Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 30/08/90
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN TAHUN 1990
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
bahagia.
Kita merasa bangga menyambut ulangtahun yang ke-33
kemerdekaan negara kita Malaysia. Dengan perasaan penuh
kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita menyambut
hari kemerdekaan ini dalam keadaan aman dan makmur.
2. Negara kita genap 33 tahun merdeka dan penduduk
Malaysia seramai 17 juta orang terdiri daripada dua-per-tiga
yang dilahirkan selepas negara dibebaskan daripada
penjajahan. Hanya sebahagian penduduk negara ini yang masih
boleh membezakan di antara hidup dijajah dengan hidup
selepas merdeka. Sekiranya perayaan Hari Kebangsaan tidak
diberi penghargaan yang sewajarnya, mungkin kita akan lupa
mengenai pahit maung penjajahan, perjuangan kemerdekaan dan
kebahagiaan hidup sebagai sebuah negara yang merdeka dan
berdaulat. Pada Hari Kebangsaan ini, kita harus merenung
akan sejarah kita dan kita mengenang dan menghargai mereka
yang berjuang untuk membebaskan negara kita daripada
belenggu penjajahan. Kenangan dan penghargaan ini bukanlah
sahaja kepada mereka yang terlibat secara langsung
merundingkan kemerdekaan, tetapi juga kepada mereka seperti
Dato Sagor, Dato Bahaman, Mat Kilau dan lain-lain lagi.
3. Kemerdekaan sahaja tidak bermakna jika selepas merdeka
negara tidak mencapai kemajuan. Sebab itulah setelah
mencapai kemerdekaan Kerajaan Malaysia yang merdeka telah
berusaha membangunkan negara. Usaha ini telah membawa hasil
di luar jangkaan. Daripada sebuah tanah jajahan yang
mundur, Malaysia sekarang muncul sebagai salah satu daripada
negara yang termaju antara negara-negara membangun.
Kemungkinan Malaysia menjadi lebih maju dan rakyat Malaysia
hidup lebih selesa dan lebih bahagia bukan lagi satu perkara
yang mustahil.
4. Namun masih ada yang tidak yakin akan kemampuan kita
mencapai matlamat yang ditujukan, walaupun kita telah
berjaya dengan cemerlang melaksanakan projek-projek
pembangunan negara. Walaupun Malaysia masih lagi sebuah
negara membangun, kemudahan infrastrukturnya hampir
setanding dengan negara-negara maju. Jalanraya, bekalan air
dan elektrik, hospital dan klinik, sekolah, kemudahan
telekomunikasi, sistem pengangkutan dan lain-lain
infrastruktur mendahului kebanyakan negara-negara membangun.
Dasar perindustrian negara berjaya dengan jelasnya. Jika
dahulu pelaburan berjumlah berpuluh juta ringgit setahun,
hari ini dalam setengah tahun pertama 1990 cadangan
pelaburan berjumlah 23 ribu juta ringgit. Kilang-kilang
terdapat di seluruh negara dan dengannya peluang-peluang
pekerjaan bagi rakyat Malaysia. Industri berat dan industri
pelancongan mencatat kejayaan dan pertumbuhan yang tinggi.
Justeru itu, jika kita kata bahawa kita akan pesatkan lagi
pembangunan dan kemajuan Malaysia, kemungkinan kita dapat
berbuat demikian adalah besar.
5. Di samping itu, Kerajaan juga telah dapat mengurangkan
kemiskinan dan rakyat di kawasan-kawasan luar bandar telah
menikmati taraf hidup yang lebih baik. Mereka yang
dahulunya tidak mendapat apa-apa kemudahan, kini telah
menikmati apa yang dahulu hanya dinikmati oleh penduduk-
penduduk bandar, iaitu bekalan air paip, elektrik, klinik,
sekolah, perumahan, jalan-jalan dan lain-lain kemudahan.
6. Taraf pendidikan negara juga telah meningkat. Hari ini
kita mempunyai tujuh buah universiti dan beberapa buah
institusi pelajaran tinggi yang lain. Sekolah-sekolah
menengah terdapat bukan sahaja di bandar-bandar, tetapi juga
di kawasan-kawasan luar bandar. Taraf kesihatan telah dapat
dipertingkatkan dan rakyat menikmati kemudahan-kemudahan
perubatan dan kesihatan yang lebih baik dan moden.
