Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KELANA JAYA
Tarikh/Date : 13/07/90
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN ASRAMA SEMAI BAKTI
KELANA JAYA DAN PENYAMPAIAN SIJIL
SAHAM KOPERASI PERMODALAN FELDA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Kasitah Gaddam,
Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah;
Yang Mulia Tan Sri Raja Alias,
Pengerusi Kumpulan FELDA;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama hadir
di majlis pada petang ini. Saya juga mengucapkan terima
kasih kepada Felda kerana menjemput saya ke majlis ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Pendidikan adalah satu bidang yang luas dan ianya
bukanlah monopoli mana-mana pihak atau tanggungjawab
Kerajaan semata-mata. Pendidikan penting bukan sahaja
kepada individu tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan
negara. Oleh itu semua pihak harus berusaha mengemblingkan
tenaga untuk meningkatkan taraf pendidikan di negara kita.
3. Penglibatan Felda dalam membantu menyediakan kemudahan-
kemudahan pendidikan sangat dialu-alukan. Penglibatan ini
melambangkan kesungguhan Felda dalam memenuhi dan menghayati
matlamat negara. Sungguhpun bilangan yang menerima
kemudahan di Asrama-asrama Semai Bakti adalah kecil, tetapi
kejayaan-kejayaan yang dicapai membuktikan usaha ini adalah
berkesan. Saya mengambil kesempatan ini untuk menggesa
pelajar-pelajar asrama ini khasnya, dan lain-lain pelajar
amnya, supaya menggunakan sepenuhnya setiap kesempatan yang
diberikan dan setiap kemudahan yang dibekalkan bagi
memperbaiki diri sendiri, masa depan keluarga dan
masyarakat.
4. Negara kita sedang membangun dengan pesatnya. Untuk
memastikan negara terus membangun dengan pesat tenaga mahir
yang berpengetahuan dan terlatih serta rakyat yang
menghayati hasrat dan cita-cita negara perlu diadakan.
Jentera pembangunan tidak akan berjalan lancar jika tidak
digerakkan oleh pengurusan yang cekap dan pekerja-pekerja
yang mahir dan berdedikasi. Pengurusan dan pekerja mahir
yang berdedikasi tinggi bukan sahaja mempengaruhi rentak
pembangunan kita tetapi juga merupakan daya penarik yang
kuat kepada pelabur-pelabur asing ke negara kita. Saya
berharap Asrama-asrama Semai Bakti dapat menyumbang ke arah
mengeluarkan tenaga pengurusan pekerja yang berupaya
menyahut seruan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Setiap keadaan akan berubah dengan masa yang berlalu.
Kalau dahulu kita bercucuk tanam, berternak dan membanting
tulang bagi memenuhi keperluan asas keluarga semata-mata,
tetapi sekarang kita tidak lagi berpuashati dengan hanya
cukup makan, berpakaian dan bumbung di atas kepala kita.
Kita perlu kehidupan yang lebih selesa dan lebih bahagia.
Kita berpendapat kita berhak kepada kehidupan yang setaraf
dengan bangsa-bangsa lain yang maju. Kita tidak ingin kekal
sebagai bangsa yang miskin, mundur dan terhina oleh kerana
pencapaian kita adalah kurang daripada orang lain.
6. Untuk ini kita tidak boleh menunggu rezeki datang
melayang. Tuhan akan menolong mereka yang menolong diri
sendiri. Untuk mendapat rezeki kita perlu mengejar rezeki
di mana juga rezeki berada. Kita perlu meningkatkan ilmu
dan kita perlu berpindah tempat dan menukar cara hidup kita.
Kita perlu berani mengambil risiko dan kita perlu bekerja
lebih kuat dan mengguna cara dan pendekatan yang lebih
sesuai. Kita juga tidak boleh mudah kecewa, sebaliknya kita
perlu mencuba dan harus mencuba sehingga berjaya. Setelah
berusaha sedemikian baharulah kita berserah kepada Tuhan,
kerana kita tahu kadang-kadang segala usaha kita tidak akan
berhasil. Namun jikalau tidak berhasil sekalipun, kita
tidak boleh menyalahkan sesiapa. Insya-Allah jika kita
mencuba lagi, kita mungkin berjaya. Penerbangan ke bulan
bermula dengan penerbangan 6 inci tinggi dari paras bumi
sejauh beberapa ela sahaja. Jika peneroka kapal terbang
kecewa, hari ini kita akan ke Mekah dengan kapal layar --
mungkin hanya 1000 orang yang dapat menunaikan haji setahun
dan bukan 30,000 orang.
