Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BAYAN LEPAS, PULAU PINANG
Tarikh/Date : 19/09/90
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN HOTEL EQUATORIAL PULAU PINANG
Yang Berbahagia Encik Lim Kong Way
Pengarah Urusan Hotel Equatorial;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah
dan pihak Pengurusan Hotel Equatorial ini kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan hotel yang indah ini.
Perasmian hotel ini menandakan bertambahnya kemudahan
penginapan di Pulau Pinang yang semestinya menjadi petanda
baik bukan sahaja bagi Pulau Pinang bahkan juga bagi
industri pelancongan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Industri Pelancongan di Malaysia telah menunjukkan
potensi untuk berkembang dengan baiknya selepas kita
melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 1990 selama 8 bulan yang
lalu. Kedatangan para pelancong asing telah meningkat tahun
demi tahun dan angka ini telah meningkat dengan lebih pesat
lagi tahun ini. Dalam 7 bulan pertama tahun ini iaitu
daripada Januari sehingga Julai, angka tersebut telah
meningkat kepada 4.2 juta orang pelancong. Kerajaan yakin
matlamat Tahun Melawat Malaysia, iaitu seramai 4.3 juta
orang pelancong, mungkin juga telah tercapai sekarang ini.
3. Salah satu objektif utama meningkatkan idustri
pelancongan ialah menjadikan industri ini sebagai salah satu
jentera penggerak untuk membangunkan ekonomi negara. Ukuran
dari perspektif ini ialah pendapatan tukaran wang asing yang
telah meningkat dengan tingginya. Pendapatan wang asing
bagi 7 bulan pertama tahun ini ialah 2.4 billion ringgit.
Kerajaan yakin pendapatan tersebut akan melebihi 4 billion
ringgit sehingga hujung tahun ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Kerajaan telah menyediakan berbagai kemudahan dan juga
galakan bagi meningkatkan pelancongan di negara kita.
Begitu juga pihak swasta telah memainkan peranan penting
dalam usaha ini. Walau bagaimanapun masih banyak lagi yang
patut kita tambah dan perbaiki lagi supaya usaha
menggalakkan pelancongan ini tidak terbantut. Salah satu
kekurangan kita ialah kekurangan kemudahan penginapan kadar
sederhana dan murah seperti chalet, motel, rumah tetamu, ho-
tel sederhana untuk memenuhi keperluan para pelancong yang
kurang kemampuan. Penyediaan penginapan yang mewah mungkin
mencukupi buat masa ini. Tetapi untuk menggalakkan
pelancongan, kemudahan penginapan yang berharga sederhana
dan murah hendaklah disediakan dengan secukupnya oleh kerana
sebahagian besar para pelancong luar negeri, serta juga
dalam negeri, memerlukan kemudahan-kemudahan tersebut.
5. Dengan kekurangan kemudahan penginapan sederhana dan
murah tadi, terdapat sekarang ini pihak-pihak pengusaha
penginapan seperti hotel yang menaikkan kadar sewa hotel
mereka. Langkah seperti ini akan hanya membawa keuntungan
jangka pendek; sebaliknya dalam jangka panjang, amalan
seperti ini bukan sahaja merugikan negara bahkan juga
merugikan pengusaha-pengusaha hotel sendiri Keuntungan
operasi hotel sepatutnya bersandarkan kepada kadar
penginapan atau occupancy rate yang tinggi, dan sehubungan
dengan ini, kadar sewa yang rendah akan dapat meningkatkan
kadar penginapan. Kadar penginapan yang tinggi akan juga
melariskan perkhidmatan hotel yang lain seperti makanan dan
minuman atau food and beverages.
6. Di samping pengusaha-pengusaha hotel memikirkan
kepentingan jangka panjang itu, kita harus juga menambah
kemudahan-kemudahan penginapan sederhana dan murah ini.
Dengan terbinanya lebih banyak kemudahan penginapan
sederhana dan murah Kerajaan yakin kadar sewa hotel akan
seimbang dan lebih kompetitif. Para pelancong asing dan
tempatan akan mempunyai banyak pilihan. Kerajaan yakin
apabila kemudahan tersebut mencukupi, pihak-pihak hotel
tidak akan menaikkan kadar sewa sewenang-wenangnya.
7. Kita harus sedar bahawa sebahagian besar para pelancong
asing ke negara kita ini -- iaitu kira-kira 70% -- adalah
daripada negara-negara ASEAN, terutama Singapura. Para
pelancong ASEAN ini biasanya memerlukan penginapan jenis
sederhana dan murah. Kita berharap lebih ramai para
pelancong dari negara-negara jiran ini akan melancong ke
negara kita apabila terdapatnya kemudahan penginapan yang
sederhana dan murah yang mencukupi.
8. Penyediaan penginapan jenis sederhana dan murah juga
akan secara langsung dapat membantu usaha kerajaan untuk
meningkatkan pelancongan tempatan atau domestic tourism.
Ramai rakyat Malaysia yang melancong dalam negara yang hanya
berupaya membayar kadar sewa di penginapan-penginapan
sederhana dan murah. Kerajaan memang menekankan pentingnya
meningkatkan lagi pelancongan tempatan ini untuk
mengurangkan pengaliran wang negara ke luar negeri.
Pelancongan tempatan juga akan menebalkan lagi perasaan
bangga dan cintakan negara di kalangan rakyat kita sendiri,
apatah lagi kemudahan-kemudahan pelancongan yang terdapat di
negara sendiri bertambah baik. Dalam perspektif ini
kerajaan akan juga menggalakkan pelancongan antara
Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Pelancongan sebegini
akan meninggikan semangat integrasi nasional.
9. Dengan itu Kerajaan berharap pengusaha-pengusaha
swasta, terutama mereka yang telah lama menceburi dalam
industri pelancongan, supaya memberi penekanan yang lebih
untuk menambahkan lagi kemudahan-kemudahan penginapan
sederhana dan murah ini. Kerajaan berharap arus kemasukan
para pelancong asing ke negara bukan sahaja meningkat semasa
Tahun Melawat Malaysia ini, bahkan juga pada tahun-tahun
yang akan datang. Kerajaan juga berharap supaya pelancongan
tempatan yang telah meningkat akan terus meningkat dengan
pesatnya. Kerajaan yakin bahawa industri pelancongan akan
dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara ini bersama-
sama dengan industri pembuatan serta pertanian. Dengan
sokongan semua pihak cita-cita kerajaan memajukan industri
pelancongan ini akan berjaya akhirnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Mengenai pelancongan di Pulau Pinang pula, kadar
penginapan hotel atau hotel occupancy rate sangatlah
memuaskan. Dengan adanya hotel-hotel baru seperti Hotel
Equatorial ini, kerajaan yakin Pulau Pinang akan terus dapat
menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Mutiara ini.
11. Sekali lagi saya mengucapkan penghargaan kepada pihak
pengurusan Hotel Equatorial ini kerana memberi peluang
kepada saya berucap dan merasmikan hotel ini. Kerajaan
berharap hotel ini akan dapat memberi perkhidmatan yang
bermutu kepada para pelancong, bukan sahaja bagi kepentingan
hotel ini sendiri tetapi juga bagi meningkatkan imej
pelancongan negara.
12. Dengan harapan tersebut saya dengan sukacitanya
merasmikan pembukaan Hotel Equatorial ini.
|