Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	KOMPLEKS BANGUNAN SULAIMAN 
Tarikh/Date 	: 	08/03/91 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN OPERASI PUNGUTAN 
			ZAKAT SECARA KORPORAT 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Menteri Perusahaan Awam merangkap
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,
Dato' Dr. Yusof Nor;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala
kerana telah mengurniakan kepada  kita  kesihatan,  petunjuk
dan  suasana  yang  aman  sehingga  kita dapat merancang dan
meneruskan   tugas-tugas   kita    bagi    mengembang    dan
mempertingkatkan  dakwah Islamiyah serta amalan-amalan Islam
demi masa hadapan umat Islam di negara kita.
2.   Suasana aman yang kita nikmati sekarang ini adalah satu
rahmat dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah  Subhanahu  wa
Ta'ala  kepada kita.  Memang sudah menjadi tabiat semulajadi
manusia yang dinyatakan oleh Al-Quran bahawa apabila manusia
berada di dalam suasana sakit, gelisah  dan  tidak  tenteram
barulah  manusia itu sedar bahawa sihat dan aman itu nikmat.
Pada ketika itu juga baharulah mereka  teringat  akan  Allah
Subhanahu wa Ta'ala dan kuasaNya.
3.   Islam  adalah agama yang sempurna.  Islam membawa mesej
yang agung untuk membebaskan setiap  umat  manusia  daripada
cengkaman   kepapaan,   kemiskinan,   penyakit,   kejahilan,
ketakutan, kehinaan  dan  apa  jua  bentuk  penindasan  baik
berbentuk lahir mahupun batin.
4.   Sebagai  penganut agama Islam, kita perlu bertanya pada
diri  sendiri  sama  ada  kita  benar-benar  telah  bersedia
membuat   segala  bentuk  perancangan  dan  persediaan  bagi
menegakkan syiar Islam atau cuma ingin melaungkan  kebenaran
dan  kebaikan  Islam  atau  berkhayal mengenai keindahan dan
keagungan yang lampau tanpa mengamal  ajaran  Islam  sebagai
Ad-din dan membuat sesuatu untuk umat pada masa ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5.   Tamadun  dan kemajuan satu-satu bangsa itu tidak pernah
dicipta dalam sekelip mata.   Ianya terpaksa  melalui  suatu
proses  masa  yang agak lama dengan beberapa syarat tertentu
yang harus dimiliki oleh satu-satu bangsa itu termasuk sifat
kreatif,  keterbukaan  kepada  satu-satu  idea  yang   baru,
sentiasa  ingin tahu, positif terhadap alam dunia, responsif
terhadap perjalanan  sejarah  dunia,  innovatif,  rajin  dan
tekun, berakhlak mulia dan umumnya mengamal nilai-nilai yang
baik.
6.   Sesungguhnya  ajaran Islam yang disampaikan kepada kita
bukan dalam  bentuk  teori  tetapi  ianya  mestilah  diikuti
dengan  amal.    Jika  kita  banyak  menghabiskan masa hanya
menumpukan kepada teori sahaja, berhujah sepanjang masa  dan
bersengketa  kerana hujah-hujah berlainan yang kita ciptakan
maka kita tidak akan berjaya  mencapai  tamadun  Islam  yang
kita  hajati.    Jika  kita  hendak  maju atau lebih berjaya
daripada orang lain, kita  hendaklah  mengurangkan  berhujah
tentang  teori  dan  menumpukan  tenaga  kita  kepada  amal.
Masyarakat yang dimomokkan dengan pelbagai teori atau konsep
yang indah-indah tanpa diikuti dengan satu perancangan  yang
konkrit  dan  proses  tindakan  susulan, maka masyarakat itu
akan menjadi  satu  masyarakat  yang  mundur  tanpa  apa-apa
keupayaan,  yang mana ini bukanlah matlamat Islam atau nasib
yang ditentukan bagi umat Islam.
