Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM BOLA SEPAK, BANDAR TUN
RAZAK, CHERAS
Tarikh/Date : 11/11/90
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN HARI KELUARGA
KEBANGSAAN 1990
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama
berkumpul dalam majlis perayaan Hari Keluarga Kebangsaan
yang pertama kali disambut di negara kita.
2. Sepertimana kita maklum, masyarakat manusia tidak
statik. Semuanya berubah dengan pengaliran masa. Ada
perubahan yang baik dan ada perubahan yang buruk. Kita
boleh menerima sahaja perubahan yang berlaku dalam
masyarakat kita atau kita boleh menentukan apakah perubahan
yang dibenar dan digalakkan dan apa yang harus dihalang
daripada berlaku. Jika kita tahu bahawa ada perubahan yang
akan membawa akibat tidak baik, amatlah tidak
bertanggungjawab jika kita membiarkan sahaja perubahan itu
berlaku. Masyarakat manusia yang waras tentulah akan cuba
menghalang perkembangan perubahan yang tidak baik daripada
melanda masyarakat berkenaan.
3. Di Malaysia kita ingin maju seperti negara yang maju di
Barat. Kita mahu kemajuan kerana kita ingin taraf hidup
yang lebih baik seperti di negara yang maju. Mereka juga
lebih berupaya dan lebih kuat daripada kita. Tanpa kekuatan
yang datang daripada kemajuan, kita boleh ditindas oleh
mereka yang maju. Jika kita maju kemungkinan kita ditindas
akan berkurangan. Sebab itu kita mengejar kemajuan.
4. Tetapi jika kita teliti masyarakat yang maju di Barat
kita akan mengenali beberapa keburukan. Antaranya ialah
keruntuhan institusi keluarga. Di Barat keluarga kadang-
kadang tidak wujud sama sekali. Terdapat segolongan orang
Barat yang begitu mendewa-dewakan kepentingan dan kebebasan
diri sendiri sehingga tidak mahu berumahtangga. Mereka
hidup seorang diri, mengadakan perhubungan yang sementara
tanpa mendirikan rumahtangga. Dengan ini mereka tidak
berasa terikat dengan apa-apa dan mereka boleh melakukan apa
sahaja secara bebas.
5. Jika mereka berumahtangga sekalipun, ianya amat terhad.
Ada antara mereka yang tidak mahu seorang anak pun. Jika
mereka mempunyai anak, maka apabila sampai umur remaja, ibu
bapa tidak begitu berasa bertanggungjawab terhadap anak dan
anak pula tidak mahu menerima sebarang kawalan oleh ibu
bapa. Kerapkali anak meninggalkan ibu bapa dan hidup
berasingan. Hubungan kekeluargaan diputuskan oleh kedua-dua
pihak.
6. Ada keluarga di Barat yang merupakan keluarga nuklear
atau nuclear family iaitu terhad kepada ibu bapa dan anak
sahaja. Tidak ada datuk dan nenek atau bapa dan anak
saudara atau sepupu yang diiktiraf sebagai ahli keluarga.
Semuanya merupakan orang asing, tidak daripada satu
keluarga. Justeru itu, apa yang terjadi kepada ahli-ahli
keluarga yang jauh bukanlah tanggungjawab sesiapa yang
mempunyai kaitan keluarga.
7. Dalam masyarakat seperti ini apabila ibu bapa sudah tua
dan mungkin tinggal berseorangan sahaja, anak tidak akan
mengambil peduli. Mereka dimasukkan ke rumah orang tua
sehingga ke akhir hayat. Kerapkali kerajaan
dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua.
8. Kerajaan mungkin boleh mengadakan rumah orang-orang
tua. Tetapi kerajaan tidak boleh memberi kasih sayang.
Setelah memelihara anak sendiri dengan kasih sayang, amatlah
sedih apabila ibu bapa ditinggalkan sebagai beban yang tidak
berguna oleh anak. Tetapi inilah yang kerapkali berlaku di
negara-negara maju apabila institusi keluarga sudah runtuh.
9. Bagi kumpulan remaja pula, tidak adanya kawalan oleh
ibu bapa menjadikan mereka liar, tidak sopan dan mudah
terlibat dengan arak, dadah dan jenayah. Sehinggakan
adakalanya pernah terjadi anak muda di negara-negara maju
yang membunuh untuk 'thrill' iaitu kerana seronok.
