Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 24/10/90
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SAMBUTAN
ULANGTAHUN KE-25 PENUBUHAN BANK
BUMIPUTRA MALAYSIA BERHAD
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
sejahtera.
Yang Berbahagia Dato' Hanafiah Hussain
Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra Malaysia Berhad
Dif-dif Kehormat
Tuan-tuan dan puan-puan
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato'
Hanafiah Hussain serta pihak pengurusan Bank Bumiputra
kerana menjemput saya ke majlis makan malam sempena Sambutan
Ulangtahun ke-25 Bank Bumiputra Malaysia Berhad. Kerajaan
berharap sambutan ini akan memperingatkan kita semula
mengenai segala harapan dan cita-cita kaum bumiputera
apabila Bank Bumiputra ditubuhkan 25 tahun dahulu. Dengan
itu pihak pengurusan dan kakitangan bank ini hendaklah
memperbaharui azam dan tekad untuk memenuhi harapan besar
rakyat bumiputera yang mengasaskan penubuhan Bank Bumiputra.
Tuan-tuan dan puan-puan
2. Tiga hari yang lalu kita berjaya mengadakan pilihanraya
umum yang ke-lapan. Barisan Nasional telah diberi mandat
sekali lagi oleh rakyat untuk mentadbir Malaysia bagi lima
tahun yang akan datang. Mandat yang diberikan adalah sangat
meyakinkan oleh kerana Barisan Nasional menang lebih
daripada dua-per-tiga jumlah kerusi yang dipertandingkan.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-
tinggi penghargaan kepada para penyokong Barisan Nasional,
terutamanya penduduk luarbandar yang pada umumnya terus
menyokong Barisan Nasional. Nampaknya mereka di luarbandar
lebih arif tentang perlunya ditubuhkan sebuah kerajaan
berbilang kaum yang kukuh untuk mentadbirkan negara majmuk
seperti Malaysia ini. Insya-Allah kerajaan Barisan Nasional
akan terus mentadbirkan negara ini dengan penuh
tanggungjawab dan berwibawa untuk menentukan negara terus
aman, stabil dan makmur.
3. Barisan Nasional memang memerlukan mandat yang kukuh
untuk melaksanakan berbagai-bagai rancangan untuk memesatkan
lagi pembangunan serta kesejahteraan rakyat. Salah satunya
ialah mewujudkan satu pusat kewangan atau financial centre
yang kukuh dan canggih atau sophisticated di negara kita
iaitu di Kuala Lumpur. Kerajaan sedar bahawa proses
mewujudkan pusat sedemikian memerlukan masa yang panjang dan
semua komponen sektor kewangan hendaklah dimajukan setapak
demi setapak. Kita berbangga kerana institusi-institusi
kewangan seperti bank-bank saudagar, bank-bank perdagangan,
syarikat-syarikat kewangan, syarikat-syarikat insurans dan
lain-lain institusi yang berkaitan telah dimajukan ke tahap
di mana kita boleh mewujudkan sebuah pusat kewangan yang
kompetitif dan terkenal.
4. Kita juga memerlukan sebuah pasaran modal atau capital
market yang berdaya maju. Dengan adanya Bursa Saham Kuala
Lumpur serta pasaran sekuriti kerajaan, pasaran modal kita
pun boleh dimajukan lagi untuk meningkatkan Kuala Lumpur
sebagai sebuah pusat kewangan yang kukuh. Dengan wujudnya
sebuah kerajaan yang terus kukuh, politik yang tidak sihat
tidak akan dapat mengganggu proses pembangunan sektor
kewangan seperti yang berlaku kepada banyak negara yang
lemah pemerintahannya.
5. Sebelum ini pun Kuala Lumpur telah disebut oleh
beberapa buah majalah sebagai salah satu pusat kewangan yang
mungkin dapat menarik perhatian usahawan-usahawan yang ingin
memindahkan pusat operasi mereka. Kerajaan akan berusaha
supaya Kuala Lumpur dapat menarik para usahawan dari negara-
negara asing yang sedang menimbangkan untuk memindahkan
pusat operasi mereka ke negara-negara lain.
6. Sehubungan dengan ini kerajaan berharap pihak
pengurusan dan kakitangan Bank Bumiputra akan menyedari
pentingnya mereka memastikan bank ini terus maju dan kukuh.
Asas pemulihan bank ini, setelah ia mengalami peristiwa
penyelewengan BMF, sudahpun menunjukkan kesan yang baik.
Marilah kita bertekad untuk mengharumkan semula nama Bank
Bumiputra dengan keupayaan yang maksima dalam memberi
perkhidmatan kepada para pelanggan khususnya kepada
bumiputera. Sekali lagi saya ingin mengingatkan semua pihak
bahawa Bank Bumiputra ditubuhkan untuk mengatasi masalah
kewangan bumiputera. Pertumbuhannya sehingga pada satu masa
menjadi bank tempatan yang terbesar adalah perkara yang
kedua. Penyimpangan Bank Bumiputra daripada matlamat ini
oleh pengarah, pengurusan dan orang-orang tertentu di masa
dulu adalah punca berlakunya skandal BMF.
Tuan-tuan dan puan-puan
7. Dalam usaha memajukan masyarakat bumiputera, Bank
Bumiputra hendaklah mengkaji pendekatannya supaya bumiputera
lebih faham akan kemudahan yang boleh diberi oleh bank ini.
Seperti mana Permodalan Nasional Berhad atau PNB berjaya
meningkatkan pengetahuan bumiputera dalam bidang pelaburan,
Bank Bumiputra juga harus ada unit-unit yang memberi
penjelasan kepada golongan bumiputera tertentu, seperti
peniaga kecil dan orang yang berpendapatan rendah, supaya
mereka lebih memahami bagaimana menggunakan fasiliti bank
ini. Cawangan-cawangan bank ini hendaklah ditubuhkan dengan
meluasnya di kawasan-kawasan luar bandar. Di samping itu
sistem pengawasan semua pegawai dan kakitangan, dari atas
sehingga ke bawah, hendaklah diperkukuhkan.
8. Etika bank hendaklah diperluaskan bukan sahaja di
kalangan pegawai dan kakitangan tetapi juga di kalangan
pelanggan. Ada bukti yang menunjukkan bahawa sebahagian
daripada masyarakat di Malaysia tidak memandang berat
terhadap menepati janji bila berhutang. Kerana mereka ini
mungkir janji maka seluruh masyarakat telah kehilangan
kredibiliti dan terpaksa menghadapi masalah. Tindakan
mestilah diambil terhadap mereka untuk dijadikan teladan.
Walau bagaimanapun jika tidak ada usaha meningkatkan
pengetahuan dan etika para pelanggan maka kesalahan mestilah
dibahagikan antara yang memberi dan yang menerima hutang.
Tuan-tuan dan puan-puan
9. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
pengurusan Bank Bumiputra kerana menjemput saya ke majlis
ini. Adalah diharapkan Bank ini akan terus maju dan terus
berupaya menjadi institusi kewangan yang berkesan. Saya
mengucapkan selamat menyambut ulangtahun yang ke-25 kepada
pihak pengurusan dan seluruh kakitangan Bank Bumiputra
Malaysia Berhad.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|