home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	10/12/90 
Tajuk/Title  	: 	MENGENAI USUL UCAPAN TAKZIAH DI 
			ATAS KEMBALINYA KE RAHMATULLAH 
			ALMARHUM YANG TERAMAT MULIA TUNKU 
			ABDUL RAHMAN PUTRA ALHAJ, BEKAS 
			PERDANA MENTERI 




Tuan Yang Di-Pertua, Saya mohon mencadangkan: "Bahawa Dewan ini merakamkan
perasaan sedih yang amat sangat di atas kembalinya ke Rahmatullah Almarhum
Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri yang
pertama negara ini pada 6 Disember 1990 dan menyampaikan ucapan takziah
kepada Yang Amat Berbahagia Tun Sharifah Rodziah Binti Syed Alwi dan
keluarga Almarhum".

2. Seluruh rakyat Malaysia berasa amat dukacita dan sedih di atas
kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra
AlHaj. Sesungguhnya kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku, negara telah
kehilangan seorang pemimpin dan negarawan yang terhormat lagi
tercinta. Pengorbanan dan perjuangan Almarhum Tunku dalam bidang politik
dan pentadbiran merupakan sumber inspirasi dan teladan kepada rakyat
Malaysia. Kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku merupakan peristiwa
yang amat sedih dalam sejarah negara kita.

3. Keagungan seseorang insan dapat diukur dengan dua cara. Pertamanya,
dengan melihat amalannya -- apa yang dilakukannya, dan apa yang telah
dilaksanakannya sepanjang hayatnya. Kedua, keperibadiannya.

4. Almarhum Tunku dilahirkan seorang putera raja, namun watak dan
keperibadiannya berkembang sebagai pemimpin rakyat. Almarhum membebaskan
kita daripada belenggu penjajahan dan memberikan kita maruah sebagai warga
sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Pernah suatu ketika, Allahyarham
Tun Dr. Ismail menyifatkan perwatakan Almarhum Tunku sebagai, dengan izin,
"warm and unassuming" dan Almarhum dapat menyesuaikan diri di semua
keadaan sama ada di istana, di kampung, di kalangan masyarakat atasan atau
masyarakat bawahan, golongan kaya atau miskin. Sumbangan Almarhum Tunku
sebagai perintis dan pelopor kemerdekaan negara ini merupakan sumbangan
yang tidak ternilai harganya dalam sejarah negara kita.

5. Almarhum Tunku juga telah membina asas bagi pelbagai institusi negara
kita yang kita nikmati dan kita pertahankan hingga kini. Atas daya usaha
Almarhum, kita kini mewarisi perlembagaan negara, institusi-institusi
politiknya, dan struktur pentadbirannya.

6. Almarhum Tunku sentiasa berada pada tempat dan ketika beliau
diperlukan. Almarhum Tunku bukan sahaja menjadi pemimpin orang Melayu
dalam mempelopori kemerdekaan negara ini tetapi terus menjadi seorang
negarawan ulung yang disegani dan dicintai oleh semua kaum. Formula
politik Perikatan yang dipelopori oleh Almarhum Tunku bagi menyatukan
rakyat Malaysia merupakan formula yang terbukti kemantapannya untuk negara
kita.

7. Setelah mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia, Almarhum Tunku
berperanan pula sebagai pemimpin dan pemandu pembangunan negara kita ke
arah kemajuan dan kemakmuran. Bersama-sama dengan Allahyarham Tun Abdul
Razak bin Hussein, Almarhum telah mencipta rancangan pembangunan yang
memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar.

8. Almarhum Tunku telah mengasaskan nilai-nilai kesederhanaan di kalangan
rakyat berbilang kaum di negara ini. Antara nilai ini adalah toleransi,
bertolak ansur, persefahaman dan muhibah. Nilai-nilai ini telah mendorong
masyarakat majmuk Malaysia hidup aman dan tenteram.

9. Almarhum Tunku jugalah yang telah mengasaskan budaya politik yang
berlandaskan kompromi dan muafakat di antara golongan-golongan yang
berlainan latar belakang dan kepentingan. Almarhum Tunku juga merupakan
seorang penentang fahaman dan gerakan komunis. Apabila Almarhum
menandatangani perisytiharan berakhirnya darurat, Almarhum telah
menyatakan betapa bangganya Almarhum dengan perpaduan dan taat setia
rakyat Malaysia. Almarhum menyatakan rakyat Malaysia telah memperlihatkan
kepada dunia bahawa mereka mempunyai cara hidup yang jauh lebih baik dan
lebih makmur daripada yang dijanjikan oleh pihak komunis.

10. Meskipun Almarhum merupakan penentang fahaman komunis yang tegas,
namun Almarhum sebenarnya merupakan seorang pencinta damai. Almarhum
pernah menyatakan, dengan izin, "I believe in giving the people clothes
instead of uniform; houses instead of barracks; food instead of bullets".

