Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PADANG MAJLIS BANDARAYA IPOH
Tarikh/Date : 24/06/90
Tajuk/Title : SEMPENA PELANCARAN PROGRAM BERSIH
DAN INDAH PERINGKAT KEBANGSAAN
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Penganjur
Program Bersih dan Indah kerana menjemput saya berucap
merasmikan pelancaran Program Bersih dan Indah bagi seluruh
Pihakberkuasa Tempatan di Malaysia. Saya mengalu-alukan
penyertaan semua pihak termasuklah pihak swasta,
kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, badan-badan
sukarela dan seluruh lapisan masyarakat dalam program ini.
2. Program Bersih dan Indah bertujuan untuk meningkatkan
mutu dan kualiti hidup kita melalui kebersihan dan
pengindahan alam sekitar. Kali ini, sebagai permulaan
sahaja, tumpuan diberi kepada Pihakberkuasa Tempatan. Pro-
gram ini akan dibuat secara menyeluruh selama lima tahun
berturut-turut. Ini adalah difikirkan perlu memandangkan
kurang berkesannya kempen-kempen kebersihan yang telah
dilaksanakan sebelum ini. Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan telah diberi tanggungjawab untuk merangka
program lima tahun ini supaya lebih berkesan lagi.
Pelaksanaan Program Bersih dan Indah dijangka dapat
mengatasi kelemahan-kelemahan usaha-usaha yang dibuat
sebelum ini. Saya berharap program ini yang dirancang
dengan begitu teliti dan komprehensif akan membawa kesan
yang lebih mendalam dan berpanjangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Kita memang sedar bahawa negara kita sedikit sebanyak
telah mencapai peningkatan daripada segi kebersihan dan
keindahan. Tetapi tahapnya masih di paras yang boleh
diperbaiki lagi. Kita masih melihat kekotoran dan sampah
sarap di merata-rata tempat. Kadang-kadang ini disebabkan
kurangnya usaha dan penyeliaan oleh pihak-pihak yang
bertanggungjawab, dan kerap juga keadaan yang hodoh ini
disebabkan oleh kurangnya minat orang ramai untuk
mengurangkan perbuatan mengotor dan mencemarkan kebersihan
dan keindahan alam sekitar.
4. Tema 'Rakyat Bersih Negara Sihat' menekankan bahawa
untuk memastikan negara indah dan sihat, rakyat mestilah
terlebih dahulu menyanjung tinggi kebersihan sebagai
sebahagian yang penting dalam amalan kehidupan kita.
Kebersihan hendaklah dijadikan sebahagian daripada budaya
bangsa, budaya yang bukan sahaja diperkatakan tetapi juga
diamalkan dalam kehidupan harian. Sebenarnya tidak ada
jentera atau pentadbiran yang boleh membersihkan keadaan
sekeliling jika rakyat mengotorkannya sepanjang masa.
Walaupun diadakan pasukan pembersih yang amat besar, keadaan
kotor akan terus ada jika kita selalu mengotorkan
persekitaran kita. Kebersihan alam sekeliling banyak
bergantung kepada setakat mana orang ramai sanggup
mengurangkan perbuatan yang mengotorkan sekeliling kita.
5. Kita boleh mengadakan undang-undang demi undang-undang
dan juga berbagai-bagai jenis hukuman. Tetapi kita tidak
mungkin mengadakan jentera yang cukup untuk mengawasi tiap-
tiap seorang di mana juga ia berada untuk menentukan ia
didakwa dan dihukum apabila sahaja ia melanggar undang-
undang kebersihan. Tidak akan ada mahkamah yang cukup atau
masa yang cukup jika kita hendak bergantung kepada undang-
undang untuk menentukan keadaan sekeliling kita bersih.
6. Hanya yang boleh menjamin kebersihan ialah sikap kita
terhadapnya. Jika kebersihan sudah menjadi sebahagian
daripada budaya kita iaitu satu tabiat yang ada pada tiap
seorang daripada kita, jika kita pandang serong dan keji
akan amalan yang tidak bersih, maka tanpa apa-apa jentera
penguatkuasa keadaan alam sekeliling akan menjadi bersih.
Di samping itu, kita akan menyelamatkan puluhan juta wang
negara yang boleh kita gunakan untuk lain-lain rancangan
bagi manfaat kita semua.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Kebersihan dan keindahan juga mempunyai dimensi
ekonomi. Ia bukan sahaja boleh mewujudkan peluang
perniagaan tetapi juga peluang pekerjaan yang banyak kepada
negara dan rakyat. Sampah sarap yang kita buang sebanyak
0.7 kilo seorang sehari, ataupun 10,500 tan sehari bagi
seluruh Malaysia, boleh melahirkan satu industri penggunaan
semula atau 'recycling industry' yang menguntungkan. Adalah
dianggarkan barang-barang yang dibuang seperti logam, kaca,
kertas dan lain-lain lagi sekiranya diproses dan digunakan
semula akan dapat melahirkan peluang perniagaan sebanyak
lebih daripada satu billion ringgit setiap tahun. Selain
daripada itu ia boleh mengurangkan kos berbagai-bagai jenis
barang melalui pemerosesan semula atau recycling.
