Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 02/12/90
Tajuk/Title : SEMASA MENGGULUNG PERBAHASAN DI
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap;
Yang Berbahagia Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden yang
baru dan yang lama;
Ahli-ahli Majlis Tertinggi;
Saudara para perwakilan sekalian.
Saya amat bersyukur kerana kita telah mengadakan
persidangan selama 3 hari ini, dalam keadaan yang tenang,
dalam keadaan yang selamat, dalam keadaan yang cukup bersih.
Kita juga telah dapat menjalankan pemilihan Ahli-ahli Majlis
Tertinggi dan Naib-Naib Presiden tanpa sebarang ketegangan
walaupun memang ada pertandingan tetapi pertandingan yang
sihat.
2. Memang benar saya telah membuat teguran berkenaan
dengan kempen-kempen yang telah dilakukan, tetapi teguran
itu ialah supaya kita dapat mengurangkan sedikit kempen-
kempen. Pada umumnya kempen yang dijalankan tidaklah
seperti yang kita telah lihat pada tahun 1987, yang mana
kempen menjadi begitu buruk sehingga akhirnya parti kita
telah berpecah dan UMNO diharamkan. Dan usaha yang amat
berat terpaksa dilakukan untuk menghidupkan semula UMNO.
Alhamdulillah pada hari ini kita lihat bagaimana tegasnya
UMNO. Bagaimana kita dapat uruskan kerja-kerja kita dengan
begitu sempurna dan kita telah melalui ujian yang terbesar
sekali, iaitu kita telah menghadapi pilihanraya. Pada
pilihanraya lalu bukan sahaja ahli-ahli UMNO yang menentukan
sama ada kita berjaya ataupun tidak, tetapi orang ramai,
orang-orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO. Tentulah
kerana sokongan mereka juga barulah kita dapat kemenangan.
3. Dari itu kita berbangga dengan kejayaan ini, kejayaan
hasil daripada minat dan semangat setiap seorang ahli UMNO
dan wakil-wakil mereka ke Persidangan UMNO ini. Persidangan
ini telah membincangkan bermacam-macam masalah yang sensitif
tetapi ianya tidak terkeluar daripada batasan. Sebaliknya
cakap-cakap, perkataan-perkataan yang digunakan ialah yang
mengikut adat resam orang-orang Melayu.
4. Adanya perhimpunan yang seperti ini kadang-kadang
dianggap sebagai satu perkara biasa sahaja, kerana di
Malaysia apabila kita mengadakan perhimpunan memanglah
perhimpunan itu berjalan dengan tertib dan teratur, tidak
ada rusuhan, tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini
berlaku. Tetapi walaupun demikian kita harus juga
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang
terlibat dengan menguruskan supaya perjumpaan ini berada di
dalam keadaan yang tertib dan teratur dan mereka terdiri
daripada pegawai-pegawai dan kakitangan ibu pejabat yang
diketuai oleh Mat Bulat. Dia tanya saya tadi sama ada dia
dah tidak dapat gelaran Mat Bulat. Saya kata masih nampak
dia bulat lagi. Dia tidak tahu bulat itu ada penyakit.
Saya tidak bulat pun dapat penyakit juga. Ini lagi satu,
Menteri Kewangan marah dengan saya kerana bagi nama Keling
pada dia. Dia kata nama Hindu. Dia kata macam mana panggil
dia Raja Money. Bukan Raja Money tetapi nama Raja Mahani.
5. Bagi pihak Majlis Tertinggi dan para perwakilan
sekalian, saya mengucapkan terima kasih kepada para pegawai
dan kakitangan dan juga kepada pasukan keselamatan PWTC dan
juga kepada polis yang telah menentukan segala urusan yang
berjalan dengan begitu baik semasa Persidangan kita ini.
Memang kadang-kadang semasa pilihanraya mungkin didapati
polis tidak dapat mengawal segala-galanya dan saya sebagai
Menteri yang berkenaan memohon maaf kerana kita tidak
mempunyai bilangan polis yang cukup untuk kecemasan-
kecemasan yang tidak disangka. Kalaulah Encik Abdul Rahman
Bakar boleh bagi tahu dia hendak kena kurung kita hantarlah.
Tetapi dia tidak tahu, kita pun tidak tahu, terlewat sampai
pukul 6.00 tak boleh keluar, tak boleh mengundi, dia kalah.
