Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/90
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA TAHUN BARU 1991
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera
Bersyukur kita kerana sekali lagi kita, rakyat berbilang kaum Malaysia,
dapat menyambut ketibaan tahun baru dalam keadaan aman, stabil dan makmur.
2. Keadaan aman dan stabil serta kemakmuran yang kita semua nikmati
bukanlah datang dengan sendirinya tetapi juga adalah kerana usaha gigih
dan tekun yang telah sama-sama disumbangkan oleh rakyat berbilang kaum di
negara ini. Walaupun ada usaha daripada segelintir orang-orang tertentu
untuk membangkitkan perasaan perkauman dan memecah-belahkan perpaduan
rakyat majmuk negara kita ini, usaha mereka tidak berjaya. Sebaliknya,
kita dapat melihat semangat perpaduan, persefahaman dan keadaan harmoni
semakin kuat di kalangan rakyat di seluruh negara.
3. Ini adalah petanda-petanda yang amat baik bagi negara kita kerana ia
merupakan unsur-unsur jitu yang jelas akan membawa negara dan rakyat ke
arah kemajuan yang lebih pesat lagi. Tuan-tuan dan puan-puan 4. Tahun 1990
berakhir pada hari ini. Tahun 1990 akan tercatit dalam sejarah negara
kerana ia memperlihatkan berbagai-bagai peristiwa yang penuh bermakna bagi
negara kita. Antaranya ialah berakhirnya tempoh satu rancangan
sosio-ekonomi yang terbesar dan berani yang pernah dicubai oleh sebuah
negara membangun.
5. Walaupun ada pendapat yang berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal
setelah genap 20 tahun perlaksanaannya tetapi sebenarnya kejayaan DEB
adalah luarbiasa berbanding dengan lain-lain rancangan sosio-ekonomi yang
dilaksanakan di seluruh dunia. DEB dirancang kerana terdapat keadaan tidak
seimbang dalam kehidupan rakyat berbilang kaum di negara ini. Demikian
juga dengan ideologi sosialis dan komunis yang kononnya bertujuan
mengimbangkan kehidupan yang ketara tidak adil dalam masyarakat kapitalis
di mana yang kaya terlalu kaya dan yang miskin terlalu miskin dan
dihina. Kononnya jika pemerintah memiliki semua punca kekayaan -- maka
pemerintah yang dikuasai oleh sosialis atau komunis akan mengagihkan
kekayaan secara sama rata dan adil. Setelah berpuluh tahun berlalu bukan
sahaja pembahagian yang adil tidak tercapai, tetapi sebaliknya
negara-negara komunis dan sosialis menjadi begitu mundur dan miskin
berbanding dengan negara-negara pasaran terbuka dan perusahaan bebas atau
free enterprise.
6. Di Malaysia kita amalkan sistem kita sendiri di mana yang perlu
diusahakan oleh kerajaan diuruskan oleh kerajaan dan yang perlu diusahakan
oleh orang ramai diusahakan oleh orang ramai. Dengan demikian, kita lebih
berjaya mengagihkan kekayaan di antara kaum walaupun tidak sepenuhnya
seperti yang dirancangkan. Tetapi yang lebih istimewa ialah semasa kita
agihkan kekayaan ini ekonomi negara tidak terjejas bahkan tumbuh dengan
pesatnya. Justeru itu, kita harus lebih yakin kepada kemampuan diri kita
dalam membentuk dasar-dasar dan rancangan-rancangan dan melaksanakannya
dengan cekap dan berjaya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Kepercayaan kepada diri sendiri penting kerana kita akan menghadapi
banyak cabaran dalam dekad sembilan puluhan ini. Kita bukan sahaja perlu
mencapai matlamat membasmi kemiskinan dan mengagihkan kekayaan tetapi kita
juga perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi kita di paras yang tinggi
supaya kita dapat menjadi negara maju. Yakinlah dengan izin Allah
Subhanahu wa Ta'ala, kita boleh merancang dan menjayakan cita-cita kita
untuk memberi kehidupan yang bahagia dan penghormatan kepada rakyat
berbilang kaum di negara tercinta ini.
8. Sebenarnya kita amat bernasib baik. Kemungkinan kita mengekalkan
pertumbuhan ekonomi dan kebahagiaan hidup kita adalah cerah. Jika kita
perhatikan keadaan di negara-negara lain di seluruh dunia dan kita buat
perbandingan, nyata sekali kita berada dalam keadaan yang amat baik untuk
membangunkan negara kita.
9. Rakyat negara ini cintakan kestabilan dan keamanan. Kita tidak mudah
merusuh di jalanraya-jalanraya jika kita menghadapi masalah. Kita tidak
berminat menyelesaikan pertikaian perusahaan dengan cara yang memburukkan
iklim pelaburan. Kita tertib dan patuh kepada undang-undang dan
11. Penerimaan konsep Persyarikatan Malaysia semakin meluas dan kerjasama
yang baik wujud di antara kerajaan dan swasta.
