Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 09/07/90
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA
ULANGTAHUN KE-5 PENGELUARAN
KOMERSIAL PROTON SAGA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan
dan Lembaga Pengarah PROTON atau Perusahaan Otomobil
Nasional kerana sudi menjemput saya dan isteri ke majlis
jamuan ini.
2. Lima tahun lalu, Proton Saga sebagai kereta ciptaan
Malaysia yang pertama telah dilancarkan. Ramai yang
berpendapat bahawa kita terlalu bercita-cita besar apabila
memasuki bidang otomobil. Mereka membuat ramalan bahawa
kereta yang kita cipta dan keluarkan ini tetap tidak bermutu
dan perlu bantuan yang besar daripada Kerajaan. Tidak ada
siapa yang meramalkan Proton Saga boleh diterima oleh
pasaran luar negeri. Ada yang memprotes bahawa pembeli akan
bosan dan mendesak bahawa oleh kerana PROTON tidak menarik
janganlah pula Kerajaan memaksa rakyat membelinya dengan
menyekat kemasukan kereta jenis lain.
3. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Memang
benar pada mulanya penjualan tidak laris. Tetapi ini
bukanlah disebabkan oleh kualiti kereta Proton Saga.
Kualitinya adalah setanding dengan kereta-kereta import dan
kereta pasang tempatan yang lain. Penjualan yang kurang dan
kerugian yang berlaku adalah kerana pada tahun 1985 Malaysia
mengalami kemelesetan ekonomi akibat kemelesetan ekonomi
dunia. Justeru itu pembeli tempatan tidak mampu membeli
kereta, termasuk kereta Proton Saga. Namun penjualan kereta
PROTON dalam pasar yang contracted ini adalah lebih tinggi
daripada semua jenis kereta lain. Pembeli dapat menilai
sendiri kualiti Proton Saga dan mereka berpuas hati.
Walaupun ada usaha untuk memburukkan nama PROTON, umpamanya
ada pihak yang meletakkan kereta PROTON Saga yang baru
bersama-sama kereta second-hand, kerana kononnya pembeli
tidak puas hati dan telah jual balik. Ada pula yang menuduh
PROTON tidak mampu naik Genting Highlands, tetapi keyakinan
pembeli akan PROTON terus meningkat dan mereka terus membeli
kereta PROTON Saga.
4. Kemelesetan pasaran tempatan membawa tuah kepada PRO-
TON. PROTON terpaksa mencari pasaran luar negeri. Pada
mulanya beberapa langkah yang silap diambil. Tetapi akibat
kegigihan usaha Pengurusan PROTON pasaran luar menjadi
pasaran yang besar dan menguntungkan. Pada tahun 1989 kita
telah mengeksport lebih daripada 12,000 buah, kebanyakannya
ke United Kingdom dan Singapura. Pengalaman eksport ini
amat berguna dan Insya-Allah kita akan dapat menembusi
pasaran-pasaran lain termasuk pasaran kereta left-hand
drive.
5. Sementara itu peningkatan yang cepat telah dicapai
dalam bidang local content. Dari hanya 18% sahaja local
content pada mulanya, hari ini ia sudah meningkat kepada
65%. Peningkatan ini membolehkan kita mengeksport ke United
Kingdom. Untuk dianggap sebagai kereta buatan Malaysia
pihak U.K. berkehendak sekurang-kurangnya 60% local content.
Kita sudah melebihi 60% dan dengan usaha gigih oleh
pengurusan PROTON kita akan menggunakan 80% local content
pada tahun 1992, Insya-Allah.
6. Peningkatan local content bermakna industri sampingan
atau supporting industry dalam bidang automotif telah
meningkat. Inilah satu daripada matlamat kita apabila kita
putuskan untuk membuat kereta kita sendiri. Pertumbuhan
industri sampingan dalam bidang ini tidak mungkin ada jika
tidak kerana PROTON. Kita telah mengadakan industry
pemasangan kereta selama hampir 20 tahun sebelum PROTON
mengeluarkan kereta, tetapi peratusan local content hanya
25% sahaja. Jika tidak kerana PROTON, industri sampingan
ini tidak akan berkembang maju.