Bukanlah sengaja, pihak polis tidak sengaja, mereka berusaha
dan kita pula memberi larangan kepada mereka supaya
janganlah berlaku kekasaran kepada orang ramai kerana kita
tidak ingin peristiwa Memali berlaku sekali lagi. Sebab itu
biasa terjadi orang yang ganas daripada parti PAS ini
sehingga sanggup menangkap polis. Bukan polis menangkap
mereka, mereka menangkap polis. Kita pula dengan senangnya
boleh melepaskan polis yang ditawan oleh parti PAS dengan
menggunakan senjata dan sebagainya, tetapi kita tidak ingin
berbuat demikian. Kita ingin supaya mereka sedar kesalahan
mereka dan tidak melakukannya lagi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Saya telah mengikuti perbincangan yang berlaku dan
perkara-perkara yang telah disuarakan dan tidak banyak yang
boleh saya sentuh di sini. Kita kadang-kadang terlupa
berkenaan dengan sesuatu yang kita ingin melarang orang
melakukannya tetapi apabila kita buat, maka itu kita
benarkan kepada diri kita. Kalau kita ingin memerintah
secara yang adil kita harus tidak buat apa yang kita larang
orang lain membuatnya.
7. Di sini saya ingin menyentoh ucapan daripada Bang Li
saya daripada Perlis. Dia hendak suruh saya pergi ke
masjid, ada kuliah subuh dan kuliah isya'. Kononnya ini
akan dapat memberi penjelasan sedikit sebanyak berkenaan
dengan agama kerana dia anggap saya ini sebagai seorang yang
arif dalam bidang ini semata-mata kerana ucapan saya. Kita
tidak hendak masjid digunakan untuk apa-apa tujuan politik.
Kita tidak hendak orang lain menggunakan masjid untuk tujuan
politik dan kita juga tidak akan menggunakan masjid untuk
tujuan politik.
8. Ada banyak forum lain lagi yang boleh kita guna untuk
memberi penerangan berkenaan dengan agama kita supaya rakyat
umat Islam di negara kita ini tidak terkeliru dengan hujah-
hujah yang dibuat oleh parti PAS demi kepentingan politik
parti mereka. Saya sedar tentang penyelewengan yang
dilakukan oleh parti PAS di mana mereka menggunakan agama
untuk kepentingan politik mereka sehingga ramai daripada
rakyat Malaysia sudah terkeliru dan adanya yang memikir
bahawa kalau mereka naik kenderaan PAS walau macam mana
buruk sekali pun drebarnya, mereka akan sampai ke syurga.
Ini adalah pendapat mereka. Ini adalah hasil daripada
kekeliruan kerana tafsiran yang bukan-bukan dibuat oleh
parti PAS. Juga saya mengambil maklum tentang rasa curiga
ramai daripada ahli-ahli terhadap nama Islam yang dilekatkan
kepada parti ini. Kita dapati oleh kerana dianya
menggunakan nama Islam kepada partinya maka ramai yang
keliru bahawa PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS. Oleh
itu pihak kerajaan akan menimbang dan memikir secara
mendalam tentang penyalah-gunaan perkataan Islam, muslim dan
sebagainya oleh parti politik yang membawa kepada kekeliruan
ramai daripada umat Islam di negara kita ini. Kita bukan
ingin membuat ini kerana ingin mengalahkan mereka dalam
arena politik. Tetapi kerana kita tidak ingin orang Islam
keliru tentang agama mereka.
9. Dalam arena politik kita boleh menang dengan mereka
walau apa cara sekalipun yang mereka gunakan. Kali ini
mereka menang bukan semata-mata kerana mereka dapat menipu
rakyat di Kelantan dan setengah tempat di Terengganu kerana
kononnya mereka Islam, tetapi ada juga perkara-perkara lain
yang menyebabkan mereka mencapai kemenangan. Mereka biasa
kalah dahulu dan mereka mungkin kalah lagi di masa hadapan.
10. Ada seorang jurucakap daripada sebuah negeri yang saya
terlupa hendak catit di sini yang menyentuh tentang dasar
kita terhadap Kuwait. Ada yang menyatakan bahawa mereka
berasa tidak senang dengan keputusan kita, menyokong usul di
dalam Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu. Kita telah
memikir dengan mendalam tentang masalah ini. Kita sedar
bahawa kita tidak suka tentang penglibatan Amerika Syarikat
dengan krisis Teluk. Kita tidak suka kepada Amerika
Syarikat yang mempunyai banyak pengaruh Yahudi di dalamnya.
