Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 01/09/90
Tajuk/Title : HARI PELANCARAN TENAGA NASIONAL
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Seri Samy Vellu,
Menteri Tenaga, Telekom dan Pos;
Yang Berbahagia Datuk Ibak Abu Hussin,
Pengurus Besar LLN;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian
Tenaga, Telekom dan Pos serta pihak pengurusan LLN, kerana
menjemput saya untuk melancarkan badan korporat baru bagi
menggantikan LLN iaitu Tenaga Nasional.
2. Negara kita Malaysia dikenali sebagai salah sebuah
negara yang ulung dalam menjayakan dasar penswastaan.
Kerajaan telahpun mengadakan beberapa pendekatan ekonomi
yang dianggap penting untuk membangunkan negara ini dengan
lebih pesat dan berkesan. Di antara pendekatan tersebut
ialah penswastaan. Penswastaan mempunyai objektif-objektif
yang spesifik seperti peningkatan produktiviti, peningkatan
hasil kewangan dan pencapaian objektif Dasar Ekonomi Baru.
3. Kerajaan telahpun membuat kajian pelan induk
penswastaan secara menyeluruh bagi semua agensi kerajaan
yang layak diswastakan. Dalam pelan induk tersebut, Lembaga
Letrik Negara atau LLN telah dikenalpasti sebagai satu
daripada badan-badan yang paling sesuai untuk diswastakan.
Ini adalah oleh sebab ia berkemungkinan menjadi lebih
berdayamaju, produktif dan mendapat pulangan yang lebih
tinggi melalui pengurusan secara komersial dan tidak sebagai
jabatan kerajaan. Di samping itu penswastaan jabatan
seperti LLN boleh mengurangkan beban kerajaan daripada segi
modal untuk membiayai berbagai-bagai kemudahan awam dan
penyelenggaraannya. Penyenaraian badan-badan yang
diswastakan itu di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur akan
memberi pendapatan kepada kerajaan untuk menyediakan
infrastruktur-infrastruktur lain yang diperlukan oleh negara
tetapi tidak mungkin diswastakan.
4. Walau bagaimanapun, objektif utama dasar penswastaan
yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan produktiviti.
Produktiviti bermakna peningkatan keluaran tanpa peningkatan
kos atau dengan peningkatan kos yang kurang berbanding
dengan peningkatan keluaran. Dengan itu maka keuntungan
akan bertambah tanpa kenaikan tarif atau harga kepada
pengguna. Oleh itu badan korporat bukan sahaja perlu kepada
pengurusan yang cekap tetapi juga pekerja yang berdedikasi
yang sanggup meningkatkan daya pengeluaran masing-masing.
Pendapatan atau gaji semua pihak hanya patut dinaikkan jika
produktiviti meningkat yang seterusnya akan meningkatkan
pendapatan syarikat. Kerajaan tidak lagi akan memberi
subsidi kepada agensi yang telah diswastakan.
5. Proses penswastaan berbeza dengan pemindahan syarikat
daripada satu pihak kepada pihak lain. Biasanya dalam
pemindahan syarikat, jumlah aset dikira bersama untuk
menentukan harga jualan. Perkhidmatan kemudahan awam
seperti LLN, Jabatan Telekom, Lapangan-lapangan Terbang
mempunyai aset yang amat besar yang telah dikumpul berpuluh-
puluh tahun lamanya. Jika nilai semasa aset diambil kira,
maka kos kepada pemilik baru akan menjadi begitu tinggi
sehingga pulangan bagi setiap ringgit modal menjadi terlalu
kecil untuk menarik pelaburan. Oleh itu kerajaan sanggup
menentukan modal syarikat yang baru diswastakan mengikut
anggaran pulangan yang wajar. Ini bermakna ada elemen
subsidi dalam penswastaan, walaupun bagi kerajaan, ia tidak
mengeluarkan apa-apa bayaran. Kerajaan sanggup berbuat
demikian oleh kerana pemilikan aset yang besar tidak memberi
pendapatan yang setimpal sebelum ini. Kerajaan hanya
mendapat keuntungan operasi atau operational profit sahaja
yang merupakan satu peratusan yang amat kecil berbanding
dengan nilai semasa aset.
