Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, PETALING JAYA (PJ)
Tarikh/Date : 15/06/90
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM KESATUAN
KEBANGSAAN WARTAWAN MALAYSIA (NUJ)
Encik Abdullah Tahir,
Presiden, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ);
Ahli-ahli Majlis Tertinggi NUJ;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya dan isteri saya mengucapkan terima kasih kepada
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia kerana menjemput saya
ke Majlis pada malam ini dan seterusnya untuk memberikan
ucapan. Saya diberitahu bahawa tujuan NUJ mengadakan majlis
ini adalah untuk mengutip derma bagi kegiatan-kegiatan
Kesatuan ini. Saya berharap NUJ memperolehi kejayaan.
Akhbar-akhbar juga telah memainkan peranan yang besar dalam
kutipan-kutipan derma untuk membantu orang yang malang dan
untuk projek-projek tertentu. Adalah diharapkan dermawan-
dermawan akan terus menghulurkan derma kepada NUJ kerana
mereka begitu cergas dalam usaha-usaha kebajikan.
Saudara-saudari sekalian,
2. Kita bersyukur kerana negara kita aman dan stabil. Ini
telah membolehkan kita menumpukan perhatian serta usaha
untuk membangunkan negara supaya taraf hidup rakyat terus
meningkat. Kita berbangga dengan tahap pembangunan serta
pertumbuhan ekonomi di negara kita semenjak kita mencapai
kemerdekaan hampir 33 tahun yang lalu. Tidak siapa boleh
menafikan bahawa berbanding dengan zaman penjajah, kemajuan
yang dicapai oleh Malaysia semenjak merdeka amatlah pesat.
Sebaliknya banyak negara yang tidak berupaya membangun,
bahkan menjadi lebih mundur selepas mencapai kemerdekaan.
3. Kita bernasib baik kerana kita tidak dikongkong oleh
ideologi tertentu apabila kita mencapai kemerdekaan.
Sebaliknya kita adalah pragmatis dan sanggup membuat apa
yang baik untuk menjayakan negara kita. Kita telah
mengamalkan sistem ekonomi pasaran atau market economy
kerana ia membolehkan pihak swasta memainkan peranan yang
berkesan dalam membangunkan ekonomi negara. Di samping itu
juga, kita menggunakan perusahaan dan agensi milik negara
serta central planning untuk menentukan kita tidak terlalu
dikuasai oleh pemodal-pemodal. Tetapi apabila sampai masa
yang kita yakin rakyat, terutamanya bumiputera, sudah mampu
memiliki saham dalam perusahaan-perusahaan gergasi dan
agihan dapat dibuat secara adil dan saksama, maka kita
swastakan perusahaan-perusahaan monopoli Kerajaan. Kejayaan
strategi ini adalah nyata. Hasilnya ialah kita mendapat
khidmat yang lebih baik, mereka yang mendapati saham dan
sanggup menyimpannya menikmati keuntungan, nilai saham
meningkat dan Kerajaan mendapat hasil daripada jualan dan
daripada cukai yang bertambah dengan tidak payah membiayai
modal dan pengurusan perusahaan-perusahaan ini.
4. Kita harus ingat jika Kerajaan Malaysia yang merdeka
tersilap jalan dan memilih sistem sosialis, seperti yang
dibuat oleh banyak negara yang mencapai kemerdekaan selepas
Perang Dunia II, hari ini mungkin kita di paras yang sama
dengan mereka, iaitu dengan ekonomi yang merosot, rakyat
yang miskin dan sistem Kerajaan satu parti yang dikongkong
oleh orang tertentu sahaja.
5. Kita bernasib baik kerana ini tidak berlaku kepada
kita. Sehinggalah Soviet Russia menolak sistem ekonomi yang
dirancang dan dikontrol oleh Pemerintah, masih ada pihak
yang berpegang kepada ideologi Komunis dan Sosialis sebagai
satu 'agama' yang tidak boleh dikritik. Tetapi setelah
Soviet Russia menolak teori sosialis, komunisma dan
sosialisma tidak menjadi 'agama' lagi. Di Malaysia,
pengikut-pengikut ideologi ini sekarang menerima sistem yang
kita pilih, walaupun mereka tidak sanggup mengakui bahawa
Kerajaan yang memilih sistem ini dari awal lagi adalah
bijak. Sudah tentu mereka tidak akan menyokong Kerajaan.
Mereka masih cuba menegakkan benang yang basah.
