Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	WISMA MCA, JALAN AMPANG, KUALA 
			LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	28/07/90 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA 




 Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ling Liong Sik,
     Presiden MCA;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA;
Para Perwakilan MCA;
Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana menjemput saya sekali lagi merasmikan Perhimpunan
Agung   MCA  ini.     Saya  berharap  Perhimpunan  ini  akan
merapatkan lagi hubungan bukan sahaja antara ahli-ahli parti
MCA, bahkan antara MCA dengan parti-parti  komponen  Barisan
yang  lain  yang  turut  menghantar wakil masing-masing hari
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Barisan  Nasional  sekarang  hampir  menamatkan   tahun
keempat  pemerintahannya  selepas  diberi  mandat pada bulan
Ogos 1986.  Pendek kata, pada bila-bila  masa  dalam  tempoh
kira-kira  setahun  akan  datang  ini  kita  akan menghadapi
pilihanraya umum.    Dalam  pilihanraya  umum,  kekuatan  BN
adalah  berasaskan  kepada  kekuatan  parti-parti  komponen.
Oleh  itu  adalah  penting  parti-parti   komponen   Barisan
Nasional mengemaskan parti masing-masing.
3.   Adakalanya   terdapat   satu-dua  parti  komponen  yang
menghadapi sedikit sebanyak masalah dalaman.  Walaupun parti
ini mungkin kecil, tetapi kita  tidak  boleh  memperkecilkan
kesan  masalah  dalaman parti-parti komponen.   Justeru itu,
segala usaha hendaklah dibuat untuk  menyelesaikan  sebarang
masalah  dalaman  parti  komponen Barisan Nasional.  Di masa
yang sama parti-parti komponen  Barisan  Nasional  hendaklah
merapatkan lagi barisan supaya salah faham dapat dikurangkan
dan  kerjasama  erat dikekalkan.   Insya-Allah, God willing,
Barisan Nasional akan mendapat kejayaan yang cemerlang dalam
pilihanraya akan datang.
4.   Saya  mengambil  kesempatan  ini  mengucapkan   tahniah
kepada  pucuk  pimpinan  MCA,  terutama  Datuk Seri Dr. Ling
Liong  Sik  dan  Datuk   Lee   Kim   Sai,   kerana   berjaya
menyelesaikan   masalah   kepimpinan  parti  baru-baru  ini.
Penyelesaian ini  menjamin  kekukuhan  MCA.    Saya  percaya
majoriti  ahli  MCA  dan  penyokong-penyokong parti mengalu-
alukan penyelesaian itu.  Kita harus mengutamakan  kekukuhan
parti  daripada  kedudukan mana-mana personaliti.  Janganlah
kita  menang  sorak  tetapi  kalah  sabung;  janganlah  kita
membuang tenaga untuk memenangi pemilihan dalam parti tetapi
parti  tewas  di dalam pilihanraya.   Saya berharap semangat
ini akan diteladani  oleh  parti-parti  lain  dalam  Barisan
Nasional.
5.   Saya  berharap selepas pemilihan ini ahli-ahli MCA akan
memberi sokongan penuh kepada sesiapa  sahaja  yang  menang.
Inilah  asas demokrasi yang bukan sahaja harus disemaikan di
kalangan ahli-ahli MCA bahkan juga di  kalangan  semua  ahli
parti-parti  komponen.    Para  pemimpin dan penyokong pihak
yang kalah harus memberi sokongan bulat kepada pemimpin yang
menang  supaya  perpaduan  dan   kekesanan   tetap   dijaga.
Peribahasa  Cina ada menyatakan bahawa 'orang tua kehilangan
kudanya, entah akan membawa tuah' -- apabila  seseorang  itu
mengalami  kegagalan,  janganlah  berputus  asa  oleh kerana
kegagalan itu mungkin membawa tuah atau  sesuatu  yang  baik
pada  masa  hadapan.   Saya berharap para pemimpin dan ahli-
ahli MCA akan  terus  memberi  sokongan  penuh  kepada  para
pemimpin  yang menang supaya kekukuhan parti tidak tergugat.