7.   Masyarakat seperti  ini  berselindung  dengan  khayalan
sehingga  yang nyata dinafikan dan sebaliknya diganti dengan
tafsiran  dan  taksiran  yang   dicipta   bagi   menyembunyi
kenyataan.     Demikian  kegagalan  dikatakan  kejayaan  dan
kekalahan dikatakan kemenangan.   Akibat  daripada  penipuan
diri  sendiri  ini  maka tidak ada sesuatu yang dibuat untuk
menentukan kegagalan dan kekalahan yang telah berlaku  tidak
akan  berlaku  lagi.   Dengan itu maka umat Islam akan terus
gagal dan dihinakan.
8.   Sebaliknya jika kenyataan diakui, maka  tindakan  boleh
dibuat  untuk  memperbetulkan  yang  salah  dan meningkatkan
keupayaan sehingga  kegagalan  dan  kekalahan  tidak  selalu
berlaku.    Kegagalan  dan  kekalahan  orang  Islam bukanlah
kerana inilah yang ditentukan bagi orang Islam  oleh  Tuhan.
Pendapat  bahawa  ini,  iaitu  kegagalan dan kekalahan orang
Islam, sudahpun ditakdirkan dan tidak  ada  apa  yang  boleh
atau  harus  dibuat  oleh  umat  Islam bagi melawan apa yang
telah ditakdirkan, adalah sesuatu  yang  menghinakan  Tuhan.
Pendapat   bahawa   dunia   ini   bukan  untuk  orang  Islam
membuktikan sikap tidak bersyukur  dengan  pemberian  Tuhan.
Apakah  benar  Tuhan  tidak  menghendakkan  umat  pilihanNya
berusaha  dan  menggunakan  tenaga  dan  akal  fikiran  yang
dikurniakan oleh Tuhan kepada umat Islam juga?
9.   Ajaran oleh pihak yang berkepentingan supaya umat Islam
hanya mengamalkan ibadah tertentu dengan lebih daripada yang
diwajibkan  dan  berdoa  meminta-minta sahaja daripada Tuhan
tanpa usaha  yang  gigih  dan  penggunaan  tenaga  dan  akal
fikiran  jelas  membawa kepada kelemahan dan kegagalan orang
Islam.  Orang-orang tertentu ini memang  beruntung  daripada
ajaran  ini  kerana  umat  Islam  terpaksa bergantung kepada
mereka sebagai orang tengah  di  antara  Tuhan  dengan  diri
sendiri  dan  dengan  itu mereka mendapat tempat, dihormati,
disanjung  tinggi  serta  berkuasa.     Selagi  orang   yang
berkepentingan  ini  tidak dicabar dan disoal tentang ajaran
mereka, selama itulah  umat  Islam  akan  terus  mundur  dan
lemah.
10.  Sebaliknya  jika  ajaran oleh orang yang berkepentingan
ini disangkal dan umat Islam bekerja dengan penuh  kemahiran
dan  berkualiti  seperti  dituntut  oleh  Islam, tidak dapat
tidak orang Islam  boleh  bersaing  dengan  sesiapa  sahaja.
Lebih-lebih  lagi bagi mentadbirkan wahyu Allah Subhanahu wa
Ta'ala seperti ibadat zakat.  Ramai orang berpendapat bahawa
ibadat zakat adalah merupakan satu ibadat yang  khusus  yang
tidak  boleh  mengambilkira  aliran zaman.   Sebaliknya kita
tahu perubahan-perubahan yang berlaku dengan peredaran zaman
tidak mungkin diketepikan.  Jika di zaman Nabi s.a.w. ibadat
haji dilakukan dengan menggunakan  unta  sebagai  kenderaan,
setelah  Islam berkembang jauh dari Mekah dan melintasi laut
maka  tidak  lagi  praktikal  untuk   menaiki   unta   untuk
mengerjakan   haji.    Namun  ada  orang  dari  benua  India
umpamanya yang berjalan kaki setahun, setelah menjual  semua
harta  untuk mengikut apa yang ditafsir sebagai sunnah Nabi.
Apabila mereka kembali dari menunaikan  fardhu  haji  mereka
menjadi  miskin  dan  papa  dan  terpaksa  meminta  sedekah.
Apabila jemaah haji  mula  menggunakan  kapal  terbang,  ada
ulama  yang  mengecam  perbuatan  ini  kerana kononnya tidak
mengikut sunnah Nabi.  Perkara ini menjadi bahan  perbahasan
yang  berpanjangan  oleh ulama-ulama.  Sebenarnya penggunaan
kapal laut juga tidak mengikut sunnah Nabi kerana Nabi tidak
pernah  menyeberangi  laut  semasa  melakukan  ibadat  haji.
