Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL REGENT, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	23/02/91 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM TAHUNAN 
			PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM 
			MUSLIM MALAYSIA 




 Yang Amat Arif Tun Dato' Abdul Hamid bin Haji Omar,
     Ketua Hakim Negara;
Yang Berbahagia Encik Mohd Zaid Ibrahim,
     Presiden, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Peguam-
peguam Muslim Malaysia kerana menjemput saya ke  majlis  ini
yang bertujuan untuk merapatkan lagi tali silaturahim antara
para  ahli.    Saya  percaya  Persatuan  ini  akan  sentiasa
bergerak  aktif  di   samping   memberi   sumbangan   kepada
masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Negara  kita  memilih pentadbiran demokrasi berparlimen
kerana kita percaya kepada keputusan  suara  terbanyak  atau
suara majoriti.  Seberapa yang boleh kita inginkan konsensus
mengikut  adat  resam kehidupan kita dan juga mengikut agama
Islam.  Kita harus ingat bahawa tokoh yang mengambil  tempat
sebagai   pemimpin  Islam  selepas  wafatnya  Nabi  Muhammad
s.a.w.,  juga  dipilih  melalui  suara  ramai  dan  bukannya
berasas   kepada  keturunan.     Kita  di  Malaysia  memilih
demokrasi berparlimen kerana selain daripada  sesuai  dengan
agama  kita,  ia  juga  telah  terbukti  sebagai sistem yang
terbaik.
3.   Kita juga menerima sistem  di  mana  wujud  pembangkang
untuk   mengemukakan   hujah  dan  pendapat  yang  berlainan
daripada  kerajaan  supaya  bandingan   dapat   dibuat   dan
keputusan  yang  seadil-adilnya dapat dirumuskan.  Institusi
pembangkang ini telah diterima oleh masyarakat kita walaupun
kadang-kadang pihak pembangkang  tidak  faham  akan  peranan
mereka.   Namun kita tidak mahu kepada keadaan di mana tidak
ada  pembangkang  sama  sekali  seperti  yang  terdapat   di
sesetengah negara lain.
4.   Kita  juga  menerima  hakikat bahawa dengan mengamalkan
sistem demokrasi berparlimen rakyat berhak menentukan  siapa
yang  menubuhkan  kerajaan.    Kita  menerima hakikat bahawa
suara majoriti mesti dihormati.  Dalam erti kata yang  lain,
sesudah  rakyat  membuat  pemilihan  di  pilihanraya,  suara
majoriti ini mesti dihormati dan mereka yang dipilih  berhak
memerintah   sehinggalah  pemilihan  diadakan  sekali  lagi,
walaupun dalam tempoh  masa  itu  rakyat  menukar  pendirian
mereka  dan  mungkin  berasa  bahawa  mereka  telah tersilap
pilih.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Kita telah mencapai kemerdekaan  hampir  34  tahun  dan
kerajaan  telah  berusaha  meningkatkan  taraf  hidup rakyat
menerusi  berbagai-bagai  rancangan  pembangunan.      Dalam
mengejar  pembangunan  dan  kemajuan,  tekanan  juga  diberi
kepada  pembangunan  rohaniah   kerana   negara   memerlukan
masyarakat  yang sama maju daripada segi rohani dan jasmani.
Rakyat juga digalakkan supaya berdikari dan berfikiran  luas
tanpa  bertindak berasaskan emosi.  Tanpa fikiran yang waras
dan perancangan yang berasaskan logik dan nilai-nilai Islam,
kita bukan sahaja tidak akan mencapai kemajuan  tetapi  juga
kita akan menjadi lemah dan tertindas.
6.   Bukanlah  maksud  saya menyarankan bahawa semua anggota
masyarakat perlu bertindak  sebagai  peguam,  tetapi  budaya
berfikir  dengan  waras ini perlu menjadi panduan masyarakat
supaya kita sentiasa  meningkat  maju  dalam  semua  jurusan
hidup.    Mencapai matlamat ini memerlukan masa yang panjang
dan kesabaran.  Sementara itu memang ada elemen-elemen dalam
masyarakat  kita  yang  menghalang  kita  daripada  mencapai
matlamat  yang  murni  ini.   Kita tidak harus kecewa tetapi
mestilah terus berusaha bagi mengatasi sebarang halangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Oleh kerana ahli-ahli Persatuan  ini  terdiri  daripada
peguam-peguam   yang  beragama  Islam,  peranan  yang  boleh
dimainkan oleh persatuan dan ahli-ahlinya adalah unik  dalam
masyarakat  Malaysia  yang berbilang kaum dan agama.  Sistem
perundangan di Malaysia  tidak  bertentangan  dengan  ajaran
Islam  kerana  sistem  perundangan kita menekankan keadilan,
dan keadilan dituntut  oleh  Islam.    Secara  kasar,  Islam
menuntut  balasan yang sama dan setimpal dengan jenayah yang
dilakukan.  Tetapi pengadilan secara Islam dikehendaki  juga
mengambilkira  kesahihan  tuduhan  dan  keadaan  yang  wujud
semasa  jenayah  dilakukan.    Dengan  itu   Islam   memberi
pertimbangan  yang  berat terhadap kredibiliti saksi - iaitu
saksi mestilah terdiri  daripada  orang  yang  beriman  yang
tidak  selalu  membuat kesalahan.  Latar-belakang penjenayah
juga perlu diambilkira.  Jika penjenayah adalah seorang yang
miskin dan kebuluran, pencurian yang dilakukannya tidak akan
membawa hukuman yang  seberat  yang  ditentukan  oleh  Islam
kepada seorang yang lazim mencuri.