7. Kerajaan ingin meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan
generasi akan datang kerana jika kita kekal di tahap ilmu
yang kita ada sekarang, kita akan ketinggalan zaman. Ilmu
tidak statik. Ia bertambah sepanjang masa. Kita perlu
mengejar ilmu. Generasi akan datang, jika tidak lebih
pandai daripada generasi sekarang akan ketinggalan
berbanding dengan masyarakat lain. Hanya jika kita dapat
meningkatkan pengetahuan generasi akan datang, baharulah
boleh kita terus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan bangsa-bangsa lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Pertanian di masa depan tidak akan sama dengan
pertanian sekarang. Anak peneroka yang berpelajaran tinggi
tidak mungkin balik ke ladang kecil untuk menoreh getah atau
mengait buah kelapa sawit. Kemungkinan ladang-ladang kecil
untuk orang perseorangan akan ditinggalkan selepas peneroka
asal tidak ada lagi. Hasil ladang yang kecil dan mungkin
tidak efisien tidak bermakna kepada anak atau cucu yang
mendapat gaji yang lebih di bandar. Namun negara masih
memerlukan hasil daripada pengeluaran ladang-ladang.
9. Dalam hal ini apakah pilihan kita? Apakah kita
terpaksa menutup ladang dan menumpukan semata-mata kepada
industri pembuatan? Jika kita berbuat demikian, kita akan
terlalu bergantung kepada industri pembuatan. Jika berlaku
sesuatu kepada industri ini, kita akan rugi. Sebagai
insuran atau jaminan, kita harus mengekalkan industri
perladangan. Tetapi siapakah yang akan menguruskan ladang-
ladang kecil ini?
10. Apabila ladang Felda dibahagikan kepada peneroka dan
mereka mengambil alih pengurusan, hasilnya amat
mengecewakan. Ladang yang besar, jika dipecah-pecahkan dan
dijadikan ladang yang kecil, akan rugi. Di Malaysia
pendapatan daripada ladang-ladang besar, yang jumlah luasnya
hanya separuh sahaja daripada jumlah keluasan kebun-kebun
kecil adalah sekali ganda lebih tinggi daripada pendapatan
kebun-kebun kecil. Jika kita ingin mendapatkan hasil
daripada pemecahan ladang Felda, maka ladang-ladang ini
harus digabungkan semula dan diurus sebagai ladang besar.
Untuk tujuan ini kita perlu pengurus ladang yang terlatih
dan beramanah. Sungguhpun anak-anak peneroka boleh
menceburi bidang lain, sebilangan daripada mereka harus
memberi tumpuan juga kepada bidang pengurusan estet besar.
Jika mereka terpaksa balik ke skim Felda, eloklah mereka
balik sebagai pengurus estet yang cekap. Anak-anak peneroka
tidak harus memandang rendah terhadap profesion ini.
11. Anak-anak peneroka Felda juga harus lebih
berpengetahuan dalam bidang ekonomi moden. Wang yang
didapati daripada titik peluh seseorang bukan hanya untuk
dibelanja dan dihabiskan. Wang perlu diuruskan dengan baik
kerana ia boleh menghasilkan lebih banyak wang. Kecekapan
pengurusan wang sahaja yang akan menentukan sama ada kita
berjaya atau tidak. Mereka yang memiliki wang yang banyak
mungkin menjadi papa dalam sekejap masa, jika mereka tidak
tahu menguruskan wang mereka dengan cekap.
12. Peneroka Felda sekarang boleh mendapat pendapatan bukan
sahaja daripada hasil ladang tetapi juga daripada berbagai-
bagai jenis perniagaan yang diusahakan oleh Felda. Koperasi
Permodalan Felda melabur dalam berbagai-bagai jenis
perusahaan dan perniagaan yang boleh menambah pendapatan
ahli-ahli Koperasi. Pendapatan daripada Koperasi boleh
menolong perbelanjaan peneroka. Tetapi wang yang diperolehi
boleh juga dikumpul dan dilaburkan dalam saham perniagaan
yang terpilih atau blue chip shares. Mungkin ramai yang
berkata bahawa pendapatan daripada semua punca pun jumlahnya
tidak cukup. Sebenarnya siapa juga tidak pernah cukup wang.