6. Seperti saya sebutkan tadi, Malaysia mengamalkan
pragmatisma. Kita memilih yang baik daripada apa juga
sistem atau ideologi dan kita menolak yang tidak baik. Kita
tidak mengikatkan diri kepada apa juga ideologi ataupun
tafsiran ideologi. Bahaya mengikatkan diri kepada sesuatu
ideologi ialah apabila sesuatu dibuat atas nama ideologi
itu, maka, baik atau buruk, kita terpaksa menerimanya.
Sebahagian daripada kegagalan sistem komunis atau sosialis
ialah kerana bermacam-macam penyalahgunaan kuasa malahan
jenayah dilakukan atas nama ideologi-ideologi tersebut. Dan
jenayah seperti ini boleh juga berlaku dalam apa juga
ideologi dan sistem, termasuk sistem liberal demokrasi.
Keadaan anarki yang terdapat di beberapa buah negara yang
demokratik adalah disebabkan pegangan kepada tafsiran
tertentu mengenai demokrasi sehingga Kerajaan menjadi lumpuh
dan tidak terdaya untuk membendung keganasan. Apakah
gunanya demokrasi jika rakyat menjadi miskin, hidup dalam
ketakutan, dibunuh tanpa sebab dan lebih suka berhijrah ke
negara lain? Apakah gunanya demokrasi jika ia hanya membawa
keburukan dan menghindar kebaikan.
Saudara-saudari sekalian,
7. Kita di Malaysia memilih Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan. Jika dikaji, demokrasi diamalkan dengan
berbagai-bagai cara. Ada demokrasi secara Raja
Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy. Ada demokrasi
di mana Ketua Negara dipilih tetapi tidak mempunyai kuasa
eksekutif. Ada demokrasi yang mana Ketua Negara atau
Presidennya menjadi Ketua Eksekutif. Ada juga sistem
demokrasi di mana menteri-menteri dipilih oleh rakyat dan
ada pula yang dipilih daripada kawan-kawan Presiden yang
bukan wakil rakyat dan juga cara-cara lain. Semuanya adalah
demokrasi. Malangnya pada pendapat sesetengah pihak di
Malaysia, jika sesuatu itu dibuat atau diamalkan oleh Barat
maka itu tetap demokratik, tetapi kalau diterokai oleh kita
sendiri maka itu tidak demokratik. Mentaliti hamba atau
slavish mentality atau colonial mentality ini amatlah sukar
dikikiskan daripada orang seperti ini. Inferiority complex
masih menguasai mereka. Dengan itu apa sahaja tuduhan yang
dilemparkan oleh Barat terhadap kita tentang demokrasi kita,
akan disambut sebagai satu kebenaran dan mesti disokong.
Walaupun negara sudah merdeka, mentaliti mereka ini masih
belum bebas dan merdeka.
8. Kita menerima prinsip-prinsip demokrasi tetapi
amalannya mestilah sesuai dengan keadaan dalam negara kita
di mana penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai kaum,
bahasa, agama, kebudayaan dan mereka terpisah kerana
kegiatan ekonomi dan pencapaian mereka. Tahap pembangunan
negara kita tidak sama dengan negara-negara yang maju.
Semasa negara-negara maju berada ditahap kita, mereka juga
tidak mengamalkan sistem dan nilai yang mereka amalkan
sekarang. Jika ada perbezaan antara amalan demokrasi kita
dengan demokrasi negara Barat, janganlah anggap bahawa kita
tidak demokratik.
Saudara-saudari sekalian,
9. Akhbar-akhbar di Malaysia adalah bebas. Bebas bukan
bermakna hanya untuk mengkritik dan mengecam Kerajaan tetapi
juga bebas untuk menyokong Kerajaan. Ada pendapat bahawa
jika akhbar menyokong Kerajaan, itu adalah tanda bahawa
akhbar itu tidak bebas. Sebaliknya jika akhbar itu
menentang Kerajaan, ia dianggap sebagai bebas walaupun ia
menentang kerana takut kepada pihak-pihak tertentu di luar
Kerajaan, atau takut ia tidak popular dan akhbarnya tidak
laris dijual. Sebenarnya akhbar seperti ini juga tidak
bebas.
10. Di negara-negara demokratik di Barat, terdapat akhbar-
akhbar yang pro-Kerajaan dan akhbar-akhbar yang anti-
Kerajaan atau seperti di United Kingdom pro-Labour dan
pro-Conservative. Apabila parti Conservative menjadi
Kerajaan di United Kingdom, walaupun terdapat akhbar-akhbar
yang pro-Conservative, tetapi tidak ada tuduhan bahawa tidak
ada kebebasan akhbar atau tidak ada press freedom di United
Kingdom. Demikian juga jika Parti Buruh berkuasa, walaupun
ada akhbar-akhbar yang pro-Buruh, tidak akan ada tuduhan
yang media di Britain dikuasai oleh Kerajaan. Tetapi oleh
kerana ada tiga atau empat akhbar di Malaysia yang tidak
mengecam Kerajaan secara melulu, maka Kerajaan Malaysia
dituduh tidak mendokong kebebasan akhbar atau press freedom.
