Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	LANGKAWI 
Tarikh/Date 	: 	05/01/91 
Tajuk/Title  	:	PERASMIAN PAMERAN DRAF RANCANGAN 
			STRUKTUR LANGKAWI 




 Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Dato Seri Osman Arof,
     Menteri Besar Kedah;
Yang Berhormat Datuk Daim Zainuddin,
     Menteri Kewangan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
    Kita  bersyukur  kerana  dapat bersama-sama menyaksikan
satu pameran yang akan membawa rakyat dan kerajaan bersemuka
bagi menyatukan idea dan ilham untuk menentukan  pembangunan
masa  depan  Langkawi.    Saya  mengucapkan  tahniah  kepada
Kerajaan  Negeri  Kedah,  Majlis  Daerah  Langkawi,  Lembaga
Pembangunan  Langkawi dan Jabatan-jabatan Kerajaan lain yang
telah menjayakan perjumpaan kita pada hari ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Kemajuan dan kemakmuran negara terletak di tangan  kita
semua.    Terpulanglah kepada kita untuk mengatur, merancang
dan melaksanakannya dengan sebaik yang mungkin ke arah  ini.
Negara  kita  mempunyai bumi yang subur untuk pertanian, dan
kaya dengan hasil bumi.   Negara kita  juga  mempunyai  alam
semulajadi  yang  indah  yang terdiri daripada pantai-pantai
yang permai dan hutan-hutan yang belum tercemar.   Pemberian
Tuhan  ini jika digunakan dengan bijaksana bukan sahaja akan
membawa kepada kehidupan yang  makmur  dan  bahagia,  tetapi
juga  dapat  mengekalkan  alam  persekitaran semulajadi yang
sedia wujud.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Pengalaman masa  lalu  menunjukkan  bahawa  kita  tidak
boleh  terlalu bergantung kepada satu sektor ekonomi sahaja.
Oleh itu, kerajaan telah mengenengahkan pelancongan  sebagai
salah  satu  sektor  yang boleh memberi sumbangan yang lebih
besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.  Strategi ini telah
menunjukkan kesan yang menggalakkan.  Tahun Melawat Malaysia
1990 telah berjaya menarik  60%  lebih  ramai  pelancong  ke
negara ini dibandingkan dengan tahun sebelumnya.  Pendapatan
negara  daripada  tukaran  wang  asing  juga turut meningkat
melalui perbelanjaan pelancong-pelancong  asing.    Di  masa
yang  sama pelancong-pelancong tempatan yang juga meningkat,
menolong pembangunan industri dan perniagaan yang mengiringi
kegiatan pelancongan seperti  kraftangan,  kenderaan,  kedai
dan gerai makanan, rekreasi dan lain-lain.  Perkembangan ini
haruslah dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.
4.   Kita  haruslah  mengambil  peluang daripada pembangunan
sektor pelancongan untuk meraih pendapatan bagi melengkapkan
Malaysia  dengan  kemudahan-kemudahan  yang  mencukupi   dan
selesa.    Dengan  cara  ini,  Malaysia akan dikunjungi oleh
pelancong-pelancong bukan sahaja  untuk  kali  kedua  tetapi
juga   kali   ketiga  dan  seterusnya.    Untuk  menyediakan
kemudahan-kemudahan  pelancongan  ini,  pihak  kerajaan  dan
swasta   perlulah   terus  bekerjasama  supaya  ianya  dapat
dirancang dan dilaksanakan dengan baik dan teratur.    Pihak
swasta telah menunjukkan minat dan keyakinan terhadap sektor
pelancongan.  Kini terdapat projek-projek pelancongan swasta
yang  bernilai  beratus-ratus  juta ringgit.   Pelaburan ini
memberi faedah kepada  semua  pihak,  daripada  buruh  kasar
sehinggalah  kepada  pengurus hotel, selain daripada pelabur
itu sendiri.   Pendek kata  seluruh  rakyat,  di  mana  juga
mereka berada, akan mendapat nikmat daripada pelaburan ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5.   Langkawi  memang  terkenal semenjak dahulu lagi sebagai
gugusan kepulauan yang bersejarah dan penuh legenda.  Faktor
sejarah dan legenda ini, ditambah pula dengan keindahan alam
semulajadinya, menjadikan Langkawi kepulauan yang  istimewa.
Tetapi  hanya dengan legenda dan keindahan sahaja tidak akan
membawa apa-apa hasil kepada penduduk  Langkawi  dan  kepada
negara.  Emas dalam bumipun tidak akan mendatangkan kekayaan
sehinggalah  ia  digali  dan  dipasarkan.   Demikian jugalah
dengan Langkawi dengan legenda dan keindahannya.
6.   Menyedari  hakikat  ini  dan  menyedari   juga   bahawa
Langkawi  ketinggalan  daripada  segi pembangunan berbanding
dengan tanah  besar,  maka  kerajaan  telah  membentuk  satu
pendekatan  yang  istimewa supaya Langkawi dapat dibangunkan
secara yang lebih cepat dan menguntungkan penduduk  Langkawi
sendiri.    Pendekatan  yang dipilih ialah dengan menjadikan
Langkawi kawasan bebas cukai, iaitu untuk  menurunkan  harga
barang-barang  bukan  semata-mata bagi pelancong tetapi juga
bagi penduduk Langkawi sendiri.