7. Industri sampingan Malaysia sekarang bukan sahaja mampu
membekal PROTON, tetapi kereta-kereta lain yang dipasang
dalam negeri juga. Ianya juga boleh mengeksport barangan
automotive parts dan boleh juga membekal industri-industri
lain yang ada dalam dan luar negara dengan berbagai-bagai
jenis barangan. Teknologi yang berguna dan bermutu tinggi
sudah diperolehi oleh pengusaha tempatan yang mana ini akan
membantu proses perindustrian negara.
8. PROTON sendiri sedang meningkatkan kebolehannya dalam
bidang kejuruteraan. Seratus juta ringgit sudah dilabur
untuk machining plant, satu daripada bahagian industri
membuat kereta yang amat sophisticated dan penting.
9. Engineering dan design staff PROTON mempunyai kemampuan
Research and Development sehingga boleh mencipta rekabentuk
kereta yang moden yang akan mengganti Saga I. Walau
bagaimanapun Complete Model Change ini hanya akan
dikeluarkan pada tahun 1994 -- kerana proses pembentukan,
research dan penyesuaian kilang memakan masa. Jelaslah
Malaysia telah maju jauh ke hadapan dalam bidang teknologi
rekabentuk kejuruteraan dan pengeluaran kereta. Tidak ada
negara membangun yang lain yang mempunyai kebolehan ini.
10. Walaupun kita telah maju dalam bidang industri
pengeluaran kereta, walaupun kita sudah untung sehingga
tidak ada satu sen pun yang terhutang, walaupun kualiti
kereta kita setaraf dengan kualiti kereta negara maju dan
diterima untuk dieksport, walaupun kita telah menang hadiah
di luar negeri dalam persaingan dengan kereta-kereta lain
dari jenama yang terkenal, namun mereka yang mengkritik
kereta nasional ini masih nitpicking untuk memperkecilkan
kejayaan PROTON. Kata mereka kejayaan PROTON disebabkan
oleh perlindungan tarif atau cukai oleh kerajaan. Tanpa
perlindungan Kerajaan, PROTON akan rugi besar, kata mereka.
11. Pengkritik ini tidak pun tahu mengkaji asas kritikan
mereka. Yang pertamanya, semua industri pemasangan kereta
di Malaysia mendapat perlindungan tarif daripada kerajaan
walaupun industri ini berusia lebih daripada 20 tahun.
Tanpa perlindungan, kereta yang dipasang di Malaysia, dari
komponen yang diimport tidak mungkin bersaing dengan kereta
yang diimport siap dipasang. Ini bermakna semua kereta yang
dipasang di Malaysia hanya untung kerana tidak membayar
cukai, atau untung mereka sebenarnya ialah cukai kerajaan
yang mereka tidak bayar. Tanpa bantuan atau subsidi
kerajaan, semua kilang pemasangan kereta di Malaysia akan
rugi dan ditutup.
12. Cukai yang tidak dibayar ialah cukai ke atas barangan
import. Jika barangan ini dibuat di Malaysia duti import
tidak dikenakan. Ini bermakna lebih banyak barang tempatan
digunakan oleh PROTON maka nilai cukai yang dikecualikan ke
atas komponen import PROTON akan kurang. Oleh kerana
komponen import PROTON hanyalah 35% maka pengecualian cukai
ke atas PROTON sudahpun turun. Kereta lain yang dipasang di
Malaysia mempunyai komponen import hampir 80%. Tentulah
PROTON akan lebih untung jika PROTON juga mengimport
peratusan yang lebih tinggi. Penggunaan lebih banyak local
content oleh PROTON menjadi beban kepada PROTON. Tetapi
PROTON mengutamakan dasar perindustrian negara.