Kita juga sedar bahawa mungkin Israel mengambil kesempatan
daripada serangan dan penaklukan Kuwait oleh Iraq. Tetapi
dalam pada itu kita harus ingat bahawa orang-orang Kuwait
telahpun ditawan oleh Iraq, oleh Saddam Hussein dan ramai
daripada mereka ini menderita, menunggu pertolongan daripada
pihak lain. Dalam masa kita cemas, kita tidak boleh memilih
siapa yang patut menolong kita.
11. Kalaulah orang-orang Islam sanggup menghantar askar-
askar mereka yang cukup dan kuat untuk mengganti askar-askar
Amerika Syarikat, maka kita tidak perlu menyokong apa-apa
usul di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tetapi
sepertimana kita tahu, kita sendiri tidak sanggup kerana
kita tidak mempunyai tentera yang cukup kuat. Demikian juga
dengan negara-negara Islam yang lain mereka tidak sanggup.
Kalaupun sanggup pun bala tentera mereka tidaklah cukup kuat
untuk melawan bala tentera Iraq. Oleh kerana itu apabila
Arab Saudi berasa cemas, mereka terpaksalah meminta
pertolongan daripada siapa sahaja yang sanggup menolong
mereka. Saya telah jelaskan ini dengan memberi contoh orang
yang hampir tenggelam dalam sungai dan kalau ada orang yang
menghulur tangan untuk menyelamatkannya dia tidak akan
bertanya tangan itu tangan Islam ataupun tangan Kristian.
Yang penting baginya ialah menyelamatkan dirinya dahulu.
12. Kita dahulu juga pernah diserang oleh jiran kita yang
sebangsa dan seagama dengan kita. Pada ketika itu juga kita
meminta tolong daripada orang lain dan kita tidak mengambil
kira apa anutan agama mereka. Yang kita tahu ialah kita
ingin menyelamatkan diri kita. Inilah keadaan yang dihadapi
oleh rakyat Kuwait sekarang ini. Bangsa mereka hendak
dihapuskan sama sekali dan ada berita-berita yang boleh
dipercayai bahawa ramai daripada rakyat Kuwait telahpun
dibunuh ataupun diseksa. Kita tidak boleh menafikan
kebenaran cerita ini. Kalau kita hendak dan kalau kita
dibenar, kita boleh menghantar pemerhati ke Kuwait. Tetapi
kita tidak mungkin menghantar pemerhati ke Kuwait. Kita
telah bersetuju dengan sekatan segala bekalan ke Iraq,
tetapi kalau bekalan-bekalan kepada Iraq tersekat, sudah
tentu yang akan menderita ialah rakyat Kuwait sendiri.
Kalau ada makanan siapakah yang mendapat makanan itu dahulu.
Percubaan untuk menghantar pemerhati ke Kuwait telah ditolak
oleh Iraq. Dengan ini kita percaya kalaulah kita menunggu
sanction, maka dianya akan berlarutan bukan sahaja berbulan-
bulan tetapi bertahun-tahun. Kita telah mengenakan sanction
kepada Afrika Selatan selama 10 tahun dengan tidak ada kesan
di segi menyebabkan mereka begitu lapar sehingga tidak ada
makanan di negara mereka. Justeru itu jikalau kita
menyelesaikan masalah ini melalui sanction maka terpaksalah
kita menunggu bertahun-tahun.
13. Kita sedar tentang nasib orang-orang Palestin. Kita
memberi perhatian dan mendesak supaya orang Palestin juga
diberi pertimbangan yang sama dengan nasib orang-orang
Kuwait. Tetapi apakah kita boleh menunggu sehingga
selesainya masalah Palestin sebelum menumpu kepada nasib
orang-orang Kuwait. Sebab itu kita meminta kepada Saddam
Hussein supaya dia mengundurkan tenteranya daripada Kuwait.
Memang Malaysia mempunyai pendirian tidak bersetuju dengan
mana-mana jiran yang kuat memasuki jiran yang lemah dan
menguasainya. Kita menentang Vietnam kerana melanggar
Kambodia. Kita menentang Russia kerana masuk ke Afghanistan
dan kita mengkritik Amerika kerana tindakannya terhadap
Grenada dan Panama. Kita tidak bersetuju dengan sebarang
ugutan daripada kuasa yang besar, tetapi dalam kes ini kita
tidak boleh mengecualikan. Kita masih terus menentang
tindakan yang telah diambil oleh Iraq menawan Kuwait.
Kalaulah tentera Iraq itu begitu kuat dan boleh dan berani
menghadapi bala tentera Amerika Syarikat, kenapakah tidak
Iraq menyerang Israel dan menghadapi Israel dan Amerika
Syarikat.