6. Berkenaan dengan LLN pula, keuntungan operasi yang
tinggi yang dicapai di masa yang lampau adalah kerana kos
minyak pembakar atau fuel oil telah menurun. Semasa kos
minyak pembakar naik beberapa tahun dahulu, LLN telah
menaikkan tarifnya. Tetapi apabila minyak pembakar turun,
tarif tidak diturunkan. Dengan ini LLN mendapat keuntungan
yang baik. Sudah tentu pengurusan yang baik juga membantu
prestasi keuntungan LLN. Tetapi di masa hadapan keuntungan
terpaksa bergantung kepada produktiviti, prestasi pengurusan
dan pekerja Tenaga Nasional sendiri.
7. Namun demikian kerajaan percaya penswastaan adalah
berfaedah bagi LLN dan kakitangannya. Ini adalah berasas
kepada kejayaan kita dengan projek-projek penswastaan lain.
Kerajaan memberi jaminan bahawa pendapatan kakitangan badan
yang diswastakan tidak akan berkurangan daripada pendapatan
mereka sebelum penswastaan. Sebaliknya sebagai insentif
kakitangan badan yang diswastakan berhak membeli 5% atau
tidak lebih daripada 5 juta ringgit nilai asas saham serta
mendapat bonus apabila keuntungan mengizinkan pembayaran bo-
nus. Untuk badan-badan yang mempunyai modal yang tinggi,
had 5 juta unit saham dikecualikan dan sebaliknya 5% saham
diperuntukkan kepada pekerja badan berkenaan.
8. Walaupun kerajaan menjamin bahawa gaji dan elaun
kakitangan badan yang diswastakan tidak akan kurang daripada
gaji dan elaun semasa badan berkenaan menjadi sebahagian
daripada perkhidmatan kerajaan, ini tidak bermakna bahawa
gaji dan elaun harus meningkat terlalu tinggi kerana ingin
mengimbangkan dengan skim-skim gaji swasta. Amalan ini
telah melanda beberapa syarikat kerajaan yang dibebaskan
daripada peraturan-peraturan dan sistem gaji kerajaan.
Akibatnya syarikat-syarikat ini mengalami kerugian.
9. Elaun dan gaji kakitangan badan yang diswastakan
mestilah mengimbangi kos pengurusan dan pelaburan di masa
hadapan. Sesuatu syarikat itu mungkin untung hari ini
tetapi sebahagian daripada keuntungan mestilah dimasuk ke
dalam simpanan atau reserve dan sebahagian lagi diguna untuk
pelaburan masa hadapan. Keuntungan tidak boleh dibahagi
kesemuanya kepada pemegang-pemegang saham atau para pekerja.
Pendek kata kita bukan sahaja ingin badan yang diswastakan
beroperasi sebagai badan komersial daripada segi gaji dan
elaun, tetapi juga bagi segala amalan komersial yang prudent
dan menguntungkan. Amatlah memalukan jika badan yang
diswastakan akhirnya gagal dan memohon untuk dimiliki semula
oleh kerajaan atau meminta perlindungan kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Dengan kenaikan harga minyak akibat krisis Teluk,
prestasi Tenaga Nasional akan tergugat. Margin keuntungan
sekarang mungkin masih boleh menyelamatkan Tenaga Nasional.
Tetapi jika harga minyak meningkat lebih daripada harga
semasa krisis minyak yang lepas, Tenaga Nasional mestilah
mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.
11. Di samping itu kemajuan proses industrialisasi dan
ekonomi negara yang pesat telah merekodkan pertambahan
permintaan tenaga elektrik yang tinggi. Jika trend ini
berterusan, Tenaga Nasional terpaksa membuat pelaburan modal
yang tinggi untuk memenuhi pertambahan permintaan ini.
Adalah dijangkakan Tenaga Nasional akan membuat pelaburan
modal kira-kira $20 billion ringgit sehingga tahun 2000.
