Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 09/11/90
Tajuk/Title : MAJLIS PENGANUGERAHAN 'ANUGERAH
KUALITI PERDANA MENTERI 1990'
Yang Berhormat Haji Annuar Musa,
Menteri Belia dan Sukan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia
dan Sukan kerana menjemput saya ke Majlis Penganugerahan
'Anugerah Kualiti Perdana Menteri 1990' ini. Saya juga
mengucapkan tahniah kepada Majlis Tertinggi Gerakan Budaya
Kerja Cemerlang dan Jawatankuasa Pengelola kerana menjayakan
tugas menganjur dan mengenalpasti pemenang-pemenang
'Anugerah Kualiti Perdana Menteri 1990'.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Malaysia memerlukan masyarakat yang mampu menghayati
dan mengamalkan budaya kerja yang cemerlang yang boleh
menghasilkan perkhidmatan dan barang-barang yang berkualiti.
Dalam usaha membangunkan ekonomi negara, kita terpaksa
menghadapi saingan yang hebat dengan negara-negara lain.
Pasaran dalam negeri boleh dilindungi walaupun sekarang
perlindungan yang ketara akan menarik kecaman dan tindak
balas daripada negara-negara lain. Tetapi untuk pasaran
dunia kita tidak dapat mengelakkan diri daripada persaingan.
Walaupun mungkin kita mendapat competitive advantage kerana
kos tenaga dalam negara kita rendah, tetapi jika mutu tidak
baik, kos yang rendah semata-mata tidak akan dapat
menjayakan barang-barang kita dalam pasaran antarabangsa.
Hanya kualiti yang tinggi dengan harga yang selaras yang
boleh menolong kita bersaing dengan jayanya dalam pasaran
dunia.
3. Untuk menentukan kualiti yang tinggi kita harus bekerja
dengan cermat dan bertanggungjawab. Bekerja dengan cermat
mungkin pada mulanya akan melambatkan proses dan menurunkan
daya pengeluaran. Tetapi demikianlah tabii manusia, setelah
sesuatu kerja diulang dan diulang lagi, kerja yang baik akan
dihasilkan dengan tidak memerlukan masa yang panjang yang
mengurangkan daya pengeluaran. Kelok pembelajaran atau
learning curve adalah suatu fenomena yang terkenal, dan kita
tidak harus mengorbankan kualiti kerana ingin mempercepatkan
proses kerja.
4. Di zaman ini, kualiti diterima sebagai matlamat yang
penting. Usaha mencapai kualiti pada mulanya terhad kepada
pemilihan dan penerimaan hasil kerja yang menepati kualiti
yang ditentukan. Yang tidak berkualiti dibuang begitu
sahaja. Kemudian usaha dibuat supaya dari awal lagi segala
kerja menepati piawaian yang boleh menghasilkan barang-
barang yang berkualiti. Dengan itu hasil yang kurang
kualitinya, yang akan dibuang, berkurangan. Selepas itu
konsep kawalan kualiti total atau total quality control dan
kawalan kualiti keseluruhan syarikat atau companywide qual-
ity control diamalkan. Mengikut konsep ini, bukan sahaja
pekerja yang membuat barang-barang yang dikehendaki menjaga
kualiti kerja dan kualiti hasil, tetapi pengurus di semua
peringkat dikehendaki juga menjaga kualiti kerja mereka.
Dengan ini bahan mentah dan komponen yang dibekal oleh pihak
lain, serta kelicinan pengurusan, semuanya menolong
meningkatkan kualiti hasil kerja atau barang-barang. 'Zero
defect' iaitu hasil tanpa sebarang kecacatan bukanlah
sesuatu yang mustahil atau impossible. Namun begitu, walau
bagaimana baik sekalipun hasil kerja, masih juga ada ruang
untuk memperbaiki lagi hasil kerja itu. Justeru itu
mengejar kualiti adalah satu usaha yang berpanjangan, kerana
piawaian atau standard yang dianggap menepati 'zero defect'
boleh ditingkat dan ditingkatkan lagi.
5. Adalah menjadi harapan dan cita-cita kerajaan agar
setiap individu pekerja di sektor awam dan swasta akan lebih
komited kepada tugas dan tanggungjawab mereka untuk memenuhi
matlamat pencapaian kualiti dalam semua urusan dan kerja.
Barang-barang hasil kerja kita mestilah menepati kehendak
pelanggan. 'The customer is always right' mestilah menjadi
slogan kita. Jika kita bekerja untuk memenuhi kehendak
pelanggan, kemungkinan kita berjaya dalam pemasaran adalah
lebih tinggi. Tetapi, jika kita bekerja semata-mata untuk
memenuhi syarat kerja sahaja, lambat laun kita akan kecewa.
Ini adalah oleh kerana ekonomi tidak akan tumbuh bahkan
boleh merosot dan dengan itu penambahan pendapatan amatlah
sukar diperolehi. Negara yang ekonominya tidak maju tidak
pernah mempunyai pekerja yang bergaji tinggi.