14. Dengan menyerang Kuwait maka Iraq telah membenarkan
pintu belakangnya diancam oleh Israel yang sekarang ini
bebas daripada sebarang tuduhan dan lebih ganas lagi
daripada dahulu, kerana sekarang ini kita tidak tumpu lagi
perhatian kepada Palestin, orang-orang Palestin dan Israel.
Sebaliknya kita terpaksa tumpukan perhatian kepada apa yang
berlaku di Teluk dan apa yang berlaku kepada rakyat Kuwait
yang menderita kerana serangan dan penaklukan oleh Iraq.
Sebab itu kita ingin supaya masalah Krisis Teluk ini
diselesaikan dengan seberapa cepat yang boleh. Kita memberi
masa 45 hari untuk Iraq undur daripada Kuwait, masa yang
jauh lebih cukup kerana untuk menawan Kuwait, Iraq mengambil
masa 24 jam. Dalam 24 jam Kuwait telah ditawan kerana
Kuwait adalah sebuah negara yang kecil. Kita tidak nampak
masalah Iraq tarik tenteranya daripada Kuwait dalam
jangkamasa 45 hari, kalau dianya ingin mengundurkan diri
daripada Kuwait.
15. Kita menyokong usul ini kerana dianya memberi peluang
kepada Iraq untuk menarik balik tenteranya dan kita akan
cuba menyelesaikan sebarang masalah antara Iraq dengan
Kuwait melalui rundingan. Kalau tidak hendak Bangsa-bangsa
Bersatu menyelesaikannya, maka negara-negara Islam termasuk
Malaysia sanggup berunding menyelesaikan masalah antara
Kuwait dengan Iraq. Kita telah sampaikan mesej ini kepada
Iraq tetapi kita tidak dapat apa-apa response sama sekali.
Sebaliknya Iraq telah menghantar lebih banyak tenteranya ke
Kuwait dan mengancam akan menyerang Arab Saudi. Sebab
itulah kita terpaksa menyokong usul ini bukan kerana kita
sayang kepada Amerika ataupun menyebelahi Amerika. Kita
tidak ada hak untuk menganiayakan orang-orang Kuwait,
semata-mata kerana kita benci kepada Amerika dan Israel.
Sebab itu saya harap kita faham kenapa kita mengambil
keputusan untuk menyokong usul di Majlis Keselamatan Bangsa-
bangsa Bersatu baru-baru ini.
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi,
Saudara-saudari sekalian,
16. Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan usul Raja
dan Perlembagaan. Pepatah Melayu berkata "kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga". Kerana nila setitik maka
Perhimpunan Agung UMNO kali ini terpaksa membahas usul Raja
dan Perlembagaan.
17. Dalam sejarah UMNO selepas merdeka, soal-soal yang
berkaitan dengan Raja-raja tidak pernah dibahas. Sebabnya
ialah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen
tidak pernah dicabul oleh sesiapa. Selama 33 tahun kita
merdeka, sistem ini telah berjalan dengan baik. Walaupun
ada krisis perlembagaan pada tahun 1983, masih juga UMNO
tidak membahas perkara-perkara yang menyentuh Raja-Raja
walaupun pada masa itu perasaan tidak senang didapati di
dalam mahupun di luar parti UMNO.
18. Oleh kerana kita membahas tajuk Raja dan Perlembagaan
dalam konteks sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi
Berparlimen, amatlah penting kita faham dengan secukupnya
makna Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Untuk
ini kita harus rujuk kepada sejarah negara kita untuk
mendapat pedoman.
19. Negeri-negeri Melayu sebelum dijajah mengamalkan sistem
feudal di mana hanya keluarga Di-Raja dan pembesar-pembesar
negeri sahaja yang terlibat dengan politik. Rakyat tidak
mempunyai apa-apa peranan. Keadaan politik di negeri-negeri
Melayu di zaman itu jarang stabil. Usaha menjatuhkan Raja-
Raja Negeri Melayu berlaku sepanjang masa. Justeru itu
negeri-negeri Melayu lemah dan rusuhan kerap berlaku,
termasuk rusuhan oleh orang asing yang datang untuk mengaut
kekayaan di negara ini.
20. Oleh sebab itu penjajah mudah campurtangan,
mempengaruhi dan mengambilalih pemerintahan. Memang benar
British dijemput dan diterima melalui perjanjian tetapi
apabila British masuk, mereka begitu berkuasa sehingga boleh
menentukan siapa yang naik takhta dan siapa yang tidak.
