Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	28/02/91 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN MAJLIS 
			PERDAGANGAN MALAYSIA 




 Yang Amat Berhormat Encik Ghafar Baba,
     Timbalan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
    Saya merasa sukacita kerana dapat hadir bersama-sama di
Majlis  Pelancaran  Majlis Perdagangan Malaysia, dan sebagai
pengerusinya saya mengucapkan terima  kasih  atas  kehadiran
tuan-tuan dan puan-puan.
2.   Perjumpaan  kita  ini adalah pada permulaan dekad 90-an
-- pada masa negara kita dan rantau ini  menghadapi  cabaran
yang  besar.  Sebagai sebuah negara, usia negara kita hampir
34 tahun.   Bagi sebuah negara,  usia  ini  tidaklah  begitu
lama,  tetapi  bagi sebuah negara yang sedang membangun yang
telah dapat mengawal dan menentukan tujuan serta matlamatnya
hanya selepas merdeka, ini merupakan satu jangka  masa  yang
sangat bermakna.
3.   Dalam  masa  tiga abad yang pertama negara ini merdeka,
kita telah maju begitu pesat  daripada  sebuah  negara  yang
berpendapatan  rendah,  ekonominya  yang  mundur, bergantung
semata-mata kepada getah  dan  bijih  timah  sebagai  sumber
kekayaan  ekonomi  yang  utama,  kita telah meningkat kepada
sebuah negara yang telah  mempelbagaikan  bidang  ekonominya
kepada   sektor   perkhidmatan   dan  perindustrian,  dengan
disokong oleh sistem kewangan  yang  canggih.    Namun  kita
tidak    membelakangkan   pengeluaran   bahan-bahan   utama.
Sebaliknya kita telah meningkatkan kemampuan dayasaing  kita
dan  telah  memasuki pelbagai bidang komoditi yang baru yang
telah memberi pulangan tukaran asing yang banyak.
4.   Daripada segi ukuran apapun kita telah  berjaya  tetapi
ini  tidaklah bermakna kita boleh leka.  Kita mesti berusaha
untuk menjadi  sebuah  negara  yang  maju  setanding  dengan
negara-negara di Eropah dan juga Amerika Utara.  Ini mungkin
tidak   akan   tercapai   esok,  tahun  depan  mahupun  pada
penghujung  kurun,  tetapi  kita  tidak  seharusnya   berasa
kecewa.    Setiap  sesuatu  mesti  ada  permulaannya.   Kita
sudahpun melangkaui langkah pertama.   Sekarang  kita  mesti
teruskan dengan langkah yang lebih cepat lagi.
5.   Untuk  memudahkan  pencapaian matlamat kita, kita mesti
menyusun satu cara baru dan melangkau jauh -- dalam  bidang-
bidang  utama  institusi  negara  kita,  dalam bidang budaya
ekonomi, penyusunan semula dan inovasi.  Namun demikian yang
paling utama ialah kita mesti  memahami  matlamat  kita  dan
jalan  menuju ke arahnya.  Kita di sini bermaksud kita semua
-- kerajaan, sektor swasta, para pekerja,  pihak  pengurusan
dan semua institusi yang secara terus ataupun tidak terlibat
dalam pembangunan negara ini.
6.   Aspirasi  kebangsaan  ini  mestilah dikongsi bersama di
setiap peringkat.  Ini bukanlah angan-angan besar yang  kita
cita-citakan.  Ianya adalah satu wawasan yang boleh dicapai,
asalkan kita semua bekerjasama.
7.   Kerajaan   telahpun   melahirkan  konsep  Persyarikatan
Malaysia, satu konsep yang berasaskan perkongsian di  antara
kerajaan  dan  sektor  swasta,  satu  konsep  negara sebagai
syarikat gergasi dalam mana sektor awam dan swasta  bersama-
sama  ditugaskan  ke  arah  memastikan  kejayaan  dan berhak
menikmati keuntungan bersama.  Meskipun pada peringkat  awal
ada  kecurigaan, namun konsep ini telah diterima oleh semua.
