Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue	: 	ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	15/04/91 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 
			MELALUI RADIO DAN 
			TELEVISYEN MALAYSIA 




 Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
    Syukur  Alhamdulillah,  bulan Ramadan sudah pun berlalu
dan kita telah dapat menunaikan ibadat puasa  dalam  keadaan
yang  tenang  dan sempurna.  Kita berharap kita bukan sahaja
mendapat pahala untuk diri sendiri, tetapi juga kita menjadi
insan yang lebih insaf akan tekanan-tekanan hidup dan  lebih
mampu menghadapi desakan nafsu yang selalu menyerang kita.
2.   Ibadat   puasa   adalah  satu  hikmat  untuk  membentuk
peribadi mulia mengikut ajaran  Islam.    Dalam  keghairahan
kita  dengan kemewahan hidup, dengan tubuh badan yang sihat,
dengan umur yang muda, kita yang berpuasa akan diingati oleh
amalan puasa itu bahawa kemewahan, kesihatan dan  umur  yang
muda  bukanlah  buat  selama-lamanya.    Jika kita lupa akan
kemungkinan menjadi miskin dan lapar, kurang sihat dan  umur
yang semakin meningkat, kita tidak akan insaf dan bersyukur.
Lebih   buruk   lagi  kita  tidak  akan  berhati-hati  untuk
memelihara kebahagiaan hidup kita, kesihatan kita  dan  masa
depan  kita  apabila  umur  meningkat.   Di samping itu kita
tidak akan bertimbang rasa terhadap penderitaan  orang  lain
yang  tidak  bernasib  baik.    Masyarakat  yang  tidak tahu
bersyukur, insaf dan bertimbang rasa akan menjadi masyarakat
yang tidak tenang, tidak maju dan  tidak  bahagia.    Dengan
berpuasa  kita dapat memelihara diri dan masyarakat daripada
ditimpa keburukan akibat  daripada  sifat-sifat  yang  tidak
diingini.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
3.   Hari  Raya  menandakan  tamatnya sebulan kita berpuasa,
iaitu satu bulan kita menguji ketabahan diri  kita  daripada
tekanan-tekanan  nafsu.    Pada  Hari  Raya  kita  merayakan
kemenangan kita mengatasi ujian ini.  Kita berhak bergembira
dengan  sopan  dan  sempurna  tetapi  kita  juga   hendaklah
menyifatkan  Hari  Raya  sebagai satu lagi hikmat dan nikmat
yang mempunyai pengajaran yang tertentu bagi kita.
4.   Hari Raya Aidilfitri dikurniakan  kepada  kita  sebagai
satu  ganjaran.    Juga Hari Raya ialah hari kedamaian, hari
kita bersalam-salaman, memohon maaf kepada kawan dan  lawan.
Dengan  amalan  ini,  menyusuli amalan puasa, umat Islam dan
umat manusia di mana juga mereka berada tetap akan  mendapat
kebahagiaan, insya-Allah.
5.   Pada  hari  yang  mulia  ini marilah kita banyak-banyak
melafazkan  kesyukuran  ke  hadrat  Ilahi  kerana   limpahan
berbagai  kurniaan  yang  kita  di Malaysia dapat menikmati.
Beberapa perkembangan dalam negara sangat menggalakkan,  dan
kita  haruslah  bersyukur  kepada  Ilahi  atas kurniaan ini.
Marilah kita berdoa semoga dengan  kesyukuran  kita  ini  --
kesyukuran  seluruh  rakyat  Malaysia  --  kita  semua  akan
dicucuri lebih banyak lagi nikmat-nikmat di masa depan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
6.   Kita bernasib baik kerana terdapat  kestabilan  politik
di  negara  kita.    Persefahaman  dan keharmonian kaum juga
terpelihara.  Kestabilan  politik  dan   perpaduan   amatlah
penting dan kita semua bertanggungjawab untuk  memeliharanya
supaya negara kita terus aman dan damai dan terus membangun.
Kita  harus  ingat  bahawa  di mana terdapat keadaan politik
yang tidak stabil dan kaum-kaum bertelagah, pembangunan  dan
kemajuan  dalam apa juga bidang amat sukar dicapai.  Rusuhan
juga mungkin berlaku.
7.   Ekonomi negara  kita  juga  semakin  baik.  Pertumbuhan
ekonomi  negara kita sebanyak 8.1% pada tahun 1988 merupakan
yang  tertinggi  sepanjang  tahun-tahun  80an.      Imbangan
pembayaran  negara  kita terus kukuh.  Eksport dagangan kita
tahun lalu terus mencatatkan  pertumbuhan  dua  angka,  atau
double-digit  growth, bagi tahun kedua berturut-turut, iaitu
selepas  pertumbuhan  yang  sangat  baik  pada  tahun  1987.
Kedudukan   kewangan  Kerajaan  Persekutuan  juga  bertambah
teguh.
8.   Kerajaan yakin bahawa pertumbuhan  ekonomi  pada  tahun
1989 ini akan terus menggalakkan.  Salah satu faktor penting
bagi   meneruskan   pertumbuhan   ekonomi  ialah  memastikan