Raja terpaksa duduk di bawah telunjuk British terutama di
negeri-negeri yang disekutukan. Namun British mengiktiraf
bahawa negeri-negeri di Semenanjung, adalah negeri-negeri
Melayu yang Beraja, dan wilayah seperti Pulau Pinang,
Melaka, Dinding dan Pangkor adalah sebahagian daripada
negeri-negeri Melayu yang berkenaan.
21. Inilah kedudukan negeri-negeri Melayu dan Raja-Raja
Melayu semasa Jepun menakluk Semenanjung Tanah Melayu. Di
masa pemerintahan Jepun kedudukan Raja-Raja adalah samar-
samar. Yang jelas ialah Jepun berkuasa penuh dalam semua
perkara walaupun mereka membenarkan soal agama dan adat
istiadat Melayu ditentukan oleh orang Melayu.
22. Harapan orang Melayu ialah apabila British balik, jika
pun tidak memberi kemerdekaan, keadaan status quo ante iaitu
keadaan sebelum Jepun menakluki negeri-negeri Melayu
dikembalikan dengan pentadbiran diletak di bawah British
sementara negeri-negeri Melayu diiktiraf sebagai negeri-
negeri Melayu yang Beraja dan bukan tanah takluk British
secara langsung. Negeri-negeri Melayu adalah British
Protectorates, iaitu negeri yang dilindungi oleh British dan
bukan colony British.
23. Malangnya apabila Perang Dunia Kedua tamat, pihak
penjajah British merancang untuk menakluk secara langsung
negeri-negeri Melayu dan menjadikannya colony British yang
dinamakan Malayan Union.
24. Dalam rancangan Malayan Union ini Raja-Raja Melayu
dikekalkan hanya sebagai Ketua Agama Islam dan adat istiadat
Melayu. Pemerintahan Malayan Union akan diambil sepenuhnya
oleh pihak British.
25. Dalam keadaan di mana Raja tidak ada perhubungan sama
sekali dengan rakyat dan rakyat pula tidak ada peranan dalam
politik dan pemerintahan negeri-negeri Melayu, maka Raja-
Raja Melayu tidak mempunyai tempat untuk bersandar atau
untuk mendapat sokongan. Justeru itu apabila MacMichael
mengugut tidak akan mengiktiraf mana-mana Raja yang tidak
menandatangani penyerahan kuasa kepada British, Raja-Raja
Melayu tidak mempunyai pilihan melainkan bersetuju dengan
penyerahan negeri-negeri Melayu kepada Kerajaan British.
26. Penyerahan ini mungkin tidak dapat dibatalkan jika
rakyat Melayu tidak secara terbuka dan menyeluruh bangun dan
dengan keras menentang British. Rakyat Melayu mahu supaya
Raja Melayu dikekalkan dan kedudukan orang Melayu sebagai
warganegara tunggal di negeri-negeri Melayu diiktiraf oleh
British. Setelah orang Melayu mengadakan tunjuk perasaan
secara besar-besaran di seluruh negeri-negeri Melayu dan di
Pulau Pinang serta Melaka dan mengambil lain-lain tindakan,
pihak British akhirnya terpaksa membatalkan rancangan
menakluk secara langsung negeri-negeri Melayu.
27. Dengan itu Malayan Union digantikan dengan Persekutuan
Tanah Melayu atau Federation of Malaya di mana kedudukan
Raja-Raja berbalik semula seperti kepada keadaan sebelum
Jepun melanggar Tanah Melayu. Mereka tidaklah terlibat
secara langsung dengan pentadbiran yang diletak di bawah
Majlis Perundangan atau Legislative Council dan Pesuruhjaya
Tinggi British mengetuai sebuah Executive Council yang
berkuasa penuh.
28. Adalah jelas bahawa orang Melayu melalui UMNO telah
berjuang untuk mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu yang
telah hilang setelah ditandatangani perjanjian Malayan Un-
ion. Selepas dari itu kemerdekaan diperjuangkan oleh UMNO
yang disokong oleh hampir semua orang Melayu. Tanah Melayu
yang merdeka yang diperjuangkan oleh UMNO dan orang Melayu
adalah Tanah Melayu yang masih mengekalkan Raja-Raja. Tidak
ada niat sama sekali bagi UMNO untuk menghapuskan sistem
Beraja. Yang diperjuangkan hanyalah bagaimana bagi
mengekalkan Raja-raja tanpa mengenepikan demokrasi. Dengan
itu maka dibentuklah sistem Raja Berperlembagaan dan
Demokrasi Berparlimen.