7. Kejayaan negara Malaysia yang merdeka adalah kerana
beberapa faktor. Malaysia berjaya oleh kerana kita
mengamalkan demokrasi, oleh kerana keamanan dan keharmonian
antara kaum, oleh kerana pentadbiran yang cekap dan
berkesan, oleh kerana kesanggupan rakyat menyertai polis dan
tentera untuk mempertahankan negara, oleh kerana kerajinan
dan disiplin para pekerja dan lain-lain lagi. Mungkin
faktor-faktor ini berinteraksi secara spontan dan bebas,
tetapi pada kebiasaannya ini jarang berlaku. Untuk
menentukan faktor-faktor ini membawa hasil yang baik, sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab dan cekap adalah perlu, dan
keperluan ini jelas telah dipenuhi di Malaysia. Dengan
dirancang dan dikordinasikan oleh Kerajaan, insya-Allah
Malaysia akan terus mencapai kejayaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
8. Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini -- Berjaya --
mengiktirafkan kejayaan yang telah kita capai, dan yang
lebih penting lagi, hasrat kita untuk terus berjaya.
Kejayaan tidak datang dengan sendirinya. Ia tidak datang
bergolek. Kejayaan perlu diusahakan dengan tekun dan
disiplin.
9. Justeru itu, kita perlu berusaha dengan bersungguh-
sungguh lagi untuk memberi makna kepada kemerdekaan negara
dan kepada diri kita sendiri. Jika dibandingkan dengan
negara-negara maju, kita masih menghadapi beberapa
kekurangan. Know-how atau pengetahuan kita untuk membuat
sesuatu atau menguruskan sesuatu masih berkurangan.
Pengetahuan kita mengenai teknologi tinggi dan cara-cara
menggunakannya juga masih rendah. Etika kerja kita masih
boleh diperbaiki. Demikian juga daya pengeluaran kita.
10. Dalam hubungan ini, setiap anggota masyarakat daripada
pemimpin-pemimpin Kerajaan, ketua-ketua eksekutif sektor
swasta, kakitangan-kakitangan Kerajaan, para peniaga, para
pekerja serta rakyat keseluruhannya haruslah menjalankan
tugas dan kewajipan masing-masing berpandukan sifat-sifat
amanah dan tanggungjawab yang tinggi. Adalah penting
pemimpin-pemimpin di dalam apa juga organisasi menunjukkan
teladan yang baik kepada kakitangan-kakitangan yang lain.
Begitu juga generasi muda haruslah dipupuk dengan semangat
dan nilai-nilai yang meletakkan sikap amanah dan
bertanggungjawab di tahap yang tertinggi sekali di dalam
kehidupan dan tindakan mereka.
11. Sejarah telah membuktikan banyak negara dan masyarakat
yang maju akhirnya menjadi mundur dan tidak stabil
disebabkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Apabila rasuah
begitu berleluasa, pentadbiran dan masyarakat akan tergugat.
Apabila gejala ini berlaku, setiap usaha untuk membangunkan
negara tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, menyebabkan
pentadbiran menjadi lemah, ekonomi merosot dan rakyat
menderita. Kita seharusnyalah belajar daripada sejarah dan
pengalaman-pengalaman ini supaya kita tidak mengalami nasib
yang sama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, kita
hendaklah berusaha supaya apa juga yang kita lakukan akan
berjaya. Kita mestilah sanggup bekerja dengan lebih
berdisiplin dan lebih kuat lagi untuk meningkatkan
produktiviti negara supaya ekonomi kita bertambah kukuh.
Kita juga mestilah mempunyai keyakinan terhadap kemampuan
kita mengatasi cabaran masa depan.
13. Negara kita Malaysia aman. Kerana negara kita aman,
kita dapat membangun dan menjadi makmur. Justeru itu,
amatlah penting rakyat Malaysia menolak sebarang kegiatan
yang boleh mengancam keamanan dan keharmonian yang terdapat
di negara ini. Rakyat Malaysia hendaklah mengenepikan
perjuangan yang sempit. Sebaliknya, rakyat Malaysia
hendaklah menumpukan masa dan tenaga kepada perjuangan yang
lebih luas, iaitu perjuangan untuk memajukan lagi negara
kita. Hanya apabila negara mencapai kemajuan sahaja,
baharulah kita akan mendapat bahagian yang bermakna bagi
diri kita. Jika keamanan dan pembangunan tidak wujud, tidak
ada apa yang hendak dibahagi-bahagikan. Tidak ada gunanya
kita menang sorak tetapi kalah sabung. Kerajaan menerima
falsafah ini. Untuk kejayaan kita bersama, semua rakyat
Malaysia hendaklah mempunyai falsafah yang sama. Berjaya
Malaysia bererti berbahagialah rakyatnya.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|