Keupayaan Tenaga Nasional untuk mencari sumber kewangan dan
pelaksanaan projek-projek penjanaan dan penghantaran yang
besar adalah merupakan satu cabaran.
12. Kemajuan teknologi kejuruteraan yang pesat juga
merupakan satu cabaran dan Tenaga Nasional perlu
melengkapkan semua tenaga pekerja dengan tahap kemahiran
industri yang kemaskini. Bidang penyelidikan dan
pembangunan hendaklah diperkukuhkan supaya inovasi dan
ciptaan baru dapat dihasilkan untuk meningkatkan
produktiviti dan prestasi korporat. Kesimpulannya cabaran
terbesar Tenaga Nasional ialah keupayaan memberikan
perkhidmatan bekalan tenaga elektrik yang bermutu tinggi,
selamat dan dengan harga yang berpatutan. Inilah harapan
pengguna-pengguna elektrik iaitu dasar penswastaan akan
membolehkan mereka menikmati perkhidmatan yang lebih baik
daripada sekarang.
13. Kita harus bersama-sama sedar bahawa faktor sumber
tenaga manusia adalah faktor terpenting dalam mana-mana
organisasi. Semua kakitangan Tenaga Nasional akan sama-sama
bertanggungjawab menentukan perkembangan seterusnya industri
bekalan tenaga elektrik di negara ini. Masyarakat
antarabangsa terutama pelabur-pelabur utama akan meneliti
dan mengikuti perkembangan dan pencapaian syarikat ini dari
masa ke masa. Oleh itu, sebagai sebuah agensi besar
kerajaan yang telah diswastakan, Kerajaan yakin kakitangan
Tenaga Nasional ini tidak akan menghampakan harapan semua
pihak terutama pengguna dan negara. Para pengguna sudah
tentu mengharapkan bahawa mutu perkhidmatan akan meningkat,
manakala kadar tarif pula berada di peringkat yang
berpatutan. Tenaga Nasional perlu memastikan bahawa tarif
yang dikenakan kepada pengguna-pengguna adalah stabil, tidak
membebankan, dan terus dapat menggerak pembangunan negara.
14. Kerajaan akan terus bertanggungjawab menentukan
perkembangan industri bekalan tenaga elektrik tetap bermutu
dan tarif yang dikenakan kepada pengguna munasabah. Oleh
itu Kerajaan telah menubuhkan Jabatan Bekalan Elektrik yang
berfungsi sebagai agensi kawalselia industri perbekalan
elektrik seluruh negara. Kerajaan ingin menekankan di sini
bahawa hubungan di antara Jabatan Bekalan Elektrik dan
Tenaga Nasional hendaklah dijalin untuk kepentingan semua
pihak iaitu pengguna, syarikat dan negara.
15. Sungguhpun industri bekalan elektrik telah diswastakan,
hubungan kerjasama serantau dan antarabangsa di kalangan
utiliti-utiliti hendaklah diteruskan untuk kepentingan
syarikat dan juga negara.
16. Kejayaan dan pencapaian Tenaga Nasional di masa hadapan
akan menjadi teladan bagi meneruskan lagi dasar penswastaan
Kerajaan. Tenaga Nasional juga mungkin boleh mengembangkan
perkhidmatannya dalam bidang-bidang yang berkaitan, sama
seperti penglibatan utiliti-utiliti tenaga elektrik negara-
negara asing.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17. Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan-kejayaan LLN
yang lalu dan mengucapkan selamat maju jaya untuk masa yang
akan datang. Penswastaan LLN dan munculnya Tenaga Nasional
telah memberi nafas dan tenaga baru untuk membolehkan badan
ini menghadapi cabaran-cabaran di masa depan. Pengurusan
komersial yang lebih peka kepada kehendak pengguna,
teknologi semasa dan mutu perkhidmatan yang tinggi akan
meningkatkan lagi produktiviti dan menyumbang ke arah
pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan
perlantikan Yang Berbahagia Datuk Ibak Abu Hussin sebagai
ketua eksekutif Tenaga Nasional.
19. Sekarang saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran
Tenaga Nasional ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|