Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC) 
Tarikh/Date 	: 	30/10/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA 
			ULANGTAHUN KE-15 SYARIKAT SAPURA 
			HOLDINGS SDN BHD 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsuddin Kadir,
     Pengerusi Eksekutif Sapura;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada pihak pengurusan
Syarikat Sapura kerana menjemput saya ke majlis makan  malam
ini.   Kepada semua pegawai dan kakitangan, saya mengucapkan
selamat menyambut ulangtahun ke-15 syarikat ini dan berharap
semoga sambutan ini akan merapatkan lagi hubungan di  antara
pihak pengurusan dengan kakitangan syarikat ini untuk menuju
ke  arah kemajuan syarikat.  Saya mengucapkan tahniah kerana
syarikat ini adalah satu-satunya  syarikat  bumiputera  yang
maju dalam bidang telekomunikasi moden.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Sewaktu  kerajaan  melancarkan  Dasar Ekonomi Baru pada
tahun 1970 dengan tujuan mengimbangkan pencapaian bumiputera
dengan bukan  bumiputera,  masyarakat  bumiputera  dan  juga
perancang-perancang  ekonomi  mempunyai  pemikiran yang agak
simple, iaitu yang diperlukan hanyalah pemilikan  30%  punca
ekonomi  oleh  bumiputera.   Untuk ini kek ekonomi hendaklah
dibesarkan dengan cepat dan sejurai atau sekeping ditentukan
untuk dimiliki oleh bumiputera.
3.   Soal sama ada pemilikan itu akan kekal atau  sebaliknya
tidak  difikir  sebagai satu masalah atau perkara yang pent-
ing.  Justeru itu berbagai-bagai dasar dan rancangan  dibuat
untuk menentukan bahagian 30% ini diperolehi.
4.   Analisa  yang  diasaskan  kepada  pengalaman yang tidak
meluas  mengenalpasti  masalah-masalah   bumiputera   adalah
kekurangan  modal, kekurangan peluang, kekurangan tempat dan
kekurangan lesen.  Dengan analisa ini maka peruntukan dibuat
oleh  kerajaan  supaya  kekurangan  yang  dikenalpasti   itu
diatasi.       Walaupun   mungkin   kerajaan   tidak   dapat
menyelesaikan semua masalah tersebut bagi  semua  bumiputera
yang memasuki bidang perniagaan dan perusahaan, tetapi ramai
di  kalangan  bumiputera  yang mendapat bantuan dan sokongan
yang  penuh  pun  jarang  sekali  mencapai   kejayaan   yang
diharapkan.    Hanya  beberapa orang sahaja yang benar-benar
berjaya;  sementara  yang  lainnya  berjaya  buat  sementara
sahaja.    Dan  ramai  pula  yang mengalami nasib yang lebih
buruk setelah mendapat bantuan dan sokongan di  bawah  Dasar
Ekonomi Baru.  Ini berlaku kerana dalam keghairahan memasuki
bidang  komersial,  ahli-ahli  perniagaan  bumiputera  tidak
memberi perhatian yang sewajarnya kepada  ethika  perniagaan
dan  pengetahuan  pengurusan,  terutama pengurusan kewangan.
Sebab itu ramai yang dahulu tidak menanggung sebarang hutang
telah berhutang  banyak  sehingga  tidak  berupaya  membayar
balik.    Mereka  ini menuntut supaya diberi projek tambahan
untuk membayar hutang.    Tetapi  pendekatan  ini  kerapkali
hanya meningkatkan tanggungan hutang mereka.
5.   Apabila  kemelesetan  ekonomi  berlaku,  bahkan sebelum
daripada  itu,  ramai  yang  menjadi  bankrap.      Daripada
bumiputera   yang   tidak   berada  tetapi  tidak  mempunyai
tanggungan hutang,  mereka  menjadi  orang  yang  menanggung
hutang  yang  tidak  mungkin  dibayar  dan  ada  yang  terus
bankrap.
6.   Bagi mereka ini Dasar Ekonomi Baru hanya membawa  nasib
yang  lebih  malang.    Mereka  mengutuk  kerajaan,  pegawai
kerajaan, dasar  kerajaan,  bank,  orang  bukan  bumiputera,
orang  asing, kemelesetan, politik, penyelewengan dan seribu
satu sebab yang lain.   Ramai juga  yang  membuat  keputusan
untuk  menukar  kepimpinan  kerajaan dengan orang-orang yang
berjanji akan menghapuskan hutang mereka dan memberi  projek
untuk mereka menjadi kaya.
7.   Bahawa  ada  kemungkinan mereka sendiri bersalah jarang
terlintas di fikiran mereka ini.  Bahkan kebanyakan daripada
bumiputera amnya enggan  memikirkan  bahawa  ada  kelemahan-
kelemahan  pada  diri  mereka  yang menyebabkan mereka gagal
dalam bidang perniagaan dan perusahaan.    Dan  selagi  kaum
bumiputera  tidak  sanggup  mengenali kelemahan diri sendiri
dan membetulkannya, selama itulah  kita  akan  kecewa  dalam
mengejar kejayaan ekonomi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
8.   Kejayaan  sesuatu  kaum  atau  bangsa  tidak bergantung
kepada warna kulit, atau keturunan, atau  agama  atau  iklim
atau  alam  sekitar  atau  kaum lain.   Ia bergantung kepada
kebudayaan dan nilai hidup  kaum  atau  bangsa  itu.    Jika
sistem  nilai  yang  diamalkan oleh sesuatu bangsa itu tidak
sesuai  dengan  kejayaan,  maka  tidak  mungkin  bangsa  itu
berjaya.