Janganlah bertindak secara negatif dengan memburukkan  pihak
yang  menang  sehingga  parti  menjadi lemah kerana berbelah
bahagi atau  divided  dan  diserang  oleh  soal  kredibiliti
sepanjang masa.
6.   Menyentuh  tentang  konsep muafakat dan kerjasama dalam
Barisan  Nasional  pula,  kita  bernasib  baik  kerana  para
pemimpin  parti  kita  semenjak  dahulu  lagi telah menyusun
konsep sepakat ini, bermula dengan Perikatan dan kemudiannya
ditingkatkan kepada Barisan Nasional.   Susunan  ini  dibuat
mengikut  kejujuran  setiap  parti  komponen  yang mempunyai
asas-asas perjuangan yang selari dan harmoni.  Sebab  itulah
muafakat  dalam  Perikatan  dan  Barisan  Nasional  berjalan
lancar dan mampu bukan  sahaja  untuk  mentadbirkan  negara,
bahkan  juga  mampu  menangkis sebarang muslihat parti-parti
pembangkang.
7.   Konsep muafakat dan kerjasama  dalam  Barisan  Nasional
jelas tergambar apabila kita menghadapi beberapa pilihanraya
umum   dan   pilihanraya  kecil  sehinggakan  ianya  membawa
kejayaan satu demi satu.    Kejayaan  kita  di  pilihanraya-
pilihanraya    yang   lalu,   terutamanya   dalam   beberapa
pilihanraya   kecil   dua-tiga   tahun   kebelakangan   ini,
membuktikan  sokongan  rakyat kepada Barisan Nasional adalah
kuat dan muafakat dalam Barisan Nasional adalah kukuh.
8.   Dalam  Barisan  Nasional,  kita  semua  harus  mengakui
bahawa  kita  pun  sekali-sekala  menghadapi  halangan untuk
bermuafakat.  Walau bagaimanapun, dengan  wujudnya  semangat
ingin  bekerjasama  dan  keikhlasan, dan dengan mementingkan
kepentingan negara dan  majoriti  rakyat,  halangan-halangan
itu  dapat  diatasi.    Apa yang penting ialah kita dalam BN
dapat bekerjasama menghadapi kebanyakan  isu  atau  masalah.
Apa-apa  rintangan  merupakan  perkara  yang sementara, yang
temporary, yang akhirnya dapat kita selesaikan  dengan  cara
yang  tidak merugikan negara dan tidak membawa perpecahan di
kalangan masyarakat Malaysia.
9.   Kejayaan muafakat Barisan  Nasional  membuatkan  parti-
parti  pembangkang  terkocoh-kocoh untuk menirunya.   Tetapi
muafakat dalam BN ada asasnya.  Kita adalah parti-parti yang
bersikap sederhana, yang memahami bahawa dalam negara majmuk
seperti Malaysia tidak mungkin mana-mana kaum mendapat semua
yang dituntut oleh mereka.  Setiap kaum mesti  mengambilkira
kepentingan  kaum  lain.    Mereka yang tidak menerima sikap
sederhana dan toleransi ini tidak  seharusnya  berada  dalam
Barisan  Nasional.    Parti lawan menjadi parti lawan kerana
mereka tidak sanggup bertolak ansur,  bersikap  toleran  dan
sederhana.
10.  PAS  tidak  ada  dalam  Barisan  Nasional kerana mereka
begitu ekstrim sehingga menganggap  kerjasama  dengan  orang
bukan  Islam  akan menjadikan mereka bukan Islam atau kafir.
