Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 10/10/90
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MAJALAH KHIDMAT
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato' Dr. Yusof Noor,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Sarji,
Ketua Setiausaha Negara;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan terima kasih kepada MAMPU kerana
menjemput saya melancarkan KHIDMAT, Majalah Perkhidmatan
Awam Malaysia ini.
2. Saya mengalu-alukan penerbitan KHIDMAT, iaitu majalah
rasmi perkhidmatan awam, yang akan menyebarkan maklumat-
maklumat dan memberi penerangan tentang dasar-dasar
berkaitan dengan soal-soal pentadbiran, pengurusan dan
pembangunan negara. Saya berharap majalah ini akan membawa
idea-idea baru yang bermanfaat kepada perkhidmatan awam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. KHIDMAT pada hakikatnya adalah satu alat komunikasi.
Oleh itu haruslah kita semua memastikan perkhidmatan awam
mempunyai kesungguhan dan komitmen yang tinggi untuk
mempertingkatkan mutu komunikasi dalam pentadbiran awam.
Usaha ini adalah satu aspek yang akan menentukan
keberkesanan serta kecekapan pentadbiran awam. Saya percaya
KHIDMAT akan dapat menampung keperluan pelbagai pihak yang
ingin mengetahui tentang urusan kerajaan dengan lebih
mendalam.
4. Kumpulan pertama yang akan mendapat manfaat daripada
penerbitan ini ialah anggota perkhidmatan awam sendiri.
Kerajaan berharap KHIDMAT akan mempertingkatkan pengetahuan
kakitangan awam dalam hal-hal pentadbiran, pengurusan dan
pembangunan negara. Kumpulan kedua yang harus membaca
majalah ini ialah sektor swasta. Dengan memberi penerangan
yang tepat, urusan pihak swasta dengan agensi-agensi awam
dapat dipermudahkan dengan mengetahui seberapa banyak yang
boleh mengenai prosedur-prosedur yang diperlukan oleh
kerajaan dan agensi-agensinya. Secara begini juga kita
dapat menjalin persefahaman antara sektor awam dan swasta
iaitu menjadikan Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incor-
porated sebagai satu realiti.
5. Di samping itu orang awam yang sering berurusan dengan
agensi-agensi kerajaan, harus juga membaca majalah ini,
khususnya dalam memahami operasi dan prosedur jentera
kerajaan. Dengan memenuhi kehendak golongan-golongan
tersebut, saya berharap KHIDMAT akan dapat menyumbang ke
arah peningkatan perhubungan di antara kakitangan kerajaan
dengan golongan-golongan di luar perkhidmatan awam.
6. Kerajaan berbangga dengan usaha untuk melipatgandakan
kerjasama di antara sektor awam dan sektor swasta selaras
dengan konsep Persyarikatan Malaysia. Usaha-usaha seperti
penerbitan majalah ini jelas menunjukkan bahawa konsep
Persyarikatan Malaysia dapat dilaksanakan andainya terdapat
kesungguhan antara kedua-dua pihak. Kepada pihak MAMPU dan
Berita Publishing Berhad, saya mengucapkan tahniah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Secara kasarnya pentadbiran kerajaan telah berjaya
mempertingkatkan prestasinya. Kerajaan telah merakamkan
peningkatan prestasi ini secara terbuka dalam manifesto
parti pemerintah. Setakat ini jentera pentadbiran kerajaan
mempunyai rekod pencapaian yang baik dan telah mendapat
pujian daripada negara-negara Komanwel dan Bank Dunia.
8. Kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan persekutuan
serta pentadbiran kerajaan negeri-negeri telah memudahkan
berbagai-bagai peraturan untuk kesenangan orang ramai dan
pihak swasta, terutama untuk para pelabur membuat urusan
dengan agensi-agensi awam. Perkhidmatan kaunter serenti
telah diperkembangkan dan perkhidmatan tersebut didapati
memberi khidmat yang lebih mesra pada masa ini. Kerajaan
yakin bahawa orang ramai telah menyedari perkembangan-
perkembangan yang membawa manfaat kepada mereka itu.
9. Kerajaan berharap setiap anggota perkhidmatan awam akan
berbangga dengan pencapaian setakat ini. Walau
bagaimanapun, kita haruslah berbangga hanya untuk
menggalakkan kita memberi perkhidmatan yang berkualiti,
serta meningkatkan lagi produktiviti dan kecemerlangan
perkhidmatan kita. Janganlah sekali-sekali kita berbangga
sehingga melalaikan diri kita. Banyak lagi yang harus kita
perbaiki untuk mencapai satu tingkat produktiviti dan
prestasi yang lebih setimpal dengan harapan rakyat dan
negara.
10. Dasar Persyarikatan Malaysia telah membawa hasil yang
boleh dibanggakan juga. Walaupun semangat dasar tersebut
belum benar-benar diamalkan oleh setiap orang anggota
perkhidmatan awam dan juga swasta, mereka yang berkhidmat di
agensi-agensi yang berurusan dengan pihak swasta telah
sedikit sebanyak menunjukkan penerimaan mereka. Makin ramai
yang menyedari bahawa sektor swasta yang maju dan berkembang
adalah berfaedah untuk ekonomi dan kebajikan negara, serta
berfaedah juga untuk perkhidmatan awam sendiri.
11. Dasar penswastaan pula telah dapat dilaksanakan secara
berperingkat dengan jayanya. Penswastaan setakat ini telah
membuktikan bahawa dasar ini dapat terus menjamin kebajikan
kakitangan agensi-agensi berkenaan. Bahkan majoriti
kakitangan telah memilih untuk terus berkhidmat dengan
agensi-agensi yang diswastakan dengan menikmati faedah-
faedah yang bertambah. Dasar ini akan diteruskan lagi
secara agresif dan teliti. Kejayaan penswastaan akan
meningkatkan hasil Kerajaan dan pendapatan Kerajaan ada
kaitan secara langsung dengan faedah bagi kakitangan
Kerajaan yang tidak diswastakan.
12. Kerajaan adalah komited untuk memperbaiki segala
perkhidmatan awam terutama perkhidmatan-perkhidmatan yang
diperlukan oleh rakyat. Proses meningkatkan penggunaan
automasi atau penggunaan alat-alat komputer, mesin-mesin dan
teknologi-teknologi pentadbiran yang moden di agensi-agensi
kerajaan akan dipertingkatkan lagi secara berterusan.
Kerajaan yakin peningkatan automasi ini akan juga
meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Kerenah-kerenah
pentadbiran terutama yang berkaitan dengan orang ramai dan
pihak swasta akan terus dikaji dan diperbaiki. Untuk
mencapai satu tingkat perkhidmatan yang berkualiti, kerajaan
juga akan meneruskan pengendalian latihan-latihan yang
sesuai untuk kakitangan kerajaan. Dengan berjayanya usaha-
usaha kita pada tahun-tahun yang lalu, kerajaan yakin
perkhidmatan awam akan berjaya meningkatkan perkhidmatan
mereka ke peringkat perkhidmatan yang lebih berkualiti pada
masa yang akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur majlis pelancaran ini. Saya percaya majalah
KHIDMAT ini akan berjaya membawa kemajuan kepada
perkhidmatan awam dan kepada negara kita amnya. Dengan
keyakinan itu saya dengan sukacitanya melancarkan majalah
KHIDMAT ini.
Wabillahi taufik, walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|