Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BUKIT GENTING
Tarikh/Date : 11/08/90
Tajuk/Title : MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-25
KUMPULAN GENTING
Yang Berbahagia Tan Sri Lim Goh Tong,
Pengerusi Kumpulan Genting Berhad;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia
Tan Sri Lim Goh Tong yang menjemput saya ke majlis makan
malam ulangtahun ke-25 Kumpulan Genting ini. Pusat
Peranginan Bukit Genting ini bermula dengan daya usaha
seorang usahawan yang gigih dan berkeyakinan. Beliau telah
menempoh berbagai-bagai rintangan dan halangan sebelum cita-
cita beliau untuk membina sebuah pusat peranginan yang besar
di atas banjaran Titiwangsa ini tercapai. Dengan itu saya
mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Lim Goh Tong atas
kejayaan beliau membina pusat peranginan Bukit Genting ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Negara kita telahpun mempunyai beberapa buah pusat
peranginan pergunungan atau highland resorts. Di
Semenanjung sahaja, di samping pusat peranginan Bukit Gent-
ing ini, terdapat juga pusat-pusat peranginan pergunungan
seperti Bukit Fraser, Cameron Highlands dan Bukit Larut atau
Maxwell Hill.
3. Pusat-pusat peranginan yang dingin di banjaran gunung
semakin popular kepada penduduk-penduduk tempatan. Kerajaan
berpendapat dengan adanya kemudahan-kemudahan jalanraya dan
pengangkutan yang baik, pusat-pusat seperti ini akan
bertambah maju dan semakin terkenal. Bagi mereka yang
berupaya, mereka mungkin dapat ke negara-negara beriklim
dingin untuk melancong. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia,
bahkan bagi mereka yang berupaya pun, pusat-pusat peranginan
di kawasan pergunungan semestinya dapat menarik minat mereka
untuk melancong dan untuk menikmati cuaca dingin sekali-
sekala. Ini akan juga memenuhi objektif kita untuk
menggalakkan pelancongan dalam negeri.
4. Dengan itu, banjaran pergunungan di negara kita akan
dimajukan lagi dan kerajaan sudahpun mempunyai
perancangannya. Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan
membina jalanraya yang melintasi beberapa bahagian
pergunungan kita termasuklah menghubungkan pusat-pusat
peranginan yang sedia wujud. Pembinaan ini akan dijalankan
secara penswastaan setelah didapati kawasan-kawasan tersebut
mempunyai potensi untuk menjadi pusat peranginan. Kerja-
kerja awal untuk membuat kajian sedang dijalankan.
5. Pembinaan jalanraya di banjaran pergunungan ini
mempunyai beberapa manfaat kepada ekonomi negara. Beberapa
pusat peranginan mungkin dapat dibina bagi meningkatkan
pertumbuhan industri pelancongan di negara kita. Penduduk
tempatan pun mungkin sekali-sekala ingin berehat di pusat-
pusat peranginan di banjaran gunung.
6. Di samping membina pusat-pusat peranginan dan
pelancongan, kerajaan juga berharap tanah-tanah di kawasan
pergunungan ini akan dimajukan, terutama sekali untuk jenis-
jenis pertanian yang tidak akan mencemarkan alam sekitar.
Sudah pasti terdapat tanaman yang memerlukan cuaca yang
dingin dan kawasan-kawasan di pergunungan akan lebih sesuai
untuk tujuan ini. Beberapa jenis buah-buahan iklim
sederhana akan ditanam secara percubaan di kawasan-kawasan
pergunungan ini.
7. Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa cadangan
pembinaan jalanraya pergunungan ini adalah di peringkat
kajian dan sekiranya didapati ekonomikal dan wajar,
perlaksanaannya adalah di bawah skim penswastaan. Kerajaan
masih memerlukan wang yang banyak untuk memajukan berbagai-
bagai projek lain, terutama bagi kawasan-kawasan luar
bandar, pembinaan infrastruktur yang lebih penting dan
kawasan-kawasan lain yang kurang maju. Penswastaan bagi
projek-projek seperti jalanraya pergunungan ini akan juga
meningkatkan peranan pihak swasta dalam pembangunan ekonomi
negara. Insentif khas akan diberikan kepada pihak swasta
yang membina jalanraya pergunungan ini supaya ia
berdayamaju.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
8. Firma-firma perniagaan di negara kita tumbuh dengan
baiknya dua tiga tahun yang lalu. Firma-firma besar pun
turut menempa pertumbuhan yang baik. Wujudnya firma-firma
besar di negara kita ini akan melipatgandakan pembayaran
cukai kepada kerajaan. Kerajaan baru-baru ini telah
mengenal-pasti beberapa buah syarikat besar yang telah
membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan. Kumpulan Gent-
ing ini merupakan salah satu daripada syarikat tersebut.
Syarikat-syarikat ini akan menerima hadiah khas sempena
sambutan Hari Kebangsaan tidak berapa lama lagi.
9. Pembayaran cukai yang tinggi merupakan salah satu
rasional bagi kerajaan melancarkan dasar Persyarikatan
Malaysia beberapa tahun yang lalu. Pihak awam dan swasta
haruslah bekerjasama untuk objektif yang sama iaitu
memajukan negara dan meningkatkan kebajikan penduduk negara
ini. Pihak awam harus membantu sektor swasta untuk maju
supaya sektor swasta yang maju pula dapat membayar cukai
yang lebih tinggi kepada kerajaan. Kerajaan akan
menggunakan pendapatan daripada hasil yang meningkat untuk
membayar gaji dan elaun yang meningkat, melaksanakan projek-
projek pembangunan dan membina infrastruktur untuk faedah
rakyat semua. Jika bidang swasta adalah kecil, sering rugi
dan menjadi muflis, Kerajaan bukan sahaja tidak dapat
membangunkan negara tetapi mungkin sukar membayar gaji
kakitangan Kerajaan. Perkara seperti ini sering berlaku di
di negara-negara lain dan boleh berlaku dalam negara ini
jika kita tidak mengerti akan hubungkait swasta dengan
Kerajaan.
10. Di samping itu syarikat-syarikat besar telah
membuktikan bahawa mereka sedia memberi sumbangan serta
derma bakti untuk projek-projek sosial dan kebajikan yang
memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling. Kerajaan
sedar bahawa kita semua dan rakyat jelata memberi sumbangan
masing-masing setakat yang terdaya untuk sebarang projek
sosial dan kebajikan yang dijalankan oleh badan-badan
kebajikan dan sukarela. Walaupun begitu, kita sedar bahawa
sumbangan ikhlas kita mungkin tidak dapat menandingi
sumbangan-sumbangan besar oleh syarikat-syarikat besar di
negara kita. Dengan itu bertambahnya bilangan syarikat-
syarikat ini di negara kita, saya yakin kemungkinan untuk
kita mengumpulkan sumbangan-sumbangan derma yang lebih
banyak lagi adalah bertambah.
11. Sehubungan dengan sumbangan syarikat-syarikat besar
ini, mereka juga memberi sumbangan yang bermakna untuk
menaja beberapa siaran secara langsung di televisyen. Di
samping memberi sumbangan kepada kerja-kerja sosial dan
kebajikan, mereka juga memberi sumbangan yang bermakna untuk
perkembangan sukan di negara ini. Sebenarnya hiburan dan
laporan berita oleh televisyen dinikmati hampir percuma oleh
rakyat kerana pembiayaan siaran oleh syarikat-syarikat
melalui iklan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Tan
Sri Lim dan pihak pengurusannya kerana menjemput saya dan
isteri ke majlis makan malam ini. Saya berharap Kumpulan
Genting akan terus maju dan saya yakin kemajuannya bukan
sahaja membawa kebaikan kepada kakitangannya seramai 13,000
orang, bahkan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.
Selamat menyambut Ulangtahun Ke-25 Kumpulan Genting.
|