13. Jumlah cukai yang dikecualikan bagi PROTON hanyalah
$5,000. Sebaliknya perbezaan harga jualan antara PROTON
dengan kereta-kereta lain yang dipasang di Malaysia yang
lebih kurang sama saiz injinnya adalah antara $14,000 hingga
$23,000 melainkan sebuah kereta model lama. Kereta model
lama yang tidak popular itupun dijual dengan harga $6,900
lebih tinggi daripada PROTON Saga. Jika PROTON membayar
cukai sepenuhnya, iaitu $5,000 kepada Kerajaan, harga
jualannya masih akan lebih murah daripada kereta-kereta lain
iaitu antara $9,000 dan $18,000 lebih murah. Jika harga
PROTON dinaikkan $5,000 lagi mungkin jualannya tidak selaris
sekarang, tetapi ia tetap lebih laris dari kereta-kereta
lain yang dipasang di Malaysia. Jelaslah dari ini
pengecualian cukai yang diberi bukan penting untuk
menentukan PROTON untung, tetapi adalah sebagai subsidi
kepada pembeli. Jika pembeli rela membayar $5,000 lebih
untuk PROTON, Kerajaan sanggup mengenakan cukai sepenuhnya
kepada PROTON. Perlindungan industri kereta oleh Kerajaan
adalah amalan biasa semua Kerajaan di dunia ini.
14. Di Britain, pasaran kedua terbesar bagi PROTON,
penjualannya laris bukan semata-mata kerana GSP. Lebih
banyak kereta tempatan dan import yang lebih murah dijual di
Britain tetapi PROTON masih popular dan sanggup dibeli oleh
rakyat Britain.
15. Di Singapura, pasaran ketiga PROTON, tidak ada apa-apa
perlindungan yang diberikan kepada PROTON oleh Kerajaan
Singapura. Semua kereta Singapura diimport siap dipasang.
Tetapi PROTON berjaya menjual lebih daripada seribu yunit
dengan harga hampir sekali ganda lebih tinggi daripada harga
di Malaysia.
16. Pengkritik PROTON tidak memeriksa dengan mendalam.
Asyik dengan keinginan untuk memburukkan apa sahaja yang
dibuat oleh kita sendiri, mereka cepat berkata bahawa
kejayaan PROTON adalah disebabkan oleh subsidi Kerajaan dan
GSP Britain. Benarlah seperti kata pepatah "we are our own
worst enemy". Apa juga kita buat, golongan pengkritik
Malaysia ini sentiasa mencari salah, sentiasa ingin
memperkecilkan. Sebaliknya mereka mengagung-agungkan
kejayaan yang sebesar hama pun jika ini dibuat oleh negara
asing, terutama negara Barat. Inferiority complex begitu
menguasai mereka sehingga tidak boleh dikikis sama sekali.
Sebab itu apabila dimaklumkan bahawa pencemar alam yang
terbesar di dunia ialah Amerika Syarikat, mereka tidak sebut
hal ini sama sekali, tetapi terus memburukkan usaha
Malaysia, negara membangun yang sanggup membantu dunia yang
kaya untuk membersihkan alam sekitar.
17. Hari ini kita merayakan pengeluaran kereta yang
ke-200,000 oleh PROTON. Dalam jangkasama 5 tahun sahaja
pengeluaran kereta oleh Perusahaan Otomobil Nasional
meningkat lebih daripada pengeluaran semua jenis kereta
daripada mana-mana kilang pemasangan kereta di Malaysia yang
telah beroperasi selama 25 tahun. Angka yang lebih bermakna
lagi ialah peningkatan pengeluaran oleh PROTON tiap-tiap
tahun. Tahun ini PROTON akan mengeluarkan 85,680 buah
kereta yang bernilai hampir dua ribu juta ringgit. Ini
menjadikan PROTON billion-dollar company. Keuntungan bagi
tahun kewangan 1989-90 yang lalu ialah 159 juta ringgit
dengan penjualan bernilai 1.4 billion ringgit.
18. PROTON adalah milik Kerajaan Malaysia sebanyak 70% dan
Mitsubishi 30%. PROTON akan diswastakan tidak lama lagi
dengan penjualan sebahagian daripada saham kedua-dua
pemilik. Rakyat semua peringkat akan berpeluang memiliki
industri otomobil Malaysia ini.