Sekarang   ini   tidak   lagi   disoal   tentang  penggunaan
kapalterbang  untuk  kerja  haji.  Tetapi  adanya  tentangan
terhadap  penggunaan  kapal  terbang untuk mengangkut jemaah
haji pada  masa  ianya  mula  digunakan  membuktikan  bahawa
ulama-ulama   tertentu   kerap   membuat   kesalahan  semasa
mentafsir agama.   Umumnya ulama jenis  ini  menafsir  semua
yang  baru  adalah  bertentangan dengan Islam dan semua yang
lama, walaupun kolot, adalah secocok dengan Islam.
11.  Tidak berapa lama dahulu gambar-gambar lukisan dianggap
haram.  Sebabnya ialah di zaman dahulu penganut  agama-agama
tertentu  sering  melukis  atau  mengukir patung-patung yang
kemudiannya mereka sembah sebagai imej Tuhan.  Kadang-kadang
mereka mengukir patung  yang  lucah  kerana  ingin  memenuhi
nafsu  mereka.    Tidak  hairanlah  kenapa gambar dan patung
ditegah oleh Islam.
12.  Tetapi sekarang gambar tidak perlu dilukis atau diukir.
Dengan hanya memetik butang  bukan  sahaja  gambar  terlukis
tetapi gambar itu boleh bergerak dan bercakap.  Adanya orang
tertentu  yang  menyalah-gunakan  kemudahan moden ini dengan
mencetak dan menayangkan gambar yang  lucah  tidak  bermakna
kemudahan  ini  perlu  diharamkan  secara menyeluruh, kerana
kemudahan ini juga boleh digunakan untuk  kebaikan  termasuk
mengajar ilmu pengetahuan dan juga untuk mengembangkan syiar
Islam.
13.  Hakikatnya  ialah  penggunaan kemudahan bergambar tidak
mungkin dikawal di zaman ini.    Ia  sudah  menjadi  perkara
biasa  kepada  kehidupan  masyarakat  moden.    Di mana-mana
sahaja terdapat gambar  yang  bergerak  dan  tidak  bergerak
sehingga    orang-orang    yang    mengajar    agama    juga
menggunakannya.
14.  Oleh kerana  pengharaman  tidak  dapat  dikuatkuasakan,
maka  masyarakat  Islam menerima sahaja hakikat bahawa dalam
masyarakat Islam dan bukan Islam atau masyarakat campuran di
zaman  moden  ini,  soal  gambar  dan  lukisan  tidak  dapat
dipersoalkan lagi.  Mencegah tidak akan mendatangkan apa-apa
manfaat kerana ia tidak berkesan.  Kita hanya boleh mengawal
dan  melarang  jika gambar dan lukisan digunakan dengan cara
yang melanggar tujuan  asal  larangan  terhadap  ukiran  dan
lukisan  bagi  orang Islam, -- iaitu gambar dan patung tidak
disembah atau digunakan untuk memenuhi nafsu kehaiwanan.
15.  Hanya  seratus   tahun   dahulu   sahaja   umat   Islam
mengharamkan  sebarang lukisan atau ukiran berbentuk makhluk
seperti manusia dan  binatang  serta  juga  tumbuh-tumbuhan.
Untuk  memenuhi  keinginan  kepada  seni  halus, orang Islam
mencipta berbagai-bagai lukisan dan ukiran yang  menggunakan
"Geometrical  Pattern",  dan ini digunakan untuk menghiaskan
Al-Quran,  rumah-rumah  ibadat   dan   lain-lain   bangunan.
Sekarang  larangan  terhadap  lukisan  dan ukiran benda yang
bernyawa hanya dilakukan bagi Al-Quran dan masjid.    Kitab-
kitab  yang membincangkan soal-soal agama sekarang mempunyai
banyak gambar, dan pita rakaman  gambar  bergerak  digunakan
untuk  tujuan berdakwah.   Yang jelas ialah ulama tidak lagi
menyoal  atau  melarang  penggunaan  gambar   dan   menerima
penggunaannya dalam keadaan tertentu.