8.   Bahaya   fitnah  ditekankan  kerana  ramai  yang  mudah
memfitnah kerana kepentingan  diri.    Demikianlah  buruknya
fitnah  dalam  pandangan  Islam sehingga Al-Quran meletakkan
fitnah sebagai lebih bahaya daripada membunuh.
9.   Dalam konteks masyarakat moden dan masyarakat berbilang
kaum  dan  agama  di  Malaysia,  orang  Islam  tidak   boleh
mengenepikan  hakikat  konteks  ini.    Jika  kita  berfikir
seolah-olah  kita  berada  dalam  masyarakat  yang   seratus
peratus   Islam   1400   tahun  dahulu,  maka  tindakan  dan
pengadilan kita mungkin tidak seperti yang dikehendaki  oleh
Islam.
10.  Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Rasulullah s.a.w.
dan  keadaan di Malaysia bukanlah seperti keadaan di Madinah
1400 tahun dahulu.   Jenayah zaman moden  ini  juga  berbeza
daripada  jenayah di zaman dahulu.  Justeru itu perbandingan
mestilah dibuat di antara jenayah zaman ini  dengan  jenayah
zaman  Rasulullah  s.a.w.   Di samping itu, pendapat seorang
hakim tidak semestinya sama dengan pendapat hakim yang lain.
Rujukan kepada tafsiran  yang  dibuat  oleh  ulama  terkenal
dalam  sejarah  Islam  juga mungkin tidak tepat.  Dengan itu
penilaian  baru  terpaksa  dibuat  untuk  menentukan  apakah
hukuman yang sesuai tanpa lari daripada landasan Islam.
11.  Memandangkan  bahawa  biasanya  mereka  yang arif dalam
hukum-hakam zaman dahulu tidak begitu arif dengan keadaan di
zaman  sekarang,  dan  memandangkan  masyarakat  yang  tidak
terdiri  seratus  peratus  daripada orang Islam, maka adalah
menjadi  tanggungjawab  peguam-peguam  Islam   di   Malaysia
mengkaji  hukum-hukum  Islam  dalam konteks zaman moden ini.
Ini bukanlah perkara yang luar biasa.   Dalam sejarah  Islam
perbincangan  sering  dibuat  berkenaan hukum Islam terhadap
jenayah tertentu oleh orang-orang yang alim dalam  berbagai-
bagai bidang dan bukan hanya arif dalam ilmu feqah sahaja.
12.  Setiap  penentuan  yang  dibuat  tetap mendapat kecaman
daripada orang-orang tertentu yang tidak senang hati  dengan
apa  yang dibuat oleh orang lain.  Tetapi ini adalah perkara
biasa sahaja.  Janganlah memberi alasan  bahawa  yang  salah
ialah  orientalis  Barat sedangkan kita tidak berani membuat
keputusan sendiri yang mengambilkira semua faktor.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Saya juga ingin menyentuh  mengenai  Perang  Teluk  dan
pendirian Malaysia.  Saya ingin berbuat demikian supaya kita
tidak terbawa-bawa oleh emosi dan supaya kita tidak dikaburi
oleh  sentimen  dan  perasaan  yang dibangkitkan oleh pihak-
pihak tertentu kerana kepentingan politik  dan  kepentingan-
kepentingan lain.
