Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	12/08/90 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN KERETA PROTON 
			SAGA MEGAVALVE 




 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
Yang Berbahagia Tan Sri Jamil Jan,
     Pengerusi EON;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
    Saya mengucapkan terima kasih kepada  Lembaga  Pengarah
dan pihak pengurusan EON yang telah menjemput saya ke majlis
pelancaran  Proton  Saga Megavalve atau Proton Saga Enjin 12
injap ini.   Majlis  pelancaran  ini  menandakan  satu  lagi
langkah ke hadapan bagi kereta nasional kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Proton  Saga  telah  menempa  satu  demi satu kemajuan.
Lima  tahun  telah  berlalu  dan  berbagai-bagai   prasangka
negatif  pun terhapus.  Daripada cakap-cakap kononnya Proton
Saga tidak berupaya naik Bukit Genting, tidak beberapa  hari
dibeli  sudah  dijual  semula sebagai kereta terpakai, putus
dua kalau dilanggar dan berbagai-bagai sindiran  lagi,  kita
sekarang mendengar cakap-cakap positif dan pujian yang tidak
kita duga semasa pelancaran.  Daripada kata-kata bahawa Pro-
ton  bukan  kereta  Malaysia  oleh  kerana komponen tempatan
terlampau sedikit kepada realiti bahawa hampir  dua-per-tiga
adalah  komponen tempatan.  Pasarannya pula telah menjangkau
daripada pasaran tempatan ke beberapa pasaran  luar  negeri.
Selepas  mengeluar  beberapa model bagi 1300 cc dan 1500 cc,
PROTON telah mengeluarkan limosin  atau  kereta  mewah  yang
lebih panjang daripada model biasa, satu pilihan bagi mereka
yang  lebih  berupaya daripada segi kewangan.  Setelah masuk
tahun   keempat   pengeluaran,   PROTON   mula   memperolehi
keuntungan, dan pada tahun 1989 hutangnya sudah dihapuskan.
3.   Hari  ini, kita akan mula menjual Proton Saga Megavalve
atau  Proton  Saga  Megainjap.    Dewasa  ini  kereta   yang
mempunyai  serbainjap atau multi-valve adalah satu trend dan
saya sungguh berbangga Proton Saga juga dilengkapkan  dengan
serbainjap ini.  Saya mengucapkan tahniah kepada PROTON yang
telah  berjaya  mengeluarkan  enjin yang berupaya tinggi ini
dan juga kepada EON yang akan  memasarkannya.    Harga  bagi
kereta  megavalve  ini adalah di dalam jangka keupayaan para
pembeli tempatan.   Kerajaan juga yakin  ianya  yang  paling
murah  di  negara  kita  dan  mungkin  juga  merupakan  yang
termurah sekali di rantau ini.
4.   Selain daripada memasang injin yang lebih  kuat,  model
Proton  Saga ini juga telah diberi rupabentuk yang baru yang
sesuai dengan trend design kereta semasa dan  lebih  menarik
serta  moden.    Dengan  ini  Proton yang baru ini mengalami
perubahan luar dan dalam dan boleh  dikenal  sebagai  kereta
jenis baru.
5.   Proton  Saga  Megavalve  ini adalah salah satu daripada
peningkatan kualiti bagi  kereta  nasional  kita  dan  ianya
mungkin memuaskan hati mereka yang memerlukan prestasi enjin
yang  lebih  tinggi  lagi.    Kerajaan  berharap PROTON akan
sentiasa mengkaji sebarang peningkatan  kualiti  yang  wajar
diperkenalkan  dari masa ke masa.  Kereta nasional ini walau
bagaimanapun  akan   mengalami   pertukaran   model   secara
keseluruhannya,  atau  complete  model change, mungkin dalam
masa empat tahun yang akan datang.
6.   Pencapaian  Proton  Saga  setakat  ini   memang   boleh
dibanggakan.    Bagi  kereta  kelas  1600cc ke bawah, kereta
nasional ini sudahpun  menguasai  sebahagian  besar  pasaran
tempatan semenjak dua-tiga tahun yang lalu dan pada masa ini
ianya  menguasai  kira-kira  74%  pasaran tempatan.   Jualan
tujuh bulan pertama tahun ini adalah kira-kira  40,000  unit
dan   jumlah   jualan  sehingga  akhir  tahun  ini  dijangka
berjumlah 64,000 unit.  Dengan itu Kerajaan sangat berbangga
dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia
terhadap kereta Proton Saga.    Dengan  adanya  usaha  untuk
mempelbagaikan  model  Proton  Saga,  saya yakin ianya dapat
memuaskan citarasa lebih ramai pembelinya.