29. Justeru itu semasa kita UMNO menuntut kemerdekaan
daripada British, kita telah mencapai kata sepakat dengan
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu iaitu kita
mengekalkan sistem beraja di Malaya (ketika itu) tetapi
pemerintahan dikuasai oleh Kerajaan yang dipilih oleh
rakyat. Sistem Raja Berperlembagaan British dijadikan
contoh. Pemisahan Raja daripada Pemerintahan bertujuan
memberi peranan kepada rakyat sendiri menentukan nasib
mereka, iaitu menjadikan Malaya negara yang demokratik.
30. Pemerintahan oleh Raja semestinya tidak boleh
demokratik kerana Raja tidak boleh ditukar. Sebaliknya
pemerintahan yang diketuai oleh rakyat biasa yang dipilih
melalui proses demokrasi boleh ditukar melalui proses yang
sama. Sudah tentu jika seorang rakyat yang dipilih
menerajui Kerajaan tidak menjalankan tugasnya dengan
memuaskan atau melakukan apa-apa kesalahan, ia boleh
disingkir atau didakwa di mahkamah. Pada kebiasaannya Raja
tidak boleh dihadapkan ke mahkamah dan tidak boleh
disingkir. Dengan itu Kerajaan oleh Raja tetap akan menjadi
Kerajaan mutlak yang tidak demokratik.
31. Sebab itu sementara kita ingin mengekalkan Sistem
Beraja, Raja tidak boleh diberi kuasa eksekutif. Raja
Berperlembagaan, seperti konsep British, tidak terlibat
secara langsung dengan pemerintahan tetapi Raja mempunyai
peranan-peranan tertentu. Dalam sistem Raja Berperlembagaan
di Malaysia, Raja bertindak atas nasihat Ketua Eksekutif,
yang dipilih oleh rakyat, melainkan berkenaan dengan
pembubaran Parlimen dan pemilihan Ketua Eksekutif itu
sendiri, selain daripada perkara-perkara mengenai agama
Islam dan adat. Dalam pemilihan Ketua Eksekutif, Raja
tertakluk juga kepada pendirian wakil-wakil rakyat dalam
Parlimen. Jika Raja memilih seorang yang tidak mendapat
sokongan majoriti wakil rakyat, ia mungkin dijatuhkan
melalui undi tidak percaya. Justeru itu ketua eksekutif,
sama ada Menteri Besar atau Perdana Menteri, mestilah
terdiri daripada seorang wakil rakyat yang mendapat sokongan
daripada majoriti wakil rakyat. Biasanya pucuk pimpinan
Parti yang mendapat majoriti dalam pilihanraya adalah orang
yang lebih mungkin mendapat sokongan daripada majoriti wakil
rakyat. Jika ia tidak dipilih dan seorang wakil rakyat yang
lain dipilih oleh Raja, walaupun ia telah mengangkat sumpah
jawatan, ia akan jatuh apabila sahaja Dewan bersidang dan
undi tidak percaya dibuat.
32. Dengan perkataan lain walaupun Raja boleh melantik
Ketua Eksekutif Kerajaan, perlantikan ini tertakluk kepada
pendirian wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya.
33. Malaysia mempunyai Perlembagaan bertulis dan berbagai-
bagai undang-undang yang menjelaskan kedudukan Raja-raja dan
hak-hak rakyat. Tidak disebut secara khusus dalam
Perlembagaan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja
Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Tetapi
peruntukan tertentu dalam perlembagaan dan undang-undang
memberi kefahaman bahawa Raja di Malaysia adalah Raja
Berperlembagaan dan sistem pemerintahan adalah menurut
sistem Demokrasi Berparlimen. Tidak ada sistem undang-
undang di mana-mana negara yang begitu lengkap sehingga tiap
pihak tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat.
Jika apa yang tidak dilarang secara khusus bermakna dibenar,
maka Raja dibenar berpolitik, bahkan mengundi dan menjadi
wakil rakyat, Menteri Besar dan Perdana Menteri dalam sistem
Demokrasi Berparlimen. Hanya yang ditegah dalam
Perlembagaan secara khusus bagi Raja-raja ialah memegang
jawatan yang bergaji dan berniaga.
34. Tetapi jika Raja Berpolitik dalam sistem demokrasi,
maka Raja mestilah sanggup dicabar dan digugur. Jika ini
boleh dibuat maka Raja sudah tidak menjadi Raja lagi dalam
erti kata biasa. Sebaliknya di Malaysia kita menerima dan
ingin kekalkan Raja yang tidak boleh disingkir oleh rakyat.