Hari  ini  pegawai-pegawai  kerajaan  lebih  bersikap  sedia
membantu   pihak   swasta   dan   mereka  sentiasa  berusaha
memperbaiki perkhidmatan mereka melalui  cara-cara  terbaru.
Masa  di  mana  para  pegawai  kerajaan  tidak  menghiraukan
berjaya  atau  tidaknya  sektor  swasta  telahpun   berlalu.
Mereka  sekarang  menerima dan memahami bahawa sektor swasta
bukan sahaja  tidak  semata-mata  membuat  keuntungan  untuk
dirinya  sendiri  tetapi juga menyumbang ke arah pembangunan
ekonomi dan dengan demikian untuk kebaikan  semua,  termasuk
pegawai-pegawai   kerajaan  sendiri.    Sektor  swasta  yang
mengalu-alukan konsep  Persyarikatan  Malaysia  tidak  harus
hanya  mengharapkan  perkhidmatan  yang  lebih baik daripada
Kerajaan tetapi juga mesti menyumbang ke arah menjayakannya.
Mereka mesti  berusaha  memudahkan  kerajaan  untuk  memberi
khidmat   dengan   memahami  peranan  dan  aturan  peraturan
kerajaan dan  perhatian  berat  kerajaan  ke  atas  keadilan
sosial dan ekonomi bagi semua rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9.   Eloklah  kita  semua  jelas mengenai perkara ini.   Ini
tidak sekali-kali bermakna bahawa kerjasama di antara sektor
awam dan swasta adalah satu perkara yang  harus  dan  perlu.
Ada  kerjasama  yang  produktif  dan ada juga kerjasama yang
tidak produktif.  Kerjasama yang menghasilkan  akibat-akibat
sosial  yang  negatif,  yang  menggagalkan pencapaian nilai-
nilai dan aspirasi kebangsaan mesti ditentang.
10.  Dalam banyak bidang, hubungan sektor  awam  dan  swasta
tidak  boleh  terlalu  rapat.    Dalam  banyak isu perlu ada
peraturan yang produktif.  Apa yang baik bagi sektor  swasta
tidak  semestinya  baik  untuk  rakyat  pada  amnya.   Walau
bagaimanapun kita perlu  bekerjasama  dalam  banyak  bidang.
Majlis  ini adalah salah satu mekanisma yang bertujuan untuk
terus menyumbang ke arah hubungan baik di  antara  kedua-dua
sektor.
11.  Saya  percaya  ramai  daripada  ahli  Majlis  ini  juga
menjadi ahli beberapa majlis lain tetapi Kerajaan menganggap
penubuhan  Majlis  ini  satu  langkah  yang   penting   bagi
merapatkan sektor awam dan sektor swasta pada peringkat yang
paling  tinggi  bagi  membincangkan perkara-perkara mengenai
kepentingan negara.   Majlis ini  adalah  satu  Majlis  yang
kecil  --  terdiri  daripada  sepuluh  orang  Menteri, lapan
pemimpin daripada sektor awam dan empat  puluh  empat  orang
pemimpin  daripada  sektor  swasta.   Ianya kecil kerana ini
perlu bagi memudahkan perbincangan kita dalam  suasana  yang
berterus terang dan rapat.  Keahlian tuan-tuan dan puan-puan
merupakan tanggungjawab kepada negara dan juga rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Majlis ini akan mempunyai empat matlamat utama:
     Pertama, untuk memudahkan pengaliran maklumat dan idea-
     idea antara sektor awam dan swasta;
     Kedua,  untuk  menyelesaikan  masalah-masalah berkaitan
     dengan kemajuan  industri  dan  perdagangan  dan  untuk
     mengatasi    halangan-halangan   terhadap   pertumbuhan
     ekonomi;
     Ketiga, untuk mewujudkan persefahaman yang  lebih  baik
     bagi  menguatkan  hubungan  di  antara  sektor awam dan
     swasta, dan
     Keempat, untuk mengesan  dan  mempertingkatkan  bidang-
     bidang  kerjasama dan pakatan di antara sektor awam dan
     swasta.
