Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PELABUHAN KLANG UTARA, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	12/03/91 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PELAYARAN ULUNG KAPAL 




 Yang Mulia Raja Tan Sri Muhammad Alias
Pengerusi
Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad
Yang Berhormat Menteri-Menteri
Dif-dif Kehormat
Tuan-tuan dan puan-puan
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  Pengerusi dan
ahli-ahli    Lembaga    Pengarah    Perbadanan    Perkapalan
Antarabangsa  Malaysia  Berhad  kerana  menjemput saya untuk
merasmikan pelayaran ulung kapal tangki minyak sawit terbaru
MISC, 'Bunga Siantan' dan juga untuk melancarkan
perkhidmatan pengangkutan  kontena,  MISC  Haulage  Services
Sendirian Berhad.
2.   Kita  bersyukur  kerana ekonomi negara ini adalah baik.
Pertumbuhan   dalam    aktiviti-aktiviti    ekonomi    telah
meningkatkan   permintaan   tempatan,  yang  membawa  kepada
perkembangan   dalam   berbagai-bagai   industri   tempatan.
Permintaan  luar  untuk  barang-barang keluaran negara kita,
terutamanya  bahan  berasaskan  sumber  alam,  barang-barang
elektrik  dan  penghasilannya telah meningkatkan pengeluaran
untuk dieksport.   Keadaan  ekonomi  yang  menggalakkan  ini
pasti  akan  meninggalkan  kesan  yang  positif kepada semua
industri termasuk industri perkhidmatan.
Tuan-tuan dan puan-puan
3.   Perkapalan merupakan sektor terpenting  dalam  industri
pengangkutan.    Satu  sistem pengangkutan yang unggul perlu
diwujudkan untuk memastikan barang-barang untuk eksport  dan
import  dapat  sampai  ke destinasi dengan cepat dan selamat
seperti  yang   dijadualkan.      Selain   daripada   sistem
pengangkutan  udara  dan  darat,  pengangkutan barang-barang
melalui laut terus penting  kerana  hanya  kapal  laut  yang
mampu  mengangkut  barang-barang yang berat dan besar dengan
murah.  Oleh itu Kerajaan sentiasa  memberi  perhatian  yang
berat terhadap pertumbuhan industri perkapalan negara.
4.   Industri   perkhidmatan   termasuk   perkapalan   perlu
bergerak seiring dengan kemajuan  dalam  sektor  perusahaan.
Kedua-dua industri ini sepatutnya sokong menyokong di antara
satu   sama  lain.     Tetapi  biasanya  pertumbuhan  sektor
perusahaan  mendahului  sektor  perkhidmatan.    Kita  perlu
berusaha  untuk menentukan pertumbuhan yang seimbang, kerana
pembangunan   yang   tidak   seimbang   akan   mengendalakan
pembangunan  industri  dan  melemahkan  pelaburan  khususnya
untuk eksport
5.   Kerajaan yang sedar tentang perlunya bantuan  diberikan
untuk  memastikan  pertumbuhan yang seimbang dan pembangunan
yang teratur dalam industri  perkapalan  telahpun  membentuk
berbagai-bagai insentif termasuk insentif fiskal pada tahun-
tahun  yang lalu.  Industri perkapalan, pada keseluruhannya,
telah menunjukkan reaksi yang positif kepada  insentif  ini.
Untuk  memenuhi  keperluan  perdagangan  masa kini, bilangan
kapal  yang  berdaftar  di  negara  ini  dan  dimiliki  oleh
warganegara  Malaysia  telah meningkat dengan kemudahan yang
lebih canggih.
6.   Walau  bagaimanapun  masih  banyak  lagi   yang   perlu
dilakukan.    Walaupun  kadar tambang berada pada paras yang
stabil dan pengangkutan barang-barang oleh syarikat-syarikat
perkapalan dan penerbangan turut  meningkat,  defisit  kadar
tambang  dan  insuran juga terus meningkat kerana penggunaan
kapal  dan  insuran  asing.     Perbezaan  ini   menunjukkan
pembangunan  yang  tidak  seimbang  dalam  sektor perkapalan
negara  dibandingkan  dengan  pertumbuhan   dalam   dagangan
Malaysia.   Sekiranya perkembangan angkatan kapal kita tidak
diselaraskan   dengan   keperluan   perdagangan    Malaysia,
permintaan  untuk  perkhidmatan  perkapalan asing akan terus
meningkat.    Ini  akan  menjejaskan  ekonomi  kita   kerana
sebahagian  besar  daripada  kos  perdagangan akan dinikmati
oleh perusahaan perkapalan dan insuran negara asing.