8. Salah satu daripada aktiviti Program Bersih dan Indah
ini melibatkan kempen nasional mengenai penggunaan semula
barang-barang logam yang terbuang seperti kereta terbuang,
botol, barang-barang aluminium dan sebagainya. Kempen ini
memerlukan orang ramai menjual kereta-kereta dan barang-
barang besi yang terbiar kepada kilang-kilang besi waja
seperti Syarikat Perwaja di Terengganu. Sekiranya kempen
ini berjaya, ianya sudah pasti akan dapat membantu bukan
sahaja Syarikat Perwaja dalam mendapatkan bahan mentah besi
yang mencukupi tetapi juga dapat menjimatkan beratus-ratus
juta ringgit matawang asing untuk membeli scrap-iron dari
luar, di samping mewujudkan peluang perniagaan dan
pendapatan kepada rakyat. Perkara yang sama juga boleh
dibuat dengan bahan yang terbuang seperti kayu-kayan, botol-
botol, kertas-kertas kad-board dan lain-lain lagi yang
kesemuanya boleh digunakan semula. Dalam keadaan tertentu,
sampah boleh digunakan sebagai bahanapi untuk
menjanakuasakan elektrik.
9. Satu amalan yang perlu dipupuk ialah suri rumah
mengasingkan bahan-bahan yang boleh diproses semula daripada
lain-lain sampah, dan memasukkannya ke dalam beg plastik
yang berasingan. Di negara-negara maju kutipan sampah tidak
akan dibuat jika pengasingan seperti ini tidak dilakukan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Pelaksanaan Program Bersih dan Indah ini juga boleh
mempertingkatkan permintaan kepada barang-barang yang
dikeluarkan oleh kilang-kilang yang berkaitan dengan
industri kebersihan dan keindahan seperti kilang-kilang
membuat karung plastik, tong sampah, mesin-mesin pemotong
rumput, jentera-jentera lori pembersih sampah di pantai dan
kilang-kilang rawatan sisa-sisa pepejal. Dengan permintaan
yang bertambah, kilang-kilang berkenaan akan berupaya
mempertingkatkan pengeluaran masing-masing. Kesemua ini
akan menambah peluang-peluang perniagaan, pekerjaan dan
pendapatan rakyat Malaysia di samping menurunkan kos sara
hidup secara am.
11. Kebersihan dan keindahan boleh memberi sumbangan yang
besar kepada pertumbuhan industri pelancongan di Malaysia.
Negara kita yang lebih bersih dan indah akan dapat menarik
lebih ramai pelancong, terutamanya pelancong dari luar
negeri. Kedatangan pelancong dengan ramai sudah pasti akan
meningkatkan pendapatan rakyat kita yang berada dalam
industri pelancongan, dan menambahkan pengaliran matawang
asing ke dalam negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Sukacita saya menyatakan bahawa Bandaraya Kuala Lumpur
telah menjadi bandar yang paling bersih di Malaysia.
Apabila berada di Bandaraya Kuala Lumpur sekarang, kita
merasakan ada satu kelainan daripada segi kebersihan dan
keindahan jika dibandingkan dengan keadaan beberapa tahun
dahulu. Pencapaian cemerlang pihak Bandaraya Kuala Lumpur
daripada segi kebersihan dan keindahan sepatutnya dicontohi
oleh pihak berkuasa tempatan yang lain dalam usaha
meningkatkan kebersihan dan keindahan di kawasan masing-
masing. Rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Kuala Lumpur,
sekarang berbangga dengan ibukota negara. Keadaan seperti
ini sepatutnya juga wujud di semua bandar lain. Pihak
penguasa tempatan hendaklah berusaha supaya penduduk-
penduduk boleh berbangga dengan bandar-bandar di mana mereka
tinggal.
13. Saya percaya dengan adanya penglibatan semua pihak,
segala usaha yang telah kita lakukan untuk menjadikan negara
kita sebagai pusat pelancongan yang terkenal akan menjadi
kenyataan dalam masa yang singkat. Kita telah banyak
berbelanja untuk mengiklankan negara kita di luar negeri
untuk menarik para pelancong. Kita tidak mahu pula
pelancong-pelancong yang datang ini merasai bahawa Malaysia
hanyalah merupakan sebuah negara yang indah khabar daripada
rupa. Sekiranya iklan-iklan kita mengatakan yang negara
kita adalah sebuah negara yang bersih dan indah, maka itulah
gambaran yang perlu kita semua perlihatkan kepada para
tetamu luar negeri semasa mereka berada di Malaysia.