Jikalau kita ingin menabung pendapatan kita, bila-bila masa
sahaja kita boleh berbuat demikian. Jika tidak, setelah
menjadi jutawan pun kita tidak boleh menyimpan wang.
Jutawan hari ini mungkin menjadi muflis hari esok. Kita
telah melihat perkara ini berlaku terlalu kerap. Kita harus
mengambil iktibar daripadanya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Sejajar dengan konsep pelaburan, melalui pemilikan
saham, sistem pemilikan tanah juga perlu dipinda untuk
disesuaikan dengan peredaran zaman. Sikap ingin memiliki
tanah kerana inginkan tanah semata-mata sudah tidak sesuai
lagi dengan keadaan sekarang. Apa yang penting ialah hasil
yang datang daripada tanah yang diusahakan, dan bagaimana
kita menggunakan tanah itu untuk mendapatkan pulangan yang
lebih baik. Oleh itu di rancangan-rancangan baru Felda,
peserta-peserta akan ditawarkan saham. Saya merasa bahawa
jika masyarakat kita inginkan kemajuan, inilah satu cara
yang patut diikuti. Bergantung kepada tanah semata-mata
adalah pendirian yang lapuk. Melalui pemegangan saham, yang
dengan sendiri menandakan pemegangan modal, pulangan yang
lebih stabil dan lebih baik boleh didapati.
14. Pemilikan saham harus mengganti pemilikan tanah, bahkan
lain-lain bentuk harta. Namun pemilikan tanah juga harus
dalam bentuk saham, dengan tumpuan diberi bukan kepada
keluasan tanah tetapi kepada hasil daripada tanah itu dalam
bentuk dividen. Tanah yang tidak memberi hasil tidak
bermakna. Terlalu banyak tanah yang dimiliki melalui faraid
tidak membawa hasil apa-apa kerana susah untuk diusahakan
atau untuk dijual oleh kerana pemiliknya terlalu ramai dan
sukar mengurus tanah-tanah tersebut, bahkan pemilik-pemilik
tanah juga sukar dihubungi. Undang-undang faraid tidak
boleh disalahkan. Yang salah ialah orang Islam yang tidak
tahu atau tidak mahu mengamalkannya dengan tidak merugikan
diri. Adalah mustahil undang-undang Islam yang adil membawa
kerugian. Kita mendapati bahawa jika tidak ada masalah
milik sekalipun, pengurusan tanah sedemikian akan tidak
menguntungkan orang Melayu yang memilikinya. Yang kita
khuatir ialah akhirnya tanah-tanah Felda akan dijual kepada
pihak lain kerana tanah-tanah tersebut tidak mendatangkan
hasil dan waris yang bukan lagi bekerja sebagai peladang
sudah tidak berminat dengan tanah-tanah itu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Kerajaan boleh merancang dan melaksanakan skim untuk
kebaikan rakyat. Tetapi sama ada rancangan dan skim ini
mendatangkan kebaikan kepada kumpulan sasaran banyak
bergantung kepada mereka yang menyertai skim-skim ini.
Dengan dihasut oleh kumpulan-kumpulan tertentu, peserta-
perserta skim boleh mengugut kerajaan supaya memberi
keuntungan jangka pendek. Tetapi apa gunanya keuntungan
hari ini jika kita rugi kemudian.
16. Akhirnya, saya berdoa agar segala usaha yang dijalankan
oleh Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah serta
Felda mencapai matlamatnya. Saya berharap semoga estet-
estet Felda akan kekal dan terus diurus dan ditadbirkan oleh
kakitangan yang berdedikasi tinggi. Anak-anak peneroka yang
sekarang lebih bernasib baik daripada anak-anak penduduk
desa lain, harus diberi bukan sahaja ilmu biasa, tetapi juga
kesedaran akan nikmat yang mereka terima dan betapa
pentingnya mereka membuktikan kesyukuran mereka dengan
menggunakan segala kemudahan yang mereka perolehi dengan
sebaik-baiknya.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan Asrama Semai Bakti Kelana Jaya ini.
Wabillahi taufik walhidayah wasalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|