7.   Peningkatan pendaftaran kapal-kapal  di  Malaysia  akan
dapat  menolong  membetulkan kedudukan ini dan menyumbangkan
kepada penjimatan dalam pertukaran mata wang asing.  Ia juga
akan  dapat  membantu   mengurangkan   pergantungan   kepada
syarikat-syarikat  perkapalan  dan insuran asing.  Dalam hal
ini  saya  merasa  bangga  kerana  MISC  dalam  usaha  untuk
mempertahankan   kedudukannya  sebagai  syarikat  perkapalan
nasional   yang   terbesar   sedang   melaksanakan   program
pembesaran  angkatan  kapalnya.   Saya sedar bahawa industri
perkapalan bukan sahaja memerlukan modal yang  besar  tetapi
pulangan pelaburannya juga adalah rendah.  Industri ini juga
mempunyai  tempoh  pulangan  hasil yang lama dan dipengaruhi
oleh kitaran  pasaran  yang  tidak  menentu.    Namun  tanpa
penyertaan  kapal-kapal  kita  sendiri,  kita  akan terdedah
kepada tekanan-tekanan konferansi perkapalan yang  menguasai
industri ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Persaingan   dalam   industri  perkapalan  antarabangsa
adalah amat sengit.  Para pelanggan perkapalan biasanya akan
cuba mendapatkan kadar tambang yang rendah dan para  pemilik
kapal  Malaysia  perlu  sentiasa  sedar akan hakikat ini dan
mesti berusaha untuk menawarkan kadar yang kompetitif  untuk
menarik para pelanggan, di samping memberi perkhidmatan yang
cekap  dan  reliable.    Syarikat-syarikat perkapalan negara
mestilah sentiasa berusaha untuk mengurangkan kos.
9.   Kerajaan akan terus memberi  sokongan  dan  bantuan  di
mana  perlu.   Ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan yang
ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maritim.  Dalam  hal
ini,   perhatian  akan  terus  diberikan  kepada  kemudahan-
kemudahan sampingan seperti  latihan,  kemudahan  baik-pulih
kapal  dan  pembangunan pelabuhan supaya industri perkapalan
negara dapat tumbuh dalam suasana yang penuh persaingan.
10.  Satu aspek yang jarang dikenali oleh umum dalam  bidang
perkapalan  ialah  peluang  pekerjaan  yang  terdapat  dalam
sektor  ini  serta  aktiviti-aktiviti  kaitan.      Terdapat
beberapa buah negara di mana pendapatan pelaut-pelaut mereka
yang   bekerja  dengan  kapal-kapal  asing  merupakan  punca
pendapatan negara yang penting.  Malaysia mempunyai  tradisi
maritim  dan oleh itu tidak ada sebabnya mengapa kapal-kapal
kita  tidak  boleh  diusaha  dan  dikendalikan  oleh  rakyat
Malaysia  sendiri.    Kapal-kapal  moden dilengkapkan dengan
bermacam-macam kemudahan termasuk bilik dingin  dan  makanan
segar serta televisyen.  Di samping itu semasa di laut semua
pendapatan  boleh  ditabungkan  untuk  pembelian  harta atau
pelaburan kemudian.  Jika pun rakyat Malaysia tidak  sanggup
menjadi  pelaut  seumur hidup, dengan bekerja hanya beberapa
tahun sahaja mereka boleh mengumpulkan  wang  untuk  bersara
daripada kerja di laut.  Kerjaya di laut menawarkan peluang-
peluang  yang  luas  kepada  anak-anak Malaysia yang sanggup
mengembara dan menghadapi cabaran walaupun risiko  pelayaran
tidak lagi seperti di zaman dahulu.
