Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN PARLIMEN, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/12/90
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERPISAHAN BAGI
BEKAS KETUA SETIAUSAHA NEGARA TAN
SRI SALLEHUDDIN B MOHAMED
Yang Berhormat Menteri-menteri;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Kita menghadiri majlis makan malam ini bagi merai dan
mengucapkan selamat bersara daripada perkhidmatan awam
kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan
Sri Sallehuddin Mohamed. Saya mengucapkan terima kasih
kepada Tan Sri Sallehuddin dan Puan Sri Hafsah kerana sudi
bersama-sama kita pada malam ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Tan Sri Sallehuddin telah berkhidmat dengan kerajaan
kira-kira 30 tahun. Beliau telah memegang beberapa jawatan
penting seperti Timbalan Ketua Setiausaha di Perbendaharaan
dan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi. Jawatan
terakhir beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara dan
dengan itu Setiausaha Jemaah Menteri merupakan puncak dalam
perkhidmatan awam di negara kita ini. Semenjak negara kita
mencapai kemerdekaan selama 32 tahun, hanya lapan orang
sahaja yang telah diamanahkan memegang jawatan tertinggi
ini, dan Tan Sri Sallehuddin merupakan salah seorang yang
telah diamanahkan memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara
selama kira-kira lima-setengah tahun. Saya bagi pihak
kerajaan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Sallehuddin
kerana telah berjaya meningkat ke puncak perkhidmatan awam
dan menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara dengan
berkesan.
3. Sebagai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sallehuddin
bertanggungjawab terhadap prestasi perkhidmatan awam.
Kerajaan amat terhutang budi kerana Tan Sri Sallehuddin
telah dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam.
Beliau juga telah berjaya memimpin serta menyediakan jentera
perkhidmatan awam supaya lebih berupaya memenuhi keperluan
negara yang membangun dengan pesatnya. Keadaan ini dapat
dilihat daripada kemampuan jentera pentadbiran awam untuk
memikul tanggungjawab yang diamanahkan dan telah berjaya
menghadapi cabaran-cabaran yang lebih sofistikated akibat
pemodenan dan pembangunan negara.
4. Tan Sri Sallehuddin merupakan seorang pegawai awam dan
pentadbir yang berdisiplin, objektif, dan berkeupayaan untuk
memberi pertimbangan serta nasihat yang profesional kepada
Kerajaan. Beliau mudah memahami kehendak-kehendak Kerajaan
dan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh perkhidmatan awam
dalam konteks melaksanakan setiap keputusan yang dibuat oleh
Kerajaan. Dengan sifat-sifat inilah Tan Sri Sallehuddin
telah dapat membina hubungan serta kepercayaan dua hala yang
rapat di antara perkhidmatan awam dengan Kerajaan.
Keyakinan yang penuh terhadap perkhidmatan awam oleh
Kerajaan dan sebaliknya adalah hasil usaha beliau.
5. Tan Sri Sallehuddin telah menekankan pentingnya memberi
perkhidmatan berkualiti kepada orang ramai. Beliau telah
membawa perubahan kepada sistem dan prosedur dalam
perkhidmatan awam. Antaranya ialah usaha-usaha untuk
memperbaiki lagi perkhidmatan kaunter. Kerajaan
menganggap usaha ini merupakan satu usaha yang penting untuk
memperbaiki dan menyediakan kemudahan serta meningkatkan
kecekapan perkhidmatan kaunter. Usaha ini bukan sahaja
dapat memperbaiki imej perkhidmatan awam, tetapi dengan
sendirinya dapat menghasilkan hasrat negara. Agensi-agensi
perkhidmatan kaunter yang telah menunjukkan prestasi yang
cemerlang telah diberi pengiktirafan yang sewajarnya melalui
Anugerah Pejabat Terbaik.
6. Selain daripada itu, Tan Sri Sallehuddin juga telah
berusaha untuk memperbaiki struktur pentadbiran daerah.
Pentadbiran daerah merupakan pentadbiran akar umbi yang
secara langsung terlibat dalam pelaksanaan program-program
Kerajaan di peringkat tersebut. Di samping itu,
perkhidmatan awam juga telah melalui berbagai perubahan,
penyusunan semula organisasi dan pengurusan, serta
penjelasan semula peranan dan fungsi jabatan dan agensi-
agensi Kerajaan. Semuanya ini dilakukan atas inisiatif Tan
Sri Sallehuddin bagi menentukan keberkesanan jentera
pentadbiran awam selaras dengan peranan yang dikehendaki
oleh Kerajaan dalam membangunkan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Semasa Tan Sri Sallehuddin menjadi Ketua Setiausaha
Negara, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa pendekatan
dan dasar, antaranya ialah Dasar Penswastaan dan
Persyarikatan Malaysia. Dasar-dasar ini berbeza sekali
dengan konsep dan persepsi peranan perkhidmatan awam.
Sebaliknya, dasar-dasar ini tidak mungkin berjaya jika pihak
perkhidmatan awam tidak memahaminya dan tidak bekerjasama.