10. Kerjasama ini melicinkan lagi segala urusan pentadbiran dan
perdagangan sehingga pertumbuhan ekonomi meningkat dengan
pesat. Penswastaan menjadikan kegiatan yang dahulu satu beban dan
merugikan negara, sekarang menguntungkan rakyat dan kerajaan.
12. Beban cukai telah dikurangkan tanpa menjejaskan pendapatan
kerajaan. Secara langsung penurunan cukai menambah kuasa pembelian atau
'purchasing power' orang ramai. Ini adalah lebih bermakna daripada
menambah pendapatan kerana tambahan pendapatan semata-mata tidak
meningkatkan daya pembelian kerana harga barangan turut meningkat.
13. Di samping itu gaji kebanyakan pekerja sudah naik dan pengangguran
tidak menjadi masalah lagi. Sekarang kerja mencari pekerja, dan bukan
sebaliknya. Dengan permintaan untuk mendapatkan para pekerja meningkat,
tawaran gaji tetap akan meningkat juga. Selagi daya pengeluaran dan
ketertipan pekerja-pekerja kita baik, kenaikan pendapatan tidak akan
membawa inflasi, yang di Malaysia hanya 4 peratus berbanding dengan 10
peratus hingga 20,000 peratus di sesetengah negara lain termasuk
negara-negara maju. Mengejar inflasi dengan cara menaikkan gaji adalah
cara yang akan memusnahkan ekonomi. Sebaliknya kenaikan gaji dengan
meningkatkan daya pengeluaran adalah cara yang selamat. Yang penting
bukannya jumlah gaji yang didapati tetapi banyak mana bertambahnya
barangan atau perkhidmatan yang boleh dibeli dengan gaji yang
didapati. Ada negara yang membayar pekerja gaji berpuluh ribu unit
matawang sebulan tetapi jumlah wang yang banyak ini tidak pun boleh
membeli barangan yang berharga ratusan ringgit di Malaysia. Apakah
maknanya gaji tinggi tetapi nilainya rendah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
14. Kita perlu kepada kefahaman yang mendalam untuk menghadapi cabaran
dekad sembilan puluhan. Dengan keamanan dan kestabilan negara dan dengan
kesanggupan semua pihak bekerja dengan tekun dan sabar, insya-Allah kita
akan mencapai taraf hidup yang lebih baik lagi daripada sekarang. Peluang
adalah terbuka bagi negara kita yang mempunyai sumber-sumber alam yang
kaya, tenaga kerja yang baik, dan pentadbiran yang cekap dan beramanah
untuk meningkat maju dengan lebih pesat lagi.
15. Bagi pihak Kerajaan pula, dasar-dasar baru yang akan mengimbangkan
pembangunan semua kaum secara adil, dan membasmikan kemiskinan akan
digubal dan dilaksanakan dengan lebih teliti. Kita sudah mengenal-pasti
kelemahan-kelemahan dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru selama 20 tahun
dan kita percaya kita boleh mengatasi kelemahan-kelemahan ini. Insya-Allah
kita akan mengatasinya tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
16. Kewangan negara akan terus diurus dengan cekap dan cermat supaya
setiap sen mendatangkan hasil kepada seluruh rakyat negara ini. Kerajaan
akan terus melabur dalam infrastruktur yang diperlukan untuk proses
industrialisasi negara serta kemudahan-kemudahan awam yang
lain. Memandangkan bahawa keperluan wang untuk pentadbiran, infrastruktur
dan kemudahan-kemudahan melebihi kemampuan Kerajaan, dan sebaliknya negara
memerlukan asas-asas yang cukup untuk pertumbuhan negara, pihak swasta
akan diberi lebih banyak peluang untuk membangun dan menguruskan
kemudahan-kemudahan awam ini. Dengan ini wang Kerajaan boleh digunakan
untuk membiayai kos pentadbiran kerajaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
17. Sama ada negara kita membangun dengan pesat dan menjadi maju terpulang
kepada pemilihan kita. Semua asas sudah berada di tempatnya. Jika kita
hendak dan kita lakukan apa yang diperlukan, maka tidak syak lagi kita
akan menjadi negara maju dalam masa yang lebih singkat daripada negara-
negara membangun yang lain.
18. Ini memanglah cita-cita besar tetapi negara yang maju sekarang ini
juga dahulunya mundur. Kerana usaha mereka yang gigih dan kesanggupan
mempelajari daripada setiap kegagalan, mereka sekarang maju. Kita tidak
kurang daripada mereka dalam apa-apa sifat semulajadi. Hanya yang
diperlukan ialah keberanian bercita-cita besar dan bekerja kuat ke arah
matlamat itu. Insya-Allah kita akan berjaya.
19. Oleh itu saya ingin menyeru kepada setiap rakyat Malaysia supaya
membuat resolusi tahun baru untuk menjayakan negara yang tercinta ini,
negara yang telah memberi banyak nikmat kepada kita semua. Mudah-mudahan
dengan izin Tuhan akan tercapailah hasrat dan cita-cita kita untuk menjadi
bangsa yang lebih bahagia dan mulia.
20. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat
Malaysia dan berharap semoga tahun 1991 akan membawa kejayaan dan
kebahagiaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|