Sebaliknya DAP tidak langsung mahu menerima kedudukan  orang
Melayu  dan  lain-lain  bumiputera  dan sebarang unsur Islam
dalam negara.   Dengan itu, mereka juga  tidak  boleh  masuk
Barisan  Nasional.    Tetapi sekarang ini PAS dan DAP dengan
perjuangan yang bertentangan ini mengadakan kerjasama  hanya
kerana  mahu  menang pilihanraya.  Tujuan mereka ialah untuk
memperdayakan   pengundi   kerana   mereka   tidak   mungkin
meneruskan     kerjasama     selepas    pilihanraya    tanpa
membelakangkan perjuangan mereka masing-masing.  Jika mereka
membelakangkan  perjuangan  mereka,   maka   ahli-ahli   dan
penyokong-penyokong  mereka  pula  akan tertipu.   Pemimpin-
pemimpin PAS dan DAP sudahpun memberitahu ahli masing-masing
bahawa kerjasama mereka adalah  satu  helah  untuk  mendapat
undi  penyokong-penyokong  rakan mereka sahaja.   Sebenarnya
kata pemimpin mereka kepada penyokong mereka,  mereka  tidak
berganjak   daripada   perjuangan  masing-masing.     Dengan
mengamalkan  "double-face"  ini,  jelaslah  pakatan   mereka
adalah   pakatan  sementara  yang  cetek  yang  tidak  mampu
menghasilkan sebuah Kerajaan yang kukuh  untuk  menggantikan
Kerajaan Barisan Nasional.
11.  Jika  mereka  mendirikan kerajaan campuran, ianya tidak
akan stabil dan negara akan menghadapi keadaan  kucar-kacir.
Perniagaan  dan  perusahaan tidak akan dapat berkembang maju
dan keselamatan rakyat tidak  boleh  dijamin.    Zaman  yang
gelap  akan  menimpa negara ini kerana pertelingkahan antara
parti-parti Barisan Tiruan ini dan rebutan tempat yang  akan
berlaku.  Amat malanglah nasib negara kita ini jika pengundi
tertipu  oleh  strategi  yang dicipta oleh Parti Semangat 46
untuk membentuk Barisan Tiruan dalam mana parti  yang  kecil
ini  dapat  "ride  to  power  on  the backs of PAS and DAP".
Hakikat  ini  diakui  oleh  pemimpin  46  kepada  penyokong-
penyokong  kuat  mereka untuk meyakinkan penyokong-penyokong
yang terdiri  daripada  bekas  ahli  UMNO  bahawa  kerjasama
mereka   dengan   PAS   dan  DAP  hanyalah  untuk  memenangi
pilihanraya dan mereka tidak akan menerima negara Islam  PAS
atau Malaysian Malaysia DAP.
12.  Daripada  penipuan-penipuan  secara  besar-besaran yang
dibuat oleh  parti-parti  yang  bercita-cita  untuk  menjadi
alternatif  kepada  Barisan  Nasional,  adalah  nyata bahawa
Barisan Tiruan anjuran Tengku Razaleigh bukanlah  alternatif
kepada  Barisan  Nasional.    Kononnya  gabungan mereka akan
mewujudkan sistem  dua  parti  di  Malaysia,  iaitu  Barisan
Nasional  dan Barisan Tiruan.  Ini adalah satu lagi strategi
untuk mengabui mata rakyat yang idealistik  supaya  tercapai
cita-cita besar seorang yang kecewa.
13.  Adalah  menjadi  tanggungjawab  anggota-anggota Barisan
Nasional mendedahkan penipuan-penipuan ini.  Rakyat Malaysia
mesti diberitahu tentang rancangan  tipu  helah  ini  supaya
mereka dapat menyelamatkan diri mereka.
14.  Sekarang  negara kita aman dan maju.  Dengan kestabilan
yang dihasilkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan kerjasama
parti-parti dalam Barisan Nasional,  rakyat  daripada  semua
kaum, sama ada di bandar atau di luar bandar, telah mendapat
nikmat daripada kemajuan dan pembangunan.
15.  Hari  ini  ekonomi  negara  mencapai  pertumbuhan  yang
pesat.   Dalam tiga bulan pertama  tahun  1990,  pertumbuhan
adalah  luar  biasa,  iaitu  10.4%.    Ini bermakna peluang-
peluang   pekerjaan   sudah   bertambah.       Kilang-kilang
mengiklankan jawatan-jawatan setiap hari.  Calon-calon tidak
perlu   menulis  surat  permohonan.    "Walk-in  interviews"
diadakan untuk bermacam-macam jenis kerja.  Perniagaan kecil
dan besar bertambah dengan pesatnya.   Keuntungan  syarikat-
syarikat  berlipat  ganda.    Pembelian barang-barang adalah
laris kerana para pengguna mempunyai wang untuk  berbelanja.