7.   Harapan kerajaan ialah supaya pelabur  tertarik  dengan
penurunan  kos  pembangunan  di  Langkawi dan pelancong pula
tertarik kerana tempat penginapan dan harga barang-barang di
Langkawi adalah rendah.   Malangnya harapan  kerajaan  tidak
menjadi  kenyataan kerana kos tanah melambung naik dan harga
barang-barang juga meningkat kerana peniaga  membolot  semua
penurunan    cukai   untuk   mendapatkan   keuntungan   yang
berlebihan.  Sebenarnya harga jualan di Langkawi jauh  lebih
tinggi  daripada  harga  di tanah besar.  Soalan yang timbul
adalah  apa  perlunya  taraf  bebas  cukai   diberi   kepada
Langkawi?     Tidakkah  memadai  dengan  hanya  legenda  dan
keindahan alam  untuk  menarik  pelancong  dan  membangunkan
Langkawi?    Harus  diingat bahawa pembebasan cukai bermakna
pembangunan Langkawi dibiayai oleh orang-orang yang membayar
cukai di tempat-tempat lain di Malaysia.
8.   Saya sebut perkara ini bukan kerana  kerajaan  menyesal
atau  berhasrat  menarik balik taraf bebas cukai yang diberi
kepada Langkawi.  Saya hanya ingin semua pihak  menilai  dan
menghargai  segala  nikmat  yang  didapati supaya dengan itu
kita akan lebih bersyukur.  Rakyat Malaysia harus insaf  dan
bersyukur  sepanjang  masa  kerana masyarakat yang insaf dan
bersyukur akan menjadi masyarakat penyayang, atau a  "caring
society".    Saya  khuatir  kalau-kalau  ada pendapat bahawa
masyarakat penyayang bermakna  hanya  kerajaan  sahaja  yang
bersikap  penyayang.    Kasihsayang tidak akan wujud jika ia
terhad kepada satu pihak sahaja.
9.   Masyarakat yang tahu bersyukur pula  akan  dapat  lebih
banyak nikmat.  Ini adalah kerana orang yang bersyukur tidak
akan  membuat  sesuatu  yang  akan  menghentikan nikmat yang
diperolehi.  Jika kerana terlalu ingin  mendapat  keuntungan
cepat   daripada   pelancongan  ke  Langkawi  maka  bilangan
pelancong menurun dan  kualiti  mereka  juga  merosot,  maka
industri  ini  akan  gagal  dan  akhirnya wang yang didapati
dahulu akan  habis  dan  wang  yang  diharapkan  tidak  akan
datang.
10.  Apa yang dikehendaki oleh kerajaan ialah jenis industri
pelancongan yang bernilai tinggi terutama pelancongan asing.
Bagi  pelancong-pelancong  tempatan  pun  layanan  hendaklah
sejajar dengan perbelanjaan mereka.  Penggunaan kawasan yang
indah yang amat terhad di Langkawi  untuk  pembangunan  yang
mendatangkan  hasil  yang  rendah  amatlah tidak bijak.   Ia
boleh diibaratkan sebagai membuat rantai sauh  kapal  dengan
emas,  suatu  pembaziran  besar.   Justeru itu tempat-tempat
yang sesuai untuk pelancong-pelancong hendaklah  dibangunkan
secara  yang  boleh  memberi  pendapatan yang maksima kepada
tuan tanah dan pengusaha.
11.  Penjualan tanah hari  ini  mungkin  memberi  keuntungan
yang  tinggi  kepada  tuan  tanah.   Tetapi hakikatnya ialah
harga tanah tetap meningkat dan tuan-tuan tanah  yang  telah
menjualnya  akan menyesal kerana sementara pendapatan mereka
daripada penjualan tanah sudahpun habis, harta mereka dahulu
meningkat nilainya dan memberi keuntungan kepada orang lain.