10. Jelaslah bahawa apabila institusi keluarga sudah
runtuh, kemajuan sudah tidak memberi makna yang sepatutnya.
Apa gunanya kemajuan material jika kehidupan harian begitu
tidak selamat dan masyarakat muram dan diserang dengan sakit
jiwa? Walaupun kelihatan orang-orang di negara maju ini
berseronokan, tetapi keseronokan mereka tidak berpunca
daripada ketenangan jiwa. Keseronokan mereka dicapai
melalui cara-cara 'escapism' dengan melarikan diri daripada
tekanan jiwa yang mereka alami. Dengan itu masalah sosial
dalam masyarakat mereka menjadi begitu besar. Penggunaan
dadah secara meluas di negara-negara Barat disebabkan oleh
keruntuhan institusi keluarga.
11. Namun masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang maju
dan mewah tidak bermakna bahawa masyarakat yang tidak maju
dan miskin tidak akan diserang oleh masalah yang sama.
Sebenarnya masyarakat yang ketinggalan daripada segi tamadun
moden juga mengalami masalah yang berat, daripada segi
ketidaktenangan fikiran dan daripada segi kemiskinan yang
ketara.
12. Usaha ke arah kemajuan material dan pemodenan hendaklah
diteruskan. Hanya yang dikehendaki ialah mengelak daripada
terperangkap dengan aliran dan gejala keruntuhan institusi-
institusi kemasyarakatan seperti kekeluargaan. Usaha
hendaklah dibuat secara sedar dan positif supaya sistem
keluarga luas atau extended family tidak diganti dengan
keluarga nuklear, dan perhubungan kekeluargaan diteruskan.
13. Inilah yang menyebabkan Kerajaan Malaysia memberi
perhatian yang serius kepada kekeluargaan sebagai satu
institusi masyarakat yang perlu dikekal dan diperkukuhkan.
Kita ingin menjadikan keluarga bahagia sebagai sesuatu yang
dikejar oleh semua pihak, sama ada miskin atau kaya.
14. Tujuan kita melancarkan Hari Keluarga Kebangsaan ialah
supaya kita dapat memperingati diri kita akan pentingnya
keluarga sebagai satu unit dan institusi dalam masyarakat
kita di Malaysia. Kita sudah pun mengesan bagaimana
institusi kekeluargaan sudah pun mula merosot dalam negara
kita yang pesat membangun.
15. Pemindahan ke bandar dan dari negeri asal ke negeri
lain yang terpaksa dilakukan untuk kepentingan hidup sudah
pun, sedikit sebanyak, memutuskan hubungan keluarga. Tetapi
generasi pertama yang melakukan pemisahan ini masih ingat
pertalian dengan kampung dan keluarga mereka. Justeru itu
sekurang-kurangnya setahun sekali mereka bersusah-payah
balik ke kampung untuk memperbaharui hubungan kekeluargaan.
16. Kita sudah hampir kepada giliran generasi yang kedua,
generasi yang dilahir dan dibesarkan dalam bandar. Dalam
bandar kita tidak tinggal sebelah-menyebelah keluarga
sendiri. Jiran kita terdiri daripada orang asing dan
perhubungan kita dengan mereka tidak rapat seperti hubungan
dengan keluarga. Pertalian antara generasi kedua dan
saudara mara di kampung sudahpun renggang. Mungkin
keinginan balik ke kampung pada hari-hari kebesaran akan
menjadi pudar. Sebaliknya generasi ini tidak pula
mendirikan keluarga bandar yang mempunyai hubungan yang
erat. Sesuatu kelamin biasanya tinggal bersendirian.
17. Institusi keluarga sekarang sudah mula menunjukkan
tanda-tanda kemerosotan. Generasi ketiga mungkin akan
terpisah langsung dengan kampung halaman dan keluarga di
tempat mereka berasal. Di samping itu juga hubungan
kekeluargaan di bandar semakin merosot.