16.  Jika  ini sudah berlaku terhadap satu daripada larangan
Islam kerana keadaan masa, tidakkah perlu pemandangan  Islam
terhadap  perkara-perkara seumpama ini juga diberi perhatian
dengan mengambilkira keadaan zaman, keadaan  masyarakat  dan
perubahan-perubahan  dalam  konsep  dan  nilai di zaman ini?
Besar kemungkinan saranan ini akan dikecam hebat oleh  ulama
yang  orthodox,  tetapi  kita  harus ingat bahawa dalam soal
lukisan dan gambar dan juga lain-lain perkara  mereka  sudah
sanggup  menerima  hakikat,  bahkan  mereka  sendiri sanggup
"menyeleweng" secara terbuka.  Dalam soal lelaki dan  wanita
umpamanya, apakah benar pendapat bahawa wanita menjadi punca
segala   keganasan  lelaki,  dan  dengan  itu  mereka  harus
menyembunyikan  diri  mereka  supaya  tidak  membakar  nafsu
lelaki?  Apakah lelaki tidak langsung bersalah?  Di zaman di
mana  perjalanan  begitu  mudah sekarang ini, tidakkah benar
terdapat  lelaki  Islam  sering  ke  negara-negara  di  mana
wanitanya  bebas dan oleh kerana mereka tidak pernah melihat
wanita bebas maka benarkah atau tidak lelaki Islam melakukan
bermacam kegiatan  yang  dilarang?    Apakah  ini  kesalahan
wanita, atau kesalahan lelaki yang sengaja mengejar nafsu.
17.  Pada  pendapat  orang  tertentu apa yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w.  di  dalam  pemerintahan  dan  pentadbiran
Baginda   1400  tahun  dahulu  hendaklah  dicontohi  seratus
peratus tanpa menggunakan  akal  fikiran  dan  mengambilkira
keadaan  dan  kemajuan zaman.   Bahkan ada yang menambah dan
menokok kepada amalan dan larangan agama kerana kononnya ini
adalah lebih baik di sisi agama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18.  Kita mendakwa  bahawa  Islam  adalah  satu  agama  yang
sesuai  untuk semua zaman dan tempat.  Tetapi jika kita cuba
mengembalikan  masyarakat  zaman  ini  kepada  keadaan   dan
sekitaran   di   abad   ke  tujuh  Masihi  dengan  membentuk
masyarakat Arab di tanah Arab zaman itu, bagaimanakah  dapat
kita  pertahankan  dakwaan  kita  bahawa  Islam adalah untuk
semua zaman dan tempat.  Tetapi inilah yang cuba dibuat oleh
orang tertentu.   Oleh kerana puak  ini  berjaya  menakutkan
sebahagian  besar  orang  Islam sehingga ajaran mereka tidak
boleh disoal, maka hari ini umat Islam sudah  menjadi  orang
yang ketinggalan zaman, mudah ditindas dan diperalatkan oleh
kuasa   bukan   Islam.      Demikian   sebuah  negara  Islam
dilengkapkan dengan senjata sehingga negara itu  percaya  ia
begitu  kuat  dan  boleh  menakluk  semua  negara Arab lain.
Akibat tindakan yang berasas kepada keangkuhan kuasa ini, ia
dimusnahkan oleh kuasa asing kerana  sebenarnya  kekuatannya
terhad.    Dengan  kekalahan  yang  teruk, maka semua negara
Islam terletak di bawah telunjuk kuasa lain.
19.  Sebuah negara belum boleh menganggap dirinya  kuat  dan
mampu   berperang   sehinggalah   ia   dapat   mencipta  dan
mengeluarkan senjatanya sendiri yang sama canggihnya  dengan
senjata  musuh.  Jika ia terpaksa membeli senjata dari pihak
lain, ia masih lemah dan  mudah  ditewaskan.    Oleh  kerana
tidak  ada negara Islam di zaman ini yang mampu mencipta dan
mengeluarkan sendiri senjata yang canggih  disebabkan  tidak
memberi  tumpuan  kepada ilmu dan kepakaran moden, maka umat
Islam sekarang terletak di bawah telunjuk  orang  asing  dan
dipermainkan.
