Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : LOT 10 KOMPLEKS MEMBELI-BELAH KUALA
LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 13/03/91
Tajuk/Title : PERASMIAN LOT 10 KOMPLEKS MEMBELI-
BELAH KUALA LUMPUR
Yang Berbahagia Dato' Suleiman Manan,
Pengerusi Mayang Sari Sdn Bhd;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya berasa sukacita kerana diberi peluang untuk
memberikan sepatah dua kata sempena Majlis Perasmian Lot 10
Kompleks Membeli-belah ini.
2. Kompleks membeli-belah ini merupakan satu lagi pusat
membeli-belah yang menarik bagi penduduk dan pelawat ke
bandaraya ini. Warnanya yang berlainan pun sudah cukup bagi
mengasingkan bangunan ini daripada bangunan-bangunan lain di
sekitar Kuala Lumpur. Ia juga merupakan pusat membeli-belah
yang agak eksklusif kerana barang-barang yang terdapat di
kompleks ini adalah terdiri daripada jenama-jenama yang
terkenal. Kompleks ini yang terletak di Kawasan Tiga Segi
Emas yang sentiasa sibuk siang dan malam dengan sendirinya
meletakkan Lot 10 di antara kompleks membeli-belah yang
istimewa. Hakikat tempat kedudukannya ini saya yakin akan
membantu menjayakan Kompleks Lot 10 sebagai pusat membeli-
belah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Bandaraya Kuala Lumpur semakin terkenal sebagai
bandaraya yang bersih dan cantik yang di senangi oleh bukan
sahaja penduduknya tetapi juga oleh para pelancong dari
dalam mahupun dari luar negeri. Kuala Lumpur juga semakin
terkenal sebagai pusat membeli-belah yang sangat menarik
serta mampu bersaing dengan pusat-pusat membeli-belah yang
lain di rantau ini. Kita masih ingat tidak berapa lama
dahulu begitu ramai sekali rakyat Malaysia mengambil
kesempatan pada musim-musim percutian, perayaan dan
sebagainya untuk ke negara jiran bagi tujuan membeli-belah.
Tetapi sekarang ini kita perhatikan yang sebaliknya berlaku.
4. Ini adalah kerana Kerajaan telah menghapuskan cukai ke
atas berbagai-bagai jenis barang-barang yang dahulu
dikenakan cukai yang tinggi. Strategi ini bertujuan untuk
meningkatkan aktiviti membeli-belah bukan semata-mata untuk
rakyat tempatan tetapi juga untuk para pelancong. Sekaligus
ia membantu industri pelancongan yang juga akan meningkatkan
pendapatan rakyat. Jelaslah hari ini strategi ini tepat dan
berkesan. Tetapi harus diingat bahawa kesan strategi ini
bergantung juga kepada penyampaian kesan penghapusan cukai
kepada pembeli. Jika peniaga membolot semua pengurangan
cukai bagi diri sendiri, maka harga tidak akan turun dan
sudah tentu tidak akan menjadi daya penarik bagi pembeli.
Saya berbangga kerana ini tidak dilakukan oleh peniaga-
peniaga di Kuala Lumpur. Percayalah bahawa dengan strategi
mengambil untung yang sederhana, peniaga akan menikmati
keuntungan yang berpanjangan.
5. Pertumbuhan pusat membeli-belah mewah dapat diadakan
hanya jika ada bilangan rakyat yang mampu membeli barang-
barang mewah ini. Oleh kerana negara kita aman dan stabil
dan dengan itu ekonomi tumbuh dengan pesatnya, maka hari ini
ramai rakyat yang mampu menjadi pelanggan barangan mereka.
Harus diingat juga bahawa retail business memberi banyak
peluang pekerjaan, dan pekerja juga mendapat manfaat
daripada pertumbuhan dalam sektor ini. Justeru itu pekerja-
pekerja di pusat membeli-belah hendaklah melayan pelanggan
dan membantu menjayakan perniagaan kerana secara langsung
mereka akan mendapat nikmat. Mudah-mudahan dengan majunya
perniagaan, pekerja akan dapat pendapatan yang lebih.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Saya merasa gembira kerana tidak banyak berlaku kes-kes
di mana kemudahan awam dimusnahkan. Ini adalah bukti bahawa
penduduk-penduduk di bandar-bandar semakin 'civic conscious'
dan bertanggungjawab terhadap kemudahan-kemudahan yang
memang pun disediakan untuk mereka. Tuan-tuan punya
bangunan juga semakin bertanggungjawab dan menjaga keadaan
bangunan mereka supaya sentiasa kelihatan bersih dan
menarik. Membelanjakan wang yang banyak untuk bangunan yang
indah dan menarik akan menjadi pembaziran jika "maintenance"
kurang dan dalam masa yang singkat menjadi tidak menarik
lagi.
7. Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan menjadi seindah dan
sebersih seperti yang kita dapati pada hari ini, jika tidak
dengan kerjasama setiap penghuni yang tinggal di bandaraya
ini. Pihak penguatkuasa dan pihak yang menjaga kebersihan
bandar ini tidak akan terdaya dan mampu menjaga kebersihan
tanpa kerjasama daripada setiap penduduk. Mereka tentu
sedar bahawa yang menikmati secara langsung keselesaan hidup
hasil kerjasama mereka ialah mereka sendiri. Lebih daripada
itu bandar yang bersih dan indah menarik para pelancong dan
juga syarikat-syarikat untuk mengadakan pejabat mereka di
sini, dan sekali lagi secara langsung peluang pekerjaan
bertambah dan semua jenis perniagaan meningkat maju kerana
ramai lagi pelanggan yang membeli-belah. Hanya kebaikan
yang mendatangkan kebaikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Kerajaan memang sentiasa bersikap terbuka kepada
cadangan-cadangan dan pandangan-pandangan daripada mana-mana
pihak jika ianya adalah bertujuan untuk memajukan lagi
bandaraya Kuala Lumpur ini. Kita ingin melihat Kuala Lumpur
satu hari nanti menjadi bandaraya yang setaraf dengan
bandaraya-bandaraya lain yang sudah lama terkenal di dunia
ini. Dengan mempelajari pengalaman yang telah dilalui oleh
bandaraya-bandaraya yang lebih lama ini, dan dengan tidak
melakukan kesilapan-kesilapan yang telah mereka lakukan,
Kuala Lumpur mungkin dapat menjadi bandaraya yang lebih
berjaya dari bandaraya-bandaraya tersebut. Dengan ini bukan
sahaja kita boleh berbangga, bahkan bermegah sedikit dengan
ibu kota negara kita, tetapi kita akan dapat berbagai
nikmat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Lot 10 yang terletak di kawasan yang strategik di mana
terdapat juga beberapa pusat membeli-belah yang lain yang
sudahpun menjadi terkenal akan terpaksa bersaing untuk
menentukan ianya juga mampu mendapatkan tempat bagi dirinya
sendiri. Persaingan jika dilakukan dengan mematuhi kepada
etika-etika perniagaan yang baik yang perlu ada kepada
setiap ahli perniagaan akan merupakan persaingan yang sihat.
Persaingan yang sihat akan mendatangkan manfaat kepada semua
pihak bukan sahaja kepada peniaga-peniaga, tetapi juga
kepada para pengunjung dan mereka yang membeli-belah.
10. Saya berharap Lot 10 Kompleks Membeli-belah yang
terbaharu di Bandaraya Kuala Lumpur ini akan dapat mengukir
'niche'nya yang tersendiri dan berjaya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Lot 10
Kompleks Membeli-belah yang indah ini.
|