11. Di samping itu, di Malaysia terdapat banyak akhbar yang
anti Kerajaan. Berita-berita yang dibuat oleh akhbar-akhbar
yang anti Kerajaan ini amatlah buruk dan merupakan sindiran.
Akhbar-akhbar ini juga melaporkan pembohongan-pembohongan
secara lantang. Tetapi akhbar-akhbar masih kekal. Adanya
akhbar-akhbar seperti ini di Malaysia pun tidak menghalang
orang tertentu menuduh bahawa akhbar-akhbar di Malaysia
tidak bebas. Pendekkata, jika negara Barat apa pun mereka
buat adalah tidak salah. Tetapi, jika Malaysia dan negara-
negara membangun yang lain buat perkara yang sama, mereka
adalah salah.
12. Pemberita-pemberita dan pihak-pihak asing cuma membaca
beberapa akhbar Inggeris yang menyokong Kerajaan dan
mendakwa bahawa tidak ada kebebasan akhbar di Malaysia.
Pihak-pihak tertentu di Malaysia pun menyahut "benar, memang
tidak ada kebebasan akhbar di Malaysia". Sekali lagi colo-
nial mentality jelas kelihatan. Mereka cuma menjadi echo,
atau menjadi burung tiong yang pandai berkata-kata tetapi
tidak mampu melahirkan fikiran sendiri. Mereka ini sanggup
menerima apa sahaja yang diperkatakan oleh orang asing. Dan
apabila orang asing ini menafikan sesuatu, mereka pun juga
turut sama menafikannya. Tidakkah mereka ini mempunyai
maruah?
13. Demikianlah terkongkongnya fikiran mereka ini sehingga
apabila pihak asing mengesyorkan supaya GSP kita ditarik
balik, mereka turut mendesak bersama. Penjajahan mental
adalah lebih berkesan daripada penjajahan fizikal.
14. Hakikat yang sebenarnya ialah kebebasan khabar tidak
wujud di mana-mana, baik di negara liberal demokrat atau di
negara diktator. Di negara liberal demokrat, berita dan
rencana dalam media massa dikuasai oleh orang tertentu yang
berkuasa dalam media berkenaan. Mungkin orang ini ialah
tuan punya, atau pengarang atau syarikat-syarikat yang
membeli ruang iklan. Yang penting ialah mereka boleh
menapis atau censor kebenaran dan membuat laporan yang
mereka suka.
15. Mereka ini mempunyai kepentingan tertentu termasuklah
kepentingan politik. Sebelum Perdana Menteri Thailand
membuat lawatan ke Amerika Syarikat, satu laporan yang amat
memburukkan Thailand telah ditayangkan oleh sebuah stesyen
TV yang terbesar di Amerika. Memang ada perkara-perkara
yang buruk yang berlaku di Thailand. Di Amerika Syarikat
juga banyak perkara yang buruk berlaku. Tetapi tentulah
bukan secara kebetulan yang gambar itu ditayangkan sebelum
lawatan Perdana Menteri Thailand. Tujuan menayangkan filem
itu ialah untuk melemahkan Perdana Menteri Thailand dalam
apa juga rundingannya dengan Amerika Syarikat.
16. Demikian juga tiap kali saya berada di New York untuk
berucap di United Nations, cerita-cerita yang buruk
berkenaan dengan Malaysia disiarkan oleh The Wall Street
Journal dan The Asian Wall Street Journal. Sebaliknya tidak
sepatah pun daripada ucapan saya dilaporkan dalam akhbar The
Wall Street Journal atau mana-mana akhbar besar Amerika
Syarikat. Mungkinkah apa yang saya perkatakan tidak "fit to
print" atau apakah pihak akhbar di New York mengenakan cen-
sorship terhadap saya kerana ucapan saya mendedahkan
kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh negara-negara maju
dan penindasan mereka terhadap negara-negara membangun?
Sebagai bandingan, jika pembesar dari negara mereka datang
ke Malaysia segala apa yang mereka perkatakan disiar dengan
panjang lebar oleh akhbar-akhbar di Malaysia. Siapakah yang
mengamalkan kebebasan akhbar, mereka atau kita?
Saudara-saudari sekalian,
17. Apakah tidak ada langsung kebaikan yang berlaku di
Malaysia? Apakah Malaysia begitu buruk? Apakah semua
negara membangun begitu buruk?