19. Rancangan PROTON yang sedang dijalankan ialah sebuah
kilang membuat injin yang menelan belanja $100 juta. Untuk
membesarkan keupayaan kilang supaya dapat mengeluarkan
antara 120,000 hingga 150,000 setahun, pelaburan akan
ditambah lagi. Complete Model Change akan diadakan pada
tahun 1994. Kajian untuk menambah model dan meningkatkan
keupayaan injin hingga 1800 c.c. sedang dijalankan.
Demikian juga dengan pengeluaran left-hand drive untuk
pasaran tertentu.
20. The future of PROTON is very exciting. Everyone must
be committed to making a success of this important national
industry. God willing we will become an important automo-
bile and automotive centre in this region. There are many
more things in the pipeline for this industry which we are
working at but I am not able to reveal them at the moment.
I ask the nation to have faith in itself and its capacity to
make a success of this highly sophisticated and rapidly
progressing industry.
21. Ucapan berkenaan PROTON tidak akan lengkap jika saya
tidak menyebut berkenaan dengan pekerja-pekerja PROTON dan
kesatuan in-house mereka. Tidak ada sesiapa yang boleh
menafikan bahawa kejayaan PROTON adalah disebabkan oleh
kecekapan, kerajinan dan disiplin pekerja-pekerjanya dan
kesatuan mereka. Peratusan pekerja PROTON yang bercuti
sakit atau tidak datang bekerja kerana sesuatu sebab amatlah
rendah berbanding dengan pekerja-pekerja kilang-kilang lain.
Sebaliknya produktiviti mereka adalah tinggi. Sebelum
diadakan dua shift, pekerja PROTON boleh mengeluarkan 25
buah kereta sejam. Setelah diadakan dua shift, saperti
biasa dengan kemasukan pekerja baru, pengeluaran turun
kepada 16 buah sejam. Sekarang ia sudah meningkat semula
kepada 22 buah sejam. Dengan kerja lebih masa PROTON boleh
mengeluarkan purata 400 buah sehari.
22. Kesatuan Sekerja in-house PROTON adalah kesatuan yang
bertanggungjawab. Sementara kesatuan melindung hak pekerja,
ia juga menjaga supaya periok nasi pekerja tidak tergugat
kerana tindakan melulu. Kesatuan tahu kejayaan PROTON akan
menguntungkan pekerja juga.
23. Pekerja PROTON dan Kesatuan mereka patut dijadikan
contoh oleh pekerja-pekerja dan Kesatuan-kesatuan lain.
Nasib pekerja tidak perlu dibela secara konfrontasi dan
tindakan perusahaan seperti yang diutarakan oleh Kesatuan
Sekerja Barat. Cara konfrontasi adalah cara yang lapuk yang
merugikan. Cara rundingan dan persefahaman adalah lebih
baik.
24. Di masa yang sama pengurusan juga perlu mengubah sikap
dan tidak berkonfrontasi dengan pekerja. Mereka harus tahu
hidup dalam environment kesatuan sekerja dan menerima
hakikat bahawa tanpa kesatuan sekerja, ketidakadilan
terhadap pekerja mungkin berlaku. Mereka harus menerima
wakil pekerja daripada in-house union syarikat mereka. Kita
tidak perlu kepada kesatuan sekerja atau trades union yang
sering dihinggap oleh orang-orang yang berkepentingan
politik.
25. Saya mengucapkan syabas kepada Pengurusan PROTON yang
menerima peranan Kesatuan Sekerja Pekerja PROTON. Sikap
Pengurusan PROTON juga harus dicontohi oleh pengurusan-
pengurusan syarikat-syarikat yang lain di Malaysia.
Janganlah cuba menolak sama sekali kesatuan sekerja dan
berlaku tidak adil kepada pekerja sendiri.
26. Kepada PROTON dan pengurusannya saya mengucapkan
tahniah kerana kejayaan mengeluarkan kereta Proton Saga yang
ke-200,000. Antara PROTON dan EON, industri otomobil milik
negara telah berjaya mendapat turnover sebanyak $2.45
billion dengan keuntungan $214 million bagi tahun 1989-1990
-- satu sumbangan yang bermakna kepada KDNK negara. Syabas.
Selamat menyambut ulangtahun ke-5 PROTON dan
pengeluaran Proton Saga yang ke-200,000.
|