semasa membuat keputusan. Atas sifat-sifat
kepimpinan Allahyarham yang tegas, jujur, ikhlas dan
memahami akan masalah rakyat itu, beliau telah mendapat
sanjungan semua golongan rakyat daripada berbilang kaum dan
semasa hayatnya beliau telah diberi gelaran sebagai "Bapa
Perpaduan".
4. Allahyarham dilahirkan di Johor Bahru dan telah
mendapat pendidikan Sekolah Inggeris. Semangat keperwiraan
beliau mula terbukti apabila semasa remajanya, Allahyarham
menceburi dalam bidang ketenteraan. Di samping itu,
Allahyarham mula bergerak cergas dalam politik pada tahun
1946 dengan menganggotai Pergerakan Melayu Semenanjung yang
kemudiannya menjadi sebahagian daripada UMNO. Semasa
umurnya meningkat 28 tahun beliau dipilih sebagai Setiausaha
Agung UMNO yang pertama.
5. Dalam tahun 1970, Allahyarham Tun Hussein dilantik
menjadi Menteri Pendidikan. Pada tahun 1973 pula,
Allahyarham dipilih menjadi Timbalan Presiden UMNO dan
dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri berikutan
kembalinya ke Rahmatullah Allahyarham Tun Dr. Ismail.
Allahyarham kemudiannya menjadi Perdana Menteri setelah
Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada
14 Januari 1976. Semasa Allahyarham Tun Hussein menjadi
Perdana Menteri banyak perubahan dan kemajuan telah dicapai.
Allahyarham Tun Hussein telah meletak jawatannya sebagai
Perdana Menteri pada bulan Julai 1981, setelah memegang
teraju pemerintahan negara ini selama lebih 5 tahun.
6. Semasa hayatnya Allahyarham bergiat cergas dalam kerja-
kerja amal dan kebajikan. Antaranya, Allahyarham adalah
Presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia dan Pengerusi
Hospital Mata Tun Hussein Onn. Atas khidmat bakti dalam
kerja-kerja amal dan kebajikan itu juga, Allahyarham telah
diberi penghormatan menerima Anugerah Tertinggi Persatuan
Bulan Sabit Merah Malaysia, iaitu Anggota Kehormat seumur
hidup, pada tahun 1984.
7. Walaupun Allahyarham telah bersara daripada jawatan
Perdana Menteri, beliau terus mencurah tenaga untuk
berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Allahyarham telah
dilantik menjadi Penasihat PETRONAS, dan Pengerusi Institut
Kajian Strategik dan Antarabangsa atau ISIS. Allahyarham
memegang kedua jawatan tersebut sehingga akhir hayat
Allahyarham. Di samping itu Allahyarham pernah juga
memegang jawatan Presiden Majlis Universiti Islam
Antarabangsa.
8. Atas jasa beliau kepada negara, Allahyarham telah
dianugerahkan Darjah-darjah Kebesaran Persekutuan dan
Negeri. Allahyarham telah dianugerahkan Darjah Kelas
Pertama Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa
gelaran "Tun" oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Di Pertuan Agong.
9. Sesungguhnya kembalinya ke Rahmatullah Yang Amat
Berbahagia Tun Hussein Onn amat dirasai oleh rakyat yang
cintakan perpaduan dan keharmonian di dalam negara ini.
Kembalinya ke Rahmatullah Allahyarham merupakan peristiwa
yang amat sedih dan terharu kepada balu dan anggota-anggota
keluarga Allahyarham. Saya bagi pihak Kerajaan berharap
keluarga Allahyarham akan tabah hati serta bersabar di dalam
menghadapi peristiwa yang sedih itu. Saya berdoa semoga
Allah Subhanahu wa Ta'ala mencucuri rahmatNya ke atas roh
Allahyarham.
Tuan Yang Di Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
|