Peningkatan  KDNK atau GNP bukan satu angka statistik tetapi
adalah sesuatu yang  mempunyai  kesan  kepada  setiap  orang
rakyat Malaysia di mana juga mereka berada.
16.  Pertumbuhan   ekonomi   yang  pesat  ini  adalah  hasil
pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional.  Tidak banyak  negara
dapat  mengatasi kemelesetan ekonomi seperti Malaysia.  Demi
kepentingan rakyat dan negara, kita perlu menentukan Barisan
Nasional terus berjaya dan kekal sebagai Kerajaan.    Parti-
parti    dalam    Barisan    Nasional    mestilah   bersikap
bertanggungjawab.   Kita  tidak  boleh  membenarkan  masalah
menimpa   parti-parti  kita,  terutama  masalah  yang  boleh
memecah-belah dan mengurangkan kekesanan atau  effectiveness
kita.  Jika ada masalah, ianya hendaklah diselesaikan secara
rundingan  dengan  fikiran terbuka.   Setelah selesai, semua
pihak hendaklah  merapatkan  balik  barisan  dan  meneruskan
usaha menjayakan parti sendiri dan Barisan Nasional.  Tolak-
ansur, seperti yang dibuat oleh MCA baru-baru ini, hendaklah
dijadikan  teladan  dan  contoh  untuk  semua parti komponen
Barisan Nasional.
17.  Selain daripada  itu,  kerjasama  yang  erat  hendaklah
diadakan   antara   parti-parti  komponen  Barisan  Nasional
terutamanya dalam  pilihanraya  akan  datang.    Kita  sedar
sementara  kita  semua setia kepada konsep Barisan Nasional,
ada  juga  perselisihan  pendapat  di   antara   parti-parti
komponen  Barisan  Nasional.   Oleh kerana perselisihan ini,
kadang-kadang  penyokong-penyokong  sebuah  parti   komponen
tidak   sanggup  menyokong  calon  daripada  parti  komponen
tertentu.   Mereka ini tidak menganggap  calon  itu  sebagai
calon  BN  tetapi  sebagai  calon  parti tertentu dan mereka
berusaha untuk mengalahkannya.   Kadang-kadang  calon  bebas
ditaja  untuk mengalahkan calon BN daripada parti yang tidak
digemari.
18.  Perbuatan ini amat  bahaya  kerana  jika  kita  berbuat
demikian  kepada  parti  komponen  lain, parti itu pula akan
membuat tindakan yang sama kepada calon daripada parti  kita
di  kawasan lain.   Dengan itu kedua-dua pihak mungkin gagal
dan Barisan Nasional akan kalah.   Oleh  itu  kita  mestilah
ikhlas  dan  jujur  menyokong  parti  Barisan Nasional dalam
pilihanraya.     Penipuan  oleh  satu   pihak   hanya   akan
menghasilkan  penipuan oleh pihak yang lain.  Akhirnya semua
pihak akan rugi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19.  Dalam Perhimpunan Agung MCA hari ini  pemimpin-pemimpin
akan  dipilih  bagi memimpin MCA untuk masa depan dan semasa
pilihanraya yang akan datang.  Saya tidak ingin campurtangan
dalam hal  dalaman  MCA.    Tidak  seperti  Parti  DAP  yang
pemimpinnya  tidak  boleh  ditukar,  Parti MCA sebagai parti
demokratik boleh dan biasa menukar kepimpinannya.  Penukaran
pemimpin  boleh  dibuat  tetapi  setelah  penukaran  dibuat,
adalah  amat  penting  pihak  yang  gagal menerima keputusan
secara demokratik dan merapatkan barisan  di  belakang  yang
menang.    Ini sahaja nasihat yang ingin saya berikan, bukan
sahaja kepada MCA tetapi juga kepada  UMNO  dan  parti-parti
komponen lain Barisan Nasional.
20.  Saya  berharap  Perhimpunan Agung MCA ini akan berjalan
dengan baik dan akan  mengekalkan  MCA  sebagai  parti  yang
gagah dan berkemampuan di masa depan.
21.  Dengan  harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MCA tahun 1990 ini.

 

 



 
Google