13.  Untuk  mengisi  matlamat-matlamat  ini,  bidang   tugas
Majlis ini adalah seperti berikut:
     Pertama,  untuk  mengkaji  dengan mendalam perkembangan
     perdagangan dan ekonomi negara  dan  antarabangsa  yang
     penting   bagi  pertumbuhan  industri  dan  ekonomi  di
     Malaysia;
     Kedua,  untuk  membincang  secara  mendalam  persoalan-
     persoalan   dan  masalah-masalah  masa  kini  dan  masa
     hadapan  yang   menyentuh   perkara   perdagangan   dan
     perindustrian;
     Ketiga,   untuk  mengkaji  serta  menyarankan  pelbagai
     langkah perlaksanaan dan strategi;
     Keempat, untuk menghasilkan sistem maklumbalas  tentang
     persoalan-persoalan    dasar   dan   pembangunan   yang
     berhubung dengan perindustrian dan perdagangan;
     Kelima, untuk mengatasi  kesalahfahaman  dan  hambatan-
     hambatan  yang  menghalang  terbentuknya kerjasama yang
     bermanfaat di antara sektor awam dan swasta, dan
     Keenam, untuk  melahirkan  muafakat  tentang  arah  dan
     strategi pembangunan ekonomi negara.
14.  Sebagai  Ahli  Majlis  ini  saya  akan berterus-terang.
Sebagai Ahli-Ahli Majlis ini juga  saya  berharap  tuan-tuan
dan  puan-puan  sekalian  juga berterus-terang.   Tidak akan
berlaku penelitian atau perbincangan  secara  mendalam  jika
kita tidak berterus-terang.  Kita tidak akan dapat mengatasi
sebarang  salah  faham  dan  rintangan  ke  arah tercapainya
kerjasama yang produktif jikalau kita gagal memberi  fikiran
yang  jelas dan terang.  Pilihan dan strategi yang praktikal
akan hanya timbul jikalau kita bertukar maklumat dan fikiran
dengan bebas dan jelas.  Saya berharap setiap  para  anggota
Majlis akan berhujah dan mendengar secara serius dengan hati
dan fikiran terbuka.
15.  Adalah  penting  dan mustahak untuk tuan-tuan dan puan-
puan memberi  keutamaan  kepada  mesyuarat-mesyuarat  Majlis
ini.  Untuk menyediakan sokongan pengurusan yang diperlukan,
Kerajaan  telah  mewujudkan  sebuah  Pusat  Perkhidmatan dan
Penyelidikan Ekonomi yang bertempat di ISIS Malaysia  dengan
kakitangan yang cukup.  Pusat ini akan dipertanggungjawabkan
terhadap  penyelidikan,  urusetia, perkhidmatan-perkhidmatan
organisasi  dan   pentadbiran   untuk   Majlis   Perdagangan
Malaysia.    Kerajaan  telah  menyediakan peruntukan tahunan
bagi  membiayai  belanja  operasi  Pusat  Perkhidmatan   dan
Penyelidikan  Ekonomi  ini.    Pihak swasta tidak dimestikan
memberi sumbangan kewangan terhadap Pusat ini dan  membiayai
kerja-kerjanya.    Sungguhpun begitu persediaan telah dibuat
supaya semua sumbangan daripada sektor swasta kepada  Majlis
ini dikecualikan daripada dicukai.
Tuan-tuan dan puan-puan
16.  Pada hemat saya adalah sesuai bagi saya memberi imbasan
keadaan  ekonomi  di  negara  kita  dan  di  seluruh  dunia.
Selepas  tahun  1985-86  di  waktu  berlakunya  kemelesetan,
ekonomi  kita telah pulih dengan pesatnya dan mencapai kadar
pertumbuhan yang cemerlang.   Perindustrian di  negara  kita
semakin meningkat dan kita sekarang mengeksport lebih banyak
barang-barang  perkilangan  dibandingkan  dengan bahan-bahan
utama.    Sementara  dahulu  pembangunan  adalah  berasaskan
kepada  perbelanjaan  awam  tetapi  sekarang  ini sebahagian
besar daripada pertumbuhan ekonomi  adalah  hasil  aktiviti-
aktiviti sektor swasta.