14. Daripada segi kesihatan pula, umum mengetahui akan
peranan kebersihan dalam mencegah merebaknya berbagai-bagai
jenis penyakit. Lalat dan nyamuk yang menjadi vector bagi
penyakit-penyakit yang boleh membawa maut, membiak dengan
mudah dalam sampah sarap dan tin-tin kosong yang berisi air.
Berbagai-bagai jenis kuman muncul dan kembang subur dalam
sampah yang reput dan busuk.
15. Tentulah jelas daripada apa yang telah saya sebutkan
bahawa kebersihan membawa banyak manfaat kepada kita semua.
Kehidupan kita bukan sahaja menjadi lebih selesa daripada
segi pemandangan dan iklim yang nyaman, tetapi juga kita
akan menjadi manusia yang lebih sihat. Seseorang yang sihat
mempunyai kemampuan berdayamaju lebih daripada yang letih
dan yang selalu diganggu oleh bermacam-macam penyakit.
Pendekata, persekitaran yang bersih membawa kejayaan yang
lebih tinggi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16. Memang tidak dapat dinafikan bahawa walaupun berbagai-
bagai kempen telah diadakan oleh kerajaan berkaitan dengan
kebersihan dan keindahan, masih terdapat ramai lagi rakyat
Malaysia yang tidak mengambil berat perkara ini. Ini
mungkin kerana terdapat segolongan rakyat yang mempunyai
tabiat tidak mempedulikan kebersihan dan keindahan. Kalau
sukapun, ada pula mereka yang menggunakan 'double-standard'
-- mementingkan kebersihan dan keindahan di dalam rumah
masing-masing tetapi di luar rumah, mereka tidak mengambil
berat tentang kebersihan dan membuang sampah di mana-mana
mereka suka. Tabiat ini perlu dikikis dan dibendung mungkin
melalui program-program yang bercorak didikan yang memberi
kesedaran kepada mereka.
17. Ada kalanya kerajaan terpaksa mengambil tindakan
undang-undang untuk mendisiplinkan rakyat supaya menjadi
bersih dan sihat. Mungkin sudah sampai masanya bagi kita
memperkenalkan satu undang-undang anti kekotoran yang baru.
Mungkin di bawah undang-undang ini, sesiapa yang melakukan
kekotoran akan didenda dan dihukum menjalankan kerja-kerja
membersihkan kawasan-kawasan yang mereka kotori. Cara ini
bukan sahaja memberi pengajaran kepada orang ramai tetapi
juga akan dapat mengubah sikap mereka secara positif.
Tindakan ini bukanlah satu tindakan yang agak melulu kerana
di negara-negara maju sekalipun, undang-undang seperti ini
telahpun dilaksanakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Saya sekali lagi ingin menekankan akan pentingnya
kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya bangsa
Malaysia. Untuk mencapai tujuan ini, didikan dan semaian
nilai yang baik berkenaan dengan kebersihan dan keindahan
perlu dibuat oleh ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah
dan ketua-ketua di tempat kerja. Didikan dan asuhan
hendaklah dibuat sepanjang masa sehingga rakyat Malaysia
memandang jijik sebarang kekotoran dan amalan yang kotor.
19. Apabila kebersihan sudah menjadi darah daging atau
sebati dengan kita rakyat Malaysia, apabila kita tidak boleh
'tolerate' bau busuk dan kekotoran, apabila kita berasa malu
jika kita kotor dan mengotorkan alam sekeliling, maka dengan
sendirinya kekotoran akan berkurangan dan pencemaran tidak
lagi akan menjadi masalah serta beban yang berat kepada
masyarakat.
20. Justeru itu, tumpuan hendaklah diberikan kepada
penyemaian sikap yang bersih di kalangan kita melalui
didikan dan teladan. Tiap seorang daripada kita, terutama
apabila kita mengetuai sesuatu kumpulan, kecil atau besar,
harus menunjukkan teladan yang baik sepanjang masa. Jika
kita sendiri tidak kotor dan tidak pula mengotorkan, insya-
Allah anak-anak buah kita akan mengikuti amalan kita dan
akan menjunjung tinggi kebersihan serta segala amalan yang
menjaga kebersihan sekeliling kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur kerana menjemput saya ke majlis ini. Saya
berharap Program Bersih dan Indah yang akan dilaksanakan
selama lima tahun berturut-turut ini akan disambut baik oleh
rakyat dan mencapai matlamatnya.
22. Dengan ini, saya dengan rasminya mengisytiharkan
pelancaran Program Bersih dan Indah Peringkat Kebangsaan
ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|