8. Saya berbangga kerana usaha gigih yang dilakukan oleh
Tan Sri Sallehuddin untuk menerang dan mendapatkan sokongan
daripada anggota perkhidmatan awam kepada dasar-dasar yang
agak radikal ini. Berkat kerjasama hasil usaha Tan Sri
Sallehuddin, perkhidmatan awam dapat menjayakan beberapa
projek penswastaan. Kerjasama di antara perkhidmatan awam
dengan swasta yang menjadi sasaran Malaysia Incorporated
sudah pun diterima dan telah berjaya membantu
pertumbuhan ekonomi negara yang kita lihat sekarang ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Saya ada juga mendengar cerita-cerita kononnya Perdana
Menteri dan bekas Ketua Setiausaha Negara mempunyai satu
persamaan -- iaitu mereka ini tidak pernah pandai senyum,
sentiasa serius dan kadang-kadang nampak garang juga.
Tetapi setahu saya Tan Sri Sallehuddin humourous juga
orangnya. Di beberapa majlis yang berkaitan dengan golf,
Tan Sri ada banyak golf jokes. As for me, I appreciate and
enjoy hearing jokes, but I am not good at cracking them.
10. Tentang tidak pandai memberi senyum, itu adalah sifat
semula jadi seseorang. Tetapi di sebalik sifat itu ada juga
kelembutan yang tidak dapat dilihat. Saya percaya Puan Seri
Hafsah boleh mengesahkan hal ini.
11. Bagi diri saya sendiri, saya ingin menyatakan bahawa
saya mendapat bantuan dan kerjasama yang baik daripada Tan
Sri Sallehuddin, yang mana ini memudahkan tugas kami berdua.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Prestasi perkhidmatan awam di negara ini semakin hari
semakin meningkat. Walau bagaimanapun usaha-usaha mestilah
terus dijalankan untuk mempertingkatkan lagi mutu
perkhidmatan awam. Ramai kakitangan awam telah mengikuti
berbagai-bagai kursus dan latihan. Saya yakin dengan
pendedahan kakitangan perkhidmatan awam kepada perkembangan-
perkembangan terbaharu dalam berbagai-bagai bidang yang
berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing,
bukan sahaja peningkatan prestasi perkhidmatan awam akan
tercapai tetapi juga kakitangan-kakitangan kerajaan akan
memperolehi pengetahuan yang lebih dan berguna untuk diri
sendiri. Kita mestilah sanggup mempelajari pendekatan-
pendekatan dan teori-teori yang terbaharu mengenai
pengurusan. Kita hendaklah sentiasa mempunyai pemikiran
yang terbuka untuk menggunakan sebarang pendekatan yang
sesuai dengan suasana pengurusan dalam sesebuah pejabat atau
jabatan.
13. Namun demikian walau apa juga yang kita pelajari, kita
tidak harus lupa akan nilai-nilai asas pengurusan yang
cekap. Nilai-nilai asas penting ini termasuklah amanah,
kejujuran, bersikap positif, berinisiatif dan semangat sal-
ing bekerjasama. Nilai-nilai asas ini hendaklah sentiasa
diamalkan. Sama ada seseorang itu ketua jabatan atau
seorang pembantu pejabat, sama ada ia bekerja di
kementerian-kementerian di ibu kota atau agensi-agensi awam
di luar bandar, nilai-nilai ini mestilah diamalkan.
14. Kerajaan percaya bahawa setiap kakitangan kerajaan
akan terus menjalankan kerja masing-masing dengan jujur
dan bersungguh-sungguh serta memberi layanan yang baik
kepada masyarakat. Negara kita, yang pesat membangun ini,
memerlukan kakitangan awam yang berdedikasi, komited dan
yang sentiasa mengutamakan kepentingan perkhidmatan awam dan
negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Persaraan adalah suatu yang tidak dapat tidak akan
berlaku kepada setiap kakitangan Kerajaan apabila meningkat
ke umur tertentu. Di samping kita merasa pilu dan hiba akan
milestone yang amat bermakna kepada kehidupan kita, amatlah
penting kita terus aktif sama ada dalam bidang lain atau
dalam kerja-kerja kebajikan.
16. Jikalau kita memilih untuk berniaga, saya yakin
pengalaman semasa berkhidmat dengan Kerajaan amat berguna.
Sebab itulah semasa berkhidmat segala amalan yang baik perlu
dipraktikkan. Jika pengetahuan dan pengalaman semasa
berkhidmat adalah luas, jika kerajinan dan ketekunan serta
nilai-nilai baik menjadi sebahagian daripada tabiat
seseorang pegawai, kejayaan dalam perniagaan sesudah bersara
besar kemungkinannya. Sebaliknya, jika semasa berkhidmat
diamalkan amalan-amalan yang tidak baik, penglibatan dalam
urusan perniagaan sesudah bersara mungkin membawa
kekecewaan.
17. Sebab inilah saya percaya amalan yang baik dalam
perkhidmatan menguntungkan Kerajaan dan diri
sendiri. Amatlah menyedihkan apabila kita mendengar
tentang pesara yang kehilangan semuanya setelah memasuki
bidang perniagaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya bagi
pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada Tan Sri Sallehuddin atas jasa dan
sumbangan beliau kepada perkhidmatan awam dan negara. Saya
percaya walaupun beliau sudah bersara, beliau akan terus
memberi sumbangan kepada negara dari semasa ke semasa.
19. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada Yang Berbahagia Dato' Ahmad Sarji atas
perlantikan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara yang
baru. Dengan pengalaman beliau yang luas saya percaya Dato'
Ahmad Sarji akan dapat memberi sumbangan ke arah
meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Akhir kata, marilah kita berdoa semoga Tan Sri
Sallehuddin dan Puan Sri Hafsah dan keluarga sentiasa sihat
walafiat serta dilindungi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
|