6. Di sini eloklah kita menafsirkan semula konsep
pelanggan atau customer. Biasanya kita menganggap pembeli
yang terakhir hasil kerja kita sebagai pelanggan. Dalam
usaha untuk meningkatkan mutu kerja demi kualiti, seseorang
pekerja hendaklah menganggap pekerja lain yang akan menerima
hasil kerjanya sebagai pelanggan. Ini bermakna jika kita
bekerja sebagai pekerja barisan pemasangan atau assembly-
line, maka kerja yang kita buat mestilah berkualiti supaya
pekerja yang akan menerima hasil kerja kita tidak mendapati
apa-apa kecacatan, kerana ia adalah pelanggan kita. Jika
semua pekerja menganggap pekerja yang akan menerima hasil
kerja mereka sebagai pelanggan dan setiap pekerja mesti
menepati kehendak pelanggan, setiap kerja akan berkualiti
dan barang-barang yang dihasilkan akhirnya tetap menepati
kualiti yang ditentukan. Jika kita menerima konsep
pelanggan seperti yang ditafsirkan ini, maka kualiti akan
dijaga sepanjang masa dan sudah tentu kemungkinan hasil
kerja yang cacat dapat dikurangkan sehingga sampai sifar
atau zero.
7. Majlis Tertinggi Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang
dibentuk pada bulan Julai yang lalu hendaklah memikirkan
cara-cara yang dinamik untuk menjayakan gerakan kualiti di
seluruh negara. Kita perlu memberi keutamaan kepada kualiti
dalam apa juga kerja yang kita buat, sama ada khidmat, atau
pengurusan atau pembuatan. We need total, companywide and
nationwide quality control. Harus diingatkan bahawa
sementara khidmat atau hasil kerja kita yang berkualiti akan
dinikmati oleh orang lain, dalam masyarakat yang
mengutamakan kualiti, kita sendiri akan menikmati khidmat
dan hasil kerja yang berkualiti yang dibuat oleh orang lain.
Pendek kata dalam masyarakat yang mengutamakan kualiti, kita
semua akan dapat menikmati kualiti dalam kehidupan kita.
Lebih daripada itu masyarakat yang mengutamakan kualiti
pasti akan berjaya dan dihormati.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Keperluan yang penting sekali dalam pembinaan suatu
budaya kerja yang berkualiti dan cemerlang ialah sikap.
Sikap ini bergantung kepada nilai-nilai hidup yang dipegang
oleh kita. Jika kita menghargai nilai-nilai yang mulia
seperti amanah, bertanggungjawab, kerajinan, dan lain-lain
dan kita mengamalkannya maka kita akan mempunyai sikap yang
sesuai untuk kejayaan.
9. Sikap yang sesuai tidak wujud dengan sendirinya.
Memang ada masyarakat yang mengamalkan budaya kerja yang
baik, tetapi kegagalan kebanyakan masyarakat menunjukkan
bahawa sikap yang tidak baik terdapat di mana-mana jua.
Justeru itu kita tidak boleh mengharapkan sikap yang positif
wujud dengan sendirinya. Usaha hendaklah dibuat untuk
membentuk sikap yang positif melalui amalan nilai-nilai yang
mulia di kalangan seluruh masyarakat Malaysia jika kita
ingin menjayakan cita-cita kita meningkatkan kualiti.
10. Dalam hal ini ibu bapa dan guru boleh memainkan peranan
yang penting dalam membentuk sikap yang boleh membawa
kejayaan. Tetapi jika tradisi dan budaya sesuatu masyarakat
itu sudah tidak begitu sesuai untuk mencapai kejayaan,
adalah sukar bagi ibu bapa dan guru-guru dalam masyarakat
itu membuat pendekatan lain, selain daripada meneruskan
semaian nilai dan sikap yang sedia ada yang mungkin tidak
sesuai bagi mencapai kejayaan. Justeru itu, satu usaha yang
khusus hendaklah dibuat bagi menentukan nilai-nilai yang
patut disemai, dan usaha-usaha yang berpanjangan dan
menyeluruh dijalankan untuk menyemai nilai-nilai tersebut.
Untuk tujuan ini kerajaan telah dan akan mengadakan pusat-
pusat bina semangat di mana kursus-kursus akan diadakan
untuk membentuk peribadi dan budaya yang diharapkan akan
membawa kepada penghargaan terhadap kualiti dan cara-cara
mencapainya. Pihak-pihak lain juga harus memberi tumpuan
kepada soal pembentukan sikap sebagai pelaburan yang akan
membawa hasil jangka panjang. Pelaburan dalam usaha ini
tidak kurang pentingnya daripada pelaburan modal yang lain
yang diperlukan untuk apa juga perniagaan, atau perusahaan
atau perkhidmatan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Kita sebenarnya telah banyak mencapai kejayaan, tetapi
banyak lagi kejayaan yang perlu kita kejar dan terokai.
Negara kita telah mendapat pengiktirafan di dalam banyak
bidang di peringkat serantau dan antarabangsa.
12. Kita perlu ingat dan hayati bahawa gerakan kualiti
tidak ada hadnya. Ianya merupakan suatu usaha yang tidak
ada akhirnya. Gerakan Budaya Kerja Cemerlang bukanlah suatu
kempen yang singkat, tetapi ianya perlulah menjadi budaya
hidup kita yang hakiki. Ianya juga adalah suatu proses yang
melibat maruah diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan
negara untuk mencapai kualiti kehidupan yang cemerlang.
Pengwujudan Anugerah Kualiti Perdana Menteri adalah satu
cara pengiktirafan usaha ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang
'Anugerah Kualiti Perdana Menteri 1990'. Semoga
pengiktirafan ini akan mendorong kita semua berusaha dengan
bersungguh-sungguh mencapai kualiti dan kejayaan yang lebih
tinggi lagi.
Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|