Adalah lebih baik menilai  tanah  dengan  nilai  yang  lebih
murah tetapi masih terus mendapat hasil daripadanya daripada
menjualnya  sekaligus.    Ataupun sekurang-kurangnya melabur
hasil penjualan dalam sesuatu pelaburan  yang  akan  memberi
pulangan  di masa hadapan.  Kerajaan rela mengorbankan hasil
dan  cukai  untuk  penduduk  Langkawi   tetapi   kesanggupan
kerajaan   semata-mata   tidak  akan  memberi  manfaat  jika
penduduk Langkawi  sendiri  tidak  menggunakan  peluang  ini
untuk  kebaikan  diri mereka.  Jangan salahkan kerajaan jika
penduduk-penduduk Langkawi terpaksa menumpang orang lain  di
Langkawi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Pembangunan pelancongan yang dirancangkan telah membawa
banyak  manfaat  kepada penduduk-penduduk Langkawi.   Selain
daripada peningkatan harga tanah, banyak peluang  perniagaan
dan  pekerjaan  telah wujud.  Kesuburan industri pelancongan
bergantung kepada layanan atau perkhidmatan yang baik.   Apa
yang   kita   mahu  ialah  pelancong-pelancong  akan  datang
berkali-kali.  Jika kita berharap kepada pelancong-pelancong
yang  datang  sekali  sahaja,  maka   peningkatan   bilangan
pelancong  tidak akan berlaku.  Pelancong akan datang sekali
sahaja jika perkhidmatan  atau  layanan  yang  diberi  tidak
memuaskan.   Pelancong yang mendapat layanan yang tidak baik
akan  memberitahu  ejen  dan  kawan  mereka   supaya   tidak
menghantar  pelancong  lain ke tempat berkenaan.  Dan dengan
itu industri pelancongan akan merosot.    Justeru  itu  kita
semua  hendaklah  berpandangan  jauh dan menolong menjayakan
industri  pelancongan   ini   kerana   ia   boleh   menolong
membangunkan kita dan negara kita.
13.  Bagi menjayakan Langkawi keseluruhannya, kerajaan telah
menubuhkan   satu   badan  khas,  iaitu  LADA  atau  Lembaga
Pembangunan Langkawi.  Untuk menentukan Kerajaan Persekutuan
dan  Kerajaan  Negeri  saling  tolong-menolong  dalam  usaha
pembangunan   Langkawi,  LADA  dipengerusikan  bersama  oleh
Menteri Besar Kedah dan Menteri Kewangan.  Sokongan Kerajaan
Persekutuan adalah penting daripada segi pendekatan  undang-
undang dan peruntukan.  Sebaliknya kerjasama Kerajaan Negeri
Kedah  tidak  kurang pentingnya.   Tidak ada mana-mana pihak
yang akan rugi hasil daripada kerjasama ini.  Namun Langkawi
masih kekal sebagai wilayah Negeri Kedah.   Selain  daripada
perkara-perkara  yang  berkaitan  dengan  pembangunan khusus
bagi Langkawi, ia  tertakluk  kepada  kuasa-kuasa  yang  ada
kepada  kerajaan  Negeri Kedah.  Jika kedudukan ini difahami
oleh semua  pihak  maka  pelan  pembangunan  Langkawi  dapat
diselenggarakan dengan jayanya.
14.  Langkawi  tidak  dijadikan  kawasan  bebas cukai kerana
hanya ingin memajukan  Langkawi.    Tujuannya  lebih  khusus
daripada itu.  Tujuannya ialah supaya Langkawi menjadi pusat
pelancongan  yang  terkenal  di seluruh dunia.  Tetapi untuk
mendatangkan hasil yang maksima amatlah penting  pembangunan
industri pelancongan di Langkawi dirancang dengan teliti.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Seperti  yang  disebutkan  tadi  pelancong tidak banyak
mendapat manfaat daripada  taraf  bebas  cukai.    Pelancong
datang kerana pemandangan indah dan alam sekitar yang nyaman
yang  terdapat di Langkawi.  Jika pembangunan Langkawi tidak
mengambilkira pemandangan dan alam sekitar di Langkawi, maka
daya penarik Langkawi akan luput  dan  pembangunan  Langkawi
tidak akan membawa hasil.
16.  Memandang   kepada  soal  inilah  maka  kerajaan  telah
mendapat bantuan  pakar-pakar  untuk  menyediakan  Rancangan
Struktur   Langkawi.    Tujuannya  ialah  supaya  penempatan
kemudahan pelancongan seperti hotel dan  lain-lain  bangunan
tidak  menghapuskan  unsur-unsur  estetika  yang  menjadikan
Langkawi unik dan menarik.  Mereka yang berminat  mengadakan
kemudahan pelancongan, perniagaan dan perusahaan di Langkawi
hendaklah  meneliti  pelan  induk yang disediakan.  Walaupun
pindaan  dan  penyesuaian  boleh  dibuat,   tetapi   umumnya
"pristine  beauty" Langkawi mestilah diselamatkan.  Imbangan
mesti  dibuat  di  antara   kepentingan   komersial   dengan
kepentingan estetika.  Pembangunan Langkawi hendaklah terhad
supaya  tidak  memusnahkan  segala  warisan  semulajadi  dan
sejarah.  Rancangan Struktur Langkawi  adalah  dokumen  yang
penting yang perlu dirujuk sebelum sesiapa mengambil apa-apa
langkah  untuk  melabur  di Langkawi.   Jika keraguan timbul
kerana pelan ini, maka LADA  hendaklah  dirundingi  terlebih
dahulu.   Kita tidak ingin lihat mana-mana pihak rugi kerana
tersilap   langkah.      Pameran   ini    bertujuan    untuk
memperkenalkan  kepada orang ramai akan hasrat dan rancangan
kerajaan  untuk  kepentingan  semua  pihak  iaitu   penduduk
Langkawi, pelabur dan negara.
17.  Dengan  ini  saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran
Draf Rancangan Struktur Langkawi ini.

 

 



 
Google