pelaburan swasta, sama ada dari dalam atau dari luar negeri,
terus meningkat.  Kita harus sedar bahawa  pelaburan  swasta
adalah   salah  satu  jentera  pertumbuhan  ekonomi  negara.
Kemajuan yang kita capai setakat ini sangat membanggakan dan
kita semua harus bersyukur ke hadrat Ilahi.
9.   Sekarang  ini  kita  juga  memberi   perhatian   kepada
industri  pelancongan.    Tahun depan telahpun diisytiharkan
sebagai 'Tahun Melawat Malaysia' dengan tujuan  meningkatkan
lagi  bilangan  para pelancong ke Malaysia.  Kejayaan kempen
ini bergantung bukan sahaja  kepada  Kerajaan,  tetapi  juga
kepada  semua  rakyat  Malaysia.    Para  pelancong mestilah
berasa kedatangan mereka dialu-alukan oleh  rakyat  Malaysia
dari  sekarang  lagi.    Kejayaan  kempen  ini juga bermakna
peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan akan bertambah  dan
ekonomi negara akan meningkat lagi.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
10.  Semua yang berlaku kepada negara kita, ada kaitan rapat
dengan  kehidupan  diri kita sendiri.   Jika keadaan politik
tidak  stabil,  kita  akan  merasai  kesannya  seperti  yang
dialami  oleh penduduk-penduduk beberapa buah negara di mana
rusuhan berlaku disebabkan oleh politik yang  tidak  stabil.
Kita  sendiri  tidak  harus  lupa peristiwa 13 Mei 1969 yang
berlaku di negara kita.   Demikianlah  juga  dengan  ekonomi
negara.   Apabila ekonomi merosot, ramai yang menganggur dan
pendapatan mereka yang bekerja  dan  yang  berniaga  menurun
sehingga  ramai  pula  yang  menjadi  muflis.    Sebaliknya,
pemulihan ekonomi sekarang tetap membawa nikmat kepada  kita
semua.    Peluang-peluang  pekerjaan  bertambah,  pendapatan
meningkat dan yang miskin sekali pun  lebih  mudah  mendapat
bantuan.    Dengan perkataan lain, pemulihan dan pertumbuhan
ekonomi  negara,  secara  langsung  atau   tidak   langsung,
mempunyai kesan baik kepada setiap individu.
11.  Justeru  itu kita hendaklah insaf bahawa usaha mengawal
keamanan,  menstabilkan  politik  dan  membangunkan  ekonomi
adalah  untuk  kepentingan dan kebaikan setiap rakyat negara
ini.  Bukanlah niat kita mendabik dada kepada dunia mengenai
pencapaian  negara  dengan  menyebut-nyebutkan   angka-angka
ekonomi  tadi.    Kita  sebutkan tentang pencapaian kita ini
kerana ia ada kaitan yang rapat dengan baik  buruknya  nasib
penduduk-penduduk  negara  ini.    Di samping kita merayakan
kemenangan kita melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan,  kita
juga  boleh  merayakan  kejayaan  kita  melawan  kemelesetan
ekonomi yang kita alami beberapa tahun yang lepas.    Insya-
Allah,  jika  kita tidak membuat sebarang angkara, jika kita
bersabar, kita akan dapat merayakan Hari  Raya  pada  tahun-
tahun yang akan datang dengan lebih meriah lagi.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
12.  Pada   Hari   Raya  ada  juga  anggota-anggota  pasukan
keselamatan dan pekerja-pekerja di jabatan-jabatan  tertentu
yang  terpaksa menjalankan tugas-tugas mereka seperti biasa.
Kita tidak lupa akan pengorbanan mereka.  Ada juga  anggota-
anggota  tentera  kita  yang menyambut Hari Raya di Namibia,
Iran dan Iraq.   Mereka adalah sebahagian  daripada  pasukan
tentera  dari  beberapa  buah  negara yang bertugas di bawah
Bangsa-Bangsa Bersatu  untuk  menjaga  keamanan  di  negara-
negara  tersebut.    Tugas  mereka  adalah tugas yang mulia.
Kita mengucapkan tahniah, terima kasih dan  Selamat  Berhari
Raya  kepada  mereka  di  mana  juga mereka bertugas.   Kita
berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala sentiasa  melindungi
mereka.
13.  Kepada   kaum  Muslimin  dan  Muslimat  sekalian,  saya
mengucapkan Selamat Hari Raya  Aidilfitri  dan  semoga  kita
semua  mendapat  taufik dan hidayat daripada Allah Subhanahu
wa Ta'ala.    Kepada  saudara-saudari  yang  bukan  beragama
Islam,  rayakanlah  hari  kebesaran  ini bersama-sama dengan
rakan-rakan Islam.   Mudah-mudahan jurang  perbezaan  antara
kita dapat dikurangkan lagi.
14.  Akhir  kata,  saya  serta  keluarga  saya memohon maaf,
zahir dan batin, di atas apa  juga  kesilapan  yang  mungkin
telah kami lakukan.  Selamat Hari Raya Aidilfitri.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd.

 
 



 
Google