18. Sikap juga berubah di bandar. Perasaan tanggungjawab
kepada keluarga berkurangan. Keinginan untuk bebas daripada
kawalan keluarga menyebabkan adanya remaja yang sudah
bekerja, berpindah daripada rumah ibu bapa walaupun belum
berkahwin. Sudah tentulah selepas berkahwin, pasangan yang
baru ingin mengadakan rumah sendiri. Pada masa dahulu di
kampung, pasangan baru tinggal di rumah mertua dan ibu bapa.
Dengan aliran baru ini, semakin kuranglah pertalian
kekeluargaan.
19. Aliran yang sedang berlaku ini, lambat-laun akan
menggugat lagi institusi kekeluargaan jika satu usaha tidak
dibuat untuk mengekalkan institusi keluarga. Di Malaysia
kita tidak mahu menjadi negara kebajikan ala Barat, di mana
orang tua menjadi tanggungjawab kerajaan, dan mereka
ditempatkan di rumah orang tua sehingga akhir hayat. Jika
kita tidak mengukuhkan semula institusi keluarga dan kasih
sayang kekeluargaan, maka kita akan menyaksikan peristiwa-
peristiwa yang sedih di mana orang tua yang meninggal dunia
akan dikebumikan tanpa dihadiri oleh seorangpun daripada
keluarganya.
20. Tumpuan kita terhadap institusi keluarga tidak terhad
kepada talian kekeluargaan individu melalui proses beranak-
cucu sahaja. Di Malaysia kita hidup dalam masyarakat yang
lebih besar, iaitu masyarakat berbilang kaum yang juga
merupakan keluarga kita. Walaupun talian kekeluargaan
masyarakat tidak setebal talian keluarga biasa, ia tidak
kurang pentingnya dalam menentukan keamanan dan kestabilan
di negara kita.
21. Justeru itu amatlah penting kita menjalinkan hubungan
yang rapat dan baik dalam keluarga masyarakat Malaysia.
Kita tidak akan rugi jika kita berbuat demikian. Sebenarnya
di bandar-bandar di mana kita tinggal, jiran kita tidak lagi
terdiri daripada keluarga kita bahkan tidakpun daripada kaum
yang sama dan seagama dengan kita. Namun dalam keadaan
kecemasan, tolong-menolong antara jiran masih lagi penting.
Jika jiran sesama jiran tidak menjalinkan perhubungan yang
baik, maka dalam masa-masa tertentu kita tidak akan mendapat
apa-apa bantuan atau pertolongan.
22. Di Malaysia sesetengah golongan amat benci dengan
perkataan asimilasi. Walaupun kita tidak suka kepada
asimilasi, tetapi kita tidak harus menolak perhubungan
kekeluargaan walaupun antara individu yang berlainan kaum.
Perkahwinan antara kaum hendaklah menjadi sesuatu yang patut
diterima, asalkan ianya tidak melanggar adat resam dan
sensitiviti agama tertentu. Apabila sudah ada talian
perkahwinan keluarga, mereka tidak harus memutuskan hubungan
dengan keluarga asal mereka.
23. Saya ingin menyatakan bahawa ini bukanlah dasar
kerajaan. Ia hanyalah pandangan saya sahaja kerana ada ahli
keluarga saya yang bukan daripada kaum saya. Tetapi saya
menerimanya sebagai ahli keluarga yang luas.
24. Hari Keluarga Kebangsaan mempunyai matlamat yang besar
dan bermakna bagi negara kita Malaysia. Keluarga dan
hubungan kekeluargaan hendaklah dijadikan asas masyarakat
Malaysia terutamanya semasa negara kita mengalami
pembangunan dan kemajuan. Kita percaya bahawa institusi
kekeluargaan tradisional hendaklah dikekalkan. Dengan
berbuat demikian, kita akan dapat mengelakkan gejala yang
menimpa banyak masyarakat yang sudah maju di Barat dan di
tempat-tempat lain.
25. Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara kerana
menjemput saya ke majlis pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan
pada hari ini. Saya berharap perayaan Hari Keluarga
Kebangsaan ini akan disambut baik oleh rakyat dan dengan itu
dapat mengeratkan lagi silatulrahim dan hubungan baik di
antara keluarga kita keseluruhannya. Keharmonian dan
kesejahteraan keluarga akan membawa kita ke arah satu
masyarakat dan negara yang aman, stabil dan makmur.
26. Dengan ini, saya dengan rasminya mengisytiharkan
pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan 1990.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|