11. Almarhum Tunku juga telah memainkan peranan penting dalam
mengembangkan syiar Islam di negara kita dan di peringkat
Antarabangsa. Almarhum Tunku mengasaskan Majlis Tilawah Al-Quran
Kebangsaan dan Antarabangsa yang menjadi satu acara yang menarik dalam
dunia Islam hingga sekarang. Sebagai pemimpin PERKIM, Almarhum Tunku telah
membantu mengembangkan syiar Islam di rantau ini dan berusaha memelihara
kebajikan mereka yang memeluk agama Islam.

12. Pada tahun 1961 Almarhum telah mengutarakan gagasan Komanwel Islam
untuk mencari titik perpaduan di kalangan negara-negara Islam. Pada bulan
April 1969, sebagai hasil usaha Almarhum Tunku, Malaysia telah menjadi
tuan rumah kepada Persidangan Islam Antarabangsa yang disertai oleh 20
buah negara Islam. Sebagai Setiausaha Agung Pertama Sekretariat Islam,
yang kemudian dikenali sebagai Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam
(OIC), Almarhum telah berjaya memperjuangkan kepentingan umat Islam di
seluruh dunia dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan.

13. Almarhum Tunku juga merupakan seorang tokoh antarabangsa. Almarhum
mempelopori usaha-usaha ke arah memupuk perpaduan dan kerjasama
serantau. Sewaktu hubungan di kalangan negara-negara di rantau ini tidak
begitu mesra, Almarhum Tunku telah mencadangkan suatu pertubuhan serantau
bagi kawasan Asia Tenggara untuk memajukan persefahaman di kalangan
negara-negara tersebut. Cita-cita tersebut menjadi kenyataan dengan
terbentuknya Persatuan Asia Tenggara atau ASA antara Malaysia, Thailand
dan Filipina. Pada tahun 1967 lahirlah ASEAN, dengan penyertaan Indonesia
dan Singapura. Antara anugerah yang diterima oleh Almarhum Tunku ialah
Anugerah Ramon Magsaysay dalam tahun 1960.

14. Sikap Almarhum Tunku yang mengutamakan keadilan dan perikemanusiaan
menjadikan Almarhum penentang ulung "apartheid" Afrika Selatan. Almarhum
telah mengutuk dasar tersebut di Persidangan Komanwel di London pada tahun
1960 dan melancarkan pemulauan terhadap barang-barang Afrika Selatan yang
kemudiannya turut disertai oleh beberapa negara lain. Akibat tekanan ini,
Afrika Selatan terpaksa meninggalkan Komanwel pada tahun 1961.

15. Almarhum Tunku juga terkenal sebagai seorang pencinta sukan. Kerana
minat dan sumbangannya, Almarhum telah dilantik menjadi Presiden Persatuan
Bolasepak Asia dari tahun 1959 hingga 1971. Almarhum Tunku juga telah
mengilhamkan Pertandingan Bolasepak Merdeka, salah satu pertandingan
bertaraf antarabangsa yang utama di rantau ini.

16. Sebagai Penaung kegiatan seni, Almarhum Tunku telah memberikan
perhatian kepada warisan kebudayaan Melayu. Almarhum merupakan seorang
penulis yang prolifik, menghasilkan karya-karya yang menarik dalam bentuk
rencana dan buku.

17. Almarhum Tunku tidak lagi bersama kita. Namun sumbangan Almarhum tidak
dapat dihilangkan daripada kenangan kita. Tiada siapa dapat menafikan
sumbangan Almarhum kepada negara yang amat dicintai oleh Almarhum. Nama
dan sumbangan Almarhum akan tertulis dengan tinta emas dalam sejarah
negara.

18. Enam bulan dahulu kita telah kehilangan Allahyarham Tun Hussein Onn,
Perdana Menteri ketiga negara kita. Sebagai Perdana Menteri, saya telah
membawa usul takziah di Dewan Yang Mulia ini. Mengingati perbahasan yang
berlaku semasa usul itu dibincangkan, saya ingin merayu kepada semua ahli
Dewan daripada kedua-dua belah parti, iaitu daripada Parti Kerajaan dan
Parti Pembangkang, supaya tidak mengambil kesempatan daripada perbahasan
usul ini untuk mengutarakan kepentingan-kepentingan politik mana-mana
parti.

19. Sebagai penghormatan terakhir daripada Dewan ini, di mana Almarhum
Tunku telah mengetuai ahli-ahli Kerajaan selama 13 tahun, dan bagi
mengenang budi Almarhum sebagai negarawan, marilah kita buat seketika,
bersama-sama, Kerajaan dan pembangkang menghormati Almarhum dengan
mengucapkan takziah daripada hati yang ikhlas kepada keluarga Almarhum
tanpa acrimony. Di waktu yang solemn ini, kosongkanlah hati kita semua
daripada perkara-perkara lain yang akan memesongkan kita daripada
kesedihan yang kita rasai bersama.

20. Sesungguhnya kembalinya ke Ramatullah Almarhum Tunku amat dirasai oleh
rakyat Malaysia. Saya, bagi pihak Kerajaan, berharap balu Almarhum, Tun
Sharifah Rodziah dan anggota keluarga Almarhum, akan tabah hati serta
bersabar. Kita berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala mencucuri rahmatNya
ke atas roh Almarhum.

Tuan Yang DiPertua,

saya mohon mencadangkan. 
 

 



 
Google