17.  Pembangunan  negara  kita masih lebih banyak berasaskan
kepada  eksport  dan  aktiviti-aktiviti   berkaitan   dengan
eksport.    Pasaran  dalaman  kita masih terlalu kecil untuk
dijadikan jentera pertumbuhan.  Pendapatan per  kapita  kita
ialah  satu  per  lima  pendapatan  per kapita negara-negara
maju.  Dengan demikian apa yang berlaku kepada ekonomi dunia
dan terhadap dagangan bebas adalah penting kepada kita.
18.  Sungguhpun  berlaku  perang  Teluk,  Malaysia   sebagai
negara   pengeksport   minyak  telah  berjaya  mengimbangkan
sedikit  sebanyak  kesan  terhadap  pengeluaran  dan   harga
minyak.   Sungguhpun begitu kita tidak terlindung sepenuhnya
daripada  kesan-kesan  akibat  peperangan  tersebut.    Kita
telahpun  merasai  kesan  daripada  berkurangnya penerbangan
udara, kekurangan kapal-kapal kerana  keperluan  peperangan,
kenaikan    kos   pengangkutan   dan   insuran,   kekurangan
pertumbuhan ekonomi dan kemungkinan  berlakunya  kemelesetan
di  negara-negara  perdagangan utama kita.   Eksport kita ke
negara-negara yang terlibat dalam peperangan di Teluk  telah
bekurangan  akibat risiko-risiko peperangan, masalah-masalah
logistik  dan  kesukaran  menembusi   pasaran-pasaran   ini.
Kenaikan   harga   minyak  yang  diramalkan  tidak  berlaku.
Nampaknya bekalan berlebihan akan berlaku semasa dan selepas
perang.
19.  Jelaslah bahawa  Malaysia  tidak  akan  mencapai  kadar
pertumbuhan  seperti  pertumbuhan dalam masa tiga tahun yang
lepas, jikalau kita hanya berdiam  diri  dan  tidak  berbuat
sesuatu.     Kerajaan  telahpun  membuat  satu  kajian  yang
komprehensif mengenai kesan sekarang dan kesan yang  mungkin
berlaku  terhadap  kita  akibat  perang  Teluk  ini.   Untuk
menjamin kesan buruk terhadap ekonomi kita di  tahap  minima
akibat  peperangan  ini,  kita  perlu  bertindak dan membuat
penyesuaian.  Kita mesti bersedia  mengelak  daripada  hanya
meneruskan  amalan-amalan  yang  lampau.    Kita mesti sedia
mengambil risiko, risiko yang berpatutan.
20.  Kerajaan  sedia  untuk  membuat  penyesuaian-penyesuian
ini.    Kerajaan  bersedia  untuk  mendengar,  menimbang dan
menyokong sektor swasta.   Saya  berharap  Majlis  ini  akan
memainkan peranan utama di saat kita menghadapi masa hadapan
yang  mencabar.    Insya-Allah,  dengan  bersatu tenaga kita
boleh mengatasinya.
Tuan-tuan dan puan-puan
21.  Kejayaan  Majlis   ini   bergantung   kepada   semangat
bertanggungjawab  dan  komitmen setiap ahlinya.   Saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada semua  anggota  Majlis  yang
telah  bersetuju  menyertainya.    Dengan  kebijaksanaan dan
pengalaman tuan-tuan dan puan-puan serta sumbangan  daripada
sektor-sektor  lain  dalam  masyarakat, saya yakin kita akan
bersama-sama merangka arah dan matlamat  negara  yang  lebih
jelas.   Saya yakin kita dapat bekerjasama dengan rapatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan
22.  Dengan  ini  saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis
Perdagangan Malaysia ini.

 
 



 
Google