Dengan itu, walaupun tidak ada larangan khusus dalam undang-
undang supaya Raja tidak berpolitik, demi kesinambungan
Sistem Beraja penyertaan Raja dalam politik adalah
bercanggah dengan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi
Berparlimen.
35. Kefahaman mengenai perkara ini oleh semua pihak amatlah
penting. Pengetahuan Sistem Raja Berperlembagaan dan
Demokrasi Berparlimen memerlukan semua pihak mematuhi kepada
bukan sahaja undang-undang yang bertulis tetapi juga
kefahaman tentang konsep, semangat dan tradisi yang tidak
ditulis.
36. Soalnya ialah bagaimana dapat kita memperingati semua
pihak akan betapa pentingnya Perlembagaan, undang-undang,
konsep, semangat dan tradisi dihormati. Apakah ini boleh
dibuat melalui saluran yang ada tanpa bukti yang jelas
bahawa perkara ini benar-benar sudah sampai kepada tahap
yang merbahaya dan nasihat perlu diberi.
37. Di dalam keadaan di mana teguran sukar dibuat, dan
reaksi terhadap sesuatu yang menyimpang daripada aturan-
peraturan tidak boleh ditunjuk dengan jelas, maka amat sukar
bagi meyakinkan pihak berkenaan akan betapa seriusnya
keadaan.
38. Mengikut Akta Hasutan 1948, sebarang tindakan atau
ucapan yang mempunyai kecenderungan hasutan terhadap seorang
Raja boleh ditafsir sebagai hasutan. Sama ada sesuatu itu
mempunyai kecenderungan menghasut atau tidak, terpulang
kepada mahkamah untuk membuat penilaian dan hukuman. Oleh
kerana takut kepada tindakan undang-undang, maka perasaan
kegelisahan mungkin dibendung dan tidak dinyatakan.
39. Oleh kerana tidak terdapat bukti yang jelas berkenaan
kegelisahan yang melanda rakyat, maka perbuatan yang
menimbulkan kegelisahan ini akan diteruskan dan mungkin
meningkat. Dengan itu semakin lama semakin kuat perasaan
kegelisahan sehingga ia meluap dan dengan tiba-tiba ia
meletup. Pada ketika itu agak terlewat untuk menyekat
gerakan keterlaluan. Inilah yang berlaku kepada beberapa
masyarakat yang mengongkong pemikiran rakyat sehingga tiba-
tiba tanpa apa-apa alamat pemberontakan berlaku.
40. Akta Hasutan juga melarang orang ramai daripada
"kecenderungan menghasut" bukan sahaja terhadap Raja tetapi
juga terhadap Kerajaan. Tetapi kerajaan bersikap terbuka
kepada teguran terhadapnya. Kerajaan jarangkali mendakwa ke
mahkamah sesiapa di bawah Akta Hasutan walaupun banyak dan
kerapnya tuduhan dilempar terhadap Kerajaan oleh individu,
kumpulan dan media yang boleh menimbulkan perasaan benci di
kalangan rakyat terhadap Kerajaan iaitu mempunyai
kecenderungan menghasut. Tuduhan yang tidak berasas,
kononnya Kerajaan terlibat dengan rasuah, sudah tentu
menyebabkan rakyat benci dan ingin menjatuhkan Kerajaan.
Tetapi kerajaan yang ada sekarang tidak mengguna Akta
Hasutan untuk menyelamatkan dirinya. Hanya apabila tuduhan-
tuduhan ini jelas akan mencetuskan rusuhan dan huru-hara,
barulah Kerajaan yang ada sekarang in mengambil tindakan.
41. Jelaslah bahawa walaupun Kerajaan boleh menggunakan
Akta Hasutan untuk menutup mulut dan membendung sebarang
kegiatan yang boleh menimbulkan kebencian kepada Kerajaan
tetapi Kerajaan enggan menggunakan Akta Hasutan untuk
berbuat demikian. Sebabnya ialah Kerajaan perlu menyedari
akan perasaan rakyat dan kritikan rakyat terhadapnya. Jika
tidak ada langsung kritikan kepada Kerajaan, maka apa juga
kesalahan yang dibuat oleh Kerajaan akan diteruskan. Dengan
itu perasaan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan akan
meningkat sehingga pada satu hari ia tidak dapat dikawal
lagi dan akan menyebabkan pemberontakan untuk menjatuhkan
Kerajaan.
42. Justeru itu walaupun ada Akta Hasutan, rakyat mestilah
diberi kebebasan menegur dan teguran ini hendaklah dibuat
dengan cara yang jelas. Jika hanya satu dua orang tertentu
sahaja membuat teguran, ini mungkin dianggap sebagai
pendapat mereka ini sahaja dan bukan pendapat rakyat umum.
