Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 04/02/91
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN
YANG TERUTAMA PERDANA MENTERI YON
HYONG MUK, PERDANA MENTERI REPUBLIK
DEMOKRATIK RAKYAT KOREA
Tuan Yang Terutama
Perdana Menteri Yon Hyong Muk;
Ahli-Ahli Delegasi yang dihormati;
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya
mengucapkan Selamat Datang ke Malaysia kepada Tuan Yang
Terutama. Kami berasa amat bangga kerana dapat menjadi tuan
rumah kepada Tuan Yang Terutama pada malam ini. Kami
berharap sepanjang lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia,
Tuan Yang Terutama akan dapat melihat kekayaan kebudayaan
yang menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia.
Tuan Yang Terutama,
2. Kami berharap bahawa lawatan ini akan meningkatkan lagi
kesedaran rakyat kita akan sistem politik dan ekonomi kedua-
dua negara kita. Tidaklah keterlaluan untuk memperkatakan
bahawa kebanyakan orang Asia lebih mengetahui mengenai
tempat-tempat di barat berbanding dengan pengetahuan mereka
mengenai negara-negara di rantau ini. Bagaimanapun,
memandangkan perubahan yang berlaku di bidang ekonomi dunia,
saya percaya masanya sudah pun tiba bagi negara-negara
membangun untuk mengintegrasikan ekonomi mereka ke dalam
sistem perdagangan dan pembayaran serantau dan antarabangsa.
Inilah sebabnya kita melihat sebuah negara Asia seperti
Republik Demokratik Rakyat Korea, sebagai sahabat dan dengan
harapan yang ikhlas agar dalam dekad pembangunan yang akan
datang di rantau ini, kedua-dua negara kita akan mempunyai
aspirasi yang tidak jauh berbeza.
Tuan Yang Terutama,
3. Semua negara, baik kecil atau besar, ingin mewujudkan
suasana politik yang sihat antara jiran-jiran mereka supaya
semua pihak akan mendapat nikmat daripadanya. Sebagai
sebuah negara kecil, Malaysia mestilah menjalin hubungan
mesra dengan semua negara, lebih-lebih lagi dengan negara-
negara jiran. Oleh itu Malaysia mempunyai dua aspirasi asas
yang saya percaya diamalkan juga oleh Republik Demokratik
Rakyat Korea. Malaysia inginkan keamanan serantau dan
kemakmuran serantau.
4. Mengenai aspirasi pertama, iaitu keamanan serantau,
saya sukacita menyatakan bahawa hubungan di antara kedua-dua
negara kita adalah baik kerana kita bersahabat dan tidak
terdapat apa-apa isu yang menjadi rintangan dalam hubungan
dua-hala kita. Malaysia percaya hubungan baik ini akan
berterusan dan dengan demikian memberi kesan kepada negara-
negara di rantau ini. Kami di Malaysia melihat dengan
perasaan gembira bahawa Republik Demokratik Rakyat Korea
sepanjang suku abad yang lepas telah hidup dalam keadaan
aman damai dengan jiran-jirannya. Negara Tuan telah
meneruskan dialog yang konstruktif di peringkat yang paling
tinggi dengan jiran yang mempunyai tali persaudaraan. Kami
juga telah memperhatikan bahawa negara-negara yang lebih
besar di sekeliling Republik Demokratik Rakyat Korea
telahpun mewujudkan persefahaman yang baru dengan kedua-dua
Korea berdasarkan kerjasama dan bantuan ekonomi yang rapat.
Sebenarnya 'rapprochement' semakin jelas kelihatan di
sebelah utara kawasan Asia Pasifik yang agak sealiran dengan
perkembangan-perkembangan di Asia Tenggara di mana negara-
negara ASEAN telahpun mencapai satu tahap kestabilan dalam
jangkamasa 20 tahun. Keselamatan yang diusahakan bersama
oleh negara-negara ASEAN adalah bertujuan untuk memperbaiki
taraf hidup rakyat negara-negara ASEAN melalui pembangunan
ekonomi dan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali di rantau
ini. Di samping itu ASEAN adalah komited kepada konsep
menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada
senjata nuklear.
Tuan Yang Terutama,
5. Apabila kita dapat menyelesaikan masalah Kambodia, kita
berharap tidak lama lagi, bahagian Asia yang juga merangkumi
kedua-dua negara kita akan benar-benar menikmati keamanan
dan kestabilan politik.
Tuan Yang Terutama,
6. Mengenai aspirasi kedua yang telah saya sebutkan tadi,
iaitu kemakmuran serantau, hakikatnya adalah bahawa
kemakmuran tidak akan wujud di mana-mana jua tanpa keamanan.
Di saat ini kita menyedari bahawa pertumpahan darah sedang
berlaku, pertumpahan yang sia-sia di kawasan teluk Parsi.
Dalam peperangan ini banyak nyawa akan hilang dan kemusnahan
yang besar akan dialami. Yang anehnya ialah beribu-ribu
juta ringgit akan dibelanjakan untuk membunuh dan memusnah.
Dan apakah yang akan diperolehi akhirnya - tidak ada suatu
pun yang akan menguntungkan sesiapa. Orang Melayu mempunyai
pepatah bagi tindakan seumpama ini - menang jadi arang,
kalah jadi abu. Alangkah lebih baiknya hidup aman damai
yang membolehkan kita membangunkan negara kita, bagaimana
kecil sekalipun. Kita di Malaysia adalah komited kepada
keamanan dan penyelesaian secara aman masalah-masalah
perhubungan antarabangsa.
7. Saya berharap agar persahabatan di antara Republik
Demokratik Rakyat Korea dengan Malaysia akan berterusan dan
kita akan dapat mengadakan kerjasama yang erat demi keamanan
dan kemakmuran ekonomi di rantau Asia Timur ini.
|