14.  Malaysia  menyokong  Ketetapan  678  Majlis Keselamatan
Bangsa-Bangsa  Bersatu  untuk  menyelamatkan   Iraq   dengan
memberi  amaran  keras  bahawa kekerasan akan digunakan jika
Iraq tidak keluar dari Kuwait.  Kita bersetuju  Iraq  diberi
had masa yang telah ditetapkan kerana rakyat Kuwait ditindas
oleh  Iraq  dan  amatlah  tidak adil kepada mereka jika Iraq
tidak diberi had masa untuk keluar dari  Kuwait.    Malaysia
berpendirian   demikian   kerana   kita  sentiasa  menentang
pencerobohan.      Malaysia   menentang   Amerika   Syarikat
menceroboh  Grenada  dan Panama.   Malaysia menentang Russia
menceroboh  Afghanistan.    Malaysia  kecam  Vietnam  kerana
mencerobohi Kemboja.  Malaysia menentang pencerobohan Israel
ke atas Syria, Gaza, Tebing Barat Jordan dan Lubnan dan kita
mengecam  Amerika  Syarikat  kerana  melindungi  Israel yang
menceroboh.   Malaysia pernah  diserang  semasa  konfrantasi
oleh  regim  Sukarno  dan  kita  menerima  pertolongan  dari
Britain dan negara-negara Komanwel tertentu.   Amatlah  aneh
jika  kita  tiba-tiba  menyokong  pencerobohan  Iraq ke atas
Kuwait dengan alasan bahawa Iraq  adalah  negara  Islam  dan
Kuwait  mendapat  pertolongan dari Amerika Syarikat, Britain
dan  Perancis  selepas   pencerobohan   berlaku.      Apakah
keuntungan  bagi umat Islam jika Kuwait diperintah oleh Iraq
dan bukan oleh Raja Kuwait?  Jika Iraq ingin  memperjuangkan
hak  orang  Islam  dan sanggup menghadapi sebarang tentangan
termasuk  berperang  dengan  Amerika  Syarikat,  jalan  yang
terbaik  ialah  dengan menyerang Israel dan bukannya Kuwait.
Jika kerana  menyerang  Israel,  Iraq  diserang  balas  oleh
Amerika  Syarikat  seluruh  dunia Islam akan menyokong Iraq.
Iraq  melancarkan  peluru  berpandu  ke  arah  Israel  bukan
bertujuan menghancurkan Israel dan menolong rakyat Palestin,
tetapi  sebaliknya  hanya  bertujuan untuk melibatkan Israel
dalam peperangan dan dengan ini Iraq berharap akan  mendapat
simpati dan sokongan orang Islam.
15.  Kerana peperangan ini ramai rakyat Iraq, yang Islam dan
yang  bukan Islam, terbunuh dan cedera parah.  Rakyat Kuwait
juga ramai yang terbunuh.  Lagi lama perang ini  berterusan,
lebih  ramai  lagi  rakyat Iraq dan Kuwait akan terbunuh dan
cedera.  Di samping itu, segala harta Iraq dan  Kuwait  akan
hancur   menjadi  abu  kerana  serangan  tentera  bersekutu.
Ratusan ribu juta ringgit harta Iraq dan Kuwait akan hilang.
16.  Apakah setelah pengorbanan yang besar oleh rakyat  Iraq
ini,  Iraq akan berjaya dan umat Islam akan menguasai dunia?
Hanya mereka  yang  khayal  sahaja  akan  memikir  demikian.
Serangan  Iraq  ke atas Iran yang menyebabkan satu juta umat
Islam terbunuh berakhir tanpa  menghasilkan  apa-apa  kepada
Iraq.
17.  Iran  adalah  sebuah  negara  yang  lemah.   Sebaliknya
Amerika Syarikat, Britain serta negara-negara bersekutu jauh
lebih kuat daripada Iran.    Mereka  yang  berfikiran  waras
tentu  dapat  meramalkan  bahawa  Iraq tidak mungkin menang.
Dengan itu pengorbanan nyawa  orang  Islam  yang  disebabkan
oleh penaklukan Iraq ke atas Kuwait akan menjadi sia-sia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18.  Umat    Islam    memang    sanggup    berkorban   untuk
mempertahankan Islam.   Tetapi  sebelum  pengorbanan  dibuat
umat Islam harus menentukan sama ada yang dipertahankan oleh
mereka  adalah  kepentingan  agama Islam.   Jika ianya bukan
kerana Islam maka pengorbanan orang Islam akan menjadi  sia-
sia   sahaja.      Peperangan  di  Teluk  berpunca  daripada
penaklukan Kuwait oleh Iraq.   Ia  boleh  ditamatkan  dengan
Iraq  mengeluarkan  tenteranya  dari Kuwait.   Jika akhirnya
Iraq  dikalahkan  dan  dikeluarkan   dari   Kuwait   melalui
peperangan,  kemungkinannya ialah Iraq akan hancur dan tidak
akan ada lagi  satu  negara  Islam  yang  boleh  mengimbangi
kekuatan  Israel.  Seluruh Asia Barat akan terletak di bawah
telunjuk Amerika Syarikat.  Inilah akibatnya penaklukan yang
dilakukan oleh Iraq ke atas Kuwait.   Apakah untungnya  umat
Islam kerana peperangan yang tidak berasas ini?