7.   Mengenai komponen tempatan bagi Proton  Saga  pula,  di
pelancaran  jualan  kereta nasional ini pada bulan September
1985  dahulu,  saya  telah  menyatakan  bahawa  PROTON  akan
bergerak  satu langkah demi satu langkah dengan cermat untuk
meningkatkan komponen tempatan.    Pencapaian  daripada  18%
pada tahun 1985 kepada 65% sekarang ini boleh dikatakan amat
menggalakkan.  Dengan adanya komponen tempatan yang melebihi
60% ini kita telah dapat mengeksport Proton Saga ke Britain.
Negara  tersebut  membenarkan  import  kereta yang mempunyai
sekurang-kurangnya 60% komponen tempatan.  Usaha-usaha untuk
meningkatkan  peratusan  tersebut  akan  diteruskan   supaya
sekurang-kurangnya   80%   komponen   kereta   nasional  ini
dibekalkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan dalam masa  dua
tahun yang akan datang, insya-Allah.
8.   Dengan   adanya  pasaran  kereta  yang  berkembang  dan
penjualan  Proton  Saga  yang  kian  meningkat,   pengusaha-
pengusaha  komponen  mempunyai  kadar  tempahan yang tinggi.
Telahpun wujud sekarang ini satu industri sampingan otomotif
yang  kuat.    Industri  ini  bukan  sahaja  dapat  membekal
komponen-komponen  kepada  PROTON, tetapi juga untuk kereta-
kereta yang dipasang dalam negara kita dan  untuk  dieksport
ke  negara-negara  lain.   Kerajaan yakin industri sampingan
otomotif ini akan terus maju pada masa-masa hadapan.  Dengan
wujudnya industri sampingan ini  maka  tercapailah  matlamat
kedua kerajaan apabila mengadakan industri kereta nasional.
9.   Pendek  kata  kita  berjaya dengan kereta nasional kita
ini.    Tetapi  janganlah  terlalu  seronok  dan   berbangga
sehingga  lalai.    Semua  pihak  -- PROTON, EON, HICOM, dan
agensi-agensi  awam  yang  berkaitan  --   hendaklah   terus
berusaha  dan  berikhtiar  untuk maju dan terus maju.  Dalam
pasaran tempatan dan eksport yang sangat bersaing  dan  com-
petitive,  kita  mesti  sentiasa  mendahului lawan yang juga
sentiasa  cuba  menewaskan  kita.    Kejayaan  setakat   ini
hendaklah  dijadikan  penggalak  untuk  kita  bekerja  kuat,
meningkatkan kecekapan dan berusaha mendahului lawan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Di majlis ini saya  akan  diberi  peluang  menyampaikan
kereta  nasional  kita  kepada  skuad  badminton  negara  ke
Kejohanan Piala Thomas  baru-baru  ini.    Walaupun  kereta-
kereta  ini  dijanjikan sekiranya skuad kita berjaya menjadi
juara, kita tetap menyampaikan kereta  nasional  ini  kepada
pemain-pemain  negara  oleh  kerana mereka telah menunjukkan
kesungguhan dan mutu permainan yang tinggi sehingga  menjadi
naib  juara  di  kejohanan  itu.    Saya mengucapkan tahniah
kepada semua pemain badminton kita.
11.  Sekali lagi saya mengucapkan terima  kasih  kepada  EON
yang  memberi  kesempatan  untuk saya berucap pada hari ini.
Saya berharap EON  akan  terus  berusaha  memasarkan  kereta
nasional ini secara agresif.  Di samping itu, EON harus juga
mengkaji sama ada jumlah cawangan pemasaran, serta cawangan-
cawangan  perkhidmatan  dan alatgantinya mencukupi dan dapat
memberi perkhidmatan  yang  memuaskan.    Kerajaan  berharap
kejayaan-kejayaan  setakat  ini  tidak akan melalaikan pihak
pengurusan dan kakitangan EON.   Apa yang  diharapkan  ialah
kejayaan  selama  ini  akan menjadi perangsang untuk menempa
kejayaan yang lebih cemerlang lagi pada masa hadapan.
12.  Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
Proton Saga Megavalve ini dengan rasminya.
     Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google