9.   Ini tidak bermakna sesuatu bangsa tidak mungkin berjaya
selama-lamanya   kerana   kebudayaannya  tidak  mengizinkan.
Kebudayaan sesuatu bangsa itu tidak sama sepanjang masa.  Ia
berubah dengan sendirinya dan ia juga  boleh  diubah  dengan
sengaja.    Sebenarnya  orang  Melayu di zaman ini mempunyai
budaya yang telah  mengalami  pertukaran  berbanding  dengan
budaya  Melayu  semasa  kita mencapai kemerdekaan, dan orang
Melayu di zaman itu pula tidak sama dengan orang Melayu yang
membenarkan negara mereka  dijajah.    Perubahan  kebudayaan
berlaku sepanjang masa dengan tidak disedari.
10.  Antara  pengaruh  yang boleh mengubah kebudayaan dengan
sengaja ialah  pendidikan.    Jika  hari  ini  orang  Melayu
berjaya menyesuaikan diri dengan dunia moden, sebabnya ialah
kerana  peningkatan  pengetahuan melalui pendidikan.  Tetapi
penekanan yang diutamakan dalam  pendidikan  tidak  termasuk
pembentukan  sistem nilai yang boleh menjayakan mereka dalam
masyarakat komersial.  Dengan lain-lain perkataan, sementara
ilmu tertentu ditambah, kebudayaan terdedah kepada  pengaruh
yang  tidak mungkin dapat dikawal dalam zaman informasi ini.
Tanpa satu usaha yang tersusun  untuk  membentuk  kebudayaan
yang  baik,  segala  pengaruh  yang  buruk  atau  yang tidak
berguna diserap dan menjadi sebahagian  daripada  kebudayaan
orang Melayu dan bumiputera seperti yang berlaku sekarang.
11.  Soal-soal    ini   mestilah   diberi   perhatian   oleh
masyarakat.    Kerajaan  akan  menumpukan  perhatian  kepada
pembentukan  nilai-nilai  yang  diasaskan kepada nilai Islam
yang  memang  berjaya  membentuk  umat  Islam  yang  berjaya
semenjak di zaman permulaan Islam.  Jika umat Islam sekarang
ini mundur, berpecah dan sering meminta-minta walaupun kaya,
sebabnya  ialah nilai Islam lebih disebut daripada diamalkan
dan nilai-nilai ini sendiri telah  ditafsirkan  oleh  orang-
orang tertentu untuk kepentingan diri mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12.  Saya   berharap   apabila   kerajaan   berusaha   untuk
menjayakan  dasar-dasar  ekonomi  yang  boleh  mengimbangkan
kedudukan  Melayu  dan  bumiputera  dengan  kaum-kaum  lain,
rakyat  bumiputera  akan  memberi  kerjasama  dan  sokongan.
Orang-orang  tertentu  tetap akan mengambil kesempatan untuk
memajukan  kepentingan  politik  mereka,  tetapi  sebaliknya
diharapkan  rakyat  akan  tahu sebab-sebabnya mereka membuat
pendirian tertentu.
13.  Sementara itu, kita bolehlah berbangga dengan kejayaan-
kejayaan  bumiputera  yang  telah  dicapai  semenjak   Dasar
Ekonomi  Baru dilancarkan.   Di sini ingin saya mengingatkan
bahawa pengetahuan membuat sesuatu barang  tidak  semestinya
bermakna  kejayaan daripada segi perniagaan.  Sebab itu saya
berbangga dengan kejayaan Sapura, yang  bukan  sahaja  dapat
mencipta  dan  membuat  alat-alat  telekomunikasi yang moden
tetapi juga berjaya meraih keuntungan daripadanya.
14.  Kerjasama Sapura dengan  agensi  penyelidikan  kerajaan
seperti  MIMOS  menolong  bukan  sahaja  Sapura  tetapi juga
bidang   penyelidikan   keseluruhannya.      Kerajaan   akan
memperuntukkan   lebih   banyak   wang   untuk   usaha-usaha
penyelidikan dan pembangunan atau R&D, walaupun  kita  tidak
perlu  selalu  orginal  dalam mencipta sesuatu.   Sebenarnya
meniru teknologi orang lain adalah amalan biasa yang  dibuat
oleh semua negara industri moden.
15.  Demikian   juga   kerjasama  dengan  orang  asing  yang
memiliki teknologi tidak bermakna kita tidak  mampu  membuat
atau  mengurus  sesuatu  itu  sendiri.    Proses  pemindahan
teknologi dan pengurusan moden akan mengambil  masa.    Kita
harus  bersabar  dan tidak terlalu cepat menuduh rakan-rakan
kongsi.   Dengan kesabaran akhirnya  kita  akan  memperolehi
kecekapan yang diperlukan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16.  Sekarang  Sapura  sedang  menjual sahamnya kepada orang
ramai.   Syarikat milik sendiri dengan  syarikat  awam  amat
berbeza.    Saya  percaya  pengurusan  Sapura bersedia untuk
menghadapi  iklim  syarikat  awam  dengan  jayanya.     Saya
mengucapkan selamat maju jaya kepada peralihan Sapura kepada
syarikat awam.
17.  Sekali  lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
pengurusan Sapura Holdings kerana menjemput saya  ke  majlis
ini.    Sempena  sambutan  ulangtahun  ini  saya mengucapkan
tahniah kepada Yang Berbahagia  Tan  Sri  Shamsuddin  kerana
berjaya  menerajui sebuah syarikat yang maju.  Saya berharap
kakitangan  syarikat  ini  akan  bertekad  untuk   memajukan
syarikat  ini,  yang bukan sahaja sebuah syarikat bumiputera
tetapi juga adalah sebuah syarikat telekomunikasi yang besar
di negara kita.
     Wasalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google