21.  Namun  ada yang masih mendakwa bahawa sebenarnya negara
Islam ini menang dan tidak kalah  walaupun  jelas  ia  jatuh
tersungkur di bawah kaki kuasa asing.  Khayalan yang semacam
ini   juga   menghalang   pemeriksaan   diri  sendiri  untuk
memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang berlaku.  Maka  akan
berterusanlah  umat Islam dengan pendekatan yang lama.  Umat
Islam akan terus dengan sikap dan cara-cara yang kolot  yang
tidak  sesuai  dengan  zaman hasil dari salah-tafsir, salah-
ajar dan khayalan yang melanda umat Islam di zaman ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
21.  Kerajaan  sentiasa  memikirkan  mengenai  urusan-urusan
negara  yang  boleh  disesuaikan dengan Islam.  Dalam sistem
kewangan  moden,  bank  memainkan  peranan   yang   penting.
Sementara  Islam melarang riba tetapi tidak mungkin bank dan
peminjaman wang dibuat tanpa keuntungan sama  sekali  kepada
pihak  yang  memberi pinjaman.  Maka dibentuklah sistem bank
Islam yang sebenarnya tidak ada di zaman  Rasulullah  s.a.w.
Di  zaman  itu orang Yahudi yang memberi pinjaman dan mereka
mengenakan bunga  sebanyak  240  peratus  setahun  dan  jika
peminjam  tidak  dapat  membayar balik, maka segala hartanya
boleh dirampas atau ia menjadi hamba abdi kepada orang  yang
memberi  pinjaman  kepadanya  sehingga  ia dapat menjelaskan
hutangnya.   Melalui  perkiraan  penilaian  pendapatan  dari
hutang, maka Bank Islam boleh mendapat keuntungan yang tidak
menjadi beban kepada si-berhutang tanpa tekanan faedah.
22.  Demikian juga walaupun di zaman Rasulullah s.a.w. tidak
ada  urusan  insuran,  melalui takaful kita dapat mengadakan
insuran yang  tidak  bercanggah  dengan  Islam.    Berkenaan
dengan  kutipan  zakat  juga sistem pelaksanaannya hendaklah
sesuai dengan zaman ini  tanpa  bertentangan  dengan  ajaran
Islam.
23.  Semua ini adalah sebahagian daripada Ad-din iaiatu cara
hidup  Islam.    Cara  hidup  islam  tidak bermakna mencipta
semula keadaan di zaman Rasulullah s.a.w. supaya kita  dapat
meniru  seratus  peratus cara hidup di zaman itu.  Jika cara
hidup Islam hanya boleh dilakukan dalam  keadaan  masyarakat
1400  tahun  dahulu,  maka  ini  adalah  sama dengan berkata
bahawa islam hanyalah untuk kurun ketujuh  Masihi  di  tanah
Arab  sahaja.    Tetapi  kita semua tahu bahawa Islam adalah
untuk semua zaman dan semua masyarakat, sama ada  Arab  atau
bukan  Arab.   Dengan itu Ad-din atau cara hidup Islam tidak
dikehendaki menyerupai hidup di zaman Rasulullah s.a.w. atau
dalam masyarakat Arab tetapi hidup di zaman ini di mana-mana
sahaja oleh masyarakat yang Arab atau bukan Arab.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
24.  Pada kesempatan ini  saya  mengucapkan  tahniah  kepada
Majlis  Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana telah berjaya
maju setapak ke hadapan dalam  mengatur  dan  memperkemaskan
Sistem  Pentadbiran  dan Pengurusan Zakat dengan menggunakan
kemudahan teknologi moden  demi  kebaikan  dan  faedah  kita
semua.   Ini menunjukkan "commitment" kita kepada agama kita
dan diharapkan ianya menjadi simbol dakwah dan contoh  bukan
sahaja  di  dalam  negeri bahkan di negara-negara Islam yang
lain.
26.  Marilah  kita  bersama-sama  berdoa  ke  hadrat   Allah
Subhanahu  wa Ta'ala semoga apa yang diusahakan ini dan yang
akan diusahakan pada masa akan datang akan mendapat  berkat,
pentunjuk dan hidayah daripada Allah Subahanahu wa Ta'ala.
     Sekian,  wabillahi  taufik  walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google