19.  Hari  ini  kita diberitahu bahawa Iraq akan keluar dari
Kuwait tanpa syarat.  Keputusan ini dibuat setelah  berpuluh
ribu  rakyat  Kuwait  dan Iraq terbunuh.  Amatlah sia-sianya
kematian  mereka  kerana  tidak  ada   apa-apa   pun   hasil
pengorbanan mereka.
20.  Orang   Islam   mudah  digerakkan  oleh  seruan  Islam.
Hakikat ini diketahui oleh kita semua yang  beragama  Islam.
Menyedari  akan hakikat ini, ramai orang yang berkepentingan
tidak segan-segan  memperalatkan  sentimen  keIslaman  orang
Islam.    Dengan  memberi  alasan  bahawa  perjuangan mereka
adalah untuk Islam, maka mudahlah  mereka  menarik  sokongan
bagi  diri  mereka.    Bahawa  tidak ada asas keIslaman sama
sekali  dalam   perjuangan   mereka,   tidak   sedikit   pun
merunsingkan  hati  kecil mereka.   Yang penting bagi mereka
ialah sentimen Islam mudah diperalatkan.
21.  Kita lihat ini sedang berlaku di Asia Barat.   Kononnya
peperangan yang dimulakan dengan penaklukan Kuwait oleh Iraq
merupakan  satu  jihad.    Dan orang Islam pun tidak menyoal
lagi dan memberikan sokongan.    Sokongan  ini  menggalakkan
lagi  pihak  tertentu untuk menjadi lebih degil.  Dengan itu
maka pemusnahan wilayah orang  Islam  dan  pembunuhan  orang
Islam  berterusan.  Ada juga orang bukan Islam yang berpura-
pura menyokong pendirian Iraq  kerana  kononnya  ini  adalah
pendirian  Islam.    Berhati-hatilah  dengan  pendirian  ini
kerana ia akan menjadikan Iraq lebih degil  dan  dengan  itu
lebih ramai orang Islam akan terbunuh dan Iraq akan hancur.
22.  Malaysia  menyeru Iraq keluar dari Kuwait dengan segera
supaya akan berkurangan nyawa  yang  akan  terkorban  akibat
peperangan  sia-sia  ini.    Malaysia  juga mendesak Amerika
Syarikat  dan  negara-negara  bersekutu  supaya  menghormati
Ketetapan  678  yang  tidak  mengizinkan  Iraq  dimusnahkan.
Malaysia mendesak semua pihak  yang  terlibat  dalam  perang
Teluk  memberhentikan  peperangan  dengan segera.   Malaysia
tidak menyokong sebarang pencerobohan oleh sesiapapun,  sama
ada kuasa kecil, kuasa sederhana ataupun kuasa besar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23.  Malaysia  aman,  alhamdulillah.    Masalah  kita adalah
kecil berbanding dengan masalah di Asia Barat.    Yang  kita
tumpukan  ialah  kepada  keharmonian  hidup  semua  kaum dan
pembangunan yang  seimbang.    Keperluan  kita  juga  kecil,
umpamanya  kita  perlu  kepada  bumiputera  yang cekap dalam
semua bidang.  Kita memerlukan bumiputera yang  berpengajian
tinggi  dan mendalam.   Kita juga memerlukan pengurusan yang
beramanah, cekap dan canggih dalam semua bidang.
24.  Kita harus bersyukur  dengan  keadaan  kita,  dan  kita
gunakan  masa kita secara yang boleh memberi kebaikan kepada
kita.  Peguam-peguam Islam dalam Persatuan ini harus memberi
sumbangan ke arah mewujudkan bukan  sahaja  masyarakat  yang
maju  dan  dinamik  tetapi  juga berusaha ke arah mewujudkan
satu negara yang bertamaddun tinggi.   Tuan-tuan  dan  puan-
puan  juga  sebagai  peguam-peguam  Islam  harus membuktikan
sifat-sifat keIslaman dalam menjalankan  tugas  supaya  imej
Islam  menjadi  lebih  baik  dalam  bidang  perundangan  dan
keadilan.
25.  Saya  akhiri  ucapan  saya  ini  dengan   sekali   lagi
mengucapkan   terima   kasih  kepada  Persatuan  ini  kerana
menjemput saya dan isteri saya ke Majlis  ini.    Saya  juga
berharap  Persatuan  Peguam-peguam  Muslim Malaysia ini akan
terus memberikan  sumbangan  mereka  ke  arah  kemajuan  dan
kesejahteraan negara.

 

 



 
Google