Rakyat, dan sudah tentu ahli-ahli UMNO, mestilah diberi
peluang untuk menyuarakan secara terbuka akan apa-apa yang
terbuku di hati mereka tanpa disekat terlalu sangat oleh
Akta Hasutan.
43. Dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang
Malaysia, Raja adalah bebas daripada tindakan undang-undang
mengikut peruntukan berikut:
Article 181(2)
"No proceedings whatsoever shall be brought in any
court against the Ruler of a State in his personal ca-
pacity"
atau dalam Bahasa Malaysia
"Tiada apa-apa perbicaraan boleh dibawa dalam mana-mana
mahkamah terhadap Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat
dirinya sendiri"
44. Namun ini tidak bermakna bahawa Raja bebas membuat
secara sesuka hati. Kebebasan itu juga terhad mengikut
kefahaman yang tidak bertulis. Kebebasan tidak bermakna
Raja boleh mencuri atau membunuh atau melakukan berbagai-
bagai jenayah yang ditegah bagi rakyat. Apabila kebebasan
daripada tindakan undang-undang diperuntukan, kepercayaan
ialah Raja tidak akan sengaja dan secara keterlaluan
melakukan sesuatu yang dilarang oleh undang-undang. Mungkin
sekali dua pelanggaran undang-undang dilakukan, masyarakat
akan menutup mata. Tetapi jika dengan sengaja dan berkali-
kali pencabulan undang-undang dibuat masyarakat tidak akan
menerimanya.
45. Kadang-kadang yang melakukan kesalahan bukan sahaja
Raja yang memerintah tetapi keluarga DiRaja. Oleh kerana
menghormati Raja, maka kerap kali kesalahan ini dibiarkan
begitu sahaja. Tetapi sikap yang ditunjukkan ini amatlah
bahaya kerana perasaan yang dibangkitkan tidak dituju kepada
anggota keluarga berkenaan sahaja tetapi juga kepada Raja.
Secara langsung imej Raja terjejas.
46. Sedikit sebanyak Raja mempunyai pengaruh. Ada sahaja
orang yang ingin menggunakan pengaruh itu. Oleh itu jika
ada sesiapa yang menegur Raja demi memeliharakan kedudukan
Raja, ada pula orang yang akan cuba mengambil kesempatan
untuk menimbulkan kebencian Raja kepada orang yang menegur.
47. Dalam arena politik jika pihak yang bertanggungjawab
menasihat Raja cuba menegur Raja, maka ini mungkin digunakan
oleh musuh politik yang menegur untuk mendapat sokongan dan
simpati Raja dengan tujuan menggunakan Pengaruh Raja dalam
arena Politik.
48. Oleh kerana risiko ini, maka mereka yang harus
menasihat Raja tidak memberi nasihat yang diperlukan.
Dengan ini Raja tidak akan sedar tentang perasaan rakyat
terhadap perbuatannya. Sekali lagi ini boleh menyebabkan
Raja tidak menghentikan perbuatan itu. Dengan itu, walaupun
Akta Hasutan dan adat menghalang rakyat daripada bertindak
perasaan marah rakyat tetap akan meningkat. Ini mungkin
akhirnya membawa kepada tindakan untuk menghapuskan Sistem
Beraja.
49. Tujuan kita membahas secara terbuka tentang pencabulan
Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di
Kelantan bukanlah untuk menukar Sistem Beraja di negeri itu
atau untuk mengadakan revolusi. Niat dan tujuan kita ialah
untuk memperingati pihak tertentu, awal-awal lagi, akan
penyelewengan yang telah berlaku dan bahayanya penyelewengan
ini. Kita yakin jika tidak ditegur, maka pihak berkenaan
akan meneruskan perbuatannya dan ini mungkin akan
menyebabkan teguran yang lebih keras yang akan memburukkan
suasana, atau ia mungkin akan menyebabkan tindakan oleh
pihak-pihak yang terkilan yang tidak boleh dibendung dengan
mudah.
50. Matlamat terakhir dan sebenar perbahasan kita ialah
untuk menyelamatkan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Perlembagaan dan undang-undang sahaja tidak boleh
menyelamatkan apa juga sistem Kerajaan di mana-mana juga.
Yang boleh menyelamatkan sesuatu sistem itu ialah hasil yang
baik yang datang daripada amalannya, dan sokongan rakyat
yang berterusan kepada sistem tersebut.
|