11.  Negara  kita  khasnya  dan  negara-negara  ASEAN  amnya
dijangka  menjadi  sumber   utama   pelaut-peluat   terlatih
memandangkan  kekurangan  serta kos yang tinggi bagi pelaut-
pelaut dari negara-negara maju.  Persaingan permintaan  bagi
tenaga   manusia   mahir   dalam  industri  di  darat  perlu
diambilkira oleh para pemilik kapal dalam usaha mereka untuk
mengekal dan menambahkan bilangan kakitangan di laut.   Para
pemilik  kapal perlu memikirkan dan memberi perhatian kepada
peningkatan bilangan pelaut tempatan yang terlatih.   Adalah
penting  bagi  pihak-pihak berkuasa yang berkenaan memainkan
peranan dalam memastikan kita  tidak  menghadapi  ketandusan
pelaut-pelaut terlatih di Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Saya  merasa  bangga melihat MISC mempelbagaikan bidang
perniagaanya dan sekarang sudah mula melibatkan  diri  dalam
operasi   di   darat   yang  merupakan  sebahagian  daripada
rancangan mereka untuk membangun dan menjadi sebuah syarikat
pengangkutan dan pengedaran  yang  serba  lengkap.    Jumlah
barang-barang  berkontena yang bergerak melalui pelabuhan di
Malaysia telah meningkat dengan pesatnya  dalam  tahun-tahun
kebelakangan   ini   dan   walaupun  ke  tiga-tiga  syarikat
pengangkut kontena  yang  ada  sekarang  telah  meningkatkan
ruang muatan mereka, adalah terbukti yang mereka sukar untuk
memenuhi  sepenuhnya  permintaan  yang kian bertambah.  Oleh
itu,  Kerajaan  telah  meluluskan  permohonan   MISC   untuk
melibatkan   diri   dalam   pengangkutan  kontena.     Dalam
mempertimbangkan  permohonan  MISC,  Kerajaan  mengambilkira
kedudukannya  sebagai  syarikat  perkapalan yang terbesar di
Malaysia dan juga  bilangan  kontena  yang  dikendalikannya.
Namun  Kerajaan akan monitor sepanjang masa prestasi khidmat
keempat-empat syarikat  pengangkut  kontena.    Jika  mereka
tidak  dapat  menampung permintaan atau khidmat mereka tidak
memuaskan, maka  Kerajaan  akan  mengeluarkan  lesen  angkut
kontena  kepada  pihak  lain yang berminat.   Kerajaan ingin
menekankan pentingnya pengangkutan kontena  menjadi  efisien
demi meningkatkan daya saingan export Malaysia.
13.  Saya   berharap   penglibatan   MISC  Haulage  Services
Sendirian Berhad  dalam  bidang  pengangkutan  kontena  akan
membawa   kepada   pertambahan  ruang  pengangkutan  kontena
sejajar dengan  permintaan.    Persaingan  dengan  syarikat-
syarikat  pengangkut  kontena yang lain akan memberi manfaat
kepada para pengguna yang mempunyai lebih pilihan.   Melalui
pengurusan  yang  cermat,  disiplin  dan sistem pasaran yang
teratur, saya  percaya  MISC  Haulage  Services  akan  dapat
mengukuhkan  kedudukannya  dan membina satu reputasi melalui
perkhidmatan yang cekap dan dipercayai.    Saya  mengucapkan
selamat maju jaya kepada syarikat MISC Haulage Services.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Kerajaan telah lama mempertimbangkan untuk menswastakan
Limbungan  Perkapalan  dan  Kejuruteraan  Malaysia Sendirian
Berhad  (MSE).    Berbagai-bagai  spekulasi   telah   dibuat
mengenai  hal  ini.    Saya suka mengumumkan bahawa Kerajaan
telah membuat satu keputusan mengenai perkara ini.  Kerajaan
akan menswastakan semua pegangan ekuitinya dalam MSE  kepada
sebuah  konsortium  yang  dianggotai  oleh syarikat-syarikat
yang terlibat dalam  perkhidmatan  perkapalan.    MISC  akan
menjadi pemegang ekuiti yang terbesar di dalam MSE yang akan
disusun  semula.   Saya yakin, kumpulan pengurusan yang baru
ini akan berjaya memimpin  limbungan  perkapalan  ini  untuk
terus meningkat dan membangun demi kepentingan negara.  Saya
berharap  perhatian  yang  lebih dapat diberikan dalam usaha
menyedia  dan  meningkatkan  perkhidmatan  baik-pulih   bagi
industri perkapalan serta pembinaan kapal.
Tuan-tuan dan puan-puan
15.  Saya  mengucapkan tahniah kepada MISC sempena pelayaran
ulung   'Bunga   Siantan'   dan   pelancaran    perkhidmatan
pengangkutan  kontena.    Saya yakin MISC akan terus memberi
perhatian  kepada  keperluan  para  pelanggannya  dan   akan
sentiasa  mengikuti  perkembangan  teknologi  dalam usahanya
untuk menyediakan satu  perkhidmatan  yang  bermutu  tinggi.
Kejayaan  MISC  sangat membanggakan dan saya penuh yakin ini
dapat dikekalkan.
16.  Sekarang   saya    dengan    sukacitanya    melancarkan
perkhidmatan  pengangkutan  kontena  MISC  Haulage  Services
Sendirian  Berhad  dan  merasmikan  pelayaran  ulung  'Bunga
Siantan'.

 
 



 
Google