18. Beberapa Ketua Negara dan Kerajaan serta pegawai-
pegawai semasa CHOGM dan G 15 telah menyatakan mereka
mendapati Malaysia tidak seperti yang mereka baca dalam
laporan-laporan agensi-agensi berita Barat. Mereka dapati
Malaysia maju, aman dan canggih atau sophisticated. Jika
mereka diberi laporan yang salah mengenai negara kita,
tidakkah mungkin berita-berita yang kita baca mengenai
negara mereka juga salah?
19. Salahkah jikalau kita membuat tuduhan bahawa akhbar-
akhbar di negara-negara liberal demokrat juga tidak bebas
untuk melapor yang benar atau the truth? Mereka dikuasai
oleh orang yang berkepentingan yang tidak membenarkan
kebenaran dilapor. Jika akhbar-akhbar mereka tidak bebas,
mengapakah mereka bercakap berkenaan dengan freedom of the
press? Mengapakah mereka membuat tuduhan terhadap orang
lain? Mengapakah terdapat di negara kita orang yang asyik
menuduh negara sendiri tetapi membisu seribu bahasa apabila
perkara yang sama atau yang lebih buruk dilakukan oleh
negara liberal demokrat?
Saudara-saudari sekalian,
20. Ahli-ahli NUJ adalah bebas. Sudah tentu bukan semua
yang hadir malam ini menyokong Kerajaan. Ramai juga yang
anti Kerajaan dan akan terus anti Kerajaan. Kerajaan
menerima hakikat ini. Tetapi sebagai NUJ, saudara-saudari
harus mempunyai sekurang-kurangnya perasaan patriotisma
terhadap negara kita Malaysia. Janganlah kerana tidak suka
kepada Kerajaan maka kita sanggup memburuk-burukkan negara
dan bangsa kita sendiri serta menjadi alat kepada akhbar-
akhbar asing. Janganlah kita sanggup membuat laporan-
laporan yang tidak berasas hanya kerana akhbar-akhbar asing
tidak suka apa-apa yang positif yang terdapat di negara-
negara di mana mereka tidak lagi menjadi tuan. Janganlah
kita sanggup menjual maruah bangsa kerana wang ringgit.
Saudara-saudari sekalian,
21. Berpeganglah kepada kebenaran. Sekali lagi secara
ikhlas tanyalah kepada diri sendiri, berapa banyakkah negara
membangun yang berjaya seperti Malaysia? Apakah tidak ada
langsung kebaikan di negara kita ini? Secara langsung,
membenarkan diri kita dipengaruhi oleh perasaan benci kepada
Kerajaan atau kerana wang ringgit akan menidakkan kebebasan
akhbar. Akhbar yang dikongkong oleh matlamat-matlamat
tertentu dan pihak-pihak tertentu sehingga tidak lagi
berpegang kepada kebenaran, tidaklah bebas. Janganlah ingat
Kerajaan sahaja yang boleh menjejaskan kebebasan akhbar.
Pemilik, pengarah, pengarang, kepentingan kewangan, dorongan
populariti -- semua ini boleh menjejaskan kebebasan akhbar.
Saudara-saudari sekalian,
22. Akhbar dianggap sebagai "The Fourth Estate" oleh
negara-negara demokratik Barat, iaitu selepas "clergy, no-
bility and commons that wields political power". Kata
pepatah Inggeris, "Power corrupts and absolute power cor-
rupts absolutely". Jika ada sedikit sebanyak sekatan
terhadap kebebasan akhbar, umpamanya berkenaan dengan
hasutan ke arah violence atau sekatan-sekatan terhadap
laporan-laporan lucah, sebabnya ialah kerana sesiapa juga
tidak boleh diberikan power yang absolute untuk mengelak
daripada "corruption" yang "absolute". Hanya kerana con-
straint ini tidak bermakna bahawa tidak ada kebebasan akhbar
di Malaysia. Pemimpin-pemimpin Kerajaan di negara ini tidak
mempunyai kuasa yang absolute. Rakyat boleh menggantikan
Kerajaan dan mahkamah juga boleh membatalkan keputusan
Kerajaan. Oleh itu, akhbar-akhbar di Malaysia mestilah
menerima sekatan-sekatan tertentu terhadap mereka. Ia
bukanlah bertujuan menidakkan kebebasan akhbar tetapi adalah
untuk menjaga kepentingan negara.
Saudara-saudari sekalian,
23. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia kerana menjemput saya
ke Majlis Malam ini. Saya sangat bergembira dapat bertemu
muka dengan saudara-saudari sekalian. Akhir kata saya
mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli-ahli NUJ.
|