Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KERTIH, TERENGGANU
Tarikh/Date : 22/04/91
Tajuk/Title : PERASMIAN KELENGKAPAN PENGELUARAN
DULANG DAN PELANCARAN MINYAK
MENTAH DULANG
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS yang
telah mengundang saya untuk majlis malam ini. Kita
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan
izinNya dapat kita bersama-sama di majlis perasmian
kemudahan pengeluaran Dulang dan pelancaran minyak mentah
Malaysia yang baru, iaitu minyak mentah Dulang.
2. Minyak mentah Dulang, sebagai minyak mentah Malaysia
kelima selepas minyak-minyak mentah Miri, Labuan, Tapis dan
Bintulu, merupakan satu lagi sumber tambahan bagi pendapatan
negara. Walaupun Dulang ialah minyak mentah baru, saya
gembira mendapat tahu bahawa ia telah menerima sambutan yang
amat menggalakkan di pasaran. Saya difahamkan juga bahawa
pengusaha-pengusaha loji penapis minyak dan syarikat-
syarikat perdagangan Jepun serta pedagang-pedagang barat
telah menyatakan minat dan hasrat untuk membeli minyak
mentah ini secara kontrak berpenggal dari PETRONAS. Tukaran
asing daripada jualan minyak mentah Dulang akan menyumbang
ke arah memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara.
3. Projek Dulang ini adalah satu usaha yang amat besar.
Oleh kerana medan minyak ini adalah antara yang terbesar di
negara ini, maka pengeluaran minyak dari Dulang akan
meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran dan eksport minyak
Malaysia. Medan ini apabila dibangunkan sepenuhnya akan
menyumbangkan satu per sepuluh daripada pengeluaran minyak
negara. Ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan negara ini
sebagai pengeluar minyak bersih atau "net oil producer".
4. Justeru itu, adalah amat membanggakan bahawa rakyat
Malaysia telah bertanggungjawab membangunkan medan Dulang
ini daripada peringkat awal hingga akhir. Dalam hubungan
ini, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, selaku operator atau
pengendali medan minyak ini, telah memenuhi tanggungjawabnya
dengan baik untuk menyediakan peluang bagi penglibatan
rakyat Malaysia. Yang lebih penting lagi ialah rakyat
Malaysia yang bekerja dalam projek ini telah menjalankan
tugas mereka dengan begitu tekun, penuh komitmen dan
dedikasi. Mereka telah membuktikan bahawa rakyat negara ini
jika diberikan peluang, mampu menghadapi sebarang cabaran
dengan menggunakan kebolehan dan pendekatan mereka.
5. Kemudahan pengeluaran Dulang yang saya lihat dalam
lawatan saya pagi tadi adalah antara yang paling canggih di
rantau ini, dan mungkin juga di Asia. Jaket berkaki lapan
(eight-legged jacket) bagi pelantar Dulang-B, sebagai
contoh, ialah sebuah struktur luar pantai yang terbesar di
Asia Tenggara. Pembinaannya merupakan satu pencapaian yang
memberangsangkan bagi industri petroleum Malaysia, kerana
kelengkapan-kelengkapan termoden yang dilengkapi dengan
kemudahan-kemudahan "state-of-the-art" ini, dibina oleh
syarikat-syarikat pembuat dan limbungan kapal tempatan.
Projek Dulang telah mendedahkan mereka ini kepada satu
dimensi baru yang memberikan mereka peluang untuk
mempertingkatkan kebolehan dan keupayaan menerusi penimbaan
pengalaman dan kepakaran yang tidak ternilai. Hasil
daripada penyertaan mereka dalam projek ini, kedudukan
syarikat-syarikat pembuat Malaysia dan syarikat-syarikat
perkhidmatan dan sokongan industri petroleum tempatan kini
adalah setanding dengan yang lain-lain di rantau ini.
Sesungguhnya Dulang menandakan kematangan industri petroleum
kita, yang antara lainnya menampilkan Petronas Carigali Sdn
Bhd sebagai sebuah syarikat eksplorasi dan pengeluaran pe-
troleum sepenuhnya.
6. Kita bernasib baik kerana kejayaan ini bertepatan
dengan perkembangan-perkembangan positif yang berlaku di
rantau ini. Dengan keamanan yang wujud sekarang, banyak
negara di Indo-China telah membuka pintu kepada pelabur-
pelabur asing untuk membantu membangunkan semula ekonomi
mereka. Kini peluang yang lebih besar untuk mencarigali
minyak terdapat di negara-negara seperti Myanmar dan
Vietnam. Dengan itu syarikat-syarikat tempatan seharusnya
menyediakan diri untuk merebut peluang-peluang ini dengan
membuat tawaran bagi melaksanakan projek-projek di luar
negeri. Saya merasa gembira kerana Carigali telahpun
mengorak langkah ke arah ini dengan menubuhkan sebuah anak
syarikat, iaitu PETRONAS Carigali Overseas Sdn Bhd, yang
kini menjalankan usaha-usaha mencarigali minyak di Myanmar,
di samping mempunyai rancangan untuk memperluaskan
kegiatannya ke Vietnam. Sekiranya berjaya, usaha-usaha
seperti ini akan menolong membangunkan negara-negara jiran
yang mana secara langsung dan tidak langsung akan membawa
banyak manfaat kepada negara kita. Kemiskinan negara jiran
akan menghalang pertumbuhan dagangan, dan ini akan merugikan
negara seperti Malaysia yang bergantung kepada perdagangan
untuk pertumbuhan ekonominya.
7. Industri petroleum ialah satu industri teknologi tinggi
dan memerlukan modal yang amat besar. Sementara pulangan
daripada pelaburannya mungkin lumayan, ia juga merupakan
satu industri yang penuh dengan risiko disebabkan pelbagai
ketidaktentuan dalam usaha mencari minyak. Dengan sebab
inilah, eksplorasi minyak kerap dijalankan secara usahasama.
Dalam hubungan ini, saya merasa sukacita melihat PETRONAS,
telah menjalin hubungan yang amat baik dengan banyak
syarikat minyak, termasuk syarikat-syarikat minyak
multinasional. Ini akan memberi manfaat dan kebaikan kepada
PETRONAS dalam kegiatan-kegiatan eksplorasinya di seberang
laut.
8. Di dalam negara pula, kerjasama erat seperti ini telah
membuahkan hasil yang baik. Satu contoh yang baik ialah
usahasama di antara Petronas Carigali dengan Esso Production
Malaysia Incorporated (EPMI) dalam projek Dulang ini. Sikap
EPMI untuk sedia berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan
Carigali, selaku operator medan Dulang, adalah dihargai.
9. Industri petroleum Malaysia telah mencapai kemajuan
yang pesat dalam tempoh yang agak singkat. Bagaimanapun,
kita tidaklah boleh berpuashati dengan pencapaian ini kerana
adanya persaingan sengit dalam urusniaga minyak dan gas.
Oleh itu, saya menyeru syarikat-syarikat minyak di negara
ini supaya mempertingkatkan kebolehan dan keupayaan mereka
selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara industri menjelang tahun 2020.
10. Akhir kata saya mengucapkan tahniah kepada PETRONAS
Carigali atas kejayaannya melaksanakan satu projek besar
seperti Dulang ini yang akan membawa manfaat jangka panjang
kepada negara. Projek Dulang ini membuktikan keupayaan
rakyat Malaysia untuk melaksanakan projek berteknologi
tinggi.
11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Kelengkapan Pengeluaran Dulang dan melancarkan minyak mentah
Dulang.
|